Pintu pejabat terbuka, dan bukannya Kaylee tetapi wajah Hann yang muncul, kelihatan sedikit tergesa-gesa.
"Presi..." Hann terhenti seketika apabila melihat air muka bosnya. "Apasal muka macam tu?" dia berfikir, mengangkat keningnya kerana merasakan seolah-olah dia sangat tidak dialu-alukan.
Kemudian melihat air muka Victor yang kelihatan seperti mengatakan, "Ada apa, cakap, cepat!" Hann segera menyambung, suaranya semakin tenang, "Presiden Vic, ada beberapa laporan awal yang membimbangkan daripada pasukan pentauliahan di tapak pusat persidangan baru kita di Samarahan. Ada masalah dengan sistem HVAC dan keselamatan kebakaran."
Wajah Victor segera berubah menjadi lebih profesional ketika dia mendengar dengan teliti. "Teruskan, Hann. Apa yang diorang jumpa?"
"Macam ni, sistem HVAC mengalami turun naik tekanan yang tak dapat dijelaskan dan kawalan suhu yang tak tetap. Selain tu, sistem keselamatan kebakaran pun menunjukkan beberapa penggera palsu dan zon penyembur yang tidak responsif. Haidy dah mengesahkan bahawa semua pemeriksaan peraturan dan keselamatan dalam bangunan tu okey hari Khamis lepas sebelum dia bercuti hari Jumaat baru-baru ni," Hann menjelaskan, mengesan peningkatan fokus Victor.
Victor mengangguk, fikirannya berputar memikirkan berbagai kemungkinan dan kesan daripada masalah-masalah tersebut. Haidy Rimun adalah pakar dalam semua hal keselamatan bangunan, termasuk Pemanasan, Pengudaraan, dan Penyaman Udara atau HVAC, dan sistem keselamatan kebakaran. Dia selalu dikatakan yang terbaik dalam industri ini, terkenal kerana sentiasa memberikan penyelesaian yang terbaik di rantau ini. Bakatnya jelas sejak dia masih muda, dan itulah sebabnya Victor sendiri membawanya masuk ke Kumpulan Langford tujuh tahun lalu. Jadi, pemeriksaan keselamatan awal Haidy boleh dipercayai, tetapi apa yang menjadi tidak betul kemudian? "Apa yang dah dilakukan setakat ni untuk mengatasi masalah ni?" dia bertanya.
"Pasukan di tapak tengah bekerja keras. Walaupun mereka percaya masalah ni tak dijangka, mereka tengah usahakan untuk selesaikannya sebelum Haidy balik dari cutinya. Sempat lagi untuk pelancaran rasmi dalam dua minggu lagi. Setakat ni, bos tak perlu buat apa-pa, saya cuma nak maklumkan dulu," Hann menjelaskan, memastikan Victor tahu bahawa pasukan sedang menangani situasi tersebut.
"Bagus. Sebarang perkembangan atau halangan, nanti bagi tahu saya lagi. Kita tak mampu menanggung sebarang kelewatan pada projek ini," arah Victor dengan nada tegas.
"Faham, bos. Saya akan maklumkan nanti," sahut Hann. Kemudian, sebelum berangkat keluar dari pejabat bosnya itu, Hann tidak dapat menahan diri daripada berseloroh. "Presiden Vic, boleh tahan baju bos hari ni. Harap-harap turtleneck dengan sut ni cukup sederhana untuk tak masuk berita utama dengan Cik Stone lagi," dia mengusik, tetapi segera menyesal apabila teringat betapa Presiden Vic tidak suka apa-apa hal yang berkaitan dengan wanita.
Victor mengangkat kening, seketika terkejut dengan usikan itu, sebelum senyuman tipis terukir di sudut bibirnya. "Pergi balik kerja, Hann," kata Victor, menggelengkan kepala, tetapi nadanya lebih ringan daripada sebelumnya. Terkejut dengan ketidakmarahan bosnya terhadap usikannya, Hann cepat-cepat keluar dari pejabat presidennya itu sebelum Victor sempat memarahinya kerana keberaniannya.
"Masuk berita utama dengan Cik Stone lagi?" Pelik, dia macam agak menyukai bunyi pemikiran itu.
“Tuk-tuk.”
Kaylee melihat pintu kayu berat itu perlahan-lahan dibuka selepas diketuk oleh penyambut tetamu yang membawanya ke pejabat Presiden Victor. Dia baru sahaja melihat pembantu peribadi presiden, Hann Louis, berlari keluar dari pintu ini sebentar tadi seperti melarikan diri dari sesuatu yang menakutkan.
"Dia tengah marah ke? Sesuai ke nak jumpa dia sekarang?" dia bimbang, dan jantungnya berdegup lebih kencang di dadanya sambil berusaha keras untuk mengekalkan sikap profesional dan tenangnya.
Sebelum dia menyedarinya, penyambut tetamu di hadapannya telah melangkah ke tepi dan menahan pintu untuknya. Dia mendongak dan di situ, lelaki yang tidak dapat dia lupakan kini memenuhi pandangannya, kelihatan begitu berwibawa dan tampan seperti di acara lelongan amal hari itu, kehadirannya begitu menguasai ruang di mana-mana.
Turtleneck navy gelap di dalam sut hitam Presiden Victor itu tidak terlepas daripada mata Kaylee yang memang gemar fesyen.
"Warna tu juga!" dia mengeluh perlahan, hampir menggulingkan matanya dalam hati. Dia pada mulanya merancang untuk memakai pakaian profesional berwarna hitam pada hari ini, tetapi belajar dari pengalamannya melalui kisah pos viral semalam, dia memutuskan lebih selamat dia mengelakkan warna hitam atau putih buat sementara ini dan memilih warna-warna lain. Tetapi tengok sekarang!
Kaylee menarik nafas panjang, memasang senyuman profesionalnya ketika dia memandang wajah Victor.
"Cik Stone," dia menyapa, suaranya yang dalam sampai ke telinga Kaylee. "Terima kasih kerana datang hari ni."
"Terima kasih kerana menjemput saya, Presiden Victor," balas Kaylee, dengan anggukan ringan. "Ia satu penghormatan untuk berada di sini."
"Panggil Victor je," katanya, menunjukkan ke arah kawasan tempat duduk yang selesa. "Silakan duduk?"
Kaylee mengangguk, mengikutinya ke sofa kulit mewah. Setelah mereka duduk, keheningan seketika menyelubungi mereka, diisi dengan campuran rasa hormat profesional dan sesuatu yang tidak terungkap. Victor bersandar sedikit, matanya memperhatikannya dengan teliti.
"Saya sangat kagum dengan pembentangan kamu di acara lelongan amal hari tu," dia memulakan. "Rekaan seni bina kamu bukan saja inovatif dan maju dari segi teknologi, tapi juga sangat menghormati warisan budaya. Itu adalah gabungan yang jarang ditemui."
"Terima kasih, Victor," kata Kaylee, rendah diri. "Saya sentiasa percaya bahawa mengekalkan identiti budaya melalui seni bina adalah penting, terutamanya di tempat yang berbagai budaya macam Sarawak."
Victor mengangguk dengan penuh pemikiran. "Saya sangat setuju. Itulah salah satu sebab kenapa saya nak jumpa kamu. Kumpulan Langford sedang memulakan projek baru – sebuah pusat kebudayaan yang bertujuan untuk meraikan dan memelihara tradisi tempatan sambil mengintegrasikan kemudahan moden. Saya rasa visi kamu selaras dengan apa yang kami cuba capai."
Mata Kaylee bersinar dengan kegembiraan. "Bunyi macam projek yang hebat. Boleh ceritakan dengan lebih lanjut mengenainya?"
Victor tersenyum, dan seketika, Kaylee merasakan degupan di dadanya. "Sudah tentu. Biar saya tunjukkan pelan awalnya."
Dia berdiri lalu bergerak ke meja besar di mana beberapa pelan rangka tindakan tersebar. Kaylee menyertainya, dan ketika mereka berdiri bersebelahan, bau wangian cologne Victor menyelubunginya – wangian kayu yang kaya, sofistikated dan tidak dinafikan sungguh maskulin.
"Ini hanya draf awal," jelas Victor, menunjuk ke pelbagai bahagian pelan rangka tindakan. "Kami ingin mencipta ruang yang bukan sahaja berfungsi tapi juga menginspirasi – tempat di mana orang kita boleh datang untuk belajar, meraikan, dan berhubung dengan warisan mereka, dan di mana orang dari luar boleh merasai kekayaan warisan kita dan membawa pulang budaya dan nilai-nilai kita yang hebat."
Kaylee berjalan mengelilingi meja besar sambil mengkaji pelan-pelan itu dengan teliti, buah fikiran baru sudah berkobar-kobar mengeluar dalam mindanya. Dia sedikit teruja sambil tubuh kecilnya condong ke hadapan untuk menunjuk pada satu bahagian pelan rangka tindakan itu, "Saya rasa susun atur ini ada banyak potensi," katanya dengan penuh pemikiran. Victor turut condong ke arah tempat dia menunjuk sambil dia terus berkata, "Kita boleh gabungkan lebih banyak elemen tradisional dalam reka bentuk untuk meningkatkan aspek budaya. Contohnya, penggunaan bahan tempatan dan teknik pembinaan tradisional boleh menambah lapisan keaslian, seperti di sini dan di sini," dia menjelaskan sambil jarinya sibuk menunjuk pada pelan.
"Kamu rasa?" dia bertanya dengan penuh semangat ketika dia tiba-tiba berpaling ke kirinya untuk melihat Victor, dan mendapati muka Victor sangat dekat dengan mukanya. Dia tidak perasan Victor berada tepat di belakangnya, juga condong untuk melihat ke tempat yang dia menunjuk.
Keadaan yang tiba-tiba dekat itu membuat mereka berdua terkejut. Segala-galanya di dunia seolah-olah berhenti seketika; hanya ada dia di mata Victor, dan Victor di matanya.
Wangian ringan tubuhnya yang telah lama melekat dalam ingatan Victor sepanjang hujung minggu kini memenuhi semua deria Victor. Hati Kaylee berdegup kencang dan dia kehilangan tumpuan. Degupan jantung Victor yang semakin meningkat cepat-cepat disembunyikannya di sebalik senyuman profesional yang turut wujud di wajahnya. Dia sedikit meluruskan badan sambil berkata dengan suara sedikit serak, “Saya faham maksud kamu; ia juga menyokong misi kami untuk membangunkan ekonomi tempatan.”
Kaylee juga meluruskan badan, sedikit membersihkan tekaknya, dan meneruskan, “Ya, itu yang saya fikirkan.” Wajahnya kemerahan tidak dapat dikawal.
Seolah-olah mereka berdua tahu yang mereka memerlukan sedikit masa untuk menenangkan diri, terdapat keheningan seketika dan tiada siapa pun yang bergerak. Selepas itu, Victor dengan anggun memecahkan keheningan tersebut dengan berjalan ke meja tepi di sebelah kanan Kaylee untuk mengambil model bangunan yang telah disediakan oleh pasukan projeknya. Apabila dia membawa papan model besar itu ke sebelah Kaylee dan meletakkannya di atas meja besar bersama pelan rangka tindakan, dia membongkok untuk menunjuk pada sebahagian daripada model dan berkata, “Lihat ciri ni kat sini. Di sinilah saya fikir kita boleh menggabungkan teknik pembinaan tradisional yang kamu cadangkan.”
Kaylee mendekat untuk memeriksa bahagian yang dia tunjukkan. Sambil sangat fokus memeriksa perincian, mereka tidak perasan yang kepala mereka sudah hampir bersentuhan. Lengan Victor tersentuh tangan Kaylee ketika dia mencapai untuk menghidupkan suis berhampiran di sisi model. Sentuhan itu menggetarkan, dan “Tink!” model seni bina yang cantik di hadapan mata Kaylee menyala, begitu memikat hati.
Sejak zaman dahulu lagi, mana-mana gadis memang tertarik dengan model-model rumah yang cantik, lebih-lebih lagi sebuah model bangunan yang begitu canggih lagi mempersonakan kepada seorang cik arkitek yang minatnya sungguh mendalami dalam bidang seni bina. Hati Kaylee cair dalam sekelip mata. Victor memandangnya, tidak ingin melepaskan sebarang petunjuk ekspresi pada wajah Kaylee; ia sangat menyentuh hatinya, dan dia tidak mahu merosakkan momen yang dapat melihatnya dari jarak yang begitu dekat – wajah yang memenuhi fikirannya sepanjang dua hari ini.
“Sangat mempesonakan,” dia membuat kesimpulan lembut, akhirnya menemui suaranya. Dia berpaling untuk melihat Victor, wajah tampannya begitu dekat, dan mata mereka bertentangan. Sesuatu yang benar-benar asing tercetus dalam diri Victor yang tidak dapat ditahannya. Matanya merenung bibir Kaylee yang sedikit berkilat.
Dia begitu hampir ingin mengecup bibir Kaylee, kalau bukan kawalan dirinya yang terpuji dan begitu kuat untuk melawan keinginan kuatnya itu. Dia bagaikan sudah berjuang dalam dirinya sejuta kali!
"Dia layak mendapat penghormatan tertinggi kamu, Vic," dia menegur dirinya sendiri.
Kaylee pandai membaca makna pandangan di matanya. Walaupun jantungnya berdegup kencang, dia merasa bingung tentang apa yang perlu dilakukan seterusnya, dan walaupun dia berharap Victor tidak akan melakukan apa-apa yang melangkaui batas, dia tidak dapat menafikan rasa sedikit kecewa apabila tiada apa yang berlaku seterusnya, apabila Victor akhirnya memandang ke bawah dan melangkah ke belakang untuk memulihkan jarak selamat antara dua profesional.
"Saya sangat gembira kamu menyukainya. Ia memang karya seni yang hebat," kata Victor, cuba untuk kekal tenang sambil memandang Kaylee sekali lagi dengan hormat. Dia membersihkan tekaknya dan bergerak kembali ke sisi pelan-pelan di meja besar. "Biar saya tunjukkan konsep reka bentuk strategi pencahayaan di seluruh bangunan," dia menerangkan, bersemangat juga kerana mengetahui bahawa ini adalah topik yang Kaylee akan suka. Kaylee menyusun fikirannya dan meletakkan setiap perasaan peribadi ke tepi sementara dia mengikuti Victor ke sisi pelan rangka tindakan itu dan mendengar dengan penuh perhatian.
Sementara mereka terus membincangkan butiran, Kaylee mendapati dirinya semakin santai, kegugupan awalnya akhirnya diatasi semangat yang tulen. Victor bukan sahaja sangat berpengetahuan dan bersemangat tentang projek ini, tetapi dia juga mempunyai cara membuatkan Kaylee merasa selesa. Soalannya penuh pertimbangan, dan dia kelihatan benar-benar berminat dengan idea dan perspektifnya.
Pada satu ketika, semasa mereka bekerja di sekitar pelan-pelan di atas meja besar itu, jari Kaylee secara tidak sengaja bersentuhan dengan jari Victor. Kaylee segera menarik tangannya; dia bimbang Victor akan menganggap dia sengaja melakukan sentuhan fizikal berulang kali. Jantungnya berdegup kencang semula, dia menoleh ke atas ke arah Victor, yang memandangnya dengan senyuman terhibur.
"Maaf," dia berbisik, merasakan pipinya memerah.
"Tak perlu minta maaf," kata Victor, suaranya lembut. "Bukannya selalu dapat bertemu dengan orang yang begitu bersemangat tentang kerjanya."
Kaylee tersenyum malu, cuba untuk kembali fokus pada pelan rangka tindakan. "Saya ni memang kadang-kadang terlebih bersemangat dan teruja."
Victor ketawa kecil. "Semangat adalah perkara yang baik, Cik Stone. Itulah yang mendorong inovasi dan kecemerlangan. Saya tahu saya membuat pilihan yang tepat dengan melibatkan kamu dalam projek ini. Pandangan kamu sangat berharga."
Kaylee merasakan aliran kebanggaan dan rasa syukur. "Terima kasih, Victor. Saya teruja untuk menyumbang kepada projek ni juga."
Selepas perbincangan yang sangat bermanfaat, Victor membawa Kaylee kembali ke kawasan tempat duduk. "Jom, kita bincangkan terma kerjasama kita," katanya, nada suaranya menjadi lebih serius. "Saya mahu kamu terlibat secara mendalam dalam proses reka bentuk, dari konsep hingga siap. Peranan kamu akan menjadi penting."
Kaylee mengangguk, fikirannya sudah sibuk dengan pelbagai kemungkinan. “Saya rasa terhormat sangat dapat memegang peranan penting ni.”
Victor tersenyum mesra. “Cemerlang. Kami akan sediakan kontrak dan mula bekerja pada reka bentuk terperinci segera. Saya rasa projek ni akan menjadi sesuatu yang benar-benar istimewa.”
Sewaktu mereka menyelesaikan butiran akhir, Kaylee tidak dapat menahan rasa pencapaiannya. Ini adalah peluang seumur hidup, dan dia bertekad untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.
Kini, apabila mereka hampir selesai, suasana terasa lebih ringan. Victor bersandar di kerusinya, fikirannya yang waras tidak sempat mengawal mulutnya sebelum berkata, dengan kilauan nakal di matanya, “Kamu tahu, saya biasanya tak selaraskan pakaian saya dengan sesiapa. Tapi saya harus mengakui, pakaian kita yang sepadan di lelongan amal itu memang boleh tahan.”
Kaylee ketawa. “Saya pula tak biasanya selaraskan pakaian saya dengan jutawan, jadi saya rasa kita setara.”
Victor ketawa kecil, suasana di dalam bilik pejabatnya turut menjadi lebih selesa. "Awak menang. Saya pun mula tertanya-tanya kalau tukang jahit peribadi saya memang ada cari kerja sambilan," Victor bergurau.
Kaylee tersenyum, keyakinannya sangat memikat, "Itu saya boleh pastikan, jawapannya tidak. Sebab saya sangat pasti yang saya mereka dan menyulam blaus saya sendiri."
Victor benar-benar terkejut mendengar itu. “Tak gurau?” tanyanya dengan penuh kekaguman.
Memandang kekaguman di mata Victor seketika, Kaylee berhenti sejenak, kemudian memandang pakaiannya sendiri dan kemudian memandang kembali kepada Victor, dia menjawab, “Jujur. Pakaian saya hari ni juga, rekaan saya sendiri.”
Victor, kali ini jelas merasa lebih selesa berada di sekitar Kaylee, tertarik untuk mengetahui lebih lanjut, berkata, “Cik Stone, saya betul-betul nak tahu, apa lagi bakat tersembunyi kamu yang lain.”
Ketawa, Kaylee menjawab, “Rasanya takda lagi apa-pa bakat lain saya yang dapat mengagumkan kamu, Tuan Presiden.”
“Tapi sejujurnya,” dia berhenti dan memandang pakaian Kaylee, dengan cara yang penuh hormat, “Kamu sangat mempersonakan,” katanya kemudian, memandang ke mata Kaylee dengan ikhlas.
“Saya suka bagaimana kamu sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam apa jua yang kamu buat. Jarang untuk menemui seseorang yang begitu berbakat dan bersemangat. Kamu banyak memberi inspirasi kepada saya, Cik Stone.”
Kaylee benar-benar terkejut dengan pujian yang tidak dijangka itu, gembira, lalu berkata, "Terima kasih banyak, Victor. Itu sangat bermakna datang dari kamu. Saya mahu kamu tahu bahawa saya menghargai peluang yang kamu berikan."
Untuk seketika, dan bukan kali pertama buat hari ini, mata mereka bertaut, dan Kaylee merasakan satu hubungan yang melebihi rasa hormat profesional. Terdapat pemahaman bersama, satu tujuan yang sama yang nampaknya mengikat mereka bersama.
“Tuk-tuk.”
Ketukan berat yang tidak dijangka pada pintu kayu bilik pejabat itu telah menarik mereka kembali dari suasana romantik yang baru mula melanda mereka.
Victor mengeluh, dengan tanda-tanda ketidakpuasan di matanya. “Nampaknya kita dah kehabisan masa hari ni.”
Kaylee berdiri, merapikan pakaiannya dengan anggun. “Terima kasih kerana sudi berjumpa dengan saya, Victor. Saya menantikan untuk bekerja bersama.”
“Sama-sama, Cik Stone,” kata Victor, berdiri dari kerusinya.
“Atau, boleh panggil Kaylee je,” dia tersenyum sambil berdiri, bersedia untuk pergi.
Ketika itu pintu terbuka, dan Hann menanti di pintu, meminta maaf, “Maaf kerana mengganggu perbincangan kamu, bos. Kita ada krisis, dan kemungkinan Cik Stone kena tunggu sebentar untuk berikan sokongan daripada kepakarannya.”
Kaylee dan Victor berpaling untuk memandang sesama mereka, kemudian Victor berkata, “Masuk Hann, kita sambung di dalam.”
***
“Jadi di sini, kamu boleh lihat perbezaan suhu ini di seluruh aras bangunan. Kemudian data yang ditunjukkan di sini tak selari dengan bacaan sebenar di kebanyakan lokasi,” Kaylee menunjukkan penemuan utama daripada penilaian awal dan semakan laporan pemantauan HVAC bangunan dalam dua jam yang lalu.
Lebih empat jam yang lalu, Hann datang membawa berita bahawa telah berlaku kebakaran kecil di bangunan pusat persidangan baru di Samarahan yang hampir tidak terkawal sekitar pukul 10 pagi, di mana punca kebakaran masih dalam siasatan, tetapi penggera kebakaran di sekitar lokasi kejadian tidak berbunyi, dan hanya satu pertiga daripada pancutan air kebakaran di kawasan itu yang berfungsi walaupun asap tebal memenuhi bilik.
Tiada siapa yang cedera dalam kebakaran kecil itu, tetapi kejadian itu telah menarik perhatian pihak berkuasa tempatan, dan itu bukanlah berita yang baik bagi Kumpulan Langford; ia berkemungkinan besar akan melambatkan kelulusan permit mereka untuk pelancaran dalam dua minggu lagi.
Dengan ketiadaan Haidy yang bercuti peribadi dan kepakaran Victor yang terhad dalam sistem HVAC dan keselamatan kebakaran untuk menangani krisis ini, Kaylee, yang mempunyai pengalaman luas dalam sistem HVAC dan keselamatan kebakaran yang sentiasa berkembang dalam projek seni binanya, tampil untuk menyelamatkan keadaan, berusaha sebaik mungkin untuk menyokong di mana dia boleh.
Dia dengan cepat menyelaras langkah-langkah awal penilaian, bekerjasama dengan pasukan Kumpulan Langford yang berkaitan di seluruh disiplin, dan kemudian meminta semua laporan dan data penting untuk mengenal pasti punca masalah.
Untuk pusat persidangan yang canggih seperti yang telah dibina Kumpulan Langford di Samarahan, bukanlah tugas yang mudah untuk meneliti semua laporan operasi tersebut, tetapi Kaylee terus bekerja melalui waktu makan tengah hari untuk mengkaji laporan-laporan itu dengan teliti dan memetakan setiap data dan isyarat yang mencurigakan, cuba mencari punca masalah utama.
Victor melihat dedikasi, ketegasan, dan kepimpinan Kaylee, dan rasa syukur yang tulus memenuhi hatinya atas dedikasi yang ditunjukkan Kaylee dalam tempoh yang singkat. Mereka bekerja bersama sepanjang masa, mengunyah susyi gulung sebagai alas perut waktu makan tengah hari sambil meneruskan kerja.
Barbara Gan, setiausaha pejabat presiden, mengintai melalui kaca separuh telus pejabat Victor dari mejanya yang berdekatan pintu. Dia merenung dan membisikkan kepada dirinya sendiri, “Waduh, Cik Stone ini memang nampaklah sikap dan aura dia tu yang sesuai sangat menjadi bini presiden kita. Tengoklah pakaian biru gelap mereka yang sepadan lagi hari ini, dan sinergi mereka tu selama beberapa jam ni. Susah saya mahu caya yang dia ni bukan kekasih Presiden Victor.”
Dia mengingat kembali apa yang dilihatnya ketika dia masuk untuk menghantarkan dokumen tambahan. Dia tidak dapat menahan diri daripada terus memperhatikan interaksi antara Kaylee dan Victor dari sudut matanya setiap kali dia berpeluang.
Ketika dia masih mengelamun, Hann bergegas lalu di hadapan mejanya ke dalam pejabat presiden semula.
#
Hai semua! Terima kasih kerana setia menunggu episod baru ini. Dua hari ini sangat sibuk dengan hal-hal keluarga, tetapi kesampaian juga hasrat saya siapkan bab ini. Apa interaksi kegemaran kalian antara Victor dan Kaylee setakat ini? Kalian sukakan yang lebih sweet lagi ataupun harap kurangkan sikit? Tak sabar nak dengar daripada anda semua. Tinggalkan komen untuk kongsi pendapat anda ya ;)
Share this novel