Rate

Bab 3

Drama Series 8674

BEBERAPA hari telah berlalu sejak insiden pertaruhan ke atas dirinya. Kehidupan Ayra sama seperti hari-hari biasa yang dilaluinya, namun jauh di sudut hatinya, peristiwa tempoh hari itu telah mengubah dirinya.

Meskipun dia enggan mengakuinya, insiden dengan lelaki yang dikenalinya dalam tempoh yang singkat itu telah memberi impak yang besar terhadap dirinya. Bukan hanya tentang dikhianati, tetapi tentang betapa mudahnya seseorang boleh mempermainkan perasaan orang lain demi kepentingan diri sendiri dan itu sebenarnya menjadikan Ayra lebih kuat dan lebih berhati-hati dengan sesiapa yang dia benarkan masuk dalam hidupnya.

Pagi itu, Ayra sedang duduk di meja makan sambil menikmati secawan kopi sebelum pergi ke tempat kerjanya ketika telefon bimbitnya berdering. Nombor asing yang muncul di skrin telefonnya membuatkan dahinya sedikit berkerut. Agak lama dia menatap skrin sebelum panggilan tersebut dijawab. “Hello?” sapanya dengan suara datar tanpa menunjukkan sebarang emosi.

“Ayra, tolong jangan tutup. Bagi aku peluang nak cakap dengan kau sekejap,” kata suara garau yang tidak dikenali di hujung talian.

"Siapa ni?"

Kedengaran nafas panjang dihela berat. "Zayn. Ni Zayn. Aku minta nombor kau dari MC event hari tu. Kita jumpa, boleh?" pinta Zayn. Kali ini, nada suaranya lebih tenang dan lembut berbanding tadi dan kedengaran seperti seseorang yang sedang cuba memperbaiki keadaan.

“Apa yang kau nak?” soal Ayra bernada tegas, langsung tidak terpengaruh dengan nada lembut itu.

“Aku tahu apa yang aku buat tempoh hari tu salah. Aku tak sepatutnya sahut taruhan bodoh tu. Aku... aku minta maaf. Aku tahu aku dah lukakan hati kau. Tapi, aku nak jumpa kau, boleh?”

Ayra terdiam sejenak memikirkan sama ada dia patut bersetuju atau tidak. Rasa marahnya terhadap lelaki itu sudah reda, tapi kepercayaannya terhadap lelaki itu telah musnah dan hilang sama sekali. Namun, ada rasa ingin tahu yang dia tidak dapat elakkan iaitu mengapa lelaki itu beria hendak berjumpa? Dia bukannya orang penting pun. Lagipun, mereka hanya setakat kenal begitu sahaja.

“Cukuplah kau dah minta maaf tadi, kenapa kau beria nak jumpa juga?” Ayra akhirnya bertanya, cuba menyelami niat sebenar lelaki itu.

“Aku nak jumpa kau sebab ada sesuatu yang aku nak jelaskan. Aku tak nak cakap melalui telefon, aku nak cakap secara berdepan juga,” tegas Zayn dengan nada bersungguh-sungguh.

Ayra membungkam buat seketika sebelum dia melepaskan keluhan. “Okey, kita jumpa kat kafe yang berdepan dengan bengkel tempat kerja aku petang ni.”

Zayn langsung tersenyum lebar sambil bersorak tanpa suara yang jelas tidak mampu dilihat oleh Ayra. Lantas, dia berdeham. "Okey, set! Apa nama bengkel tempat kerja kau?"

"MotoFix Hub."

"MotoFix Hub?" Suara Zayn kedengaran terkejut.

"Ya, kau tahu ke tak tempat tu? Cawangan syarikat tempat kerja aku tu kedai besar jual alat ganti, tapi aku kerja kat bahagian bengkel. Bangunan tu ada dua ting..."

"Dua tingkat, bahagian atas display motosikal dan kereta untuk dijual, bahagian bawah bahagian spare part dan repair, kan? Kedai tu bersebelahan dengan kedai pinjaman berlesen signboard besar warna kuning, betul tak?" Laju Zayn memintas menjelaskan tentang ciri-ciri bangunan yang dimaksukan oleh wanita itu.

"Ha, tahu pun! Ya kat situ. Aku tunggu kau kat kafe di seberang jalan pukul lima petang nanti. Ada satu je kafe yang berdepan dengan tempat kerja aku tu. Kafe kecil. Kalau pukul lima aku tak nampak batang hidung kau kat situ, aku terus blah!"

"Okey, okey! Sebelum pukul lima aku datang!" balas Zayn dengan nada teruja dan bersemangat. "See you later, Ayra!"

Setelah panggilan ditamatkan, Ayra termenung seketika. Meskipun dia sudah bersedia secara mental untuk menghadapi Zayn, ada bahagian dalam dirinya yang sedang tertanya-tanya apakah ada kebenaran di sebalik kata-kata lelaki itu. Apa sebenarnya yang lelaki itu hendak jelaskan sehingga tidak boleh diperkatakan sahaja melalui panggilan tadi?

- - - -

PETANG itu, Ayra terus pergi ke kafe yang dijanjikan selepas dia habis masa kerja. Dia mengambil tempat duduk di luar, di sudut di mana dia boleh memerhatikan pintu masuk.

Tidak lama selepas itu, Zayn tiba dengan berpakaian kasual. Jelas kelihatan raut wajahnya yang sedikit gelisah. Dia menghampiri meja Ayra dengan wajah yang penuh dengan penyesalan, lalu dia terus mengambil tempat duduk berdepan dengan wanita yang sedang merenungnya dengan tatapan serius itu.

“Cakaplah, apa yang kau nak jelaskan?” Ayra memulakan perbualan dengan mata yang tidak lepas daripada memandang wajah lelaki itu.

Zayn menarik nafas panjang sebelum dia mula berbicara. “Ayra, aku tahu aku buat kesilapan besar dengan taruhan tu, tapi masa hari pertama kita berkenalan tu, sebenarnya aku memang dah tertarik dengan kau. Pasal taruhan tu... aku mengaku memang salah aku, so, aku minta maaf. Aku sedar kau lain daripada apa yang aku sangka. Kau buat aku rasa macam aku bukan diri aku yang biasa dan itu yang buat aku teruja nak kenal kau dengan lebih rapat lagi.

Ayra merenung Zayn dengan riak wajah yang kelihatan sangat tenang, tidak memberikan reaksi yang jelas, tetapi cara pandangannya menunjukkan dia hendak terus menanti sehingga lelaki itu selesai bercakap.

“Aku tahu apa yang aku cakap ni mungkin kedengaran klise atau macam alasan, tapi itulah kebenarannya. Aku... aku serius tertarik dengan kau.”

Ayra menjongketkan keningnya dengan muka sinis. "Kau dah habis bercakap?"

Zayn melepaskan keluhan panjang sambil meraup rambutnya ke belakang sebelum dia mengangguk perlahan.

“Kau... tertarik dengan aku?" Ayra menghalakan jari telunjuknya kepada Zayn sebelum dihalakan pada wajahnya sendiri. Tawa sinis terpacul setelah itu.

Sekali lagi Zayn mengangguk. Riak wajahnya menunjukkan keikhlasan yang sangat mudah dibaca, namun Ayra masih tetap berhati-hati dan memutuskan untuk tidak terus percaya.

"Apa je yang buat lelaki macam kau boleh tertarik dengan aku? Maksud aku, kau tengoklah aku ni," kata Ayra sambil memandang tubuhnya sekilas sebelum dia menyandarkan belakangnya dan berpeluk tubuh.

"Kenapa dengan kau?" soal Zayn seolah-olah tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Ayra.

"Zayn, kau nampak sendirikan? Aku tak macam perempuan lain yang..."

"Itulah yang buat aku tertarik dengan kau sebenarnya." Laju Zayn memintas setelah dia dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh wanita itu tadi. "Kau lain dari yang lain and the truth is... sebenarnya kau memang dah curi perhatian aku sepanjang hari event tu sebelum aku sahut cabaran bodoh tu. Aku tak nak nampak lemah depan dia orang dan ya... aku memang bodoh sebab biarkan ego kawal diri aku. Aku... aku minta maaf sangat-sangat, Ayra. Aku menyesal. Aku harap kau maafkan aku dan bagi aku peluang untuk perbaiki apa yang aku dah rosakkan."

Ayra mengeluh perlahan, lalu dia meletakkan tangannya di atas meja. “Kau fikir kau boleh perbaiki situasi dengan hanya cakap maaf? Kau fikir aku akan percayakan kau lepas apa yang dah jadi? Entah-entah, kau acah-acah menyesal kononnya nak tunjuk kau sanggup buang ego kau minta maaf dengan aku ni pun taruhan juga.”

Zayn memandang Ayra dengan penuh harapan. “Aku tak paksa kau maafkan aku sekarang. Tapi aku nak kau tahu yang aku betul-betul menyesal. Kalau kau bagi aku peluang, aku akan buktikan yang aku serius dan maksudkan semua yang aku cakap tadi.”

Ayra membungkam buat seketika sambil mengamati wajah lelaki kacak berpenampilan kemas itu dengan teliti. Dia tidak pasti sama ada lelaki itu benar-benar ikhlas atau hanya sekadar bermain dengan kata-kata. Namun, satu perkara yang jelas ialah dia tidak akan memberikan kepercayaannya terhadap lelaki itu begitu sahaja.

“Aku tak pasti sama ada aku boleh percaya apa-apa yang kau cakap sekarang, Zayn. Untuk bagi peluang kedua kat orang macam kau, aku perlukan masa. Setakat ni, aku belum nampak sebab untuk aku percaya,” ujar Ayra dengan nada tegas seiring dengan riak wajahnya yang serius.

Zayn mengangguk, menerima kata-kata Ayra tanpa membantah. “Aku faham, aku faham. Aku tak akan paksa kau untuk percayakan aku sekarang. Aku cuma harap yang satu hari nanti kau akan percaya dengan keseriusan aku.”

Ayra bingkas berdiri dari kerusinya. “Biar masa yang tentukan, tapi yang pasti buat masa sekarang, aku takkan buang masa aku untuk fikir pasal hal ni.”

Usai bercakap, Ayra segera mengorak langkah meninggalkan Zayn yang masih menayang riak wajah penuh penyesalan itu. Dia benar-benar tidak pasti sama ada apa yang diluahkan oleh lelaki itu tadi boleh dipercayai atau tidak.

Namun yang pasti, dia tahu dan dia sedar siapa dirinya. Dia tidak akan membiarkan dirinya dipermainkan oleh orang yang sama dengan taruhan bodoh yang menunjukkan seolah-olah dia adalah sasaran berkelas rendah yang sewenang-wenangnya dipertaruhkan lagi.

Bagi Ayra, kepercayaan adalah sesuatu yang perlu diperoleh, bukan diberikan begitu sahaja. Lelaki bernama Zayn itu sudah awal-awal mengkhianati kepercayaannya. Dia tidak akan membiarkan perkara yang sama berlaku untuk kali kedua.

- - - -

SEMINGGU telah berlalu sejak pertemuan Ayra dengan Zayn di kafe. Kehidupan Ayra kembali kepada rutin biasa. Sibuk dengan motosikal, kerja dan juga perancangan baru untuk program motosikal seterusnya bersama Syafiq. Namun, walaupun dia cuba untuk tidak memikirkannya, bayangan wajah Zayn dan juga kata-kata lelaki itu ketika pertemuan mereka di kafe tempoh hari masih berlegar-legar di benak fikirannya.

Kalau kau bagi aku peluang, aku akan buktikan yang aku serius. Kata-kata itu berulang dalam fikirannya dan seolah-olah sedang mencabar dirinya untuk membuat keputusan sama ada memberikan peluang kepada Zayn atau meneruskan hidupnya seperti biasa tanpa menoleh ke belakang.

Syafiq yang sejak tadi memerhati Ayra tanpa wanita itu sedari, langsung menarik kerusi kecil dan duduk di sebelah Ayra yang sedang termenung merenung enjin motosikal yang hendak dipasang semula ke motosikal pelanggan. "Ada masalah dengan enjin tu ke?"

Laju Ayra menoleh dengan muka terkejut. "Ha? Apa kau cakap tadi?"

Spontan Syafiq tersenyum sambil menggeleng-geleng. Jelas bahawa wanita itu termenung jauh tadi. "Aku tanya... ada masalah dengan enjin tu ke? Dari tadi aku tengok bukan main lagi kau termenung jauh. Sampai aku duduk di sebelah kau ni pun kau tak sedar. Ke kau tengah fikirkan pasal bebelan mak kau lagi?"

"Hmm, dua-dua bukan," jawab Ayra disusuli dengan keluhan panjang yang kedengaran begitu berat sekali.

"Jadi, pasal apa? Selalunya, apa-apa hal kau share je dengan aku."

Sekali lagi Ayra melepaskan keluhan panjang. "Pasal Zayn."

"Zayn?" Berkerut-kerut dahi Syafiq cuba mengingat sesuatu.

"Zayn... lelaki yang kau nampak bercakap dengan aku masa event dulu tu," jelas Ayra.

"Oh, lelaki tu! Ha, kenapa dengan dia? Apa yang dia dah buat kat kau sampai ke bulan kau termenung? Bukan baru hari ni, dah seminggu aku perasan kau macam ni tau, tapi aku sengaja tak tanya."

Ayra menarik nafas dalam-dalam sebelum dia menceritakan tentang peristiwa yang berlaku pada hari acara dan juga tentang pertemuan dia dan Zayn seminggu lepas.

"Kau abaikan je orang macam tu. Jangan-jangan dia nak berbaik dengan kau ni pun sebab pertaruhan juga," ujar Syafiq setelah Ayra mengakhiri ceritanya.

"Hmm, tulah. Aku pun rasa macam tu juga."

"Dahlah, kau tak payah nak kusut-kusut fikir pasal nilah. Lagi baik kita fokus dengan plan next event nanti. Ada faedahnya lagi. Malam ni, kita lepak kat kedai, nak? Aku belanja kau mi goreng basah favourite kau."

"Ni yang aku suka dengar ni! Boleh, boleh!" balas Ayra dengan senyuman riang.

- - - -

KEESOKAN harinya, ketika Ayra sedang sibuk membaiki motosikal, sebuah motosikal yang dikenalinya berhenti tepat-tepat di depan pintu bengkel yang terbuka luas.

Apa pula dia buat datang sini ni! Ayra menggetus dalam hati sambil memerhati lelaki yang sedang berjalan menuju ke tempatnya itu.

"Datang sini nak repair motor ke? Ke nak make-up?" soal Ayra sambil menyeka dahinya yang berpeluh sebaik sahaja lelaki itu berhenti di depannya.

Zayn tergelak kecil, cuba untuk terlihat tenang, padahal pada hakikatnya, dia berasa gugup dan gelisah. Risau jika wanita itu tidak mengalu-alukan kedatangannya atau yang lebih buruk lagi, wanita itu akan menerajangnya kerana datang tiba-tiba tanpa memaklumkan, siapa tahu? “Aku datang untuk sesuatu yang lebih penting.”

Ayra mengangguk perlahan dengan riak muka ragu-ragu. “Penting? untuk taruhan baru ke?"

Riak wajah Zayn yang terlihat tenang tadi langsung berubah selepas mendengar kata-kata sinis berbaur perlian daripada wanita itu. “Eh, bukan! Erm... aku datang sini untuk tebus kesilapan sekali gus nak buktikan yang aku betul-betul serius nak perbaiki hubungan kita. Aku nak ajak kau keluar makan lunch nanti kat satu restoran special ni.”

Ayra memicingkan mata memandang lelaki itu dari atas sampai ke bawah sambil mengetuk-ngetuk bibirnya menggunakan jari telunjuk. "Nak tebus kesilapan ya? Hm, boleh, boleh. Tapi, aku tak nak lunch."

"Kalau kau tak nak aku belanja lunch, jadi apa yang kau nak aku buat?"

"Hmm... kau kena ikut syarat aku.”

“Syarat? Okey, aku setuju dengan apa je syarat yang kau bagi demi untuk membuktikan kesungguhan dan keseriusan aku!" Laju Zayn bersetuju dengan muka lega walaupun jelas dia tidak tahu apa syarat yang akan diberikan oleh wanita yang telah mencuri tumpuannya sejak kali pertama dia melihatnya itu.

Ayra tersengih, lalu dia menjuihkan bibirnya ke arah motosikal yang sedang dibaikinya tadi, tetapi tergendala kerana kedatangan lelaki itu. “Tu... nampak motosikal tu? Aku nak kau tolong pasangkan sproket dan rantai.”

Zayn kelihatan terkejut. “Err… pasang sproket dan rantai?”

"Ya!" Laju Ayra mengiakan.

"Erm... tapi, aku tak reti. Selama ni, aku panggil pomen je untuk repair motor aku," kata Zayn terus terang.

“Lah! tadi kau cakap kau boleh buat apa je syarat yang aku bagi untuk tebus kesilapan kau, kan?” Ayra menjongketkan keningnya buat beberapa saat dengan nada mencabar, lalu dia menarik kerusi dan duduk di sebelah lelaki itu.

Dengan muka kebingungan dan terpaksa, Zayn langsung duduk bertinggung di tepi motosikal yang hendak dikerjakan itu. Ayra pula hanya memerhati sambil tersenyum puas melihat lelaki itu kelihatan sedang memahami cara-cara memasang sproket dan rantai motosikal.

Zayn mengeluarkan sproket dan rantai dari kotak. Terkial-kial dia cuba memasang alat ganti tersebut, tetapi gagal. Dia ibarat bayi baru lahir yang cuba berjalan, langsung tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Selepas beberapa kali mencuba, Zayn akhirnya mengalah, lalu dia memandang Ayra. “Takda instruction ke, cik ‘instructor’?” soal Zayn dengan muka berharap.

“Pandai-pandai kaulah. Kau cakap nak buktikan, kan? So, kau kena usahakanlah. Kalau tak boleh, baik kau balik rumah ajelah,” balas Ayra sambil mengukir senyuman mengejek melihat Zayn yang sudah mulai berpeluh.

"Aku takkan balik," tegas Zayn, lantas dia mengeluarkan telefon dari poket seluarnya dan membuka aplikasi Youtube. "Hmm, okey, boleh ni! Senang je rupanya!" gumamnya selepas dia menonton video tutorial cara-cara memasang sproket dan rantai motosikal.

Namun, perkara yang dianggap mudah itu rupa-rupanya tidak semudah yang dia sangka, tetapi akhirnya, selepas bergelut hampir setengah jam, dia berjaya juga memasang alat-alat ganti tersebut walaupun tangan dan wajahnya penuh dengan minyak hitam.

"Dah siap, bos!" ujar Zayn sambil tersengih dengan muka bangga.

Ayra langsung menghamburkan tawa melihat wajah comot yang kelihatan letih itu. “Ha, bagus! Berjaya pun!"

Zayn mengelap tangannya yang kotor menggunakan jaketnya yang mahal. “Jadi, ini boleh dianggap sebagai bukti yang membuktikan aku seriuslah, kan?” soal Zayn sambil melebarkan lagi senyumannya.

Ayra pura-pura berfikir sambil memandang Zayn dari atas sampai ke bawah. “Hmm… ya, tapi belum cukup lagi! Lepas ni, setiap kali kau datang, kau kena buat kerja untuk aku dulu, baru aku boleh pertimbangkan pasal kepercayaan aku terhadap kau."

Zayn ketawa kecil sambil mengangguk tanda setuju walaupun jelas dia sebenarnya terkejut dengan syarat baru itu. “Kalau macam tu, okey, deal!"

Ayra tersenyum puas melihat lelaki itu kelihatan bersungguh-sungguh hendak menebus kesalahan walaupun terpaksa membiarkan dirinya 'dibuli', walhal dia tidak memaksudkan pun syarat barunya tadi. Dia sekadar hendak melihat sejauh mana keseriusan lelaki itu. Jauh di sudut hati kecilnya, dia yakin, kalau benar lelaki itu serius, pasti lelaki itu mampu meraih semula kepercayaannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience