Satu jam yang lalu, Hann menjeling jam tangannya, perasaan tidak enak mula muncul dalam perutnya. Dia telah melihat ke arah pintu tempat Presiden Victor dan Kaylee meninggalkan bilik kawalan HVAC untuk kesekian kalinya.
Lebih kurang setengah jam sebelum itu, pasukan telah menyelesaikan siasatan kebakaran kecil dan mengesahkan bukti awal yang ditemui.
Ketua keselamatan, Martin Liew, menemui dan melaporkan rakaman yang hilang dari kamera pengawasan bangunan antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi tadi. Kad memori yang telah diusik itu kemudian dihantar kepada pakar pemulihan data profesional.
Melalui rakaman yang dipulihkan, mereka melihat seseorang yang mencurigakan menyelinap masuk ke dalam bilik kawalan HVAC ketika satu-satunya orang yang bertugas pada waktu malam keluar untuk berehat di tandas, mencucukkan sesuatu ke dalam desktop dan dengan cepat menaip sesuatu pada papan kekunci sebelum menyelinap keluar lagi.
Melalui log akses elektronik ke bilik itu sekitar masa tersebut, mereka terkejut mendapati ID yang tidak sepatutnya ada pada masa itu - Haidy Rimun, yang sedang bercuti peribadi. Wajah Hann berubah gelap apabila dimaklumkan tentang hal itu.
Kebakaran kecil pagi tadi telah disahkan adalah kebetulan semata-mata, tetapi ia telah mencetuskan siri siasatan dan penyelesaian masalah yang menyeluruh ini.
Hann merasakan bahawa itu adalah titik perubahan penting bagi penyelesaian masalah mereka setakat ini, dan dia tidak sabar untuk berkongsi berita itu dengan Presiden Victor dan Cik Stone, tetapi kenapa mereka belum kembali lagi? Mereka telah pergi selama lebih dua jam. Hann berhenti berlegar dan membuat keputusan. Dia harus mencari mereka sekarang.
Jurutera kanan HVAC telah menyebut yang ia akan mengambil masa kira-kira dua belas minit untuk berjalan ke zon kawalan manual. Tanpa membuang masa lagi, Hann dengan segera mengumpulkan pasukan. Dia memilih penyelia penyelenggaraan bangunan, Carlos Empang, ketua keselamatan, Martin, dua juruteknik HVAC, dan pegawai perubatan, Ainul Imran. Setiap anggota pasukan ini mempunyai peranan penting, dan mereka bergerak dengan tujuan dan melalui koridor bangunan yang teratur ke zon di seberang.
Setibanya di zon kawalan manual, Hann merasakan kesejukan di udara, itu satu tanda yang menakutkan. Suhu hanya 13°C di koridor dan kawasan umum, tetapi Hann tahu bahawa ini sudah hampir dengan ambang yang boleh mencetuskan kenangan trauma dan reaksi Presiden Victor. Dia masih ingat dengan jelas peristiwa pada 13 tahun lalu dan betapa berhati-hatinya mereka untuk melindungi Victor daripada suhu sejuk sejak itu.
Mereka memulakan pencarian dari Blok A, bergerak dari bilik ke bilik secara teratur, tidak melepaskan mana-mana ruang. Hann mengetuai jalan, fikirannya penuh dengan kebimbangan. Zon kawalan manual jarang dikunjungi buat masa sekarang, dan memandangkan masalah keselamatan bangunan yang sedang berlaku, apa sahaja boleh terjadi. Koridor itu sunyi sepi, kecuali gema langkah mereka.
Ketika mereka bergerak ke Blok C, isyarat akhirnya pulih. Telefon Hann bergetar dengan banyak notifikasi. Dia cepat-cepat melihatnya dan terjumpa mesej dari Presiden Victor. Dia membuka notifikasi WhatsApp dan merasakan desakan yang sungguh mendesak. "H520, Blok E!" dia menjerit kepada pasukan dan mereka mula meluru ke situ.
"2°C?" dia menjerit dalam hatinya. "Mana Presiden Vic dapat tahan sejak pukul 7.30! Dan Cik Stone! Dia masih okeykah sekarang?" Fikiran Hann berkecamuk dan hatinya sangat bimbang ketika mereka bergegas ke Blok E.
Apabila mereka tiba di H520, kesejukan itu amat terasa. Carlos memasukkan kunci kecemasan ke dalam kunci manual, tetapi mekanisme itu kelihatan tersangkut kerana kesejukan. Dia kemudian menggunakan kit pintu elektronik mudah alih untuk membuka kunci, alat yang direka untuk menetapkan semula dan mengatasi sistem kunci elektronik dalam kecemasan. Selepas beberapa saat yang tegang, pintu itu berbunyi klik lalu terbuka.
Mereka menerjah masuk ke bilik H520 dan mendapati Victor dan Kaylee terduduk rapat bersandarkan dinding pada kawasan tengah bilik kosong itu. Di bawah kot yang menutupi Victor, lengan Kaylee masih melingkari dada Victor, sangat kaku. Ainul segera mengarahkan yang lain untuk lebih berhati-hati semasa menggerakkan anggota badan atau tubuh Victor dan Kaylee. Bersama-sama, mereka berjaya mengeluarkan Victor dengan sangat berhati-hati dari pelukan Kaylee tanpa mencederakan atau menyakiti tangan dan kaki Kaylee yang kaku.
Hati Ainul tenggelam melihat tubuh kecil Kaylee dengan kedua-dua belah lengan dan kakinya yang berada dalam posisi yang sangat janggal selepas Victor dikeluarkan dari pelukannya. Matanya berlinang sedikit dan dia tersedu sambil dengan sangat lembut dan perlahan-lahan tetapi mahir, dia menyusun semula lengan dan kaki Kaylee lalu menarik turun gaun biru gelap yang telah terangkat itu dari pinggangnya untuk menutupi seluar keselamatan hitam yang dipakai di bawah gaunnya serta seluruh pahanya.
Ainul dapat melihat betapa berhati-hatinya dan penyayangnya wanita ini dengan mengkaji posisi yang dilakukannya - menggunakan belakangnya untuk melindungi Presiden Victor daripada dinding yang amat sejuk, menggunakan dada, lengan, dan kakinya untuk melingkari beliau untuk perkongsian haba badan maksimum, dan kot yang menutupi bahagian depan Presiden Victor sebagai tambahan kepada kot yang sudah dipakainya. Wanita ini telah memberikan segalanya untuk memastikan presiden mereka kekal hidup. Wanita yang berani ini benar-benar mendapat hormatnya, dan dia ingin melakukan yang terbaik untuk merawat wanita ini sekarang.
Hann mempunyai perasaan yang sama, hatinya terasa pedih ketika melihat Cik Stone setelah Presiden Vic dikeluarkan dengan berhati-hati dari pelukannya. Dia dengan cepat memalingkan pandangannya bagi menghormati dan menjaga maruah Cik Stone, dan membiarkan Ainul melakukan yang perlu sambil dia menguruskan hal di sebelah Victor.
Kaylee sudah tidak sedarkan diri, tubuhnya hampir berhenti menggigil, manakala Victor hampir kehilangan kesedaran. Mereka dengan segera dibawa ke hospital.
Keadaan Victor, walaupun serius, tidaklah seteruk yang mungkin terjadi. Tubuhnya telah mengembangkan ketahanan tertentu terhadap sejuk selepas peristiwa traumatik 13 tahun lalu. Ketika dia berbaring di atas katil hospital, fikirannya melayang masuk dan keluar dari kesedaran.
Dia bermimpi tentang mendiang ibunya menyanyikan lagu yang sama dinyanyikan oleh Kaylee di dalam bilik sejuk itu. Ibunya telah menyanyikan lagu itu kepadanya sebanyak tiga kali di waktu dia sedih sejak dia berusia 18 tahun. Suara ibunya yang menenangkan dan hangat menjadi penawar bagi jiwanya. Dia teringat bagaimana ibunya telah memberitahunya tentang seorang gadis yang telah mengajarnya lagu itu, seorang gadis yang telah menyelamatkannya suatu ketika sebelum itu. Dalam mimpinya, dia melihat wajah kabur gadis itu perlahan-lahan menjadi jelas, dan wajah muda Kaylee muncul.
Victor terbangun dengan terkejut, dalam keadaan keliru. Dia memanggil Hann, dengan terdesak ingin mengetahui keadaan Kaylee. Hann meyakinkannya bahawa Kaylee berada di ICU dan keadaannya sudah stabil tetapi sedang pulih daripada hipotermia yang teruk. Hati Victor sakit dengan kebimbangan, tetapi dia juga dipenuhi dengan rasa syukur yang mendalam atas keberanian dan pengorbanan Kaylee.
Hann juga membawa berita yang menggoncang Victor tentang pengusikan sistem HVAC dan keselamatan kebakaran yang dikaitkan dengan Haidy. Kemungkinan pengkhianatan itu sangat menyakitkan, menggoyahkan keyakinan Victor terhadap penilaiannya terhadap orang, terutamanya orang di sekelilingnya. Memandangkan pemulihan yang sangat Victor perlukan buat masa ini, Hann menggalakkan dia untuk menyerahkan penyiasatan yang seterusnya kepada pasukan dan mengutamakan pemulihannya dahulu, mengingatkannya untuk tidak menyia-nyiakan usaha keras Kaylee dalam menyelamatkan nyawanya. Dia berkongsi secara ringkas dengan Victor tentang apa yang dilihatnya ketika mereka tiba di bilik sejuk itu.
Mendengar itu, Victor menutup matanya dan menutupnya dengan lengan kirinya, wajahnya penuh keperitan. Hann sangat memahami bahawa dia memerlukan saat-saat bersendirian dan dengan tenang meninggalkan bilik itu.
***
Sementara itu, di sebelah bandar, Cherie berjalan mundar-mandir di dalam bilik, stiletonya berbunyi keras di atas lantai marmar. Ketegangan di udara sangat terasa ketika dia menunggu suatu panggilan sejak pagi lagi. Apabila telefonnya akhirnya berdering, dia menyambarnya terus tanpa melihat nama pemanggil.
"Helo?" dia menjawab dengan kasar, nada ketidaksabarannya jelas.
"Cherie, dah selesai," suara di hujung talian berkata, dengan nada gugup yang ketara.
Dia merasakan sedikit kelegaan, tetapi ia segera ditenggelami oleh rasa cemas. "Apa maksud you, 'dah selesai'?" dia menuntut, suaranya dingin.
"Kumpulan Langford menjejaki pengusikan itu kembali ke ID aku. Aku rasa mereka dah mencurigai yang aku ni ada terlibat."
Pegangan Cherie pada telefonnya mengeras, buku jarinya menjadi putih. "Apa?" dia mendesis. "Kenapa you cuai sangat?"
"Aku... aku tak tahu macam mana mereka boleh tahu," suara itu gagap. "Rakaman pengawasan sepatutnya dah dipadam. Mungkin mereka memulihkannya."
"Bodohlah you ni!" Cherie meledak. "You sepatutnya buat kerja ni dengan bersih dan berhati-hati. You tahu apa jadi sekarang? Seluruh rencana I hancur sebab kebodohan you!"
Ada keheningan di hujung talian, diikuti dengan suara lemah, "Aku minta maaf, Cherie."
"I tak mahu dengar maaf sekarang!" dia menyembur. "You tahu yang Daddy I sekarang tengah siasat hal ni? Kebakaran kecil di pusat persidangan tu dah menarik perhatiannya, dan dia sudah curiga. Ini sepatutnya satu rencana yang mudah dan selamat, dan sekarang semuanya rosak."
Suara di hujung talian itu bergetar. "Aku tak bermaksud biar hal ini jadi macam ni. Aku dah melakukan segala yang kamu minta."
Cherie menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri. "You tahu apa yang dah dipertaruhkan, Haidy. Ini peluang you untuk membuktikan diri, dan you gagal. You bukan sahaja membahayakan kedudukan I, tapi diri you sendiri sekarang pun dalam bahaya."
Suara Haidy hampir berbisik. "Apa patut kita buat sekarang?"
Cherie menutup matanya, memicit pangkal hidungnya. "Buat masa ini, you menundukkan diri. Jangan cari I kecuali betul-betul perlu. I akan cuba menguruskan kesan dari pihak I. Tapi ingat ni, Haidy - kalau you jatuhkan I, I takkan teragak-agak untuk menamatkan you terus."
Ada jeda, dan kemudian Haidy berkata, "Aku faham."
Cherie meletakkan telefon, fikirannya berpacu. Haidy Rimun telah menjadi bidak yang mudah, perasaan sukanya terhadap Cherie membuatnya patuh dan senang untuk dikawal.
Beberapa tahun lalu, Cherie bertemu dengannya melalui pertemuan profesional yang dia menghadari bersama ayahnya, Kounselor George Gana. Haidy yang hampir sepuluh tahun lebih tua darinya telah terpikat dengan Cherie sejak itu, tetapi Cherie menganggapnya terlalu tua dan tidak menonjol. Namun, untuk rancangan ini, dia telah memanfaatkan perasaan Haidy terhadapnya, meyakinkannya untuk mengusik sistem HVAC dan keselamatan kebakaran bagi mencipta krisis yang akan membolehkannya memanipulasi Victor mengikut syaratnya menggunakan kelulusan permit yang tertunda sebagai alatnya.
Sekarang, rencana rapi yang dirancangnya bagaikan hampir terbongkar, dan ayahnya pula yang sedang menguruskan permintaan permit pelancaran Kumpulan Langford untuk pusat persidangan baru. Jika dia menemui penglibatan Cherie, ia bukan sahaja akan merosakkan kerjayanya tetapi juga merenggangkan hubungannya dengan ayahnya. Kounselor George mempunyai reputasi yang harus dijaga, dan sebarang skandal yang melibatkan anak perempuannya boleh membawa akibat yang serius.
Dia duduk berat di atas sofa, fikirannya berputar-putar dengan kemungkinan penyelesaian. Dia perlu berfikir dengan cepat, mencari cara untuk mengalihkan kecurigaan dari dirinya, dan mengawal kerosakan yang telah berlaku. Dia tidak boleh membiarkan ketidakmampuan Haidy merosakkan segala yang telah dia usahakan.
***
Pada malam ketiga di hospital, Victor akhirnya dibenarkan bangun dari katil untuk pergerakan ringan. Perkara pertama yang dimintanya adalah untuk Hann membawanya pergi melawat Kaylee. Hann membawa kerusi roda dan menolaknya ke bilik Kaylee di ICU.
Setelah berunding dengan Victor semalam, Hann telah cuba menghubungi ahli keluarga terdekat Kaylee untuk memaklumkan keadaannya terkini. Dia berjaya mendapatkan nombor telefon ibu bapa Kaylee tetapi turut mendapati bahawa mereka baru sahaja berangkat ke kawasan pedalaman untuk misi selama dua minggu, dan tempat itu tidak mempunyai isyarat komunikasi. Mereka hanya akan kembali selepas dua belas hari kemudian.
Hann berjanji kepada Victor bahawa dia akan menguruskan hal ini dan memantau dengan rapi untuk memaklumkan ibu bapa Kaylee sebaik sahaja mereka dapat dihubungi. Dia juga telah menghubungi syarikat Kaylee untuk memohon cuti sakit bagi Kaylee sehingga diberitahu kelak.
Kaylee belum sedar sejak dimasukkan ke hospital dua hari lalu, tetapi tubuhnya secara beransur-ansur semakin menghangat di bawah pengawasan rapi para profesional perubatan.
Hann menghentikan kerusi roda Victor di sebelah katil Kaylee dan meninggalkan bilik itu untuk memberi mereka ruang peribadi.
Bilik ICU itu diterangi cahaya malap, memancarkan cahaya lembut pada wajah tenang Kaylee.
Jantung Victor berdebar dengan campuran rasa syukur dan rasa bersalah, dia masih merasakan beban peristiwa baru-baru ini menekan berat di hatinya. Matanya bergenang dengan emosi. Dia menghulurkan tangan dan menggenggam tangan Kaylee dengan lembut. Jari-jari Kaylee masih sejuk, tetapi kehangatan tangannya sendiri mula meresap ke dalam jari-jari Kaylee.
"Kaylee," dia memanggil, suaranya hampir berbisik. "Terima kasih. Terima kasih atas segala yang kamu lakukan untuk menyelamatkan nyawa saya." Dia berhenti sejenak, matanya mencari-cari wajah tenang Kaylee untuk sebarang tanda tindak balas.
Suaranya sedikit tersekat ketika dia meneruskan, "Saya sangat minta maaf kerana menyebabkan kamu berada dalam keadaan ni." Air mata mengaburkan penglihatannya, dan dia menyeka air matanya dengan tangan bebasnya, bertekad untuk terus bercakap.
"Saya ada dengar suara kamu, Kaylee, dan lagu kamu. Ia memberi saya semangat dan harapan. Kamu sangat berani, sangat luar biasa." Dia menggenggam tangan Kaylee dengan lembut, ibu jarinya mengusap-usap buku jarinya. "Saya tak sangka kamu sanggup mempertaruhkan begitu banyak untuk saya."
Bunyi mesin-mesin dan dengungan lembut ICU mengisi bilik itu, kontras yang nyata dengan pusaran emosi yang berputar di dalam diri Victor. Dia telah melalui begitu banyak perkara dalam dua hari yang lalu sejak dia sedar, dan kini, duduk di sini dengan Kaylee, dia merasakan satu gelombang kelegaan menyelubunginya.
"Kaylee," dia meneruskan dengan lembut, suaranya bergetar dengan emosi, "Saya tak tahu sama ada kamu dapat dengar apa yang saya cakap sekarang, tapi ada banyak perkara saya nak bagi tahu kamu. Banyak yang telah saya simpan dalam hati."
Dia berhenti sejenak, menarik nafas dalam-dalam sambil mengumpul fikirannya. "Kali pertama melihat kamu, saya dah tertarik dengan kamu. Masa tu lelongan belum mula, kamu menjawab beberapa panggilan telefon di kawasan istirahat, dan saya ada dekat belakang panel pembahagi di sudut ruang VIP. Ada sesuatu tentang semangat kamu, kebijaksanaan kamu, kebaikan kamu, yang membuat saya merasa... hidup. Saya tak pernah rasa macam ni sebelum ni. Saya selalu begitu fokus pada kerja, pada tanggungjawab, sehingga saya tak pernah kisah nak membuka hati dan fikirkan bahawa saya memerlukan seseorang dalam hati saya."
Mata Victor penuh dengan air mata ketika dia bercakap, emosinya tulen dan tidak terjaga. "Kamu telah menunjukkan kepada saya dunia yang saya tak pernah kenal. Keberanian kamu, belas kasihan kamu, ketabahan kamu untuk membantu orang lain, kepercayaan kamu - semuanya telah memberi inspirasi kepada saya lebih daripada yang kamu akan tahu. Saya takut untuk mengakui bahkan kepada diri sendiri bahawa saya... saya mempunyai perasaan terhadap kamu, Kaylee. Perasaan yang mendalam, tulen yang saya tidak pernah alami sebelum ini. Saya tahu semua ni kedengaran gila - kita pun baru kenal beberapa hari je, dan hal macam ni memang tak patut dilakukan secara terburu-buru. Tapi saya tak dapat menahan perasaan saya."
Dia menyelak helaian rambut dari wajahnya, sentuhannya lembut dan penuh hormat. "Saya telah menghabiskan hidup saya membina tembok di sekeliling diri saya, melindungi hati saya dari ketakutan dan disakiti lagi selepas segala yang telah berlaku kepada saya. Tapi kamu... kamu telah menembusi tembok-tembok itu tanpa usaha."
Genggaman Victor pada tangannya sedikit mengetatkan ketika dia meneruskan. "Apa yang berlaku dua malam lepas, itu salah saya. Saya sepatutnya lebih bersedia dan berhati-hati. Saya yang sepatutnya melindungi kamu. Hancur hati saya melihat kamu dalam keadaan macam ni sekarang."
Dia mengeluh dalam-dalam, pandangannya tidak pernah meninggalkan wajahnya. "Saya ada di sini untuk kamu, Kaylee. Apa saja yang kamu perlukan, apa saja untuk tolong kamu pulih, saya akan berada di sisi kamu. Kamu bermakna lebih kepada saya daripada yang boleh saya ungkapkan dengan kata-kata, dan saya akan melakukan apa saja untuk melihat kamu tersenyum lagi."
Sambil dia duduk di situ, memegang tangan Kaylee dan menjaganya, dia merasakan satu kedamaian yang mendalam. Buat pertama kali dalam masa yang lama, dia membenarkan dirinya untuk menjadi terdedah, untuk merangkul perasaan yang telah lama dia pendam. Dan tidak kira apa yang akan berlaku seterusnya, dia tahu bahawa saat ini, hubungan ini dengan Kaylee, adalah sesuatu yang akan dia hargai selama-lamanya.
Mata Victor melembut ketika dia terus bercakap dengan Kaylee, suaranya penuh dengan kelembutan dan harapan. "Kamu telah memberikan saya satu anugerah, Kaylee - peluang untuk merasakan lagi, untuk percaya pada sesuatu yang lebih daripada sekadar tugas dan tanggungjawab. Saya tak tahu apa yang masa depan ada untuk kita, tapi saya janji untuk sentiasa jujur dengan kamu dan untuk sentiasa menghargai dan menghormati kamu. Kamu seorang wanita yang luar biasa, dan saya berbesar hati mempunyai kamu dalam hidup saya, walaupun hanya sebagai seorang kawan."
Dengan penuh hormat, dia mencium tangan Kaylee dengan lembut, satu janji senyap atas komitmen dan penjagaannya. "Biar saya berdoa untuk kamu kali ini," dia menawarkan dengan kekok, cuba melakukan untuk Kaylee apa yang Kaylee lakukan untuknya. Namun ketika dia berkata demikian, satu kedamaian dan kekuatan terus memenuhi hatinya, seolah-olah kepercayaan yang pernah dia miliki ketika dia masih muda bersama ibunya kini hidup kembali dan memenuhi seluruh kerohaniannya.
"Tuhan yang Maha Kuasa, ini adalah anakMu yang luar biasa, dan dia kurniaan yang paling indah yang telah berlaku kepadaku. Ampuniku kerana meletakkannya dalam keadaan ini, tapi tolonglah, kembalikannya kepadaku. Dalam nama Yesus, amin," dia berdoa.
Masih memegang tangan Kaylee, hatinya kini penuh dengan harapan dan kasih sayang. Dia tahu bahawa jalan di hadapan akan mencabar, tetapi dia bersedia untuk melaluinya dengan Kaylee di sisinya. Buat pertama kali dalam masa yang lama, dia merasakan satu hala tujuan dan kepunyaan, semuanya kerana wanita luar biasa yang terbaring di sisinya.
Pandangannya tertumpu pada wajah Kaylee, naik turun dadanya yang walaupun tidak ketara itu memberinya ketenangan. Akhirnya, Hann masuk ke bilik itu, langkahnya lembut dan penuh menghormati ruang mereka berdua. Dia mendekati Victor dan meletakkan tangan yang lembut pada bahunya. "Presiden Vic, kamu dah kena berehat. Hari ni dah cukup panjang bagi kamu."
Victor mengangguk dengan berat hati. Hann memberikan senyuman yang menenangkan. "Cik Stone ni kuat, macam yang kamu katakan. Dia pasti akan pulih."
Victor menggenggam tangan Kaylee buat kali terakhir sebelum melepaskannya. Dia berjanji dalam hatinya untuk berada di sisinya, seperti mana Kaylee telah berada di sisinya. Hann lalu menolak Victor keluar dari bilik itu dan menutup pintu dengan lembut.
Di dalam bilik itu, cahaya malap memancarkan cahaya lembut pada wajah Kaylee, kemudian, hampir tidak kelihatan, kelopak mata tertutup Kaylee berkedip-kedip seketika dan jarinya bergerak sedikit.
#
Share this novel
Tq update... cepat sembuh cik stone