Bab 10

Romance Completed 59727

Sebaik sahaja cahaya yang menyilaukan itu hilang, mereka membuka mata semula. Mereka mendapati diri mereka sedang berada di sebuah padang rumput yang hijau dan luas.

Angin lembut menyapu wajah mereka, membawa bau segar rumput yang basah selepas hujan.

Langit yang berwarna biru tanpa awan terbentang luas diatas kepala mereka. Dari jauh, ternampak bukit-bukau yang menghijau disusuli dengan kicauan burung yang terbang bebas dilangit menambahkan suasana tenang.

Rumput-rumput yang berada dibawah kaki mereka terasa lembut seperti kapas apabila menyentuh kulit. Bunga-bunga liar yang berwarna ungu dan kuning bergoyang-goyang mengikut alunan angin yang bertiup.

Jenny menarik nafas dalam-dalam. Terasa segar didadanya apabila menghirup udara yang nyaman itu.

Namun, semua itu tidak dapat menutup keraguannya terhadap tempat yang asing itu.

"Kita... kat mana ni Aidan?" soal Jenny. Nada suaranya sedikit bergetar kerana dipengaruhi perasaan risau yang mula menyelubungi hatinya. Tangannya tetap erat memegang loket yang tergantung dilehernya.

Aidan memandang sekeliling dengan perasaan hairan. Dia cuba mengenalpasti tempat yang asing itu. "Entah... aku tak pasti. Tapi firasat aku kuat mengatakan kita sudah sampai di Inderapati." jawabnya sambil memerhatikan pergerakan rumput rumput yang ditiup angin seolah-olah menyambut kehadiran mereka.

"Ya betul... kalian telah sampai di Inderapati. Nama tempat ini adalah Padang Muara, tempat yang paling menenangkan di negeri Inderapati." satu suara garau tiba-tiba terdengar dari arah belakang Aidan dan Jenny.

Jenny dan Aidan berpaling ke belakang untuk mencari dari mana datangnya suara itu.

Di atas sebuah batu yang besar, muncul satu susuk seorang lelaki berbadan sasa sedang duduk bersila sambil memanggu dagunya dengan tangan. Bajunya seperti baju perang berwarna hitam dihiasi corak-corak kuno. Rambutnya pendek dan tersikat rapi ke belakang. Di wajahnya pula ada parut yang panjang melintang di antara keningnya.

Lelaki misteri itu memandang mereka dengan pandangan mata yang dingin. "Apa khabar Penjejak Mimpi? Selamat kembali ke Inderapati." ujarnya dengan senyuman sinis yang terukir di bibir.

Aidan dan Jenny terkejut bagaimana lelaki itu boleh mengetahui identiti sebenar mereka.

"Siapa kau sebenarnya? Bagaimana kau boleh tahu tentang kami?" soal Aidan kepada lelaki itu dalam keadaan berwaspada. Dia menggenggam erat Seru Laksamana yang tergantung dipinggangnya, bersedia jika keadaan yang tidak diingini berlaku.

"Aku Jahar. Aku rasa kalian sudah kenal aku lama." dia memperkenalkan diri sambil tersenyum sumbang.

"Kami tak pernah kenal dengan orang yang macam kau. Jangan main-main dengan kami." celah Jenny tegas. Hatinya sedikit marah melihat lelaki itu seperti mempermainkan mereka.

Jahar memandang Jenny dengan pandangan yang menyeramkan. "Kalian mungkin sudah lupa. Tapi aku tidak pernah lupa."

"Apa yang kau maksudkan? Macam yang aku cakap kami tak kenal pun siapa kau." Jenny menjawab kali ini dengan suara yang tinggi. Dia sudah hilang kesabaran dengan sikap Jahar.

"Mungkin kau lupa apa yang berlaku sebelum kau sampai ke sini." kata Jahar sambil bangun dari tempat bersilanya.

Aidan cuba berfikir sejenak apa yang cuba disampaikan oleh Jahar. Tiba-tiba dia teringatkan kejadian susuk misteri yang menyerang mereka baru-baru ini.

"Kau rupa-rupanya yang menyerang kami. Apa tujuan kau buat macam tu? Kau ni orang yang diupah oleh Berlian Sebutir untuk membunuh kami kan?" soal Aidan. Matanya tajam memerhatikan Jahar.

Mata Jenny terbeliak seperti tidak percaya apa yang dikatakan oleh Aidan tentang Jahar. Sukar untuk dia percaya orang yang mahu membunuh mereka sedang berdiri dihadapan mereka.

Jahar menepuk-nepuk tangannya sambil ketawa besar. "Bagus... bagus... kau memang bijak. Jawapan kau sudah betul. Cuma tidak berapa tepat." dia berhenti menepuk tangan. Pandangan matanya berubah semula menjadi pandangan yang dingin. "Aku bukanlah orang upahan. Aku adalah orang yang memerintah Berlian Sebutir! Akulah yang menghantar Pembunuh Mimpi untuk menjahanamkan kalian!" sambungnya lagi sambil mendepakan tangan untuk menunjukkan rasa bangganya.

Pengakuan Jahar itu membuatkan jantung Aidan dan Jenny berdegup kencang. Mereka tidak menyangka di hadapan mereka ini adalah pemerintah Berlian Sebutir sendiri.

Kini mereka perlu berhati-hati kerana musuh di hadapan mereka ini bukanlah calang-calang. Mereka bersiap sedia membuka langkah untuk menghadapi apa-apa kemungkinan yang bakal berlaku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience