“Kenapa nak pergi? Urusan tu kan boleh je serahkan kepada orang lain. Banyak je yang lebih berpengalaman dari Inn dalam syarikat. Dua minggu okay, bukan dua hari. Inn baru je nikah, sanding pun tak sempat nak buat lagi, ni dah sibuk nak ke hulu ke hilir tinggalkan isteri. Tak baik Inn,” panjang lebar mama berleter sebaik sahaja Za’inn beritahu tentang keputusannya mahu selesaikan masalah anak syarikat yang berada di luar negeri itu.
“It’s okay, mama. Lagipun, saya baru je ambil alih syarikat, lebih baik saya je yang pergi untuk buktikan kemampuan saya. Mama pun tahu kan banyak je orang lama dalam syarikat yang meragui saya termasuk pak cik Saad, adik papa tu. Saya dah bincang dengan Raana. Buat sementara, Raana tinggal dengan keluarga dia dulu.”
“Mana boleh macam tu, Inn!” mama menempelak dengan suara tegas, siap tarik wajah berang, “kenapa tak ajak je Raana pergi bersama? Dia tak kerja, apa salahnya Inn bawa dia? Anggap jela korang tu pergi berbulan madu. Siapa tau tahun depan mama dah boleh pegang cucu kan?”
Terlepas deham kekok Za’inn. Hampir tersedak air liur dengar bicara mama. Lahai mama sayang… kalaulah mama tahu apa yang berlaku… dia, nak bertentang empat mata dengan Raana pun takde peluang, inikan pula nak ajak Raana tu pergi honeymoon. Dalam mimpi jela!
“Mama… isteri saya bakal bekerjalah. Sementara belum ada anak ni, biarlah dia keluar bekerja dulu. Kasihan dia duk sorang-sorang kat rumah. Saya nak cepat ni. Apa-apa hal nanti kita bincang lepas saya balik. Sayang mama!” pantas bibir mendarat di pipi mama sebelum bergegas pergi.
“Inn! Ya Allah budak ni! Jaga kesihatan, tu… bengkak dekat hidung tu, jangan lupa sapu ubat! Sikit je lagi dah tak nampak mata awak tu!” tergeleng mama mengiringi pemergian anak tunggalnya itu bersama tatapan risau seorang ibu. Entah apa je yang dibuat oleh anak itu sehingga boleh cedera hidung. Ada ditanya, malah dijawab pula dengan ayat ‘malang tak berbau’.
Za’inn bergegas keluar dari perut kereta usai mematikan enjin. Dia meminta Arash berjumpa dengannya di sebuah restoran. Banyak pesanan yang mahu dia sampaikan, semuanya tentang adik perempuan Arash yang kini merangkap isteri dia.
“Arash!” sebaik saja melihat kelibat Arash, Za’inn melajukan langkah. Melihat kening Arash berkedut, cermin mata hitam dengan pantas ditanggalkan.
“Ya Allah, Inn! Hampir I tak kenal you. Kenapa makin teruk bengkak di muka you? Ni!” Arash melambai tangan di depan muka Za’inn, “nampak lagi tak? I hampir tak nampak mata you okay!”
“I okaylah!” balas Za’inn sambil menepis tangan Arash menjauhi mukanya. Kulit dia memang sensitif, luka sikit je pun boleh bengkak macam kena pam angin.
“Apa hal cari I? You memang bijak. I tak percaya langsung takde pekerja syarikat you yang mampu handle masalah anak syarikat you tu. You saja cari alasan supaya keluarga tak tanya kenapa Raana masih berada di rumah dan tak tinggal bersama you kan? I tak fahamlah. Kenapa you perlu susahkan diri demi penuhi kemahuan Raana tu?”
“I nak cepat ni, tak nak dengar you berleter macam mama I!”
Amboi! Terherot bibir Arash dengar.
“Ni!” Za’inn meletakkan sekeping sampul di atas meja. Arash pandang dengan kening naik sebelah.
“Apa tu?”
“Surat tawaran kerja Raana.”
“Oh ya? Cepat betul you buat kerja kan? Dekat mana tu? Ke you nak simpan budak tu kat sebelah you? Tak takut huru hara syarikat besar you tu kerana budak troublemaker tu?”
“Anak syarikat I. Raana belum ada pengalaman, biarlah dia kerja di syarikat kecil dulu.”
Arash tersengih senget. Dia sokong penuh tindakan Za’inn menempatkan Araana di sebuah syarikat kecil. Kalau tak, pasti pening kepala Za’inn dek budak bertuah tu.
“Tolong jaga Raana sepanjang I takde. Ingat, I tak benarkan you jentik Raana. Even satu jari pun I tak benarkan.”
Amboi! Tercebik bibir Arash dengar. Tak melampau ke Za’inn ni? Dia abang kandung Raana pula! Berani Za’inn bagi amaran macam tu dekat dia.
“You beritahu Raana sendiri tentang tu. Surat tu, you beri sendiri pada Raana.”
Za’inn tersentak lalu membuntangkan mata. Apa maksud Arash? Melihat senyuman penuh makna Arash, Za’inn terus dilanda gemuruh. Dada berdebar kencang.
“Raana! Sini!!!”
Ya Allah!
Za’inn memandang tajam ke wajah tersengih-sengih Arash ketika berteriak memanggil sambil melambai tangan pada seseorang. Tubuh berkeras. Langsung tidak berani mahu toleh untuk melihat siapakah yang dilambai oleh Arash. Sudah ada jawapan sebenarnya! Tapi batin menafikan. Tak mungkin! Arash ni dah kenapa? Dia tak buat persediaan fizikal dan mental untuk berhadapan dengan Raana.
“Y-You… you bawa Raana?” hampir berbisik. Arash tertawa halus melihat wajah pucat lesi Za’inn.
“Dua minggu you takde. Apa salahnya Raana datang untuk ucap selamat tinggal? I tak nak you jadi bak pungguk rindukan bulan dekat sana tu nanti.”
“Arash!” Pergelangan tangan Arash dicengkam.
“Raana, cepat sikit!” hampir meluncur tawa melihat Za’inn serba tak kena. Pertama kali melihat Za’inn segemuruh itu. Mati-mati Arash menahan gelak.
Selama berkawan dengan Za’inn, Tidak pernah Arash lihat sisi yang satu tu. Za’inn yang rapuh! Masa mereka masih menuntut di salah sebuah universiti terkenal luar negara, Za’inn selalu mendapat jolokan the almighty oleh teman sekampus. Lelaki yang tidak pernah kalah! Buanglah ke mana pun, lelaki itu akan berjuang habis-habisan sehingga menang.
Nama Za’inn Altamis jadi sebutan apabila berjaya mengharumkan nama universiti melalui sukan rugbi. Bukan sedikit gadis yang cuba mendekat, tapi semua dipandang sepi. Entahlah, Araana si troublemaker tu juga yang jadi kegilaan mister almighty tu. Tergeleng Arash apabila mengenangkan semua itu. Dia tak faham… apa je keistimewaan Raana sehingga Za’inn begitu setia menunggu sampailah adiknya cukup umur untuk disunting?
“Cepatlah, Raana. Inn dah nak gerak ni!” Arash hilang kesabaran. Terasa langkah adiknya macam pergerakan siput, lambat!
Sengaja Arash suruh Araana datang kemudian kerana mahu bagi kejutan kepada Za’inn. Bukan senang nak ajak Raana datang, sampai dia terpaksa guna ugutan. Nasib baik Raana mengalah dan bersetuju akhirnya. Takpelah, demi kesejahteraan jiwa teman baiknya yang bakal berada jauh selama berhari-hari, dia sanggup buat.
“You berbuallah dengan Raana, I pergi dulu. Ada urusan penting!” Arash bingkas bangun, sempat lempar senyuman penuh makna ke arah Za’inn sebelum menarik lengannya dari cengkaman jemari sejuk beku Za’inn dan terus berlalu pergi. Tak rela lihat si kawan bertukar jadi ais batu di situ.
GLUP!
Za’inn teguk air ludah. Terasa perit anak tekak. Cuba kawal rasa gemuruh dengan menarik nafas sedalam-dalamnya. Arash ni pun, kenapa tinggalkan dia berdua-duaan dengan Raana? Dia harus buat apa? Dia harus cakap apa? Arghhh!!!
“Boleh saya duduk?” lembut, elegan dan penuh sopan santun. Celah mana troublemaker yang selalu Arash sebut-sebut itu?
Za’inn menarik nafas, sedaya upaya cuba kawal diri supaya terlihat lebih tenang. Jangan panik… Cuma Raana… dia boleh buat!
“Duduklah, Raana…”
Araana beralih, dari berdiri di belakang Za’inn ke kerusi bertentangan dengan lelaki itu. Tenang, punggung dilabuhkan. Senyap-senyap, Za’inn menggolekkan bebola mata untuk mengerling Araana.
“Ya Allah!” tiba-tiba Araana bingkas bangun lalu menekup mulut. Za’inn memandang kebingungan. Melihat riak terperanjat Araana dengan anak mata bergerak-gerak, menjajahi seluruh wajahnya, fahamlah Za’inn apa yang buat gadis itu terperanjat beruk.
“M-Muka… awak…” tersekat-sekat suara terlontar. Sungguh, seraut wajah yang terpampang di lensa matanya sekarang itu jauh terpelanting dengan lakaran seraut wajah yang tersimpan dalam minda. Dah ke mana wajah kacak itu?
“Hodoh?” tebak Za’inn setenangnya. Dia cuba! Berharap sungguh agar tidak terlihat serba canggung di hadapan Raana. Laju Araana geleng lalu kembali melabuhkan punggung.
“Saya pernah nampak yang lebih hodoh dari ini suatu ketika dulu.”
Za’inn terdiam, hilang kosa kata. Pasti Araana maksudkan wajahnya ketika disengat tebuan dahulu.
“Oh…” terdiam lagi.
Oh?! Seriously Inn? Hanya oh?! You are much more better than this. Setakat oh, budak lima tahun pun boleh buat lebih baik Inn oiii! Batin mati-matian menyumpah diri saat itu.
“Abang Ash kata awak dah nak bertolak hari ni, betul ke?”
Za’inn kemam bibir. Abang Ash ya? Dengan dia berawak-awak? Mana ayat ‘abang Inn’ seperti ketika mereka berbalas pesanan?
“Kenapa dengan bibir awak? Sakit ke?”
Tak sedar bibir Za’inn terherot-herot, menahan emosi saat memikirkan tentang perkataan ‘abang’ itu. Araana yang melihat terus menegur, sangkanya pasti lelaki itu tengah menahan sakit. Lihat saja bahagian hidung hingga ke mata, macam terlebih kena pam angin. Za’inn tergamam sejenak. Rasa segan terciduk, haish!
“Saya…”
Dengan pantas Za’inn menegakkan badan, semua berlaku secara refleks apabila Araana bangun dan menarik badan rapat ke arahnya. Tidak terus menamatkan ayat, Raana memang sengaja mahu dera perasaan dia kot! Hanya menentang lama sepasang matanya dengan tatapan lembut tanpa bicara, oh tuhan… dia bisa pengsan kerana jantung seakan berhenti mengepam!
Saya… saya apa Raana? Bicara please sebelum abang Inn awak ni pengsan dan terlepas moment indah ni!
“Saya nak minta maaf. Saya tak sangka yang saya boleh cederakan awak seteruk ini dengan tenaga sejemput dan tangan kecil saya ni…”
Za’inn terperangah, tak sedar tertelan air liur. Apa maksud kata-kata itu? Adakah sebuah sindiran tentang bertapa lemahnya dia? Kena tumbuk sikit bengkak seluruh wajah? Macam tu ke?
“Boleh saya sentuh luka awak ni?” Sambil bertanya, Araana merapatkan wajah.
Za’inn sudah tidak mampu membalas, hilang aksara malah otak terus membeku. Masih tidak percaya Araana berada begitu rapat dengannya.
Tanpa kebenaran kerana mulut Za’inn seolah terkunci, Araana semakin mara merapat. Lembut jemari menyentuh batang hidung mancung Za’inn yang kelihatan bengkak kebiru-biruan.
“Sakit lagi tak? Ah, pasti sakit…”
Tak berkelip mata Za’inn memandang ketika Araana mengusap lembut batang hidungnya. Tiba-tiba bibir merah delima itu dimuncungkan. Hembusan nafas hangat Araana menerpa ke kulit wajah. Za’inn yang memandang bak cacing kepanasan. Argh! Kenapa mesti ditiup luka kecil tu Raana? Nak dera jiwa dia ke?
“R-Raana…”
“Hmmm…”
Argh! Dia bisa mati Raana oiii!
“S-Saya… kena pergi… sekarang…” tersekat-sekat menutur bicara. Ayat yang meluncur bukan kemahuan hati sebenarnya. Dia… hampir tak boleh bernafas diserang rasa gelisah bercampur gemuruh buat fikiran pun ikut berkecamuk.
“Oh, baiklah…’ pantas Araana menarik tubuh menjauh. Malu menerjah bila sedar keterlanjuran diri! Dia dihimpit rasa bersalah. Simpati melihat keadaan wajah Inn hingga hampir bertindak melebihi batasan. Dia cuma mahu kurangkan rasa sakit Inn. Melebihi? Tak kot, dia dan Inn dah halal.
“S-Saya pergi dulu…” Za’inn bersuara lemah apabila sedar pandangan Araana yang seolah sudah bersedia menunggunya beredar dari situ.
“Jaga diri,” sahut Araana dengan lembut.
Za’inn semakin berat hati jadinya. Dia tak nak pertemuan itu berakhir dengan cepat. Jam tangan dilirik. Argh! Betul, dia kena beredar sekarang. Masa betul-betul cemburukan dia. Tiba-tiba anak mata terpandang sampul di atas meja.
“Sampul tu untuk awak, Raana.”
Laju bebola mata Araana bergolek. Sampul tersebut diambil.
“Apa ni?”
“Tawaran kerja untuk awak.”
Bersinar cerah anak mata Araana mendengarnya. Rasa mahu melonjak kegembiraan saat itu.
“Saya dapat kerja?!” hampir menjerit nada suara. Za’inn hanya mengangguk perlahan.
“Saya kena pergi sekarang,” Za’inn berkata lalu melirik jemarinya. Dikepal-kepal sebentar sebelum kembali memandang Araana. Berkira-kira nak hulur tangan ke tak!
“Thank you, awak! Selamat jalan. Bye…”
Araana angkat tangan dan melambai. Za’inn buang nafas kecewa lalu meramas jemarinya. Tak nak salam dan kucup tangannya? Takpe… hati memujuk. Dengan langkah berat, Za’inn mulai beredar. Tak sampai sepuluh langkah…
“Abang Inn!”
DEG!
A-abang Inn katanya…
Laju Za’inn mematikan langkah lalu menoleh. Araana ukir senyuman manis buat jantung seakan mahu berhenti berdegup.
“Jangan risau, abang Inn tak hodoh dengan muka bengkak macam tu… abang Inn comel je di mata saya. Nak tahu, bila tengok muka abang Inn, saya terbayang wajah anak hantu cina dalam cerita klasik. Comel je…”
H-Hantu cina wayang klasik katanya?
Hampir jatuh rahang Za’inn dengar. Tapi hati terpujuk pula bila dengar perkataan comel. Dia comel di mata Raana? Haish… terasa bunga api meletup-letup di atas kepala. Kaki seolah tak memijak bumi, macam berada di awang-awangan.
“Comel?” senyum bahagia terlukis di wajah. Tubuh diluruskan. Sambil menahan sengih, Za’inn menarik cermin mata hitam Versace yang disangkut di leher kemeja lalu dipakai dengan riak bangga. Bersama senyuman yang masih mekar, dia melangkah maco keluar dari perut restoran.
Share this novel