Jenny masih belum berputus asa. Dengan segala sisa tenaga yang ada, dia berusaha menggerakkan tangannya dan mencari peluang terakhir untuk melepaskan diri.
Namun, belum sempat dia menikam tangan susuk misteri itu dengan pisau kecil yang berada ditangannya, tubuhnya dihempas berkali-kali ke dinding. Setiap hentakan memaksa nafasnya terhenti. Ketika rasa sakit semakin terasa, pandangannya gelap hingga dia akhirnya terkulai pengsan.
Tubuhnya dilontar ke arah almari di dapur, bunyi dentuman bergema mengisi ruang malam yang sunyi.
Jenny tertiarap diatas lantai, tidak lagi mampu bergerak untuk melarikan diri. Dalam kekaburan, dia terpandang sebuah kotak kecil yang terbuka di hadapannya. Kotak itu jatuh dari almari ketika tubuhnya terhempas disitu.
Dia merangkak perlahan ke arah kotak itu. Apabila melihat isi di dalam kotak itu, hati Jenny bergetar. Kotak itu tersimpan sebentuk loket berwarna emas. Loket itu bentuknya seperti bunga mawar yang tidak kembang kelopaknya.
Memori Jenny yang hilang kini menerjah kembali kepalanya. Dia baru teringat, loket inilah yang diberikan oleh Pendeta Adika semasa dia tamat latihan sebagai Penjejak Mimpi tujuh tahun yang lalu.
Seperti Seru Laksamana milik Aidan, loket ini juga adalah alat istimewa yang memberi kelebihan kepada pemiliknya.
"Mawar Cakrawala..." itulah nama yang keluar dari mulut Jenny.
Selepas itu, Jenny tersenyum sendiri memikirkan kebodohannya cuba melupakan asal usulnya sebagai Penjejak Mimpi.
Dalam kesakitan, Jenny cuba bangun semula perlahan-lahan. Dia menggenggam loket itu di tangannya. Mulutnya seperti membisikkan sesuatu kepada dirinya. "Maafkan aku kerana aku melupakanmu, Mawar Cakrawala. Sekarang aku sudah menerima semula realiti yang aku adalah seorang pahlawan yang bergelar Penjejak Mimpi. Mari berjuang bersamaku seperti dulu."
Habis sahaja Jenny berkata demikian, Mawar Cakrawala tiba-tiba memancarkan cahaya yang berkilauan. Bentuk loket juga berubah menjadi bentuk mawar yang kembang dengan mekarnya.
Cahaya yang dikeluarkan oleh loket itu membuatkan susuk misteri yang sedang mara ke arah Jenny berundur. Dia menutup matanya dengan tangan kerana tidak tahan dengan kuasa yang dikeluarkan oleh loket itu.
"Aku seru Mawar Cakrawala! Pinjamkan aku kekuatan untuk membasmi segala kegelapan dan kejahatan yang mengancam dunia ini!" Jerit Jenny sambil membuka langkah taekwondo yang dipelajarinya.
Mawar Cakrawala terus memberi tindakbalas yang luar biasa selepas Jenny menyeru namanya. Cahaya yang keluar daripada loket itu mengelilingi tubuh badan Jenny dan membentuk baju perisai yang istimewa.
Kekuatan yang dimiliki Jenny juga semakin meningkat. Aura yang dikeluarkan olehnya membuatkan susuk misteri itu tergamam dengan perubahan itu.
Namun, susuk misteri itu tidak mahu mengalah. Dia terus menyerang Jenny dengan serangan yang bertubi-tubi. Serangan yang dilakukan oleh susuk misteri tersebut dengan mudah dapat dipatahkan oleh Jenny yang sudah mendapat kekuatan baru.
"Jahanam kau Penjejak Mimpi! Aku akan hapuskan kau disini juga!" Jerit susuk itu tidak puas hati.
Melihat musuhnya dalam keadaan tertekan, Jenny tersenyum. "Nak hapuskan aku? Kau ingat aku ni lemah sangat ke? Senang-senang je kau nak hapuskan aku? Kau silap jantan tak guna!"
Satu tendangan singgah tepat di muka susuk tersebut. Akibat impak tendangan yang kuat itu, tubuh susuk itu terpelanting jauh ke belakang dan tersembam ke lantai.
Jenny tersenyum, keyakinannya mula kembali. Dia boleh menang pertarungan ini dengan kekuatannya sendiri. Dengan bantuan kuasa Mawar Cakrawala, dia yakin boleh menewaskan susuk misteri yang selama ini membuatkan hidupnya dan Aidan merasa tidak tenang.
Share this novel