Bab 10: Amsal 31

Romance Completed 317874

Hari ini penuh cabaran, dibebani dengan pendedahan kisah-kisah silam yang terungkap semasa perbualan mereka pada waktu petang.

Makan malam pada malam itu kurang bersantai seperti masa-masa lain untuk Victor dan Kaylee. Kedua-duanya menahan sesuatu yang ingin disampaikan kepada satu sama lain, tetapi seolah-olah mereka berdua sedang menunggu waktu yang sesuai.

Sekarang Kaylee dapat bergerak dengan lebih selesa. Jadi, mereka telah bersetuju untuk memulakan sembahyang malam mereka pada hari bekerja di pejabat rumah Victor selepas makan malam.

Selepas makan malam yang terlebih senyap daripada biasa, mereka menuju ke pejabat rumah Victor.

Ini adalah kali pertama Kaylee berada di ruang kerja Victor dalam rumah, yang menyerupai reka bentuk dalaman pejabatnya di ibu pejabat Kumpulan Langford. Persekitaran yang tidak begitu asing itu beransur-ansur memberi ketenangan kepada Kaylee, mengingatkannya pengalaman bekerja sama mereka yang selesa semasa pertemuan pertama mereka di pejabat Victor hari itu.

Ketika dia merenungi betapa banyak yang telah mereka lalui bersama hanya dalam minggu lalu, Kaylee mengeluh perlahan di dalam hatinya sambil memutuskan untuk mengumpul keberanian bagi mengemukakan permintaannya nanti selepas sembahyang, satu permintaan yang telah dia pertimbangkan sejak petang tadi.

Sambil duduk dengan selesa di atas permaidani mewah di ruang tempat duduk, dikelilingi oleh bantal-bantal peluk dan selimut lembut yang disusun oleh Victor sebelum makan malam, mereka bertukar senyuman sopan, satu persetujuan senyap untuk memulakan sesi.

Suasana tersebut terasa sedikit tegang; mereka tidak lagi begitu selesa antara satu sama lain seperti sebelum ini setelah mendapati hubungan yang mendalam antara mereka di masa lalu dan masa kini.

Seperti yang mereka lakukan semasa sembahyang Ahad bersama pada kali pertama pagi semalam, Kaylee memulakan dengan doa. Walaupun dia ragu-ragu seketika, dia kemudiannya menghulurkan tangannya untuk menjemput Victor, memikirkan ini mungkin peluang terakhirnya untuk berdoa dan bersembahyang bersama Presiden Victor.

Namun, dia perasan riak kegelisahan pada wajah Victor, yang membuatnya tertanya-tanya. "Apa yang dia gelisah ni?" Menolak fikiran itu ke tepi, dia menumpukan pada menyediakan hatinya untuk berdoa.

"Bapa yang dikasihi di syurga, Engkau mengetahui segala-galanya dan Engkau Maha Kuasa. Kami dengan rendah hati menghadapMu, memohon keampunan atas segala kesalahan yang telah kami lakukan hari ini. Bantulah kami melepaskan beban hati kami supaya kami dapat menyembah dan memuliakanMu dengan sepenuh hati," dia memulakan.

Ketika dia berdoa tentang melepaskan beban mereka, dia perasan genggaman Victor pada tangannya menguat seketika sebelum kembali bertenang.

Dia meneruskan, "Kami memohon agar Roh KudusMu mengajar kami firmanMu pada malam ini. Dalam nama Yesus Kristus yang paling berkuasa kami berdoa," dan mereka berdua berkata, "Amin."

Kaylee membuka matanya, berasa lega selepas berdoa. Kembali kepada sikap tenang dan profesionalnya yang biasa, dia tersenyum apabila melihat Alkitab berwarna hitam yang maskulin di atas meja kopi di hadapannya, terletak menghadap Victor yang duduk di atas permaidani di hadapannya.

Victor tersenyuman malu dan berkata, "Terima kasih kerana mendapatkan Alkitab ini untuk saya. Saya sangat suka."

Hati Kaylee berdebar melihat kecomelan lelaki di hadapannya itu yang jarang ditemui. "Saya betul-betul akan rindu kamu nanti..." fikirnya dalam hati, merasakan kesedihan tentang perkara yang perlu disampaikan selepas sembahyang.

Ketika dia masih mengendalikan gelora emosinya, Victor dengan berhati-hati mencadangkan, "Bolehkah kalau saya pilih ayat untuk bacaan kita malam ni?"

Kaylee mempertimbangkan permintaannya dan berpendapat itu tidak menjadi masalah. "Boleh saja, buku mana yang kamu nak?" jawabnya, cuba mengetepikan emosinya yang mengganggu.

Kata-kata Victor yang seterusnya tidak disangkanya. "Jom kita baca Amsal 31, dari Ayat 10 hingga 31," katanya, dengan riak wajahnya yang selamba.

Kedengaran itu, Kaylee pada awalnya cuma merasakan bahawa Amsal 31 macam tidak patut menjadi petikan Alkitab pilihan Victor, walaupun dia belum terfikir apa yang rasa tidak kena di situ, sehingga dia berpaling ke petikan itu dan melihat Ayat 10, lalu terasa kaku.

Dengan perlahan-lahan, dia mengangkat matanya dari Alkitab ke wajah Victor, ekspresinya seolah-olah bertanya, "Kamu pastikah ini ayat yang kamu nak baca malam ini?" Victor cuma tersenyum dengan selamba dan berkata, "Jom kita baca sama-sama?"

"Isteri yang cemerlang, siapakah dapat menemukannya? Dia jauh lebih berharga daripada intan berlian. Hati suaminya mempercayainya dan suaminya tidak akan kekurangan keuntungan. Dia berbuat baik kepada suaminya, bukan berbuat jahat, seumur hidupnya..." mereka mula membaca bersama dari Ayat 10, seorang berasa janggal, yang seorang lagi bersemangat tetapi sedikit gelisah.

"...Dia memikirkan sebuah ladang dan membelinya; dari hasil kerjanya dia menanam kebun anggur. Dia menjalankan kerjanya dengan tekun; tangannya kuat untuk tugas-tugasnya. Dia melihat bahawa perdagangannya menguntungkan, dan pelitanya tidak padam pada waktu malam..." mereka terus membaca melalui Ayat 16 hingga 18.

"...Anak-anaknya bangkit dan menyanjungnya, suaminya pun memujinya, "Ramai perempuan yang perbuatan mereka sangat baik, tetapi engkau melebihi mereka semua." Daya tarikan memperdaya dan kecantikan cuma kesia-siaan, tetapi perempuan yang takut kepada TUHAN akan dipuji-puji. Berikanlah kepadanya hasil tangannya, dan biarlah hasil kerjanya memuji-mujinya di pintu-pintu gerbang!" mereka mengakhiri bacaan mereka pada Ayat 31.

Teringin untuk mengetahui mengapa Victor memilih petikan ini malam ini, Kaylee cuba bertanya, "Jadi, apa pandangan kamu lepas baca ayat-ayat ini?"

Victor memandang Kaylee dengan mata yang penuh penghargaan dan memberikan jawapan yang samar. "Ia mengingatkan saya tentang seseorang yang sangat berharga kepada saya."

Dia kemudian mengalihkan soalan kembali kepada Kaylee, "Dengan kamu pula? Apa pendapat kamu tentang ayat ni?"

Kaylee memandang petikan tersebut dalam Alkitabnya, merenung dengan serius sebelum bercakap. "Saya selalu mengukur diri saya dengan model isteri cemerlang ni. Walaupun saya belum jadi isteri orang lagi, petikan ni sentiasa menjadi panduan untuk perkembangan peribadi saya, membantu saya merenungkan kematangan saya dan mempersiapkan diri saya untuk menjadi seorang wanita yang takut akan TUHAN, seorang wanita yang layak mendapat suami yang mulia."

Victor mengagumi kerendahan hati dan kematangannya. Terumatanya, kata-kata Kaylee yang terakhir amat menggembirakan hatinya.

Fikiran Kaylee kembali terfikir tentang perkara yang ingin dibincangkannya dengan Victor nanti, dan wajahnya kelihatan pilu. Dia telah berjuang secara dalaman untuk menahan perasaannya yang semakin mendalam terhadap Victor. Setelah merenung sekali lagi fimran Tuhan mengenai watak seorang isteri cemerlang, dia rasa bersalah kerana membiarkan dirinya menikmati penjagaan dan kebaikan Victor sedangkan dia sedar diri bahawa tiada masa depan untuk mereka bersama.

Berazam untuk mencari jalan keluar yang terbaik untuk mereka berdua, dia menarik nafas panjang lalu mula bercakap.

"Victor..."

"Kaylee..."

Mereka berdua memanggil nama masing-masing pada masa yang sama.

Victor menawarkan senyuman sopan dan berkata, "Kamu dulu."

Kaylee menarik nafas panjang lagi dan mula berkata, "Victor, saya nak kamu tahu betapa saya menghargai dan berterima kasih atas segala penjagaan dan kebaikan kamu sepanjang pemulihan saya."

Jantung Victor berdegup kencang. "Kenapa bunyinya macam dia nak ucapkan selamat tinggal?" Senyuman di wajahnya pudar, dan peluh dingin mula membasahi tangan yang digenggamnya erat.

Namun, apa yang paling dia takutkan berlaku apabila Kaylee meneruskan, "Adik sepupu saya Xiang Er dah balik, dan saya pun dah semakin pulih. Saya bercadang untuk berpindah semula ke apartmen saya esok. Kalau kamu tak kisah, saya rasa nak ambil alih pengambilan kerja Corinna supaya dia boleh terus membantu saya di tempat saya nanti." Dia cuba mengekalkan suaranya yang tenang, mempamerkan sikap tenangnya yang biasa.

Mata Victor kelihatan gelisah. Dia terdiam seketika, hatinya sakit dengan rasa kehilangan yang belum pernah dialaminya, seolah-olah dia kehilangan sesuatu yang paling berharga dalam hidupnya. Setelah jeda, dia bertanya dengan berhati-hati, hampir merayu, "...Ada apa-pa yang tak kena? Saya ada lakukan apa-pa yang dah buat kamu tak selesa ke? Kalau ada apa-pa yang tak betul, tolong bagi tahu saya. Saya sanggup berubah. Saya..."

"Bukan, Victor, kamu tak buat apa-pa yang salah. Kamu dah sangat baik dan menyokong. Cuma, saya yang dah mengembangkan perasaan yang saya tak jangkakan. Saya sememangnya sangat hargai semua yang dah kamu lakukan," Kaylee meluahkan, berasa sangat bersalah kerana membuat Victor berasa dia yang bersalah.

Kekeliruan Victor jelas kelihatan, tetapi keprihatinannya tetap tulus. "Jadi, apa sebenarnya? Saya cuma nak faham."

Pipi Kaylee kemerahan mendalam ketika dia mengambil sedikit masa untuk mengatur fikirannya. "Victor, setiap waktu yang kita habiskan bersama sangatlah indah. Kamu sangat baik dan bertimbang rasa, sampaikan perasaan saya terhadap kamu dah berkembang melebihi apa yang saya jangkakan. Saya tahu kita hanya sekadar kawan dan rakan kerja, tapi sekarang saya semakin tak pasti kalau saya dah mengelirukan kebaikan kamu untuk sesuatu yang lebih."

Hatinya berdegup kencang sambil dia menyambung, "Saya dah cuba mengawal emosi saya dan menjaga hati saya supaya jangan melangkaui batasan, lebih-lebih lagi kerana saya telah terluka dalam hubungan saya yang lalu. Saya tak nak di antara kita menjadi janggal atau semakin susah memandangkan kita masih kena kerja bersama dalam projek yang penting selepas ni, tapi perasaan saya makin tak terkawal. Saya minta maaf sangat-sangat atas sebarang kekeliruan yang saya sebabkan."

Hati Victor membuak dengan rasa lega dan kasih sayang melihat Kaylee meluahkan perasaannya. "Kaylee, kamu tak perlu minta maaf atas perasaan kamu. Saya sangat gembira kamu kongsikan perasaan itu dengan saya. Banyak yang dah kita dah lalui bersama, dan saya nak kamu tahu bahawa perasaan saya adalah tulus. Saya menyayangi kamu lebih daripada yang saya sangkakan."

Kaylee mendongak memandangnya, matanya bersinar-sinar ketika dia mencari kedalaman kebenaran dalam renungan Victor.

Victor menyambung dengan senyuman ikhlas, sedikit gugup, "Saya tak pasti macam mana nak cakap benda ni, tapi saya nak kamu tahu betapa pentingnya kamu bagi saya. Boleh tak saya doa untuk kita?"

Kaylee terkejut dengan cadangan tiba-tiba itu tetapi merasakan ketenangan yang menyelubungi dirinya. "Okey."

Victor menghulurkan tangannya, dan Kaylee meletakkan tangannya dengan hormat pada tangan Victor. Mereka menutup mata, dan kesunyian di bilik itu sungguh menenangkan ketika Victor memulakan doanya.

"Ya Tuhan Yang Maha Kuasa, aku bersyukur atas masa yang telah kami kongsi bersama. Aku sangat berterima kasih atas kehadiran Kaylee dalam hidupku. Aku memohon bimbingan dan kebijaksanaanMu dalam menunjukkan cara untuk menjaga dan mencintainya dengan cara yang dia sememangnya layak diberi. Tolong lindungi dia daripada sebarang kesakitan hati dan berikan dia keselamatan serta keselesaan yang dia perlukan. Jika ini kehendakMu, aku memohon agar Engkau membantu kami membina masa depan bersama, membimbing kami di jalan ini dengan cara yang memuliakanMu."

Hati Kaylee berdebar-debar ketika dia menyerap kata-kata Victor. Keikhlasan dan kedalaman doanya menyentuh hati Kaylee dengan mendalam, dan barulah dia sedar bahawa mereka sebenarnya saling mempunyai perasaan terhadap satu sama lain. Kesedaran itu membuatkannya terpesona.

Apabila selesai berdoa, Victor membuka matanya dan memandang Kaylee. "Itulah yang saya nak bagi tahu kamu tadi. Dan kamulah orang yang berharga yang saya teringatkan apabila saya membaca Amsal 31. Saya dah jatuh cinta dengan kamu, Kaylee. Saya tak pasti bila ia berlaku atau macam mana, tapi hati saya sentiasa merindui kamu sejak kali pertama saya nampak kamu di ruang istirahat sebelum lelongan amal hari tu. Setelah segala-galanya yang kita dah lalui bersama, saya tak dapat bayangkan hidup saya tanpa kamu. Walaupun semua ini baru bagi saya, saya tahu saya nak bersama dengan kamu, sekiranya kamu pun mahukan saya."

Wajah Kaylee memerah, dan dia terdiam mendengar pengakuannya.

Victor mengeratkan genggaman tangannya dan merayu, "Jadi, tolonglah, kalau kamu gembira di sini, boleh tak kamu tinggal saja di sini seminggu lagi sampai ibu bapa kamu datang menjemput kamu balik? Saya ingin luangkan lebih banyak masa dengan kamu. Tapi kalau kamu rasa tak selesa atau terbeban, saya akan hormat keputusan kamu dan takkan paksa kamu."

Kaylee melihat betapa rendahnya Victor telah meletakkan dirinya, dan ia menyentuh hatinya dengan mendalam. Dia memegang kembali tangan Victor dengan pipinya yang masih hangat lalu menjawab lembut, "Saya... saya pun suka bersama kamu. Saya tak tahu kamu pun merasakan perkara yang sama. Saya cuma sangat takut untuk membuka hati saya dan terluka semula."

Lagak Victor menjadi lembut ketika dia bersandar ke hadapan, perlahan-lahan menekup pipi kiri Kaylee dengan tangan kanannya dan mengusapnya dengan ibu jari. "Kaylee, tak semua lelaki sama. Saya pun ada kekurangan, jadi kesabaran dan rahmat kamu dalam menerima saya secara keseluruhannya akan sangat saya hargai. Tapi saya bersedia mengikut Tuhan dengan rapat supaya saya akan sentiasa melakukan perkara yang betul dan mencintai kamu seperti yang kamu layak terima. Boleh tak kamu bagi saya peluang untuk jaga kamu mulai sekarang?"

Air mata mula membasahi pipi Kaylee yang sudah lama bergenang.

Sudah sekian lama dia telah mendambakan untuk dicintai dan dijaga oleh seseorang yang boleh dia bergantung dan harapkan buat seumur hidup walaupun tidak ingin diakui selama dia mengeraskan hatinya. Selepas hubungan pertamanya yang berakhir tujuh tahun lalu, dia telah berusaha untuk sembuh dengan mencurahkan segala perhatian dan tenaganya ke dalam kerjaya barunya yang sedang berkembang dalam bidang seni bina. Hanya kemudian itu senyuman dan ketawa yang tulus mula kembali ke dalam hidupnya. Namun, sebahagian daripada hatinya masih terasa kebas dan terkunci, menjadi suatu tempat yang dia fikir tidak akan pernah dia kunjungi semula atau berharap untuk diisi lagi.

Tetapi itu dahulu. Pertemuannya dengan Victor di lelongan amal telah mengubah segalanya. Presiden Victor Langford, yang hanya dia kagumi dari jauh dalam beberapa tahun kebelakangan ini, adalah seseorang yang dia tidak pernah bayangkan akan perhatikannya, apatah lagi jatuh cinta kepadanya.

Victor mengusap lembut tangan kanan dan ruas jarinya, memberinya keyakinan dan keberanian secara diam sambil merenung dengan penuh kasih sayang pada wajahnya yang basah dengan air mata.

Kaylee memusingkan tangan kanannya untuk memegang kembali tangan Victor, tersedu sedikit, dan berkata, pipinya masih merah, "Victor, saya tak menyangka semua ni... Saya telah bergelut dengan perasaan saya, tapi sekarang saya tahu yang saya nak bagi peluang ni. Saya ingin percaya pada cinta lagi, bersama kamu. Tapi kamu kena banyak bersabar dengan saya sementara saya belajar untuk mencintai semula."

Senyuman Victor semakin melebar, dan dia dengan lembut meramas tangannya. "Terima kasih kerana berterus terang dengan saya. Biar kita ambil satu langkah pada satu masa dan hadapi apa saja yang datang menjelang bersama-sama."

Mendengar kata-kata Victor, hujung bibir Kaylee melengkung menjadi senyuman lembut, matanya masih basah.

"Jadi, esok belum pindah balik lagi, emm?" dia bertanya, suaranya hampir berbisik, matanya penuh harapan.

Pipi Kaylee kembali terasa panas. Dia ragu-ragu, kemudian wajahnya menjadi muram dengan sedikit kebimbangan.

"Kenapa?" tanya Victor, hairan melihat riak wajahnya yang seperti bermasalah.

"Adik sepupu saya Xiang Er nak jumpa saya. Saya belum bagi tahu lagi yang saya tinggal di sini," dia menjelaskan, kebimbangannya jelas kelihatan ketika dia memikirkan cara untuk mengendalikan permintaan lawatan sepupunya yang senang kecoh itu, lebih-lebih lagi dia menginap di tempat Victor sekarang.

"Jumaat ini. Kita buat makan malam dan jemput dia datang," cadang Victor, masih tersenyum dan tenang.

Kaylee memandangnya dengan terkejut. Cepatnya dah nak declare ke? Dengan Xiang Er pula tu? Fikirannya menerawang tentang pelbagai kemungkinan implikasi apabila Victor menambah, "Gavin akan ada sekali, nak hantar sut baru saya."

"Gavin?"

"Ya. Tukang jahit peribadi saya, Gavin Mel. Dia dah lama nak jumpa kamu sejak saya bagi tahu yang kamu mereka dan menyulam blaus kamu sendiri untuk lelongan amal hari tu."

"Cukup menarik..." Kaylee berfikir sendiri, membayangkan dinamik yang mungkin timbul apabila Xiang Er bertemu dengan Gavin.

Kemudian dia teringat satu kebimbangan yang lebih penting, "Kamu... tak kisah yang mereka tahu tentang kita?"

Mata Victor melembut dengan penuh kasih sayang. "Saya akan berbangga kalau satu dunia ni tahu yang kamu ni wanita dalam hidup saya. Saya tak nampak keperluan untuk menyembunyikan hubungan kita. Atau kamu ada sebarang kebimbangan tentang tu?" tanya Victor, memastikan dia menjaga perasaan Kaylee.

Siapa cakap lelaki ini tidak berpengalaman dalam cinta? Kemanisan spontannya lagi maju daripada apa yang Kaylee dapat menyesuaikan dirinya untuk terima buat masa ini, dengan hatinya yang baru terbuka semula.

Victor perasan keseganan Kaylee apabila melihat pandangannya tertunduk. Suaranya menjadi serak, sarat dengan emosi ketika dia berkata. "Kaylee, saya ingin jujur dengan kamu. Saya benar-benar ikhlas nak kahwin dengan kamu. Kita pun tak muda lagi, dan saya ingin mulakan perjalanan cinta ini dengan kamu."

Dia memperhatikan pandangan Kaylee, matanya tercari-cari ingin mengesan sebarang petunjuk perasaan sebenar Kaylee. "Kamu tak perlu memberi saya jawapan sekarang. Apa yang saya minta cumalah peluang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama dengan kamu sepanjang minggu ni. Biar kita terus mengenali sesama diri, dan sebelum ibu bapa kamu datang untuk jemput kamu balik minggu depan, saya harap kamu dapat bagi tahu saya perasaan kamu juga. Boleh?"

Suara Kaylee bergetar ketika dia menjawab, "Tak terlalu cepat ke macam ni? Kita baru saja kenal selama sembilan hari..." Dia ingin memastikan ini bukan keputusan terburu-buru dari pihak Victor. Dia ingin membina sesuatu yang kekal jika mereka benar-benar memulakan perjalanan ini bersama.

Victor menggeleng perlahan, senyuman pemahaman menyentuh bibirnya. "Saya rasa tak. Walaupun baru sembilan hari, tapi kita dah mengharungi beberapa pengalaman yang sangat mendalam malah sengit dalam hidup kita, pengalaman yang mungkin ramai pasangan tak pernah mengharungi bersama pun walaupun sekali sepanjang perkahwinan mereka. Pengalaman kita bersama dah sangat mempengaruhi saya."

Kaylee mengangguk ringan, bersetuju dengan kebenaran dalam kata-katanya. Kedalaman pengalaman yang telah mereka lalui bersama sangat luar biasa, dan dia juga merasakannya.

Victor meneruskan, matanya kembali ke meja, dalam hatinya, dia berjuang untuk mengungkapkan perasaannya. "Kaylee, saya ingin memberikan kamu penghormatan tertinggi saya." Dia menutup matanya sebentar, bergelut dengan emosinya, kemudian membukanya lalu menerangkan dengan kejujuran yang tulus. "Saya pun seorang lelaki yang biasa, ada keinginan dan nafsu. Kamu memang seorang wanita yang luar biasa dan sangat cantik dan menawan. Saya berbohong kalau saya cakap saya tak pernah terfikir nak cium kamu, peluk kamu, dan dekat dengan kamu selama kita bersama."

Hati Kaylee berdebar dengan keterusterangannya. Namun, keterusterangan dan kejujurannya sangat menyentuh hati Kaylee. Tiada apa yang lebih penting bagi Kaylee daripada kejujuran dan keterbukaan dalam hubungan.

Victor bertemu pandangannya dengan tulus, matanya dipenuhi dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, dia memilih kata-kata yang seterusnya dengan sangat berhati-hati. "Perasaan ini sangat kuat dan mendalam sampai susah saya melawan dan menahannya, tapi saya janji dengan diri saya untuk menghormati kamu dan menghormati batasan kita sehingga kita berkahwin dan menjadi satu di bawah kesaksian Tuhan. Saya nak telus dengan kamu tentang perasaan dan niat saya. Saya berharap kamu faham bahawa komitmen saya kepada kamu melangkaui keinginan fizikal. Saya berdedikasi untuk membina masa depan bersama kamu, berasaskan rasa hormat dan cinta."

Selepas diam sejenak, Kaylee memandang ke dalam mata Victor, merenung kejujuran dan keikhlasannya. "Terima kasih kerana berkongsi perasaan kamu dengan begitu terbuka. Saya berjanji akan memikirkannya dengan mendalam dan mempertimbangkan masa depan kita bersama."

Kelegaan Victor jelas kelihatan. Dia tersenyum lebar, ekspresi kegembiraan dan kesyukuran yang tulus menggambarkan harapan dan penantiannya, mempercayai bahawa mereka boleh mengharungi perjalanan ini bersama. Tiada siapa yang tahu betapa gementarnya dia tadi; dia tidak tahu bagaimana untuk mengaku cintanya atau melamar seseorang, tetapi dia telah mencurahkan isi hatinya ke dalam detik ini, walaupun hatinya gelisah dengan ketidakpastian.

***

"Kamu lama lagi ke nak sampai rumah, Leely Jie? Saya dah depan apartment kamu ni," suara manja Xiang Er mengadu melalui telefon.

Selepas beberapa saat, "Apa!" keningnya terangkat tidak percaya dengan apa yang dia dengar dalam panggilan. Suara nyaringnya bergema di koridor sunyi di luar apartmen Kaylee.

#

Nota kaki daripada pengarang: Susahnya nak mengarang pergolakan emosi mereka dalam bab ini.. harap kamu semua suka ;)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience