Lelongan amal di Pusat Warisan Budaya Sarawak secara keseluruhannya suatu pengalaman yang menggembirakan bagi Kaylee. Dia menarik nafas panjang sambil mengemaskan barang-barangnya, merenung kembali petang yang penuh peristiwa dan perubahan yang tidak dijangkanya itu. Pipinya masih terasa panas mengenangkan pertemuannya dengan Presiden Victor, tetapi dia mengingatkan dirinya bahawa itu hanyalah suatu kemalangan dan tiada yang lebih daripada itu.
Dia mengumpulkan nota pembentangan dan komputer ribanya, tangannya bergerak dengan cekap seperti sesuatu yang sudah biasa dilakukannya. Semasa dia mengemaskan anting-anting jed putihnya, perasaan kepuasan dan kegembiraan mengalir dalam dirinya. Perlahan-lahan dia membuka kotak barang kemas yang menyimpan anting-anting jed putih di atas kusyen baldu berwarna biru firus, menyentuh anting-anting yang sangat disukainya tersebut, dan mengagumi kehalusan hasil seninya. Rasa syukur memenuhi hatinya terhadap penyumbang murah hati yang telah menyediakan anting-anting berharga ini untuk lelongan. Dia berharap dapat bertemu dengan insan dermawan ini suatu hari nanti.
Selepas meletakkan anting-anting dengan berhati-hati ke dalam begnya, dia melangkah keluar, meninggalkan pusat itu dengan hati yang ringan. Setibanya di rumah, Kaylee mengemas barang-barangnya, mencuci pakaian, lalu mandi. Sejam kemudian, dia duduk di hadapan mejanya selepas menyapu tonik muka, serum-serum, dan balsam bibir – rutin malamannya. Membuka buku catatannya, pen berwarna merah jambunya mula menari di atas kertas.
Dia menulis, "Tuhan Bapa di syurga, selidikilah hati saya pada malam ni, dan ampunilah sebarang kesalahan yang telah saya lakukan terhadap sesiapa sepanjang hari ni. Terima kasih banyak atas pembentangan yang lancar di lelongan hari ini. Saya memujiMu atas hikmah dan kebaikan yang Engkau berikan sejak dari permulaan kerja persiapan projek pengubahsuaian ini. Dan Tuhan, terima kasih kerana menganugerahkan saya anting-anting jed putih ini, saya suka sangat!"
Berhenti seketika, dia memandang gelang jed putih yang dipakainya di pergelangan tangan kirinya, lalu terus menulis, "Memang padanan sempurna dengan gelang kegemaran saya ni. RM7,000 agak banyak jugalah untuk pembelian tak terancang ni, tapi terima kasih atas rezekiMu, Tuhan. Saya sangat gembira." Pen berwarna merah jambunya berhenti menulis sejenak apabila memori tentang Presiden Victor kembali menjelma dalam fikirannya.
Dia kelihatan bergelut dengan konflik dalaman seketika sebelum dia terus menulis, "Tuhan Bapa, hari ni saya ada jumpa seorang lelaki ni. Presiden Victor Langford dari Kumpulan Langford. Saya pernah baca tentangnya dan kisah kejayaannya dalam pelbagai penerbitan sebelum ni. Dia seperti kebanggaan Sarawak kita, muda dan sangat berkemampuan, dan" pennya terhenti lagi, dan dengan ragu-ragu menulis perkataan seterusnya, "betul-betul sangat karismatik."
Selepas menulis ini, dia tersipu-sipu dan melepaskan pen berwarna merah jambunya di atas buku catatannya. Dia berasa sedikit kekok untuk mengaku perasaan sedemikian kepada Tuhan, dia berasa sangat malu kerana sudah bertahun-tahun dia tidak pernah bercakap kepada Tuhan tentang mana-mana lelaki. Ya, hatinya telah menjadi keras seperti batu terhadap lelaki sejak hubungan masa lalunya yang menyakitkan hatinya, dan dia telah menumpukan semua perhatiannya pada kerjaya seni bina untuk menyembuhkan lukanya. Hari ini adalah pengecualian, perasaan lama seorang wanita muda yang mendambakan kasih sayang dan perhatian seolah-olah telah kembali.
Lama dia menatap buku catatan yang separuh ditulisnya, akhirnya dia mengeluh, "Siapalah saya? Dan siapalah dia?" dia ketawa kecil dan menggelengkan kepalanya dengan perlahan, ketawakan pemikiran naifnya yang mengharapkan ada sesuatu di antara mereka berdua.
Setelah merenungi hal itu, hatinya terasa lebih ringan, dan dia mengangkat pen berwarna merah jambunya semula dan terus menulis dalam buku catatannya, "Bapa, saya berdoa agar Engkau terus mengurapi dia dengan roh kecemerlanganMu, dan menjadikannya kesaksian hidup akan kebesaranMu. Hantar kepadanya orang-orang yang dapat menggalakkan dan membina imannya. Saya memujiMu dan saya menuntut janjiMu bahawa projek pengubahsuaian ini akan berjalan lancar apabila saya terus melakukan segalanya untuk Kristus. Amin dalam nama Kristus Yesus yang paling berkuasa dan setia."
Dia menamatkan penulisan doanya, lalu bangun dari mejanya dan naik ke katil. Kegembiraan dan kebahagiaan menyelubungi dirinya dan dia terlelap dengan senyuman di wajahnya.
Di seberang bandar, di rumah Victor dalam bilik tidurnya yang luas tetapi minimalis, dia sedang membuka butang sut tunik hitamnya dan jarinya berhenti apabila dia perasan satu kesan yang sedikit berkilat di antara sulaman motif Dayak di bahagian dada kirinya. Memori tentang Kaylee yang jatuh ke dalam pelukannya terlintas dalam fikirannya semula. "Balsam bibirnya," dia teringat.
Dia mengeluh, bingung dengan ketidakmampuannya untuk mengeluarkan Kaylee dari fikirannya. Keyakinannya, kesopanannya, kenakalannya, kepintarannya, ...kelembutan badannya ketika dia jatuh padanya, bau tubuhnya... Dia tidak dapat memahami mengapa wanita ini dapat mempengaruhinya dengan begitu mendalam sedangkan biasanya dia tidak peduli tentang hal-hal berkaitan wanita setelah mengalami kesulitan daripada beberapa orang bermasalah yang melakukan perkara gila untuk menarik perhatiannya ketika dia masih muda. Dalam kegelisahan, dia pergi mandi, tetapi fikiran tentang Kaylee masih berulang-ulang di fikirannya.
Tidak seperti Kaylee yang tidur lena dan tersenyum dalam mimpinya, seseorang ini mengalami kesukaran untuk tidur malam itu, fikirannya berkecamuk.
***
Awal keesokan harinya, bandar Kuching riuh dengan berita kecoh tentang Presiden Victor dan, kononnya, pasangan rahsianya. Walaupun lelongan amal dijangka menjadi tajuk utama, tetapi wartawan lebih tertumpu kepada Presiden Victor yang jarang-jarang tersiar hal peribadinya daripada acara sebenar.
Satu pos media sosial daripada seseorang yang turut menghadiri pengalaman VR semalam telah menjadi viral. Ia menampilkan gambar Kaylee Stone dalam pelukan Presiden Victor, menangkap detik tepat dia menangkapnya daripada jatuh. Netizen dengan peka menganalisis pakaian mereka yang begitu sepadan: Presiden Victor dalam sut hitam dan Kaylee Stone dalam blaus berwarna putih gading, kedua-duanya dengan kolar tinggi berinspirasikan Cina dan sulaman motif Dayak yang halus di dada kiri mereka. Khabar angin tersebar dengan pantas, berspekulasi sama ada mereka adalah pasangan kekasih dalam rahsia. Pos itu telah menjadi viral dengan jutaan ulang siar dan komen semalaman.
Kaylee bangun dengan masih mengantuk pada pagi Ahad, telefonnya dipenuhi dengan mesej dan panggilan tidak terjawab sebaik sahaja dia menghidupkan internetnya. Keliru, dia melihat banyak mesej yang bertanya jika dia ada apa-apa. Dia pun mengklik pada satu pautan yang dikongsi, lalu terkejut melihat pos viral itu, gambar dirinya dalam pelukan Victor. Dia tidak sangka ia telah diulang siar 2.1 juta kali dan telah mengumpul 7.3 juta komen pada masa itu. Dia segera meluangkan masa untuk membaca mesej daripada kawan-kawan dan komen-komen dalam talian, beberapa daripadanya sangat kasar bahasanya dan agak menyinggung perasaannya.
Di sebaliknya, Victor baru sahaja selesai bersenam pagi di rumah apabila Hann meluru masuk ke dalam bilik gimnya, kelihatan cemas. "Bos, bos dah nampak pos ni?" dia bertanya, sambil menunjuk skrin telefonnya.
Victor, yang bukan peminat media sosial, mengambil telefon daripada Hann dan meneliti pos itu. Lain daripada jangkaan Hann, kerutan dahinya tidak muncul. Sebaliknya, mata Victor melembut, dan senyuman jarang-jarang terukir di wajahnya, telinganya sedikit merah.
"Bos nak aku call pasukan public affairs untuk selesaikan ni ke?" Hann bertanya, masih memproses reaksi bosnya yang tidak seperti yang dijangka.
"Biar je, takda apa-pa tu," katanya dengan tenang.
"Tapi bos, ini mungkin dah menjadi sesuatu yang boleh mengganggu reputasi dan kehidupan tenang Cik Stone," Hann menegaskan, cuba memperjelaskan perkara itu dari sudut lain.
Senyuman Victor sedikit pudar setelah dia membaca beberapa komen di bawah pos itu. Ada yang baik, memuji profesionalisme dan keserasian mereka, tetapi ada juga yang kejam, mengkritik Kaylee secara kasar dan cukup melukakan hati. Naluri pelindungnya meluap, dan dia berkerut pada komen-komen negatif itu.
"Dia tak patut diserang cam ni," dia bergumam. Menyerahkan telefon kembali kepada Hann, dia menambah, "Pastikan pasukan public affairs memantau situasi ni. Tak perlu campur tangan secara langsung kecuali dah jadi tak terkawal."
Hann mengangguk, lega melihat bosnya mengambil pendekatan yang seimbang, lalu keluar dari bilik gim untuk melaksanakan arahan Victor, manakala Victor bersandar, wajah Kaylee terlintas dalam fikirannya.
Dia duduk di bangku, mengelap peluh di lehernya dengan tuala, dan kemudian dengan canggung mengeluarkan telefonnya untuk mencari pos viral itu.
"Victor Kaylee," dia cuba menaip frasa itu ke dalam bar carian Google. Sesuatu yang asing mekar dalam hatinya apabila melihat nama mereka dieja bersama. Tidak mengejutkan, pos viral itu muncul teratas dalam hasil carian. Dia mengklik pada pautan itu, dan apabila gambar itu dimuatkan, dia merenung gambar yang dia memegang Kaylee itu, untuk masa yang sangat, sangat lama. Dia tidak sedar betapa sikap dinginnya yang biasa telah melunak. Akhirnya, dia menyimpan gambar itu dalam fail kegemaran di telefonnya, lalu menguncinya dengan kata laluan. Itu kenangan peribadinya dari suatu saat yang dia tidak dapat jelaskan tetapi juga tidak ingin lupakan.
Sementara itu, di pihak Kaylee, dia sedang membaca komen-komen dari netizen. Tiada siapa yang boleh menerima dengan mudah segelintir kritikan tidak berasas dan komen negatif, apatah lagi beribu-ribu. Kaylee juga mendapati sukar untuk tidak terkesan dengan beberapa komen yang dibacanya.
Salah seorang menulis, "Seorang lagi wanita mata duitan yang nak cari suami kaya." Seorang lagi menulis, "Jatuh? Tolonglah, penipu sekali, mentang-mentanglah cantik!"
"Dah, cukuplah," fikirnya sambil meletakkan telefonnya di atas meja. Hatinya sangat terganggu dengan apa yang baru dibacanya dalam talian, dan dia sedikit risau memikirkan jika Presiden Victor juga merasa terganggu dengan perkara ini.
Cuba untuk menenangkan fikirannya, dia mencapai Alkitabnya di atas meja, dan dia duduk di situ seketika sehingga beberapa ayat Alkitab yang menenangkan terlintas di fikirannya: "Nantikanlah Aku dengan hati yang tenang, tunggulah dengan sabar sampai Aku bertindak. Aku akan mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihiKu." Dia lalu membuka Alkitabnya ke Mazmur 37:7, menulisnya dalam buku catatannya, dan kemudian ke Roma 8:28, juga menulis ayat itu dalam buku catatannya. Selepas melafazkan ayat-ayat ini dan merenungkannya, hatinya secara beransur-ansur terasa tenang, dan dia mula menyembah Tuhan lalu menulis doanya - penyembahan hariannya di waktu pagi - sebelum pergi ke gereja untuk ibadat pagi Ahad.
Ketika Kaylee tiba di gereja, kebanyakan komen yang tidak baik telah hilang. Beberapa ahli gereja, yang sempat melihat komen tersebut sebelum dipadamkan, menyatakan keprihatinan dan menawarkan sokongan mereka. Sepupunya Xiang Er mengusiknya, “Kamu dah tahu rekaan baju tunik dia semasa mereka blaus kamu ke?” Dia ketawa tetapi kemudian menambah, “Kan bagus kalau kamu berdua betul-betul jadi couple. Perfect match kamu dua!”
Kaylee berdiam diri, dia tertanya-tanya lagi jika Presiden Victor juga merasa terganggu dengan perkara ini. Adakah ia akan menjejaskan dia dan syarikatnya? Kaylee menjadi risau tetapi tidak lama kemudian mendapati kebimbangannya tidak diperlukan.
Ketika dia keluar dari dewan ibadat sementara untuk Katedral St. Thomas, sebuah Honda Accord hitam sedang menunggu berdekatan. Hann keluar dan berjalan ke arahnya semasa Kaylee berjalan keluar dari gereja.
“Cik Stone,” dia menyapanya dengan sopan, “Presiden Victor sangat kagum dengan reka bentuk seni bina anda untuk pengubahsuaian gereja semalam. Dia ingin berbincang mengenai peluang kerjasama dalam projek pembinaan yang sedang dijalankan oleh Kumpulan Langford. Cik terluang untuk mesyuarat pada hari Isnin ke?”
Mata Kaylee terbeliak terkejut. Apabila dia melihat pembantu peribadi Presiden Victor berjalan ke arahnya tadi, fikirannya memikirkan banyak senario tentang mesej apa yang mungkin dibawa kepadanya. Teguran? Amaran? Semua itu, tetapi tidak pernah ini – jemputan untuk peluang kerjasama. Kumpulan Langford adalah kuasa besar dalam industri, dan peluang untuk bekerja dengan mereka adalah di luar impiannya yang paling liar. “Ya, sudah tentu,” jawabnya, suaranya tenang walaupun masih terkejut, tetapi keterujaan juga mula memuncak di dalam dirinya. “Saya akan sangat berbesar hati,” sambungnya dengan senyuman, rupanya kekal professional dan tenang seperti biasanya.
Hann dalam diam-diam menarik nafas lega setelah mendapat persetujuannya. Dia kemudian bertanya dengan berhati-hati jika Kaylee ada terganggu dengan berita dan komen dalam talian, sambil meyakinkannya bahawa Kumpulan Langford akan menguruskan perkara itu. Kaylee menyampaikan penghargaannya, dan apabila Hann meninggalkannya, dia melihat ke arah kereta Accord tetapi tidak dapat melihat apa-apa di dalamnya kerana tingkap yang gelap. Tanpa diketahuinya, Victor sedang memperhatikannya dari dalam, tangannya sedikit berpeluh sambil menunggu untuk mengetahui sama ada jemputannya diterima. Pintu kereta terbuka sejurus selepas itu, dan Hann masuk ke dalam kereta lalu mengangguk kepada pemandu untuk berangkat.
Dia mengambil masa beberapa saat untuk perasan yang Presiden Vic telah merenungnya sejak dia masuk ke dalam kereta. Bagaimana dia harus menggambarkan wajah bosnya... Dia kelihatan seperti seorang kanak-kanak yang berharap untuk mendengar berita baik, dengan sedikit kegelisahan kerana takut dikecewakan. “Oh! Dia kata okey,” akhirnya, dia faham apa yang ditunggu oleh bosnya. Dan dia jelas melihat wajah Presiden Vic kembali tenang lalu melihat ke hadapan kereta.
"Bos dah jatuh cinta ke?" Dia tertanya-tanya, itu akan menjadi suatu perkara besar dalam hidup bosnya! Tetapi selepas melihat sikap tenang Victor itu, dia menggelengkan kepalanya. "Ish, jangan nak menyibuk," dia memberitahu dirinya sendiri.
Melihat Honda Accord hitam yang berangkat pergi itu, Kaylee berasa lega kerana Presiden Victor tidak mengelak atau tidak menyukainya kerana berita dan komen dalam talian. Xiang Er berlari keluar dan memeluk lengan Kaylee sambil mengusiknya, “Aiyo, cepat juga putera kamu datang selamatkan kamu online! Patutlah dah tak nampak komen-komen jahat tu lagi bila saya check pos tu tadi. Jadi, dia nak ajak kamu keluar dating ke sekarang? Inilah yang saya suka! Kamu dua sekarang favorite couple saya!” Rupa-rupanya dia mencuri dengar dari dekat apabila dia melihat Hann menghampiri Kaylee tadi.
Kaylee menepuk ringan lengan sepupunya, “Jangan cakap sembarangan. Tu cuma perbincangan tentang peluang kerjasama.” Walaupun teruja dengan peluang tersebut, dia merasakan campuran kegelisahan dan jangkaan tentang pertemuan dengan Victor keesokan harinya. Hujung minggu ini terlalu banyak perkara untuk ditelannya. "Saya betul-betul perlukan rehat!" dia berfikir. “Jom, cari dessert sedap,” ajaknya kepada Xiang Er. “Mana!” Mata Xiang Er membesar, dan alisnya terangkat dengan cadangan itu, dia memang suka pencuci mulut! “Salt Cafe,” kata Kaylee lalu berjalan ke arah keretanya. Xiang Er dengan gembiranya mengikutnya.
***
Kaunselor George sedang makan malam di rumah bersama keluarganya. Perbualan secara semulajadinya beralih kepada berita terkini mengenai Presiden Victor dan lelongan amal.
“Korang tahu,” George mula, “saya ingatkan presiden muda itu takda minat kat perempuan selama ini. Pandai pula dia bertindak untuk melindungi cik arkitek tu. Hahaa! Betullah, dia memang sangat berbakat dan cantik; memang patut ramai lelaki tertarik kat dia tu.”
Anaknya Cherie, yang sudah berang sejak melihat berita dan pos viral itu, merasakan rasa cemburu mula membakar dalam dirinya. Fikiran bahawa bapanya kini mengusik tentang kemungkinan minat Victor terhadap Kaylee hanya menambah tekadnya. Dia tahu dia perlu bertindak cepat untuk menarik perhatian dan hati Victor. Fikirannya mula merancang strategi baru untuk bertemu Victor, didorong oleh campuran rasa iri hati dan desakan.
“Daddy, kalau tak silap, Daddy tengah proses permohonan permit oleh Kumpulan Langford untuk bangunan baru mereka kat Samarahan kan? Bila diorang nak tu?” tanyanya kepada bapanya.
“Cawangan baru tu ke? Macam dalam dua minggu lagi,” jawabnya, tertanya-tanya mengapa topik itu tiba-tiba muncul. Kemudian sesuatu terlintas di fikirannya, lalu dia memandang Cherie dengan cemas, “Cherie, apa yang kamu nak buat? Kamu ni macam tak tenteram je sejak semalam.”
Cherie buat-buat tenang, “Oh, takda apa-pa, Daddy. Saja nak tahu.”
Tetapi George cukup mengenali perangai anak perempuannya itu. Dia perasan cemburu dan cita-cita Cherie, dan walaupun dia mengagumi tekadnya, dia juga bimbang tentang sejauh mana dia sanggup pergi.
“Cherie,” katanya lembut, “dengar cakap Daddy, hubungan yang sebenar dibina atas kejujuran dan saling menghormati. Jangan hilang diri dalam usaha nak menarik perhatian seseorang. Dan Presiden Victor ini, kita tak mampu nak sentuh tu.”
Cherie berasa sedikit malu bahawa rancangan kecilnya tidak terlepas dari naluri bapanya, dia mengangguk dengan enggan, tetapi fikirannya sudah berlumba dengan rancangan baru. Dia bertekad untuk membuat Victor melihatnya, yakin bahawa dia boleh memenangi hati Victor jika dia berusaha cukup keras.
Dia mengeluarkan telefonnya dan kelihatan menatal skrin dengan sembarangan. Sebenarnya, dia sedang mencari nombor telefon seseorang, dan apabila dia menemui nombor orang tersebut, dia tidak dapat menyembunyikan senyuman bangga yang muncul di sudut matanya.
***
Pagi Isnin menjelma cerah dan jelas. Kaylee berpakaian dengan teliti, memilih pakaian yang profesional namun sederhana, berharap untuk menyampaikan kesungguhannya terhadap peluang ini. Hari ini dia menggunakan gaun biru tua yang sederhana dan bersih yang mencapai sedikit di bawah lututnya, kelihatan profesional tetapi dengan reka bentuk kerah dan pilihan fabrik yang unik. Kerahnya dibentuk oleh dua panel bahu bersudut tajam yang memanjang dari leher. Panel-panel ini mencipta rupa lengan pendek yang sedikit persegi, yang membingkai leher dan bahu dengan cara yang teratur. Tekstur gaun itu rumit, dengan lapisan renda biru tua bercorak bunga, dicantumkan di atas kain biru tua yang licin sebagai latar belakang, yang secara halus menonjolkan motif bunga yang terperinci. Gaun ini merupakan satu lagi rekaan hasil ciptaannya sendiri, dijahit oleh Xiang Er seperti biasa.
Awal dia tiba di ibu pejabat Langford Group, dengan jantung berdegup kencang kerana gabungan kegembiraan dan kegelisahan. Semasa menunggu di lobi yang bergaya dan moden dalam bangunan megah itu, dia tidak dapat menahan diri daripada mengimbas kembali peristiwa lelongan amal dalam fikirannya. Bayangan Victor menangkapnya, interaksi singkat tetapi berkesan mereka, dan pos viral yang telah menjadikan hidupnya dalam kekacauan sementara – semuanya berputar dalam fikirannya.
“Cik Stone, Presiden Langford boleh jumpa anda sekarang,” kata penyambut tetamu, memecah lamunan Kaylee. Dia mengikuti penyambut tetamu itu ke tingkat atas, sarafnya semakin tegang dengan setiap langkah.
Di dalam sebuah pejabat yang luas dan mewah di tingkat atas ibu pejabat Langford Group, Victor baru sahaja kembali ke pejabatnya selepas mesyuarat pagi harian, melihat keluar dari tingkap sambil bersedia secara mental untuk pertemuannya dengan Kaylee. Dia tidak sabar untuk bertemu dengannya lagi, walaupun dia cuba menenangkan emosinya. Dia berpusing di pejabatnya, mundar-mandir, dan tidak lama kemudian terhenti di hadapan cermin panjang.
Cermin itu memantulkan seorang lelaki yang tinggi dan atletik dalam sut hitam dengan turtleneck biru tua, seluar hitam slim-fit, dan sepasang kasut chukka hitam.
"Ni bukan urusan berbilion dolar, tenang, Vic," dia mengkritik dirinya di hadapan cermin.
“Tuk-tuk.”
Ketukan tiba-tiba di pintu kayu beratnya bergema seluruh pejabatnya, dan sekejap sahaja, cermin itu memantulkan sepasang mata cemas cuba memastikan penampilannya baik, kemudian dia dengan cepat berjalan menuju mejanya, cuba mengekalkan sikap tenangnya yang biasa, sementara pintu berat itu ditolak buka dengan perlahan.
#
Saya akan berehat hari ini dan esok sebab ada urusan keluarga. Kita sambung lagi dengan kisah Victor dan Kaylee hujung minggu ni, enjoy chapter baru ni!
Share this novel
Tq update..