Dalam rumah Victor, di pejabat rumahnya, matahari lewat petang menembusi tingkap kaca dari lantai ke siling, memancarkan cahaya hangat di atas meja besar yang dipenuhi dengan pelan tindakan.
Kaylee dan Victor sedang mengakhiri perbincangan mereka tentang reka bentuk pusat kebudayaan di hadapan monitor yang bergaya di atas meja Victor. Mereka telah menyambung semula kerja mereka dalam projek baru itu selepas tengah hari tadi setelah seminggu tergendala akibat peristiwa di bangunan pusat persidangan yang baru itu.
Walaupun agak kekok dan segan pada awal perbincangan mereka, profesionalisme mereka dengan cepat mengatasi perasaan itu. Keghairahan bersama mereka terhadap projek tersebut membantu mereka beralih dengan lancar ke dalam keadaan kerja mereka.
Setelah mengakui perasaan mereka terhadap satu sama lain semalam, hubungan mereka semakin mendalam. Keintiman yang baru terjalin ini telah meningkatkan kecekapan dan sinergi kerja mereka dengan ketara.
Ketika mereka mengemas sambil berbual santai tentang projek tersebut pada akhir waktu kerja, telefon Kaylee berdering, memotong perbualan mereka secara tiba-tiba. Mengimbas nama pemanggil itu, Kaylee berasa bingung, dia berfikir, "Akhirnya, datang juga."
"Xiang Er," jawabnya dengan pasrah.
Dan suara Xiang Er yang manja dan mengadu kedengaran dari seberang telefon.
Selepas senyap seketika, Kaylee memutuskan untuk berterus-terang, "Orang yang saya bagi tahu yang saya selamatkan di bilik sejuk itu adalah Presiden Victor. Saya masih dalam pemulihan di rumahnya," dia mendedahkan, tetapi berasa sedikit bersalah kerana memanjangkan penginapannya selepas perbualan malam tadi dengan Victor. Dia segera mengingatkan sepupunya, "Jangan menjerit..."
Tetapi sebelum dia sempat menghabiskan kata-katanya, "Apa!" Xiang Er yang nyaring itu membuatkan Kaylee terpaksa menjauhkan telefon dari telinganya. Victor yang berada berdekatan turut mendengarnya.
"Jap, jap, jap..." Suara Xiang Er menurun menjadi bisikan. "Kamu dua dah bersama la ni? Ada tak dia suap kamu makan, angkat kamu dengan lengannya yang kuat ke?" dia cuba mengorek cerita dengan berhati-hati, suaranya memang hendak bergosip. Kemudian dia ketawa tersengih dengan entah apa yang dia bayangkan telah berlaku antara Leely Jie-nya dan Presiden Victor yang tampan itu.
"Oh, saya tahu saya tahu! Ya Tuhan, jangan-jangan dia dah pernah mandikan kamu!" Suaranya yang teruja semakin kuat dengan imaginasinya yang liar, jelas kedengaran kepada Victor.
Victor mengangkat keningnya, tertarik dengan sepupu Kaylee yang kedengaran macam seseorang yang berwatak menarik. "Mungkin boleh dikawankan dengan Gavin..." dia memikirkan tentang tukang jahit peribadinya yang sentiasa kesepian itu, sama seperti pemikiran Kaylee semalam apabila diketahui yang Gavin juga akan datang untuk makan malam pada hari Jumaat.
Pipi Kaylee memerah. Dia berpaling dari Victor dan menjauhkan telefonnya, kemudian membawanya kembali ke telinganya, penat hendak berkata-kata mengenang imaginasi sepupunya yang terperinci, "Ada seorang jururawat yang membantu saya sepanjang masa dan tinggal bersama saya, Corinna namanya. Jumaat nanti kamu jumpa dengannya..."
"Apu!" Xiang Er berseru lagi. Namun, menyedari dia berada di lorong awam, dia kembali berbisik, walaupun masih merungut, "Presiden Victor ni lelaki sejati ke? Kenapa dia belum buat apa-pa untuk dapatkan kamu lagi? Leely Jie saya cukup menawan, okey?" dia tidak puas hati kerana Kaylee belum lagi, dalam kata-katanya, 'dimakan' oleh Presiden Victor. Lagipun sudah seminggu. Lelaki mana yang akan membiarkan seseorang secantik Kaylee tinggal sebumbung tanpa melakukan apa-apa?
Kemudian dia menangkap sesuatu yang lebih penting, "Oh jap! Kamu cakap Jumaat? Jadi saya boleh datang ke rumah Presiden Victor pada hari Jumaatlah ni?"
Kaylee mengeluh berat, berfikir, "Apa yang saya nak buat dengan sepupu yang terlalu teruja ni?" Dengan pasrah, dia menjawab sambil memandang Victor dengan tidak berdaya, "Ya, dia jemput kamu datang makan malam Jumaat ni."
"OMG, OMG, O...M...G...! Okey, saya pasti akan datang awal," berpuas hati dengan bagaimana perbualan itu berakhir, Xiang Er bergegas ke lif dan menekan butang turun, berkata ke dalam telefon, "Lif dah nak sampai. Nanti saya mesej kamu lagi bila saya sampai di rumah. Bye, bakal Puan Victor!"
Kaylee memejamkan matanya, letih melayan perbualan itu.
Selepas menamatkan panggilan, dia berjalan semula ke sisi Victor. "Saya pun tak pasti sekarang kalau jemput dia untuk makan malam tu idea yang bagus," katanya, berasa tidak berdaya.
Victor tersenyum, "Saya rasa makan malam kita akan meriah nanti. Dia kedengaran macam seseorang yang seronok."
Kaylee menggulingkan matanya dalam hati, berfikir, "Kamu tak nak tahu betapa 'seronok' dia boleh jadi."
Semasa mereka berangkat keluar dari bilik pejabat rumah, Victor berkata, "Rehatlah kejap. Jumpa lagi masa makan malam," dia berhenti sejenak dan telinganya memerah ketika dia meneruskan peringatan paling penting kepada Kaylee, "Dan jangan lupa malam wayang kita nanti."
Dia telah menjemput Kaylee untuk temu janji pertama mereka, malam wayang di bilik pawagam rumahnya selepas makan malam. Jadi, mereka bersetuju untuk menyambung semula sesi sembahyang bersama pada malam esok. Kaylee tersenyum, matanya penuh penghargaan, "Okey. Ada apa-pa yang saya boleh tolong?"
"Jangan risau yang tu, serahkan pada saya. Kamu hadir saja dengan diri kamu yang paling selesa." Dia kelihatan tenang, tetapi dalam hatinya dia gugup. Ini adalah temu janji pertamanya, dan dia bertekad untuk tidak merosakkannya.
***
Victor perlu merancang masanya dengan teliti untuk petang yang penting ini. Sejurus selepas selesai bekerja dengan Kaylee, dia tidak berehat. Sebaliknya, dia bergegas ke bilik pawagam rumahnya untuk membuat persiapan untuk malam wayang mereka. Pemandunya telah menghantar semua bahan yang dia minta Hann sediakan awal pagi itu. Selepas berusaha dengan tekun selama lebih setengah jam, Victor bergerak ke dapur untuk menyediakan bahan-bahan untuk menu makan malam yang difikirnya cepat lagi romantik: stik Wagyu panggang dengan kacang buncis kukus.
Dalam kira-kira lima belas minit, sepinggan kepingan Wagyu yang telah diperap, semangkuk kacang buncis yang telah dibasuh dan dihiris, serta sepinggan kecil bawang besar yang dihiris telah tersusun rapi di satu bahagian pulau dapur. Victor pula tengah berada di sebelah bahagian pulau yang satu lagi, bergelut untuk cuba mengendalikan mesin popcorn baru yang dia minta Hann tolong belikan untuknya awal hari itu. Dia sedang menyemak manual dengan wajah yang penuh tumpuan.
Berazam untuk membuat popcorn karamel yang sedap dan sempurna untuk malam wayang mereka, Victor mengikuti resepi yang terpapar pada skrin telefonnya dengan teliti. Meja dapur dipenuhi dengan bungkusan biji jagung, mentega berkualiti tinggi, gula, dan sedikit garam laut. Dia menuangkan biji jagung ke dalam bekas pada mesin popcorn, menghidupkan suisnya, dan mendengar bunyi biji jagung meletup yang menenangkan. Sementara popcorn terhasil dan memenuhi mangkuk yang tersedia, Victor berpusing ke bahagian dapur gas pula, hendak memulakan pembuatan karamel.
Dia terbaca atas talian bahawa membuat karamel itu merupakan satu seni, dan dia bertekad untuk menguasainya.
Mentega berdesing semasa ia cair, dan dia menambah gula, kacau sentiasa. Dia memperhatikan campuran itu dengan teliti, menginginkan hasil warna karamel yang sempurna. Namun, perhatiannya terbahagi antara periuk dan timbunan popcorn yang semakin bertambah.
Sebaik sahaja dia rasa karamelnya sudah berada pada ketumpatan yang betul, dia menuangkannya ke atas popcorn, tidak diketahuinya yang dia telah membiarkan karamel itu sejuk terlebih masa. Karamel sudah mula mengeras sebelum dia sempat mengacau dengan betul, menghasilkan gumpalan-gumpalan kemanisan melekit yang tidak sekata.
Victor mengeluh, bahunya jatuh dengan penuh rasa kegagalan. "Okey, cuba sekali lagi," gumamnya sendiri.
Dia memanaskan semula karamel dan mencuba lagi, kali ini dengan hasil yang lebih baik. Semasa dia menuangkan karamel yang panas ke atas popcorn, dia mengacau dengan berhati-hati, tetapi tangannya bergetar dengan kegugupan. Campuran yang melekit itu tertumpah ke sana sini, dengan karamel menitis dari meja dapur dan popcorn bertaburan di lantai dapur.
Ketika itu juga, Kaylee yang baru lepas mandi memasuki dapur, tertarik oleh kekecohan yang dia dengar dari luar dapur tadi. Dia memandang ke dalam dapur – Victor yang berlumuran karamel, popcorn yang bersepah – lalu tidak dapat menahan ketawanya.
"Victor, apa dah jadi ni?" dia bertanya, cuba menahan ketawanya.
Victor memandang ke atas, wajahnya memerah dengan rasa malu. "Saya cuba membuat popcorn karamel, tapi dah jadi macam bencana. Sepatutnya semuanya sempurna, tapi... saya rasa saya dah rosakkan semuanya."
Kaylee berjalan ke arah Victor dan dengan lembut mengambil sudu dari tangannya. "Kamu tak perlu menjadi sempurna, Victor. Usaha yang kamu berikan ni jauh lebih bermakna."
Wajah Victor berubah menjadi ceria, dan dia memberikan senyuman malu.
Mata Kaylee melembut dengan kasih sayang. "Semuanya akan jadi okey, saya janji. Biar saya tolong kamu bersihkan dan kita cuba lagi."
Bersama-sama, mereka berusaha untuk menyelamatkan popcorn karamel. Dengan dorongan dan bantuan Kaylee, popcorn yang bersalut karamel itu menjadi, malah lebih berjaya daripada yang Victor harapkan. Dapur masih sedikit melekit, tetapi ketawa dan kerjasama mereka membuatkan semuanya berbaloi.
Selepas mengisi popcorn ke dalam bekas yang besar, baru Victor sedar bahawa dia belum memanggang kepingan Wagyu atau mengukus kacang buncis untuk makan malam. Wajahnya mengeras dengan penuh rasa bersalah. Kaylee perasan perasaannya itu lalu tersenyum sambil berkata, "Biar saya yang uruskan makan malam hari ni. Saya memang dah lama ingin masak untuk kamu sejak saya dah makin pulih. Pergilah mandi, sekejap lagi makan malam akan siap lepas kamu mandi."
Victor berasa sangat kecewa dengan dirinya kerana rancangannya untuk temu janji pertama mereka telah rosak, dia sangat keberatan untuk membiarkan Kaylee memasak untuk mereka. Telinganya memerah, tetapi memandangkan masa semakin suntuk, dia tidak mahu membiarkan Kaylee menunggu terlalu lama untuk memulakan wayang. Dia mengetap gigi gerahamnya dan dengan berat hati, dia menerima bantuannya.
"Apa tahap masak stik yang kamu suka?" Kaylee bertanya, memikirkan betapa manis dan comelnya Victor pada saat itu.
"Saya suka yang separuh masak. Saya mandi kejap saja," jawab Victor sebelum bergegas keluar.
Kaylee memperhatikan dia meluru keluar dari dapur dengan murung, dia tertawa kecil lalu mengalihkan pandangannya kepada bahan-bahan makan malam yang telah tersedia. Mengenang gelagat Victor semasa dia keluar tadi, Kaylee menganggar bahawa Victor akan mandi dengan cepat, jadi dia segera bertindak, bermula dengan mengukus kacang buncis.
Memang seperti yang dijangkakan, Victor muncul semula di dalam dapur sepuluh minit kemudian, tepat ketika Kaylee sedang menyajikan stik Wagyu separuh masak dengan kacang buncis kukus.
Sambil membantu membawa pinggan ke meja makan, Victor meminta maaf lagi. "Terima kasih banyak, Kaylee. Maaf sebab dah menyusahkan kamu pula."
Pandangan Kaylee yang penuh kekaguman bertemu dengan Victor ketika mereka duduk. Dengan nada serius dan penuh penghargaan, dia berkata, "Victor, saya rasa sangat disayangi dengan semua yang kamu dah lakukan. Betul. Jadi, tolong jangan minta maaf. Saya yang patut berterima kasih kepada kamu kerana mengatur segala-galanya malam ini. Sekarang, jom kita nikmati stik ni dulu sementara masih panas dipanggang."
Hati Victor sangat tersentuh dengan kata-katanya. Walaupun terdapat ketidaksempurnaan yang tidak dirancang pada malam itu, dia telah mencurahkan sepenuh hatinya untuk menjadikannya istimewa, dan kata-kata Kaylee menjadikan semuanya berbaloi.
***
Makan malam itu hangat dan memuaskan, dan kini tiba masanya untuk acara kemuncak malam itu.
Victor memimpin Kaylee ke bilik pawagam rumahnya, ruang yang belum dijejaki Kaylee sepanjang penginapannya di rumah Victor. Dia berjalan dengan langkah yang mantap, kelihatan bergaya seperti biasa, sambil mengangkat bekas popcorn di bawah lengan kirinya. Namun, jika Kaylee mendekat atau memegang tangannya, dia pasti akan merasakan kegugupan dalam degupan jantungnya yang laju dan tapak tangannya yang berpeluh. Victor sangat mengharapkan temu janji pertama yang sempurna dengan Kaylee.
Apabila Kaylee membuka pintu bilik pawagam, diiringi Victor, wajahnya bersinar melihat suasana romantik yang disediakan. Lampu-lampu fairy tergantung dengan bergaya di sekeliling bilik, mewujudkan suasana yang menenangkan. Pelbagai bantal gebu dan selimut lembut disusun dengan teliti di atas sofa mewah, membentuk suasana lepak yang selesa. Lilin berkelip-kelip lembut di atas meja kopi, memancarkan cahaya hangat. Muzik yang menenangkan bermain di latar belakang, mencipta suasana yang sempurna sebelum wayang bermula.
"Victor, ini benar-benar menakjubkan!" dia berseru, matanya melayari bilik itu dengan kekaguman.
Victor tersenyum bangga tetapi segera menjadi serius. "Saya gembira tengok kamu suka. Saya nak pastikan kamu selesa dan berasa istimewa. Saya tahu ini adalah malam wayang pertama kita bersama, dan saya nak jadikannya sempurna."
Victor membawa Kaylee ke sofa, mengangkat salah satu selimut lembut, dan mengundangnya duduk. Dia menghulurkan selimut yang selesa itu kepadanya, kemudian mengambil tempat di sebelahnya di mana asalnya terletak selimut yang satu lagi. Dia sengaja meninggalkan jarak selebar badan satu orang dewasa di antara mereka untuk menghormati ruang peribadi Kaylee, kemudian dia mengisi mangkuk besar dengan popcorn karamel hasil mereka berdua dari bekas besar yang dibawanya lalu meletakkan mangkuk popcorn itu di antara mereka di atas sofa – sebagai satu pemisah halus di antara mereka yang dia harap dapat memberikan rasa selamat kepada Kaylee.
Awal pagi tadi, ketika Victor memberikan Hann senarai barang untuk dibeli dan dihantar, Hann, yang baru sahaja mengetahui bahawa bosnya sedang mengejar Cik Stone, telah mengusik mengenai temu janji wayang tersebut. Dia bergurau tentang bagaimana pasangan baru sering menggunakan malam wayang untuk mencipta peluang intim seperti memegang tangan, berpelukan, dan bercium. Walaupun Hann cepat-cepat berundur diri daripada usikannya, katanya dia sibuk dan perlu menamatkan panggilan, Victor mengambil hati kata-katanya.
Khuatir bahawa Kaylee mungkin menganggap niatnya yang sebegitu juga, Victor lebih berhati-hati untuk memastikan Kaylee berasa dihormati dan selesa. Dia masih hairan mengapa orang menggunakan temu janji wayang yang romantik dengan niat sebegitu. Bagaimanapun, Presiden Victor yang naif dan pertama kali jatuh cinta itu tidak dapat memikirkan jawapan untuk soalannya itu, jadi dia mengetepikan kekeliruannya dan memberi tumpuan kepada malam itu.
Kaylee tergelak kecil, memahami bahawa niat Victor adalah sepenuhnya menghormati. Terharu dengan keprihatinannya, dia mengucapkan terima kasih, "Kamu sangat manis, Victor. Terima kasih."
Apabila petang semakin larut, Victor dan Kaylee bersantai di sofa mewah, dibaluti selimut mereka, dan mula menonton cerita "Green Book", sebuah wayang tentang diskriminasi kaum, dan persahabatan yang tidak disangka antara watak utamanya menyentuh mereka secara mendalam. Lakonan yang hebat dan jalan cerita yang menyentuh hati bergema dengan mereka berdua, mendalami hubungan mereka yang semakin berkembang.
Sepanjang wayang itu, Victor memberi perhatian kepada keperluan Kaylee, mengisi semula mangkuk popcorn beberapa kali dengan berhati-hati untuk mengelak daripada melepasi sempadan pemisah halus di antara mereka.
Apabila dia perasan reaksi emosi Kaylee terhadap wayang itu, dia memandang ke arah Kaylee beberapa kali, menawarkan sokongan yang menenangkan, seperti sentuhan lembut pada lengan Kaylee semasa adegan yang sangat menyentuh, atau memberikan Kaylee tisu apabila dia memerlukannya. Setiap kali tangan mereka bersentuhan atau mata mereka bertemu, persefahaman dan keakraban yang tidak terucap semakin kuat terjalin.
Hati Kaylee cair dengan setiap tindakan Victor yang sangat mengutamakannya.
Dalam satu adegan yang sangat tegang yang melibatkan ketidakadilan kaum, tangan Victor secara tidak sengaja tersentuh tangan Kaylee ketika mereka berdua hendak mengambil popcorn, sentuhan yang menggetarkan kedua-dua hati mereka. Mata mereka bertaut dalam saat berkongsi empati yang mendalam daripada adegan tersebut. Victor memberikan senyuman yang menenangkan, prihatin akan emosi Kaylee serta kagum dengan empati Kaylee terhadap isu yang juga telah menyentuh hatinya.
Ketika kredit bergulir di akhir wayang, bilik pawagan rumah itu senyap seketika, kedua-duanya dalam renungan yang mendalam. Kaylee menoleh ke arah Victor, matanya berkilauan dengan air mata. "Cerita ni betul-betul buat kita fikir, kan?" dia berkata lembut, suaranya tersekat dengan emosi. "Memang banyak lagi yang kita kena belajar pasal memecahkan diskriminasi antara kaum."
Victor mengangguk, wajahnya serius tetapi lembut. "Betul. Saya pun banyak berfikir, macam mana kita boleh membawa perubahan, terutamanya di tempat macam Sarawak yang sangat berpelbagai bangsa dan suku hidup bersama tetapi masih tak dapat elakkan diskriminasi."
Mata Kaylee bersinar dengan idea baru. "Apa kata kita guna inspirasi ni untuk mulakan satu projek yang bermakna? Sesuatu yang boleh bantu memecahkan diskriminasi antara kaum dan juga menggalakkan persefahaman antara komuniti yang berbeza di sini."
Wajah Victor berseri-seri dengan semangat. "Saya suka idea tu. Kita boleh menubuhkan projek tanggungjawab sosial korporat yang menyatukan orang ramai melalui acara komuniti, bengkel pendidikan, dan pertukaran budaya. Sesuatu yang membantu membina empati dan rasa hormat di kalangan orang dari latar belakang yang berbeza."
Sambil mereka bercakap tentang projek itu, perbualan mereka menjadi semakin bersemangat dan penuh harapan. Mereka memikirkan cara untuk melibatkan perniagaan tempatan, pemimpin masyarakat, dan institusi pendidikan. Visi bersama mereka untuk komuniti yang lebih inklusif dan memahami sangat menginspirasikan dan bercita-cita tinggi.
Di tengah-tengah perancangan mereka, Victor mencapai dan memegang tangan Kaylee, sentuhannya lembut dan bertujuan. "Saya sangat gembira kita melakukan ini bersama. Semangat dan pandangan kamu sangat berharga bagi saya. Saya percaya kita boleh membuat perubahan yang nyata."
Kaylee meramas tangannya, hatinya melimpah dengan rasa sayang dan harapan. "Saya pun teruja dengan projek ni dan berharap ia akan mencapai matlamatnya yang mulia. Mengusahakan sesuatu yang bermakna bersama kamu tu sangat menggembirakan bagi saya."
Sentuhan mereka, kini lebih merupakan simbol perkongsian mereka yang semakin mendalam daripada sekadar sentuhan hati yang tidak berkekalan, menunjukkan rasa komitmen yang mendalam dan visi bersama. Malam itu bermula dengan wayang, tetapi berakhir dengan impian baru yang mula terbentuk – satu yang bertujuan untuk menangani isu-isu yang telah menyentuh mereka berdua.
Ketika mereka meneruskan perbincangan mengenai rancangan mereka, Victor dan Kaylee merasakan hubungan mereka yang telah diperbaharui dengan hala tujuan baru. Temu janji wayang mereka bukan sahaja telah merapatkan hubungan mereka tetapi juga mencetuskan projek yang bermakna bagi menangani isu diskriminasi kaum yang masih mempengaruhi komuniti mereka. Misi bersama mereka menambah dimensi baru pada hubungan mereka, menjadikan malam itu tidak dapat dilupakan dan membina asas untuk masa depan yang dipenuhi dengan kesan peribadi dan sosial.
Semasa Victor menghantar Kaylee kembali ke biliknya, Corinna sudah pun berehat lebih awal. Baru-baru ini, dia telah kurang membantu dengan keperluan harian Kaylee. Tugasnya kini lebih kepada mengendalikan barang-barang berat, memastikan keselamatan Kaylee sewaktu di dalam bilik mandi, dan memantau tanda-tanda vital Kaylee dari semasa ke semasa. Bagi Kaylee, Corinna sering dirasakan lebih seperti kehadiran yang mengingatkannya tentang batasan yang dijaganya di antara Victor dan dirinya sebagai rakan serumah - sekurang-kurangnya, itulah perasaan Kaylee mengenang peranan Corinna kadang-kadang.
"Terima kasih kerana meluangkan masa bersama saya malam ini, Kaylee," kata Victor, suaranya lembut dan penuh dengan emosi yang tulus. Matanya, yang biasanya tenang, kini bersinar dengan rasa penghargaan yang mendalam. "Sejak ibu saya meninggal, dah lama saya tak merasai malam indah yang saya akan ingat sampai bila-bila."
Hati Kaylee sebak mendengar kata-katanya. Dia menghulurkan tangan kanannya lalu memegang lembut tangan kiri Victor, jari-jarinya menggenggam dengan lembut untuk menyampaikan balasan hatinya yang ikhlas. "Terima kasih kerana membuat saya rasa begitu istimewa. Ini juga malam yang tak dapat saya lupakan, dan saya sangat menghargai segala-galanya yang telah kamu lakukan."
Keikhlasan dalam suaranya dan kemesraan sentuhannya tiba-tiba membangkitkan sesuatu yang mendalam dalam diri Victor. Victor merasakan lonjakan emosi yang kuat yang kian mengaburkan garis antara pemikiran dan tindakan. Tangan kanannya, seperti tidak terkawal, dihulurnya untuk menekup pipi kiri Kaylee. Ibu jarinya menyentuh lembut kulit muka Kaylee, sentuhannya berhati-hati tetapi dipenuhi dengan kerinduan yang terdesak.
Pandangan Victor, penuh perasaan dan tertumpu, menjejaki mata Kaylee hingga ke hidungnya ketika dia condong ke hadapan. Matanya terkunci pada bibir Kaylee yang sedikit terbuka, seolah-olah dia tidak dapat mengalihkan pandangannya sekuat mana pun dia mencuba. Setiap inci dia mendekat seperti tarian penantian yang disengajakan, jantungnya berdegup begitu kencang sehingga dia takut Kaylee dapat mendengarnya. Udara di antara mereka menebal dengan ketegangan elektrik.
Nadi Kaylee semakin laju selari dengan intensiti yang semakin meningkat pada saat itu. Perasaannya berkecamuk di antara rasa lemah dan rasa ternanti-nanti. Nafasnya tersekat di kerongkong ketika wajah Victor semakin dekat dan ruang di antara mereka mengecil kepada keakraban yang hampir tidak dapat ditanggungnya lagi. Dia dapat melihat kerlipan keraguan di mata Victor, bercampur dengan keinginan yang jelas yang turut menyatukan mereka bersama.
Emosi Kaylee sendiri cukup bergelora – keterujaan, kegelisahan, dan rasa hubungan yang mendalam yang membuatkan dia merasa teruja dan tidak pasti. Seolah-olah masa semakin melambat, dunia semakin mengecil, hanya mereka berdua dan detik-detik mesra yang akan mereka kongsikan. Keperluan untuk berundur tidak pernah terlintas dalam fikirannya; dia diselubungi dalam tarikan yang kuat pada saat itu.
#
Nota kaki daripada pengarang:
Bab ini dikarang semasa saya bersantai di tepi sungai bersama keluarga yang pergi bermain air sungai sebelah rumah kami di Puncak Borneo. Kalau ada yang berminat, bolehlah kita berkumpul dan berjumpa di sini sambil bersembang santai tentang kisah Victor dan Kaylee. Ada on kah? :D
Share this novel