Itaewon tidak pernah benar-benar tidur, tapi malam itu terasa lebih senyap daripada biasa.
Seo Changbin duduk di atas bumbung bangunan tempat tinggalnya, menatap cahaya neon yang berkelip dari kejauhan. Angin malam meniup rambutnya yang tidak terurus. Di tangannya, rokok separuh terbakar.
Dia diam. Fikirannya masih tertinggal pada wajah JiSoo yang ketakutan siang tadi. Dia bukan simpati — tidak pernah — tapi ada sesuatu pada ancaman gadis itu yang membuatkan perutnya terasa aneh.
> “Abang aku akan turun tangan.”
Itu ayat yang bergema dalam kepalanya sejak dia meninggalkan kedai kopi.
Tapi tiada apa berlaku…
Dua hari berlalu.
Tiada balasan. Tiada panggilan. Tiada sesiapa memburunya.
Dan dalam dunia Changbin, ketenangan seperti itu lebih menakutkan daripada ancaman terus.
---
Malam ketiga.
Dia menerima satu jemputan.
Satu emel daripada syarikat PR yang terkenal, menggunakan nama rasmi.
> “Kami menjemput Encik Seo Changbin ke Majlis Amal Tertutup anjuran Yayasan Peguam Nasional. Kehadiran anda sebagai salah satu penyumbang sulit amat dihargai. RSVP dilampirkan. Lokasi akan diberikan selepas pengesahan.”
Changbin mengerutkan dahi. Majlis elit bukan tempatnya — dan dia tak pernah menyumbang apa-apa. Tapi... alamat emel itu sahih. Ia seperti betul-betul rasmi.
Dia balas dengan satu perkataan:
“Hadir.”
Dan sejam kemudian, lokasi dihantar:
The Astoria Club, tingkat atas, bilik VVIP.
Pakaian: formal.
---
Jam 9.25 malam, Changbin melangkah masuk ke Astoria Club — tempat yang biasa menolak kehadirannya suatu ketika dahulu.
Tapi malam ini, seorang pelayan menyambutnya dengan tunduk dan senyuman.
“Encik Seo, sila ikut saya.”
Dia dibawa menaiki lif peribadi, ke aras tertinggi. Sepanjang perjalanan, tiada siapa bercakap. Muzik klasik bergema halus di koridor marmar. Bau arang mahal dan wain tua memenuhi udara.
Changbin tak tanya. Dia hanya menilai. Setiap sudut, setiap kamera, setiap wajah — dia ingat semuanya.
Pintu dibuka.
---
Di dalam bilik VVIP, hanya ada dua lelaki.
Yang pertama — duduk bersandar dengan kaki bersilang di sofa hitam — seorang lelaki tinggi, rambut disisir rapi, berpakaian serba hitam. Dia menoleh ke arah Changbin dengan senyuman lemah yang sukar dibaca.
“Seo Changbin,” katanya. “Akhirnya kita bertemu.”
Changbin membalas dengan anggukan kecil, wajahnya kekal tenang. “Saya dijemput. Saya hadir. Tapi saya tak tahu majlis ini hanya ada tiga orang.”
Lelaki itu ketawa kecil. “Namaku Jeon Jungkook. Dan ini,” dia mengisyaratkan ke arah lelaki di belakang meja besar berhias kristal, “adalah Junyoung.”
Junyoung bangun perlahan. Tinggi, tenang, tapi aura kekuasaan dalam langkahnya jelas terasa.
“Terima kasih kerana sudi hadir, Changbin.”
“Ini bukan pilihan, bukan?” Changbin membalas, langkahnya perlahan mendekati meja.
JungYoung tersenyum nipis. “Kau betul. Tapi kami orang yang tahu beradab. Kami menjemput sebelum mencengkam.”
Jungkook mencelah, suara lembut tapi beracun, “Kami cuma nak tahu satu benda — dari mana kau dapat semua maklumat itu?”
Changbin tidak menjawab terus. Dia menarik kerusi dan duduk.
“Sebelum itu,” katanya, “kalau kamu berdua betul nak tahu semua, aku harap kamu sanggup dengar semua. Takkan berhenti separuh jalan. Dan... tiada sesiapa akan keluar dari bilik ini dengan penafian.”
Mereka saling berpandangan — JungYoung dan Jungkook — dan satu anggukan kecil diberikan.
Changbin menyandar ke belakang, memandang mereka berdua.
> “Aku terima maklumat itu daripada suara. Lelaki tua. Tidak pernah menunjukkan diri. Tapi setiap pesanan suara yang dia hantar… tepat. Sempurna. Tentang JiSoo. Tentang kalian. Tentang Jepun. Senjata api. Penghantaran ke pelabuhan pelabuhan gelap. Semua itu… aku tak cari. Ia dicari untuk aku.”
Sunyi. Lama. Nafas Junyoung turun naik sedikit, dan wajah Jungkook tidak lagi tersenyum.
“Kenapa kau buat semua ni?” tanya Jungkook akhirnya.
Changbin merenung mereka tajam.
“Kerana kau berdua hidup di menara tinggi… sedangkan aku dibuang dari tingkat paling bawah. Tapi sekarang, aku tahu setiap tingkatnya.”
Dia bersandar, senyum kecil menghiasi bibirnya.
“Dan kau tahu apa yang paling ironik?”
Dia ketawa kecil.
> “Kau jemput aku ke sini... tapi aku yang ada kuasa untuk jatuhkan kau.”
Share this novel