"Presiden Vic, Cik Stone, kereta dah sampai. Kita kena bertolak sekarang ke pusat persidangan Samarahan sebelum trafik mula sesak," cadang Hann sambil memasuki pejabat Victor.
Victor dan Kaylee menoleh dari meja, di mana mereka sedang meneliti set laporan terkini di monitor yang bergaya. Pejabat itu disinari cahaya lembut petang yang menyelinap melalui tingkap besar dari lantai ke siling. Dia mengangguk dengan penuh penghargaan, "Terima kasih, Hann. Jom, kita bergerak. Jadual kita ketat," katanya kepada Kaylee.
"Jom," Kaylee mengangguk sambil bangun dengan anggun dari kerusinya dan mula mengemas timbunan dokumen yang tersusun rapi di atas meja, tindakannya pantas dan terlatih.
"Biar saya tolong kamu angkat ni," tawar Hann dengan sopan untuk membantu membawa beg besar yang penuh dengan timbunan dokumen dan fail yang baru dikemas oleh Kaylee.
"Mm... Baiklah, terima kasih banyak Encik Hann," Kaylee menerima dengan gembira setelah menguji berat beg besar itu.
"Takda apa-pa ni," Hann tersenyum dan mencapai beg itu lalu mula berjalan menuju pintu. Kaylee mengambil beg kecilnya dari meja Victor dan mengikutinya, apabila Victor memanggilnya, "Kaylee, bawa ni sekali. Dengan sistem HVAC yang tengah bermasalah, mungkin sejuk kat sana nanti," katanya sambil menyerahkan salah satu kotnya dari rak kot kepada Kaylee sambil meletak satu lagi pada lengannya.
Langkah Hann dan seluruh badannya kaku mendengar itu. "Dah sampai boleh panggil nama dah?" dia bertanya dalam hatinya.
Dia perlahan-lahan menoleh, dan matanya yang terkejut cepat mengintip dua orang di belakangnya. "Dan dah boleh kongsi kotnya dengan... perempuan?"
Hann tidak percaya dengan mata dan telinganya! "Ya Tuhan, apa yang dah berlaku antara dua orang ni dalam masa beberapa jam terakhir ni?" Fikirannya mula berlari dengan semua jenis babak intim yang mungkin berlaku antara bosnya dan arkitek ini dalam beberapa jam terakhir.
"Terima kasih, Victor," Kaylee terkejut apabila Victor menawarkan kotnya kepadanya, tetapi dia fikir ia masuk akal lalu menerimanya dengan terbuka dari tangan Victor. Dia kemudian terus berjalan menuju pintu dan kehadirannya yang semakin dekat menarik Hann yang beku daripada khayalannya. Hann segera mendahului jalan ke lif.
Ketiga-tiga mereka melangkah ke dalam lif. Hann menekan butang untuk paras tempat letak kereta, dan lif berdengung lembut ketika turun. Victor memandang Kaylee dengan penuh maaf dan berkata, "Saya kena ucapkan terima kasih sekali lagi kerana meluangkan masa tambahan untuk menyelesaikan masalah ad-hoc ini. Saya tak berniat langsung nak kamu bekerja lebih masa pada hari pertama kerjasama kita."
Kaylee mengibaskan kebimbangan itu dengan ketawa kecil, "Takda masalah langsung. Saya anggap ni peluang untuk belajar lebih lanjut mengenai operasi Kumpulan Langford dan berjumpa dengan pasukan-pasukan lain. Saya teruja juga sebenarnya."
Rasa hormat Victor terhadap Kaylee semakin mendalam dengan sikap positifnya. Dia tersenyum; matanya penuh dengan rasa kagum terhadap Kaylee. Dia sendiri pun tidak pasti sama ada kagumnya itu kerana kemampuan professional Kaylee atau, sesuatu yang lebih peribadi.
Berdiri di hadapan mereka dalam ruang yang sempit, Hann berasa sangat tidak selesa seperti dia tidak sepatutnya berada di situ. Dia berasa sesak dengan buih cinta yang memenuhi udara!
Setibanya mereka di tempat letak kereta, Honda Accord hitam sudah menunggu. Hann mengambil tempat duduk penumpang sementara mereka berdua duduk di tempat belakang.
Accord lalu berangkat meluncur keluar dari bangunan itu dan menuju ke jalan-jalan kota. Matahari petang memancarkan bayang-bayang emas yang panjang di seluruh lanskap bandar. Di dalam kenderaan, Victor dan Kaylee tidak membuang masa 45 minit perjalanan ke destinasi mereka. Mereka meneruskan perbincangan dan menyambung semula dari mana mereka berhenti di pejabat.
Hann, mendengar perbualan mereka melalui cermin pandang belakang, terkesan dengan kerapatan antara Victor dan Kaylee. Terdapat keselesaan yang jelas dalam perbualan mereka, satu ikatan yang kelihatan lebih daripada sekadar hormat profesional. Hann memperhatikan kehangatan halus dalam nada mereka dan bagaimana mereka seolah-olah saling melengkapi pemikiran masing-masing secara semulajadi. Dia tertanya-tanya jika ada sesuatu yang lebih peribadi berkembang antara mereka. Dia tidak pernah melihat Victor sebegitu ceria dengan mana-mana wanita dalam sedekad yang lalu bersamanya.
Dia diam-diam memperhati interaksi mereka, menilai semula, dan berfikir sendiri, "Mungkin belum menjadi pasangan kekasih, tapi pasti dah jadi macam kawan lama."
***
Menjelang hampir pukul 5 petang, mereka tiba di pusat persidangan di Samarahan. Bangunan itu berdiri tinggi dan moden, dengan fasad kaca memantulkan cahaya matahari yang semakin pudar. Kawasan yang luas itu dijaga rapi, dengan rumput yang dipotong kemas dan landskap yang elegan. Walaupun ia dijadualkan untuk pelancaran rasmi dalam dua minggu lagi, premis itu sudah siap dan sedia untuk berfungsi, kecuali masalah HVAC dan keselamatan kebakaran yang tiba-tiba timbul hari ini.
Hann mendahului jalan ketika mereka menghampiri pintu masuk. Lobi itu adalah gabungan reka bentuk kontemporari dan keanggunan secara berfungsi, dengan siling tinggi dan perabot yang anggun.
Mereka disambut oleh pasukan jurutera dan juruteknik yang terus membawa mereka ke bilik kawalan HVAC. Mata Kaylee segera tertumpu kepada panel paparan besar yang memenuhi satu dinding. Bilik itu dipenuhi dengan bunyi mesin dan klik-klik lembut papan kekunci.
Kaylee menghampiri panel kawalan, memeriksa data dengan matanya yang kritikal.
Skrin paparan pada panel kawalan menunjukkan siri graf dan titik data, tetapi mata tajam Kaylee dengan cepat melihat sesuatu yang luar biasa. "Paparan ini menunjukkan maklumat yang kelihatan terlalu seragam," katanya sambil berkerut. "Macam skrin palsu."
Victor menghampiri, menjenguk ke atas bahunya. "Skrin palsu?"
Kaylee mengangguk. "Ya. Nampaknya kawalan sebenar mungkin diuruskan dari tempat lain. Data di sini tak sepadan dengan apa yang saya jangkakan jika sistem berfungsi sepenuhnya."
Para juruteknik saling berpandangan; ekspresi mereka bingung. "Kami memang guna skrin ini untuk pemantauan," kata salah seorang daripada mereka. "Tapi kalau ada masalah, itu kami belum dapat kenal pasti pula."
Kaylee mengetik skrin, menatal melalui pelbagai menu dan tetapan. "Boleh kita periksa diagnostik sistem. Mungkin ada sesuatu yang tak kena dalam cara data dihantar atau dipaparkan."
Sementara Kaylee bekerja, Victor mengambil peluang untuk memperhati bilik kawalan. Dia melihat para jurutera masing-masing tekun dengan tugas mereka secara teratur. "Terima kasih kerana mengambil alih sementara Haidy tak ada," katanya kepada salah seorang jurutera kanan. "Saya menghargai dedikasi kamu semua dan saya kagum dengan tahap perincian dalam persediaan kamu."
Jurutera itu mengangguk dengan penuh penghargaan, "Terima kasih, Presiden Victor. Kami menghadapi beberapa cabaran dengan integrasi sistem HVAC dan keselamatan kebakaran. Kami sangka masalah itu terpencil kepada panel kawalan, tapi pemerhatian Cik Stone menunjukkan mungkin ada yang lebih daripada tu."
Perhatian Kaylee tertumpu pada tugasnya. Dia mengakses siri log dan laporan ralat, dahinya berkerut sambil menganalisis data. "Log mengesahkan ketidakteraturan dalam penghantaran data. Ada kemungkinan bahawa antara muka kawalan sebenar sama ada rosak atau sengaja disembunyikan."
Victor berpaling kepada para juruteknik. "Apa rancangan sekarang untuk menangani masalah ini?"
Salah seorang juruteknik menjawab, "Kami sedang dalam proses memprogram semula beberapa sistem, tetapi jika ada masalah dengan cara data disalurkan, itu mungkin menyumbang kepada masalah tersebut."
Mata Kaylee bersinar dengan buah fikiran baru. "Kita perlu memprogram semula sistem dengan pemetaan kawalan HVAC yang lebih maju. Ini akan mengatasi sebarang tetapan yang salah dan memberi kita gambaran yang lebih jelas tentang apa yang sedang berlaku."
Para jurutera dan juruteknik saling bertukar pandangan terkesan. "Bagus cadangan tu," kata salah seorang daripada mereka. "Kami perlu panduan daripada cik dalam hal ini."
Kaylee bekerja rapat dengan pasukan, membimbing mereka melalui proses pemprograman semula. Para juruteknik memberi perhatian, mencatat dan mengajukan soalan ketika Kaylee menjelaskan pendekatannya. Bilik itu sibuk dengan aktiviti ketika mereka melaksanakan pemetaan kawalan baru.
Victor memperhati dengan penuh kagum ketika Kaylee menunjukkan kepakarannya. "Kamu betul-betul hebat," katanya. "Nampak sangat kamu memang pakar secara mendalam tentang sistem ini."
Kaylee tersenyum, tumpuannya tidak terganggu. "Terima kasih, Victor. Saya pernah bekerja pada projek yang serupa sebelum ini, tapi yang ni kira cabaran yang unik. Saya pun nak tengok macam mana semuanya berjalan dengan lancar nanti."
Proses pemprograman semula memakan masa, dan sementara mereka menunggu sistem untuk menetap semula, Kaylee mencadangkan agar mereka memeriksa salah satu zon yang dikawal secara manual. "Kita perlu pastikan bahawa kawalan manual tak diganggu juga, itu penting untuk penilaian menyeluruh kita," katanya. "Saya nak pergi sana dan lihat sendiri kalau boleh."
Rangkaian telah diputuskan buat sementara di seluruh bangunan pusat persidangan untuk menetapkan semula sistem HVAC dan keselamatan kebakaran, Victor menyedari kehilangan isyarat telefon dan berkata, "Saya pergi dengan kamu." Dia kemudian berpaling kepada Hann dan mengarahkan, "Kalau kami tak balik dalam dua jam, datang dan cari kami, untuk berjaga-jaga."
Hann kelihatan agak bimbang, dia mencadangkan, "Bos pastikah tak nak bawa sekurang-kurangnya seorang jurutera atau juruteknik HVAC sekali?" Victor berpaling melihat pasukan HVAC yang sibuk lalu dia berkata, "Saya rasa mereka dah cukup kekurangan tenaga kerja. Kami akan cuba sedaya upaya untuk selesaikan dengan cepat." "Okeylah, bos," jawab Hann.
***
Victor membawa jalan ke zon yang ditetapkan; dia sudah biasa dengan susun atur bangunan ini kerana dia sering melawat tapak dan mengawasi secara peribadi sepanjang tempoh pembinaan. Kawasan yang mereka hendak pergi itu direka untuk dikendalikan secara manual bagi membolehkan fleksibiliti dalam keadaan tertentu, seperti kecemasan atau kerosakan sistem.
Ketika mereka memasuki zon yang dikawal secara manual, mereka berdua serta-merta merasakan penurunan suhu di sekeliling akibat sistem HVAC yang tidak berfungsi yang turut menjejaskan zon ini.
"Terima kasih pinjamkan kot kamu, memang sangat sejuk di sini," kata Kaylee kepada Victor sambil menyarungkan lengan ke dalam lengan kot yang dipinjamkan oleh Victor. Victor juga menyelimuti dirinya dengan kot yang dia turut bawa, tersenyum ketika melihat Kaylee memasukkan tubuh kecilnya ke dalam kotnya yang besar. Sesuatu yang begitu lembut menggamit hatinya melihat Kaylee dalam pakaiannya, seperti sudah ditakdirkan begitu.
Memasuki satu bilik kosong secara rawak, Kaylee berjalan ke papan pengagihan di satu sudut dan mula memeriksa suis dan pengagihan. Namun tidak lama pun, Kaylee sudah mula menggigil dan matanya memandang sekilas pada tolok yang menunjukkan suhu 2°C. Dia kemudian perasan bahawa dia tidak mendengar apa-apa dari Victor sejak mereka masuk ke dalam bilik ini. Dia berpaling dan melihat Victor sudah tersandar pada dinding di tengah-tengah bilik itu, nafasnya pendek dan berat. Menyedari kesusahannya, Kaylee segera bergegas ke sisinya dan cuba memegang badannya yang sudah mula meluncur turun ke lantai.
"Victor?" Kaylee panik. Dia terkejut dengan kesejukan melampau yang meresap ke kulitnya ketika jari-jarinya menyentuh lengan Victor – terlalu sejuk walaupun dengan lapisan pakaian! Tubuh kecilnya terseret bersama tubuh berat Victor, dan mereka berdua terduduk di atas lantai berkarpet.
"Kenapa dengan Victor?" fikirannya berlumba mencari jawapan. Tetapi satu perkara yang dia pasti: Victor mempunyai toleransi yang jauh lebih rendah terhadap suhu sejuk daripada orang biasa, dan dia perlu memastikan badan Victor tetap hangat!
Victor, sedikit tersedar oleh jatuhan itu, berusaha sehabis baik untuk perlahan-lahan membuka matanya dan memandang ke arah Kaylee. "...Sejuk, sangat sejuk..." dia berbisik lemah; giginya berketap tidak terkawal. Berat badan Victor yang 76 kilogram itu tidak mudah untuk Kaylee menggerakkan, dia mengumpulkan segala kekuatannya untuk mendudukkan Victor dengan lebih tegak, bersandar pada dinding. Dia kemudian bergegas ke pintu untuk memutarkan tombolnya, tetapi ia terkunci. "Satu lagi pintu kecemasan yang rosak!" dia mengeluh berat di dalam hatinya.
Kaylee tahu bahawa kelangsungan hidup mereka bergantung pada kekal hangat, terutamanya untuk Victor. Dia juga memahami keperluan untuk menggunakan haba tubuh mereka sebagai usaha terakhir. Dia mengekalkan fokus yang bermaruah pada kelangsungan hidup lalu mula bertindak dengan cepat.
Dia teringat tentang rangkaian yang telah diputuskan buat sementara. Dia kembali ke tempat Victor, menangkup pipinya yang sejuk dengan tangannya, dan mengangkat wajahnya dengan lembut ke arahnya. "Saya perlu cari telefon kamu, ya? Kita perlu bagi tahu Hann lokasi kita supaya apabila isyarat disambung kembali, dia akan nampak mesej kita dan tahu di mana untuk mencari kita," dia menerangkan, suaranya kini lebih tenang walaupun dalam situasi yang genting.
Dia mendengar bisikan lemah Victor, "...ket." Dia memandang sekilas ke arah paha Victor dan nampak poket kanan yang sedikit menonjol. "Maaf ya," katanya dengan ikhlas sambil tangannya masuk ke dalam poket itu untuk mengeluarkan telefon Victor. Dia menghidupkan skrin dan menekan ibu jari Victor pada pengesan cap jari untuk membuka kunci telefonnya.
Masih tiada isyarat. Dia dengan cepat membuka aplikasi Mesej, mencari nombor Hann pada ruang penerima, dan menaip, "SOS. Terkunci dalam bilik H520, Blok E. Suhu pada 2°C, Victor tak okay. -Kaylee." Dia menekan butang Hantar dan kemudian menyalin mesej itu, membuka aplikasi WhatsApp, mencari tetingkap mesej Hann, menampal mesej itu, menekan butang Hantar sekali lagi, dan kemudian menghidupkan mod penjimatan kuasa.
Setelah melakukan semua ini, dia meletakkan telefon Victor di sisi. Melihat wajah pucat Victor dan getaran yang semakin kuat, dia mengkaji bingkai tubuhnya dengan cepat untuk merancang posisi yang dapat memaksimumkan perkongsian haba tubuh lalu bertindak segera.
Dia menanggalkan kot besar yang dipakainya dan meletakkannya di lantai berhampiran, kemudian menarik gaunnya dari paras lutut ke pinggangnya. Dengan usaha yang gigih, dia berjaya menyesuaikan tubuh berat Victor. Kaylee menggelongsor salah satu kakinya melalui belakang badan Victor, merapatkan dirinya untuk duduk di belakang Victor, lalu menggunakan belakang badannya untuk mengasingkan Victor daripada dinding yang sejuk. Kaylee dapat merasakan kesejukan bilik yang meresap melalui pakaiannya sendiri, tetapi dia tetap fokus untuk memastikan Victor kekal hangat seboleh mungkin.
Dia menarik dan menyusun Victor supaya belakang badan Victor bersandar dekat pada dadanya. Kepala Victor terkulai ke sisi, dan dia dengan berhati-hati mengaturnya untuk berbantalkan bahunya. Dia kemudian mengambil kot besar di sebelahnya dan menyelimutkan mereka berdua dari depan Victor, mencipta kepompong untuk menangkap dan mengekalkan haba tubuh mereka bersama.
"Saya cuba memastikan kita berdua kekal hangat. Tetap bersama saya, Victor. Bantuan kita akan tiba," dia menerangkan kepada Victor sambil melakukan semua itu.
Dia dapat merasakan kesejukan kulit Victor terhadap lehernya. Dia menarik Victor dengan lebih rapat, melilitkan lengannya di sekitar dada Victor dan di bawah lengannya, menggunakan seluruh tubuhnya untuk menutupi sebahagian besar tubuh Victor bagi menyaluran haba badannya kepada Victor. Otot-otot perut Victor yang dirasai tangannya mengingatkannya bahawa itu adalah seorang lelaki yang disentuhnya.
Usaha Kaylee lalu terhenti seketika, dia berjuang dalam dirinya tetapi hanya untuk sekejap, lalu dia mengingatkan dirinya, "Aku perlu membantunya untuk terus hidup." Setelah jelas dengan niat dirinya yang murni, dia bertekad dan meneruskan tindakannya.
Dengan kakinya tersebar di kedua-dua belah, dia menolak pergelangan kakinya rapat untuk menutup sisi kaki Victor. Dia menggosok lengan dan dada Victor dengan gerakan perlahan dan berulang, cuba menghasilkan sedikit haba melalui geseran. Gigi Victor berketap kuat, mengingatkan Kaylee hakikat bahawa betapa sejuknya tempat mereka itu.
***
Satu jam telah berlalu. Kaylee menekan pipinya ke pelipis Victor dan tangannya terus bergerak secara berirama, menggosok dada dan lengan Victor, walaupun gerakannya semakin perlahan, dan tubuhnya juga menggigil.
"Victor, kamu kena tetap berjaga," bisiknya, bibirnya dekat dengan telinga Victor, dan nafasnya kelihatan dalam udara sejuk itu. "Kita akan melalui ni bersama-sama." Dia menggerakkan tangannya dari lengan ke jari-jari Victor, menekan jari-jarinya dan tapak tangannya, menggosok tangannya untuk medorong peredaran darah.
Keadaan penyeksaan itu seolah-olah tidak akan terhenti dengan kesejukan yang terus mengancam mereka. Kekuatan Kaylee sendiri semakin lemah, giginya berketap-ketap ketika dia cuba untuk kekal fokus. Dia dapat merasakan tenaganya semakin habis, tetapi dia enggan menyerah.
"Tolong tetap bersama saya, Victor," dia mengingatkan Victor, memeluk dada Victor dengan erat dari belakang dengan gerakan berirama untuk terus menghasilkan geseran dan haba. "Bantuan akan tiba tak lama lagi."
Ketika Kaylee terus mencari sesuatu untuk dikatakan kepada Victor supaya dia tetap berjaga, dia teringat akan lagu kegemarannya.
"Victor, saya belum pernah bagi tahu kamu lagu kegemaran saya, kan? Setiap kali saya berduka atau sedih, sakit atau kecewa, tidak berdaya atau takut, saya akan menyanyikan lagu ini kepada diri sendiri," dia berkongsi dengan Victor dalam bisikan lemah, lembut dan perlahan, frasa demi frasa.
"Biar saya nyanyikan untuk kamu." Bibir Kaylee bergetar ketika dia menekan pipinya ke pelipis Victor dan mula menyanyi, sementara jari-jarinya yang menggigil terus memegang jari-jari Victor, memerah tangan Victor dengan lembut untuk mendorong peredaran darah.
Suaranya bergetar, kesejukan itu menyukarkan untuk mengekalkan nada yang stabil, nafasnya tersengal dengan setiap getaran. Kata-katanya terputus-putus oleh ketukan giginya, membuatkan lagunya kedengaran rapuh dan pecah.
"Tuhan maha besar,Â
Bapaku, Perisaiku, Kekuatanku.
Ini tahun gemilang,Â
'Kan ku gigih berdoa.
Syurga pun 'kan bergentar,
Dengan iman gunung 'kan dialih.
Kalau lemah, berdoa.
Jika sakit, berdoa.
Tangan Tuhan besar tiada yang mustahil.
'Pabila susah, berdoa.
'Pabila takut, berdoa.
Doa tu kuasaku dari Tuhan."
Nyanyiannya hampir berbisik, suaranya pecah sepenuhnya pada masa-masa tertentu, kata-katanya hampir tidak lebih daripada hembusan udara hangat ke kulit sejuk Victor. Tetapi suaranya juga adalah benang tipis kehangatan dan harapan dalam kegelapan beku, satu bukti tekadnya yang tidak goyah untuk memastikan Victor hidup.
Suara yang menenangkan dan meyakinkan itu memasuki telinga Victor, menjadi suar jauh dalam kegelapan fikirannya. Sejak mereka memasuki bilik sejuk itu awal petang tadi, tubuhnya mula mengkhianatinya. Kesejukan yang menggigit meresap ke dalam tulangnya, trauma dan ketakutan dari kejadian yang menghantuinya 13 tahun lalu menyelubungi semua derianya, mengebaskan otot-otot tubuhnya dan mengaburi fikirannya.
Walaupun separuh sedar, dia perasan semua tindakan Kaylee dari awal. Dia ingin membalas beberapa kali, untuk meyakinkan Kaylee bahawa dia masih berjuang, tetapi tubuhnya enggan menurut. Kesedarannya timbul tenggelam, terperangkap antara keinginan untuk menyerah kepada kesejukan dan keinginan untuk terus hidup.
Namun apabila dia mendengar lagu yang kedengaran tidak sempurna ini, hatinya tergerak dan emosinya menjadi kencang, Kaylee merasakan jari-jari Victor seperti membalas urutannya walaupun secara sangat, sangat ringan.
"Macam mana kamu tahu lagu ini?" hati Victor cuba sedaya-upaya untuk bertanya tetapi tiada apa yang keluar dari mulutnya.
"Kamu suka lagu ini?" Kaylee bertanya, kekuatannya yang semakin menipis tiba-tiba mendapat dorongan dan kembali bertenaga sedikit kerana akhirnya merasakan bahawa dia tidak bersendirian, bahawa Victor ada bersamanya. Tetapi dia tidak mendengar apa-apa selepas dia menunggu seketika.
"Lepas kita keluar dari sini, saya akan nyanyikan lagu ini kepada kamu, saya akan berkongsi kisah di sebalik lagu ini dengan kamu. Jadi tolong, bertahanlah, Victor. Hann akan tiba tak lama lagi," dia berbisik lemah untuk menggalakkan Victor. Dia juga mengatakan itu kepada dirinya sendiri untuk terus bersemangat kerana dia dapat merasakan bahawa dirinya telah perlahan-lahan kehilangan deria dan otot-ototnya sudah tidak dapat bergerak sangat sekarang.
"Sekarang... mari kita... berdoa... Bapa kami di... syurga... Engkau berdaulat... Kami serahkan nyawa kami... ke dalam tanganMu..." dia bergumam.
Mereka telah terperangkap selama lebih dari tiga jam sekarang. Kaylee merasakan kelopak matanya semakin berat, kesejukan yang menyelubunginya telah menghabiskan simpanan tenaga terakhirnya. Tiba-tiba, skrin telefon Victor yang berada di sisinya menyala. Hampir serta-merta, peranti itu mula bergetar dan berbunyi tanpa henti, satu kekacauan notifikasi yang masuk bertalu-talu.
Dengan itu, kekuatan Kaylee habis. Dia telah memaksa dirinya hingga ke had, didorong oleh keperluan untuk memastikan Victor hidup. Setitis air mata mengalir dari hujung matanya, tetapi beku hampir serta-merta dalam udara sejuk, dan kemudian dia pengsan akibat kelesuan yang terlampau.
#
Share this novel
Han, cepattt