– Raju dari Chennai & Masalah Cinta Longkang
Pukul 8.10 pagi. Sara berdiri di tempat biasa, bawah pokok besar yang daunnya makin botak. Langit cerah pagi tu — awan berarak manja, angin sepoi-sepoi bahasa. Tapi hati Sara? Mendung.
Sebab hari ni dia ada meeting penting dengan bos baru. Bos yang suka tanya soalan perangkap macam, “Apa cadangan awak?” dan bila dijawab, dia kata, “Salah.” Tapi tak pernah nak beritahu jawapan sebenar. Hidup Sara ibarat kuiz IQ tanpa hadiah.
Tapi semua itu hilang dari fikiran bila satu Myvi silver berhenti depan dia.
Kereta yang sama.
Tapi… berlampu ungu, dashboard penuh gantungan loceng India kecil, dan lagu Tamil tahun 2003 berdentum macam ada festival tengah berlangsung dalam enjin. Siap ada bau bunga melur.
Sara tahan nafas.
Pintu terbuka perlahan-lahan... creekkk...
Dan keluar suara lelaki itu, kuat dan dramatik:
“Saraaaaa madam! You looking like sunshine dipped in teh tarik! Please masuk, jangan malu-malu. Raju sangat menghargai penumpang dengan hati yang baik!”
Sara tergamam. Dia pakai baju kurung hari ni, mekap natural, tapi tak sangka dapat pujian ‘teh tarik’.
“Err… hari ni awak… jadi siapa pula?”
Lelaki itu — ya, memang dia lagi, si Firdaus — hari ini berselendang batik dililit ala-ala pelakon filem Tamil, lengkap dengan songkok senget yang dihias pin bunga plastik. Tapi tiada bindi (nasib baik), dan dia sedang pegang sekuntum bunga plastik dalam tangan.
“RAJU! Dari Chennai! Tapi berhijrah ke Kuala Lumpur kerana... cinta, yang hancur macam longkang tersumbat!”
Dia ketawa kuat. Sara terkejut. Tapi dia naik juga. Sebab... entahlah. Mungkin hari-hari biasa terlalu bosan sekarang.
“Awak ni... serius ke tak?”
Firdaus — atau Raju — pandang ke depan, menghela nafas panjang sambil mula memandu.
“Cinta saya dulu... kuat macam lagu cinta. Tapi dia, anak tauke kedai emas. Saya cuma pemandu tuk-tuk di Chennai. Kami lari ke sempadan. Tapi kami lupa… sempadan kami hanyalah sempadan hati — bukan imigresen.”
Sara ketawa. “Sempadan hati?”
“Yes! Dan hati saya... ditolak macam permohonan biasiswa bila CGPA tak cukup.”
Sara cuba tahan ketawa. Tapi perut dia dah mula sakit.
Tiba-tiba, Firdaus berhenti di tepi jalan.
“Eh? Kenapa berhenti?"
“Madam, bila hati terluka... kadang kita kena berhenti sekejap untuk nyanyi lagu patah hati.”
Tanpa sempat Sara respon, Firdaus keluar dari kereta, berdiri depan bonnet, dan mula lip sync lagu Tamil paling tragis yang pernah Sara dengar. Tangan ke dada, mata ke langit, siap buat gaya jatuh rebah dan bangkit semula — macam dalam filem.
Orang sekeliling mula perlahankan langkah.
Sara pula… rekod video senyap-senyap.
"Ini tak patut... tapi aku kena simpan video ni. Bukti trauma.”
Lepas ‘konsert mini’ tu, Firdaus masuk semula ke kereta. Dia lap dahi dengan tisu. Nafasnya berat macam baru lepas lari 400 meter kejar cinta yang lari ikut belakang rumah.
“Sara madam... awak pernah rasa cinta tak berbalas?”
Sara diam sekejap. Wajah dia berubah. Senyum tadi perlahan-lahan hilang.
“Pernah.”
“Awak buat apa?”
“Saya naik Grab yang pemandunya agak gila sedikit... hari-hari. Sebab itu je yang buat saya tak rasa nak mengamuk dekat dunia.”
Firdaus senyum kecil. Untuk pertama kali sejak pagi itu, dia senyap.
Tiada watak. Tiada skrip.
Hanya Firdaus, sebagai Firdaus.
“Hari ni Raju hantar awak… tapi hati saya yang rasa sampai dulu.”
Sara ketawa kecil. “Ceh. Gila.”
Tapi dalam hati, dia rasa... lain. Ada sesuatu yang tak boleh dijelaskan. Macam teh tarik lebih susu yang tak dirancang — pelik tapi sedap.
Tiba di bangunan pejabat, Sara buka pintu, tapi sebelum keluar, Firdaus hulur satu kad kecil warna merah jambu, bertulis:
“RAJU dari Chennai. Perunding Hati & Tukang Lip Sync Bertauliah.”
(Untuk pertanyaan lanjut atau tempahan majlis perkahwinan, sila hubungi…)
Sara ambil kad tu perlahan-lahan.
“Esok… awak nak jadi siapa pula?”
Firdaus senyum penuh misteri.
“Tunggu dan lihat, Madam. Dunia ini pentas… dan saya, pelakonnya.”
Sara geleng kepala. Tapi dia senyum. Dan dalam lif naik ke pejabat, dia replay video ‘nyanyian patah hati’ tadi tiga kali — sambil tahan gelak macam orang tak betul.
---
Share this novel