Rate

Bab 4

Drama Series 8674

SUDAH hampir dua minggu berlalu dan seperti yang dijanjikan, setiap hari selepas waktu rehat tengah hari, Zayn pasti akan datang ke tempat kerja Ayra dan akan melakukan setiap pekerjaan yang diminta oleh wanita itu.

Ayra nampak usaha lelaki yang kelihatan bersungguh-sungguh itu, namun dia tidak pernah menunjukkan 'belas kasihan', malah dia selalu memastikan Zayn melalui ‘ujian’ yang sengaja dirancangnya setiap kali lelaki itu datang.

Hari itu, Zayn datang agak lewat berbanding hari-hari sebelumnya. Ayra menyambutnya dengan senyuman lebar, namun terlihat licik.

“Ingatkan kau tak datang hari ni," tegur Ayra sebaik sahaja Zayn berdiri di sebelahnya.

"Wah, terharunya! Kau rindukan aku eh?" balas Zayn dengan sengihan yang menampakkan barisan gigi putihnya.

Spontan Ayra mencebik. "Kau jangan nak perasan! Aku tunggu kau datang sebab aku ada projek besar untuk kau,” katanya sambil menuding ke arah longgokan besi buruk di sudut bengkel.

Zayn merenung besi-besi tersebut dengan dahi berkerut. “Jangan cakap kau nak aku angkat semua ni…”

“Betul, tepat sekali!” ujar Ayra sambil tersenyum lebar. “Orang yang nak tebus kesalahan kena kuat, tahu tak? Lagipun, ini peluang kau nak tunjukkan betapa komitednya kau dalam meraih kepercayaan seseorang.”

Zayn melepaskan keluhan kecil, namun kakinya tetap melangkah ke arah longgokan besi itu. Berkerut-kerut dahinya memandang besi-besi besar yang berlonggok itu dengan muka ragu-ragu. Manakan tidak, seumur hidupnya, tidak pernah langsung dia melakukan kerja berat.

"Boleh ke tak? Kalau tak boleh, cakap tak boleh."

Laju Zayn memandang wanita yang sedang menahan senyum itu. "Eh, siapa cakap tak boleh? Small matter lah!" ujarnya dengan muka angkuh. Lantas, dia pun mulai mengangkat satu per satu besi-besi tersebut dan menyusunnya di tempat yang ditunjukkan oleh Ayra.

Sambil melakukan kerja, Ayra sesekali memerhati Zayn yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan tugasan yang dia berikan. Sesekali itu juga dia akan ketawa kecil setiap kali lelaki itu melepaskan keluhan penat, seperti hendak berputus asa pun ada.

"Masih larat ke tu?" laung Ayra dengan nada mengejek.

Zayn menoleh dengan wajahnya yang sedikit comot dengan kesan kotoran. Bajunya lencun dibasahi peluh walaupun tiga buah kipas besar dalam bengkel itu berada pada tahap kelajuan maksimum. "Of course lah larat! Ini Zayn, okey! Pantang mengalah!" Dada bidangnya langsung ditepuk-tepuk dengan muka angkuh.

Ayra mencebik sambil membuat mimik muka meluat. "Okey… kalau macam tu, lepas kau siap angkat tu, kau tolong kemaskan barang-barang yang bersepah atas lantai, ya? Sekejap lagi nak tutup bengkel ni.”

Serta-merta membulat mata Zayn memandang barang-barang dan peralatan besar yang dimaksudkan oleh wanita itu. "Aku kena kemas semua ni ke?"

Laju Ayra mengangguk.

"Ni membuli dah namanya ni."

Ayra ketawa kecil seraya berdiri, lalu dia menyandarkan tubuhnya pada dinding sambil berpeluk tubuh. "Bukan kau cakap kau nak tebus kesalahan kau ke? Cukup bagus aku bagi kau peluang untuk buktikan tau!"

Spontan Zayn tersengih sambil menggaru tengkuknya yang tidak gatal. "Okey, sekarang juga aku siapkan!" Tanpa sebarang bantahan lagi, Zayn terus melakukan apa yang disuruh.

Ayra terus memerhati lelaki itu melakukan kerja mengemas sambil menahan senyum. Jelas lelaki itu benar-benar serius dengan kata-katanya untuk menebus kesilapannya.

“Okey, dah selesai! Puas hati, puan besar?”

Ayra ketawa sambil mengangguk. “Okey, aku puas hati.”

Zayn langsung tersenyum lebar sambil menghela nafas lega. “Jadi, maknanya kau dah percaya yang aku betul-betul serius dan ikhlas nak perbaiki hubungan kitalah, kan?"

"Perbaiki hubungan?" Ayra menjongketkan keningnya dengan muka serius sebelum dia ketawa kecil. "Belum cukup lagi! Aku puas hati dengan kerja kau hari ni je, bukan secara keseluruhan. So, teruskan usaha! Esok lagi, ya?" lanjutnya, lalu dia ketawa semula.

Mungkin ada kebenaran dalam kesungguhan lelaki itu. Tetapi buat masa ini, Ayra belum puas lagi menikmati saat-saat ‘membuli’ lelaki itu. Ya, itulah akibat yang perlu diterima jika buat hal dengan wanita bernama Ayra itu.

"Ayra, Ayra!"

Laju Ayra menoleh memandang pemilik suara yang memanggilnya itu. "Kau dah kenapa macam baru lepas kena kejar anjing ni?"

"Encik Razak... dia... dia datang. Dia ada kat luar tu," lapor Syafiq dengan nafas tercungap-cungap.

"Ada apa dia datang masa-masa dah nak tutup bengkel ni?" soal Ayra bersama dengan kerutan hairan di dahi, kerana biasanya pengurus besar mereka itu hanya akan datang jika ada masalah sahaja.

"Manalah aku tahu. Ada apa-apa masalah kat bengkel ni ke?" Syafiq membalas dengan soalan. Tiba-tiba, dia terfikirkan sesuatu saat matanya tertala kepada lelaki yang sedang berdiri di sebelah Ayra. Namun, belum sempat dia membuka mulut untuk mengatakan sesuatu, Encik Razak sudah masuk ke dalam bengkel itu dengan muka dingin dan serius seperti selalu.

"Selamat petang Encik Razak." Serentak Ayra dan Syafiq menyapa sambil menunduk sekilas sebagai tanda hormat, manakala Zayn yang berdiri di belakang mereka pula terus berpaling dan berpura-pura sibuk membetulkan susunan barang peralatan yang dikemaskannya di atas lantai tadi.

Beberapa orang pekerja yang lain lantas bergegas menghampiri dan turut menyapa Encik Razak dan kelihatan salah seorang daripada mereka melirik Ayra sambil menyungging senyuman licik.

"Saya ada dapat laporan yang awak suruh orang luar buat kerja awak, betul ke?" soal Encik Razak kepada Ayra dengan muka serius tanpa berselindung.

Ah, sudah! Siapa pula kaki report ni! Ayra membentak dalam hati sambil melirik tiga orang lelaki rakan sekerjanya yang sedang menunduk itu dengan perasaan geram. Kerana dia sangat yakin orang itu tidak mungkin Syafiq.

"Ayra, betul ke?" soal Encik Razak lagi dengan suara yang semakin tegas.

"Err... saya..." Ayra kelihatan serba salah.

"Ikut saya pergi ke pejabat kat atas!" Ketika Encik Razak baru hendak mengayun langkah, dia terpandang seorang lelaki yang sedang duduk mencangkung membelakangi Ayra dan Syafiq yang sedang ralit menyusun peralatan. Dia yakin, itulah orang luar yang dimaksudkan oleh pekerja yang melaporkan tentang hal tersebut. "Awak! Awak yang pakai baju hitam kat belakang tu!" panggil Encik Razak dengan nada tegas.

Laju Zayn memandang pakaian di tubuhnya, lalu dia berdiri setelah dia yakin dia yang dimaksudkan, lalu dia berpaling menghadap lelaki berwajah dingin dan serius itu dengan riak tenang. "Ya, saya."

Encik Razak langsung tergamam. Riak wajahnya jelas kelihatan terkejut sebaik sahaja dia melihat wajah 'orang luar' yang sedikit comot itu.

"Encik panggil saya ke?" soal Zayn dengan lagak tenang dan bersahaja.

Encik Razak masih membungkam. Lidahnya kelu.

"Maaflah, encik... saya datang sini nak tolong Ayra je. Tolong jangan potong gaji dia ya? Jangan risau, setakat ni saya belum ada buat sebarang kekecohan dan kerosakan lagi," ujar Zayn bersama dengan sengihan.

"Maaf, Encik Razak. Saya tahu saya salah, saya..."

"Boleh kita pergi ke pejabat sekejap?" ujar Encik Razak kepada Zayn tanpa memberikan kesempatan untuk Ayra meneruskan kata-kata.

"Boleh!" Laju Zayn menjawab. Lantas, dia melangkah mengekori Encik Razak menuju ke pejabat. Sempat lagi dia mengenyitkan mata kepada Ayra sambil tersenyum nakal dengan muka tidak bersalah.

Ayra memerhati dua orang lelaki itu sehingga menghilang daripada pandangannya sebelum dia memandang tiga orang rakan sekerjanya dengan muka tegang. "Siapa yang report kat Encik Razak pasal ni?"

Kelam-kabut ketiga-tiga lelaki itu mencapai beg silang dan topi keledar masing-masing, lalu kesemuanya meminta diri untuk pulang tanpa menjawab pertanyaan daripada Ayra tadi.

"Hisy!" Ayra mendengus. "Dengki betul!" gumamnya dengan perasaan geram dan dalam masa yang sama, dia berasa kasihan dan simpati Zayn yang dia fikir pasti akan dimarahi oleh Encik Razak disebabkan dia. Bukannya dia tidak tahu sikap pengurus mereka yang tegas dan garang itu.

"Chill lah... relaks, relaks."

Ayra hanya melepaskan satu keluhan panjang sebelum dia memandang Syafiq. "Kau pergilah balik dulu, biar aku yang tutup bengkel ni."

"Takpa, aku tunggu kau."

"Pergilah balik, biar aku je yang tutup bengkel. Aku nak tunggu Zayn dan Encik Razak turun dulu, sebab aku ada hal nak cakap dengan dia," tegas Ayra.

Syafiq merenung wajah Ayra buat seketika sebelum dia mengangguk akur disusuli dengan keluhan. Sejujurnya, dia berasa sangat tergugat dengan kehadiran Zayn dalam hubungan di antara dia dan Ayra. Dia berasa seperti ruang dan kedudukannya dalam hidup wanita itu telah dirampas oleh lelaki yang baru muncul itu.

"Aku balik dululah kalau macam tu."

Ayra hanya membalas dengan anggukan dan setelah Syafiq beredar, dia terus duduk di kerusi kecil yang bersandar pada dinding dengan mata yang kembali fokus pada tangga yang menuju ke tingkat atas bangunan itu. "Dia kena marah ke?" gumamnya sendirian.

Selang beberapa minit, dua orang lelaki yang dinantinya itupun muncul. Encik Razak berjalan lurus menuju ke pintu keluar dan ketika dia melepasi Ayra, dia sempat melemparkan satu pandangan aneh yang tidak dapat ditafsirkan.

"Jom, aku tolong kau tutup bengkel." Zayn menawarkan diri sambil tersenyum dengan lagak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

"Encik Razak marah kau ke?"

"Taklah, dia puji aku," jawab Zayn disusuli dengan tawa kecil.

"Eh, aku seriuslah!"

"Aku seriuslah ni. Dia tak marah aku pun, jangan risau. Dia tanya je kenapa aku tolong kau buat kerja kat sini, so, aku jawablah.... sebab kau girlfriend aku," jelas Zayn dengan muka selamba.

"Weh, sembarang je kau!" Spontan Ayra menampar sisi bahu Zayn. "Bila masa aku jadi girlfriend kau? Uwekkk!"

"Kau uwekkan aku? Sampai hati kau, kan?" Zayn pura-pura berkecil hati sambil membuat mimik wajah kecewa.

"Kau nak ni?" Ayra mengangkat penumbuknya sambil menjegilkan mata membuatkan Zayn langsung meledakkan tawa besar. Geli hati dan terhibur melihat reaksi wajah wanita itu.

"Gengster betul girlfriend aku ni," kata Zayn dengan niat hendak terus mengusik, namun ketika Ayra menghampirinya sambil mengepal penumbuk, dia terus berlari menuju ke pintu keluar sambil ketawa.

"Kalau aku dapat kau, siap kau!" ugut Ayra sambil bercekak pinggang sebelum dia melangkah pantas menuju ke tempat Zayn yang sudah berdiri di luar bengkel. Dia masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku di pejabat tadi, kerana dia berasa seperti Zayn menyorokkan sesuatu daripadanya.

- - - -

PETANG itu, Syafiq dan Ayra duduk melepak di tepi tali air yang terletak berdepan dengan sawah sambil menikmati kuaci dan makanan ringan yang lain. Biasanya, mereka akan duduk melepak di situ setiap hujung minggu.

Angin yang bertiup sepoi-sepoi menyapa wajah, bunyi air mengalir, bunyi burung dan juga bau pokok padi kehijauan, semuanya menyatu mewujudkan satu suasana yang sangat tenang dan mendamaikan jiwa. Itulah mengapa Ayra lebih suka duduk melepak di situ berbanding di tempat-tempat yang sesak.

Namun, baru kali ini mereka berkesempatan untuk melakukan kebiasaan mereka kerana kesibukan di tempat kerja dan juga perancangan untuk acara besar mereka, lagipun Syafiq rasakan masa yang sepatutnya untuk mereka berdua banyak dicuri oleh lelaki yang bernama Zayn.

"Ayra."

"Hmm?" sahut Ayra seraya menoleh sambil mengacip kulit kuaci menggunakan giginya.

Syafiq merenung wajah Ayra buat seketika sebelum dia menarik nafas dalam-dalam, lalu dihembus berat. "Kau... kau suka kat mamat tu ke?"

Serta-merta terpicing mata Ayra selepas mendengar pertanyaan yang diajukan oleh Syafiq. "Siapa?"

"Mamat acah-acah innocent tulah!"

Ayra ketawa kecil selepas dia dapat menangkap siapa yang dimaksudkan oleh lelaki itu. "Zayn ke?"

Laju Syafiq mengangguk. "Kau suka dia ke?"

"Aku memang suka dia... suka dia buat kerja aku," balas Ayra disusuli dengan tawa kecil. "Suka tu kan subjektif. So, suka yang macam mana maksud kau?"

"Sukalah... suka yang ermmm... ada hati kat dia," jawab Syafiq dengan muka serius.

"Aku? ada hati kat dia?" Ayra menuding wajahnya sendiri sambil menjongketkan keningnya buat beberapa saat sebelum dia menghamburkan tawa besar.

"Hisy, menyembur kuaci dari mulut dia!" ejek Syafiq yang turut ketawa, namun tawanya itu sebenarnya untuk menutup debaran yang dia rasakan sahaja. Debaran menanti jawapan untuk pertanyaannya tadi.

"Kau agak-agaklah soalan nak tanya, Fiq! Aku bukannya kenal dia sangat pun! Lagipun, hati aku ni mahal tau! Tak semudah tu akan jatuh hati kat orang."

"Ya ke?" Syafiq memicingkan mata dengan pandangan curiga.

"Eh, yang kau tanya soalan pelik ni, kenapa?"

"Tak pelik pun... kau kan perempuan, lagipun mamat tu handsome, bergaya, ada motor mahal," desis Syafiq dengan suara yang cukup untuk didengarnya sendiri sahaja sambil merenung kocakan yang disebabkan oleh kakinya yang direndamkan ke dalam tali air.

"Apa kau cakap tadi?"

Syafiq lantas berdeham dan tersenyum. "Erm, aku dapat rasa macam dia ada agenda tersembunyilah. Takut dia nak rapat dengan kau sebab taruhan lagi."

"Kau rasa macam tu ke? Tapi aku rasa dia ikhlas nak berkawan dengan aku sebab nak tebus kesilapan dia dulu. Kau tengoklah, dia sanggup buat semua kerja yang aku suruh, walaupun kebanyakan yang aku suruh tu, dia tak pernah buat."

"Jangan mudah percaya sangat, Ayra. Aku tak nak kau terluka satu hari nanti bila dapat tahu dia sebenarnya cuma nak permainkan kau je. Kau tak payah rapat dengan dialah. Cukuplah kau ada aku untuk jaga kau. Kau tak perlu pun dia. Kau cakap jelah kau dah percaya dia bersungguh-sungguh nak tebus kesilapan dia supaya dia dah tak menyibuk datang ke bengkel lagi," pesan Syafiq dengan nada prihatin berbaur cemburu.

"Kau cemburu ke?" tukas Ayra sambil menahan senyum, lebih kepada mengungkap kenyataan.

"Eh! buat apa aku nak cemburu? Aku cuma risaukan kaulah! Aku tak suka tengok kau menangis sebab sakit hati. Hati aku akan ikut sama sakit," dalih Syafiq.

Kata-kata Syafiq membuatkan Ayra langsung menghamburkan tawa besar sekali lagi sambil menampar sisi bahu lelaki itu. "Bila masa aku pernah menangis depan kau?"

"Oh! tak pernah eh?" Syafiq tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal sebelum dia ikut ketawa.

Mereka terus menikmati suasana petang di situ sehingga menjelang waktu maghrib.

- - - -

PADA ketika ini, Zayn dan Ayra sedang duduk berehat di sudut bengkel dan sedang menikmati kopi panas yang dibelikan oleh Zayn tadi. Gelak ketawa mereka bergema, mencipta suasana meriah di dalam bengkel yang biasanya dipenuhi dengan bunyi mesin dan bunyi ketukan. Bukan main rancak lagi mereka bersembang.

Namun, ada seseorang yang berasa tidak selesa dengan situasi itu. Syafiq yang sedang bekerja di sudut lain, melirik mereka dengan muka tidak puas hati dan pada masa yang sama, dia rasa terasing. Hatinya bergetar sakit melihat keakraban mereka.

Selama sebulan ini, sedikit sebanyak, Ayra kelihatan mulai menerima Zayn dalam hidupnya. Cara layanan Zayn membuatkan dia berasa dihargai dan disayangi oleh lelaki itu tanpa memandang latar belakang dan juga penampilan dirinya membuatkan hubungan mereka semakin rapat saban hari.

"Malam ni kau ada plan ke?" soal Zayn.

"Malam ni?" Ayra mengerutkan dahi sambil mengherot-herotkan bibirnya buat seketika. "Tak ada, kenapa?"

"Aku nak ajak kau keluar pergi ke funfair," jawab Zayn tanpa berselindung.

"Aku seorang je ke? Syafiq kau tak nak ajak?" soal Ayra sambil melirik orang yang dimaksudkannya.

"Kau seorang jelah. Ermm, sebenarnya... aku ada sesuatu nak cakap kat kau ni."

"Cakap jelah," ujar Ayra, lalu dia meneguk kopi dalam gelas kertas yang dipegangnya.

Zayn menarik nafas dalam-dalam, lalu dia berdeham sebelum dia tersenyum. "Kau nak jadi girlfriend aku tak?"

Serta-merta tersembur air daripada mulut Ayra selepas mendengar pertanyaan daripada lelaki yang sedang menayang muka tenang tetapi serius itu. Matanya membulat tidak berkedip, jelas terkejut dengan apa yang baru didengarnya sebentar tadi.

Dalam masa yang sama, otaknya ligat berputar memikirkan apa yang patut dia jawab. Soalan mudah yang hanya memerlukan jawapan ya atau tidak, tetapi entah mengapa lidahnya terasa kelu.

:)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience