Pertarungan sengit terus berlaku di dalam rumah Jenny. Dinding rumah yang retak jelas kelihatan, perabot rosak dan tunggang langgang, bunyi kaca yang pecah berdendang tanpa henti.
Di dalam ruang sempit itu, aksi balas-membalas serangan berlaku sengit. Kuasa yang terhasil dari pertarungan ini bukanlah sesuatu yang biasa, ianya menggegarkan alam dan tidak dapat dilihat oleh mata manusia biasa.
Anehnya, bunyi hasil dari pertarungan tersebut langsung tidak disedari oleh jiran-jiran Jenny, seolah-olah ada tembok ghaib yang menghalang sebarang bunyi dari terlepas ke dunia luar.
Jenny yang sedang marah terus mengasak musuhnya. "Kau belasah aku sampai lunyai tadi! Kau ingat kau boleh lepas macam tu saja, tak guna!" suaranya penuh dengan dendam yang menyala.
Dia mara dengan langkah yang pantas, tangan kanannya digenggam kuat. Tumbukan yang dihayunkan bergerak laju, tepat mengenai perut musuhnya.
Bunyi hentaman itu bergema seperti tembakan yang dilepaskan. Susuk misteri itu mengundur ke belakang dan mengerang kesakitan. Nafasnya putus-putus sebelum tubuhnya jatuh terduduk.
Jenny tidak berhenti di situ. Api dendamnya masih membara dihati. "Ini baru permulaan untuk kau. Aku tidak akan berhenti hingga kau bayar semua perbuatan yang kau buat pada aku!" bisiknya dengan nada marah.
Tiba-tiba, susuk itu hilang dari pandangan Jenny seperti asap yang ditiup angin. Jenny terkedu seketika melihat musuhnya tiba-tiba hilang dari mata. Matanya meliar memerhati setiap sudut rumah yang gelap cuba mencari bayang musuhnya.
Jantungnya berdegup kencang diiringi perasaan resah yang mula menguasai dirinya.
"Mana kau?" jeritnya dengan suara yang tersekat-sekat. Dia cuba mengawal nafasnya, tetapi kelibat musuh yang tiada di depan mata menambah resah.
Zasss!
Dalam sekelip mata, bahu kanan Jenny dirobek oleh serangan yang tidak dijangka. Darah memancut keluar dari permukaan perisai yang melindungi tubuhnya. Jenny menjerit kesakitan serentak dengan tubuhnya yang terduduk di lantai. Darah terus mengalir membasahi lantai rumahnya.
Dalam satu serangan, bahu kanan Jenny yang dilindungi perisai memancutkan darah. Jeritan kesakitan terlepas dari bibirnya seiring dengan kedudukan tubuhnya yang terduduk sambil memegang bahunya. Darah terus mengalir dan membanjiri lantai rumahnya.
Susuk itu muncul semula dihadapan Jenny, kali ini dengan senyuman ngeri yang mengejek. Mata mereka saling bertentangan. Namun, belum sempat Jenny berdiri susuk itu hilang sekali lagi dari pandangannya.
Zasss!
Serangan kedua menyasarkan kaki kirinya pula. Jenny tidak mampu lagi bertahan, tubuhnya jatuh terduduk dan dia menjerit kesakitan. Dia masih cuba berdiri semula, namun tubuhnya terlalu lemah.
"Mana semangat yang kau tunjukkan tadi?" ejek susuk misteri itu dengan sinis.
Jenny memandang susuk itu dengan mata yang penuh kemarahan. "Kau pengecut!" suaranya tegas.
Susuk itu ketawa dan mula melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah Jenny. Setiap serangan yang singgah ditubuhnya semakin mendekatkan Jenny kepada detik-detik kematian.
Di saat-saat yang genting, susuk misteri itu mengangkat senjatanya. Dia mensasarkan serangan terakhirnya ke arah leher Jenny. Jenny yang sudah tidak berdaya hanya mampu melihat senjata itu meluncur laju. Masa seakan-akan terhenti, dan dia tahu tiada jalan keluar lagi untuknya.
Bammm!
Satu tendangan deras singgah diwajah susuk itu dan membuatkan susuk tersebut terpelanting ke dinding.
Jenny yang kebingungan cuba menumpukan pandangannya yang kabur. Dalam keadaan samar, dia melihat bayang-bayang seorang lelaki yang berdiri tegap dihadapannya.
"Aidan?" bisik Jenny dengan suara yang lemah dan terkejut.
"Maafkan aku kerana lambat sampai." Aidan menjawab dengan nada penuh penyesalan, tetapi matanya mengambarkan kemarahan yang teramat apabila melihat keadaan Jenny yang cedera parah.
Share this novel