KASUT Sneakers disarung pada kakinya. Earbuds pula diletakkan di telinga. Lalu, aplikasi audio dibuka sebelum hujung jarinya ligat memilih lagu kegemaran untuk dimainkan. Perlahan-lahan Arissa Edrea mula mengorak langkah menuju ke arah taman yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Dia mula melakukan aktiviti memanaskan badan saat sampai di taman tersebut. Merenggangkan otot-otot tubuhnya. Rutinnya setiap hari minggu, menghabiskan masa paginya dengan berjogging. Cukup dua atau tiga pusingan, barulah dia akan pulang ke rumah.
Arissa Edrea melabuhkan duduk di atas sebuah bangku yang terletak di taman itu, melepaskan lelah setelah penat berlari. Betul-betul berhadapan dengan sebuah tasik. Arissa Edrea melontarkan pandangannya ke arah tasik tersebut. Keluhan halus meniti di bibirnya. Ingatannya kembali mengimbau kejadian beberapa hari yang lalu. Tiba-tiba hatinya dirundung pilu.
Flashback...
Arissa Edrea mengatur langkah laju masuk ke ruangan sebuah hospital swasta yang terletak di tengah bandar. Pintu bilik wad tersebut ditolak sedikit kuat membuatkan penghuni di bilik wad tersebut berpaling ke arahnya. Melihat susuk tubuh Arissa Edrea di muka pintu, lantas Jannah menapak laju mendapatkan sahabat baiknya itu. Tubuh Arissa Edrea didakap erat. Tangisannya dihembur semahunya. Melihat keadaan Jannah, Arissa Edrea pantas membalas pelukan Jannah sambil tangannya mengusap lembut belakang tubuh sahabatnya itu. Cuba menenangkan Jannah yang sedang menangis teresak-esak di dalam dakapannya.
“Menangislah. Kalau dengan menangis boleh buat kau rasa lega, kau menangislah. Aku ada untuk kau, Jannah.” Ujar Arissa Edrea.
Untung sahaja bilik wad tersebut hanya ada Arissa Edrea, Jannah dan Airil, anak lelaki Jannah yang berusia lima tahun. Maka, tiadalah mata-mata yang melihat situasi yang sedang berlaku ketika itu. Setelah beberapa ketika, Jannah kembali tenang. Perlahan-lahan dia melonggarkan pelukan. Air matanya diseka dengan hujung bajunya.
“Kau okay ke?” Tanya Arissa Edrea saat pelukan mereka terlerai.
Jannah angguk kepala. Dengan mata yang sedikit merah, bibirnya dipaksa mengukir senyuman.
“Kau nak jumpa Airil?” Giliran Jannah pula bertanya. Suaranya sedikit serak kerana terlalu banyak menangis sejak malam tadi.
Arissa Edrea tidak membalas. Sebaliknya dia meraih tangan Jannah lalu menuntun Jannah ke arah Airil yang sedang lena di atas katil. Melihat keadaan kanak-kanak lelaki itu membuatkan perasaan marahnya meruap. Kepala Airil yang berbalut itu dibelai lembut.
“Kenapa kau tak beritahu aku? Kenapa baru sekarang?” Arissa Edrea menoleh ke arah Jannah dengan riak beku. Tangannya dikepal. Menahan amarah di hati.
“Ed, aku minta maaf. Bukan aku tak nak beritahu kau. Kejadian tu berlaku terlalu cepat. Lagipun masa tu aku tak boleh nak fikir apa-apa. Yang aku tahu aku cuma nak Airil selamat.” Intonasi suara Jannah mula mengendur. Dia menundukkan wajah. Sedikit gentar menatap tatapan tajam sahabat baiknya itu.
“Dekat mana jantan keparat tu sekarang?”
Jannah geleng kepala. Jujur dia tidak tahu keberadaan suaminya sekarang ini. Mahu memikirkan hal lelaki itu pun dia tidak mahu. Hatinya benar-benar sudah tawar. Harapan melihat suaminya berubah hanyalah angan-angan semata. Lokman tak akan pernah berubah. Kalau dulu Lokman hanya berani mengangkat tangan padanya, tetapi kini perbuatan lelaki itu sudah melampau kerana dia sudah berani mencederakan anak mereka. Jannah sudah bertekad, dia tidak akan termakan dengan pujuk rayu Lokman lagi. Cukuplah segala kesengsaraan yang dia tanggung selama ini. Apa sahaja tindakan Arissa Edrea kepada suaminya selepas ini, dia akan terima.
“Sekarang ni aku nak tanya kau? Lepas apa yang jadi pada Airil, kau masih nak pertahankan jantan tak guna tu ke?”
Jannah mengangkat wajah. Menatap semula ke arah Arissa Edrea.
“Aku akan ikut apa sahaja tindakan kau selepas ni. Cukup sekali dia cederakan Airil. Aku tak nak perkara ni berulang lagi. Mungkin sebelum ni aku boleh bertahan kalau dia cederakan aku. Tapi bukan anak aku. Satu-satunya darah daging yang aku ada.” Air mata Jannah kembali gugur satu persatu. Dia sudah penat. Letih dengan semua yang dia terpaksa tanggung. Kerana cinta, dia biarkan diri sendiri disepak terajang sesuka hati. Kerana kasihnya pada Lokman dia butakan mata dan hati.
“Kau yakin? Jangan nanti kau melutut merayu dekat aku minta aku lepaskan dia pula. Macam yang sebelum ni?” Duga Arissa Edrea sinis.
“Aku janji. Aku tak akan halang. Aku nak buat yang terbaik untuk Airil. Aku tak nak Airil hidup dalam keluarga yang toxic. Aku nak dia membesar dalam keluarga yang harmoni. Walaupun hanya ada aku dan dia. Itu dah cukup buat aku. Ed, kau tolong aku. Aku tak kuat nak lalui semua ni sendiri. Aku perlukan kau dan Kat. Kau orang berdua je sahabat yang sentiasa ada waktu aku susah dan senang. Bawa aku ke balai polis. Aku nak buat report.” Pinta Jannah. Tangan Arissa Edrea diraih.
“Kau yakin?” Soal Arissa Edrea.
Jannah angguk kepala.
Melihat balasan Jannah, Arissa Edrea menghela nafas lega. Bibirnya melakar senyuman nipis.
Baru sahaja Arissa Edrea mahu melabuhkan punggung untuk duduk, kedengaran pintu wad dibuka. Dia dan Jannah pantas menoleh, melihat gerangan yang datang.
“Jannah!”
Katrina laju meluru ke arah Jannah. Tubuh Jannah ditarik dalam pelukannya. Mendakap sahabatnya buat seketika.
“Kau okay tak? Sorry aku lambat. Aku baru je balik dari kampung Bad. Lepas dapat mesej daripada Ed, aku terus datang ke sini.” Terang Katrina panjang lebar. Pelukannya dileraikan. Menilik tubuh sahabatnya dari hujung kepala hingga ke hujung kaki. Risau sekiranya ada yang patah atau luka parah.
“Aku tak apa-apa. Lebam sikit-sikit je. Cuma… Airil…”
Belum sempat Jannah menghabiskan kata-katanya, Katrina sudah beralih pada Airil yang berada di atas katil. Melihat kepala Airil yang berbalut dan lebam pada wajah, spontan Katrina menghemburkan tangisan. Badrul yang turut berada di situ segera mendapatkan isterinya. Tangannya diangkat mengusap belakang tubuh sang isteri.
“Sayang…janganlah menangis macam ni. Insya-Allah Airil tak apa-apa. Kita biarkan Airil berehat.” Pujuk Badrul lembut.
Katrina pantas menyeka air matanya. Menoleh kembali ke arah Jannah.
“Macam mana Airil boleh jadi macam ni? Sebelum ni dia tak pernah sentuh Airil. Kenapa sekarang dia berani buat anak dia macam ni sekali?!” Katrina mula meluahkan amarahnya yang datang secara tiba-tiba.
“Aku pun tak sangka dia sanggup cederakan Airil. Malam semalam dia balik marah-marah. Dia kata dia kena buang kerja sebab selalu sangat tak datang. Dia nak pinjam duit daripada aku. Dia cakap nak bayar hutang tempat dia selalu pergi berjudi tu. Tapi aku tak ada duit nak bagi dia. Duit gaji aku bulan ni semua dia dah kebas untuk berjoli. Dia habiskan duit dekat girlfriend baru dia. Bila aku tak bagi duit, dia mengamuk. Dia mula angkat tangan pada aku. Tak puas dia pukul aku, entah setan mana yang rasuk dia, dia pukul Airil pula. Dia cakap Airil tu beban buat dia. Kita orang ni pembawa sial. Sebab tu nasib dia malang macam tu.” Luah Jannah dengan suara yang bergetar. Bayangan wajah bengis Lokman di mata pantas dibuang jauh.
“Girlfriend baru? Mesti perempuan tu butakan? Tertipu dengan wajah kacak laki kau. Harap muka je ada rupa tapi perangai macam setan! Bukan Airil dan kau yang bawa sial, tapi diri dia sendiri. Kalau dia depan mata aku sekarang ni memang aku dah tabuh kepala dia pakai heels aku. Yang kau pula Jannah, dah tahu laki kau main kayu tiga, panas baran, buat apa kau tunggu dia lagi? Kalau dari dulu kau ikut cakap kita orang, mungkin nasib Airil tak akan jadi macam ni. Sekarang kau tengok sendiri. Siapa yang jadi korban dia?”
Jannah menunduk.
“Aku tahu aku khilaf. Aku terlalu sayangkan Lokman sampai aku buta untuk menilai.”
“Kau bukan buta, tapi bodoh.” Selamba sahaja Katrina meluahkan kata-katanya.
Arissa Edrea tidak terkejut dengan kata-kata Katrina kerana dia kenal dengan sahabatnya yang seorang itu. Mulutnya memang pedas, tetapi hatinya baik. Tiada niat untuk mengecilkan hati Jannah, sekadar melepaskan amarah di hati.
“Dah, tak payah nak cakap orang bodoh. Yang tukang cakap tu pun dua kali lima. Lebih kurang sama. Sayang suami tak bertempat.” Sindir Edrea Arissa. Sempat matanya mengerling ke arah Badrul yang sedikit tersentak mendengar kata-katanya itu.
Katrina terdiam. Mengetap bibirnya rapat.
“Kat, aku nak minta kau dan Bad tolong jaga Airil sekejap. Aku nak bawa Jannah keluar.”
Katrina berkerut kening.
“Kau berdua nak pergi mana?”
“Aku nak bawa Jannah pergi buat laporan polis. Aku tak nak Lokman terlepas kali ni. Aku nak dia terima hukuman yang setimpal dengan semua perbuatan dia selama ni. Kali ni, aku tak akan berdiam diri.”
Katrina beriak seakan tidak percaya.
“Betul ke Jannah? Kau nak report pasal Lokman? Aku tak salah dengar?”
Jannah angguk kepala.
“Bagus! Macam nilah kawan kita orang. Jangan biarkan Lokman terus tindas kau. Ingat, kita bukan wanita yang lemah.” Ujar Katrina menyokong tindakan sahabat baiknya itu.
End Flashback...
ARISSA EDREA menghela nafas panjang sebelum kembali bangkit berdiri. Langkahnya kemudian diatur pulang ke rumah.
Saat kakinya menjejak pintu utama rumah, matanya tertancap pada beberapa pasang kasut yang terletak di hadapan muka pintu. Arissa Edrea berkerut kening. Timbul persoalan di benaknya. Tidak mahu terus berteka-teki, dia pantas memberi salam sebelum melangkah masuk ke ruang tamu. Kakinya terpasung saat matanya menancap wajah lelaki yang sudah lama tidak memunculkan diri. Melihat wanita yang berada di sisi lelaki itu, Arissa Edrea segera pusing tubuh. Mahu cepat beredar dari situ. Baginya, dia tiada sebarang urusan mahupun pertalian dengan mereka berdua. Oleh sebab itu, dia yakin kewujudannya tidak diperlukan di situ.
Namun, baru setapak kakinya melangkah, panggilan sang ibu membuatkan dia berhenti. Perlahan-lahan tubuhnya dipalingkan semula ke arah mereka yang berada di ruang tamu.
“Ya, ibu. Ada apa?” Soal Arissa Edrea tanpa riak.
Nadia bangkit dari duduknya. Lalu menapak ke arah anak perempuannya. Tangan Arissa Edrea diraih sebelum menuntun tangan Arissa Edrea ke arah sofa.
Melihat susuk tubuh Arissa Edrea sudah berada di hadapan mata, Hazran pantas bangkit untuk menyapa anak perempuannya. Baru sahaja dia ingin merapatkan tubuh, Arissa Edrea terlebih dulu mengangkat tapak tangannya, memberi isyarat agar Hazran tidak mendekat.
“Ada apa Encik Hazran datang ke rumah saya ni? Rasanya kita tak ada sebarang urusan.”
Nadia yang tidak senang mendengar bicara Arissa Edrea pantas menegur.
“Ed, kenapa cakap dengan ayah macam tu? Walau apapun yang dah berlaku, ayah tetap ayah Ed. Ibu tak ajar anak ibu bersikap kurang ajar macam ni.”
Arissa Edrea mengeluh kasar. Tanpa membalas dia melabuhkan punggung di sisi Puan Habsah. Langsung tidak menghiraukan pandangan orang-orang di hadapannya. Kedua-dua tangan diangkat memeluk tubuh sambil belakang tubuh disandarkan di dada sofa. Sedikit pun tiada senyuman terlakar di bibirnya.
Melihat kedatangannya tidak disenangi oleh Arissa Edrea, pantas Zarina menarik tangan Hazran untuk kembali duduk. Sakit hatinya melihat layanan buruk anak tirinya itu.
Hazran akur dan kembali duduk di sisi Zarina. Matanya tunak memandang ke arah Arissa Edrea. Dia menghempas nafas kesal. Kesal kerana dia, anak perempuannya berubah sikap.
“Ada apa abang datang ke mari?” Soal Nadia memecahkan suasana tegang antara anak perempuan dan bekas suaminya itu.
“Sebenarnya abang ada hajat yang nak abang sampaikan.”
“Hajat? Hajat apa?” Puan Habsah pula mencelah. Seakan tidak sabar ingin mendengar hajat yang dibawa oleh bekas menantunya. Jika tidak penting, tidak mungkin bekas menantunya itu sanggup munculkan diri di situ. Lebih-lebih lagi bersama isteri barunya.
Hazran menghela nafas panjang. Dia sudah bersedia untuk menerima apa jua balasan daripada pihak bekas isterinya itu. Sama ada mereka suka atau tidak, amanah sahabatnya perlu juga dia sampaikan.
“Sebenarnya kedatangan kami ke mari adalah untuk meminta persetujuan Nadia sekeluarga untuk satukan Ed dengan anak kawan baik abang. Nadia ingat lagi dengan Razak? Kalau Nadia ingat, dialah sahabat abang yang datang jumpa abang untuk merisik Ed buat anak lelaki dia.”
Membulat mata Arissa Edrea mendengar. Tidak menanti lama, dia terus bangkit berdiri dengan perasaan amarah.
“Ed tak setuju! Apa hak Encik Hazran untuk tentukan jodoh saya? Dengan siapa saya nak kahwin atau bila saya nak kahwin itu semua urusan saya. Tak ada kaitan dengan kau orang berdua!”
“Ed!” Nadia sudah memintas.
“No, ibu! Ed tak nak dengar apa-apa. Keputusan ED muktamad. Ed tak terima lamaran ni. Ed belum nak kahwin lagi. Encik Hazran dah dengar jawapan sayakan? Jadi lebih baik Encik Hazran bawa isteri Encik Hazran balik sekali. Sebab saya rasa semak tengok dia dekat sini.”
Zarina ketap gigi. Geram dengan kata-kata yang dilontarkan oleh Arissa Edrea padanya. Lantas permukaan sofa dihentak kuat sebelum dia bangkit berdiri. Mencerlung mata menatap wajah selamba Arissa Edrea.
“Eh perempuan. Kau dengar sini. Aku pun tak inginlah jejakkan kaki aku dekat rumah kau ni. Aku terpaksa ikut sebab ayah kau paksa aku ikut. Kau kena ingat sikit. Ayah kau ni wali kau. Walau macam mana pun kau buang dia, kau akan cari dia suatu hari nanti. Kau tahu sebab apa?” Zarina sengeh sinis.
“Sebab kau perlukan dia bila kau nak kahwin nanti. So, jangan berlagak sombong sangat! Dah, you kita balik! Buat penat je kita datang ke sini. Orang bukan kisah pasal kita.” Ujar Zarina sebelum menarik tangan suaminya untuk beredar.
Akur dengan kehendak si isteri, Hazran hanya menurut. Dia meminta diri untuk pulang. Namun dia sempat menitipkan pesan agar Arissa Edrea memikirkan dahulu permintaannya untuk menjodohkan Arissa Edrea dengan anak sahabat baiknya itu.
“Tolong fikirkan sekali ya, Ed. Ayah buat semua ni untuk kebaikan Ed. Ayah yakin anak uncle Razak boleh berikan kebahagiaan dan kemewahan pada Ed.”
“Huh! Untuk kebaikan saya atau Encik Hazran? Keputusan saya muktamad. Lagipun perjalanan hidup saya masih panjang. Saya rasa hidup saya lebih baik daripada ada lelaki dalam hidup saya. Saya tak perlukan lelaki dalam hidup saya. Lebih-lebih lagi lelaki macam Encik Hazran.” Sinis Arissa Edrea melontarkan kata-kata.
Tidak menunggu lama, Zarina terus menuntun tangan suaminya keluar dari situ. Tidak sanggup lagi mendenagr bicara sinis Arissa Edrea.
Melihat bayangan Hazran dan Zarina yang sudah tiada, Nadia pantas mahu menegur Arissa Edrea. Namun, baru sahaja dia ingin memulakan bicara, Arissa Edrea terlebih dulu memintas.
“Ed letih. Ed tahu ibu dan nenek nak cakap sesuatu. Tapi Ed perlukan masa untuk bertenang. Ed harap ibu dan nenek boleh faham. Ed masuk bilik dulu.”
Tanpa menunggu balasan daripada Nadia dan Puan Habsah, Arissa Edrea terus sahaja menapak naik ke tingkat atas. Meninggalkan ibu dan neneknya yang kebingungan dengan sikapnya itu.
Share this novel