PROLOG

Drama Series 1523

MATA terbuka luas saat terdengar dentuman pintu utama dihempas kuat. Perlahan-lahan Arissa Edrea bangkit dari perbaringan. Mengerdip mata beberapa kali sebelum jari-jemarinya menenyeh lembut pelupuk mata. Tangannya diangkat merapikan rambut yang sedikit serabai. Dengan kantuk yang masih bersisa, kaki diturunkan menjejak lantai sebelum menghayun langkah ke arah pintu. Tangan diangkat memulas tombol pintu. Lalu, mata dibawa mengitari sekeliling ruang hingga telinga mula menangkap esakan kecil di ruang tamu rumah. Tidak menunggu lama, kaki laju melangkah ke arah suara tersebut. Kelihatan susuk tubuh sang ibu sedang menunduk dengan air mata yang berlinangan. Bahu ibunya terhinjut-hinjut menahan sendu.

Arissa Edrea menapak mendekati tubuh ibunya. Bahu sang ibu disentuh lembut sebelum melabuhkan punggung di sisi ibunya. Tanpa menunggu lama tubuh ibunya ditarik rapat ke tubuhnya. Cuba menenangkan perasaan si ibu. Tidak tahu apa yang terjadi pada sang ibu, belakang tubuh ibunya dibelai lembut. Esakan si ibu semakin kuat kedengaran. Seakan ingin melepaskan segala kesakitan yang sudah lama dipendam sekian lama. Ibunya membalas pelukan anaknya. Tubuh Arissa Edrea didakap erat. Terlalu erat.

“Ibu, menangislah. Kalau ini boleh buat ibu tenang. Ed sanggup pinjamkan bahu Ed untuk ibu selama mana yang ibu mahu.” Ujar Arissa Edrea yang tanpa sedar turut sama mengalirkan air mata.

“Kenapa, Ed? Apa salah ibu? Apa kurangnya ibu? Semua ibu dah korbankan untuk ayah sepanjang perkahwinan kami. Kenapa ayah buat ibu macam ni? Sakit. Ibu rasa sakit sangat, Ed. Terlalu sakit!” Tangisan ibunya semakin pecah.

Arissa Edrea tidak mahu bertanya lanjut tentang apa yang terjadi antara ibu dan ayahnya. Dia pasti ibunya akan memberitahunya juga nanti. Cepat atau lambat, Arissa Edrea tidak pasti. Yang pasti ibunya tidak akan sembunyikan perkara itu lama daripada pengetahuannya. Dia kenal ibunya. Seorang wanita yang kuat dan sanggup berkorban apa sahaja untuk suami dan anaknya. Ini kali pertama Arissa Edrea melihat ibunya menangis seteruk ini. Melihat ibunya sesakit itu.

Melihat ibunya sudah sedikit tenang, perlahan-lahan pelukan ibunya dileraikan. Arissa Edrea membantu ibunya bangkit dari duduk. Lalu membawa ibunya menuju ke bilik tidur. Dia tahu pasti ibunya sudah letih. Semalaman menangis. Banyak air mata yang sudah terbuang.

Tubuh lemah ibunya dibawa ke arah katil sebelum dibaringkan di atas tilam empuk kepunyaan ibunya. Tanpa sebarang bicara ibunya mengalihkan kedudukan tubuh membelakangi Arissa Edrea. Arissa Edrea sedikit tersentak dengan perlakuan ibunya itu. Namun, perlahan-lahan Arissa Edrea cuba mengukir senyuman nipis. Cuba memahami kemahuan ibunya. Mungkin ibunya perlukan masa untuk bersendiri. Selimut di hujung kaki ibunya ditarik menutupi separuh daripada tubuh ibunya. Sebuah kucupan kecil dihadiahkan di kepala ibunya sebelum dia mengatur langkah keluar dari bilik tersebut. Membiarkan ibunya merehatkan diri.

Arissa Edrea masuk semula ke dalam bilik tidurnya. Telefon pintar yang diletakkan di kepala katil dicapai. Nombor telefon neneknya dicari sebelum didail. Selang beberapa deringan, terdengar suara neneknya dia hujung talian memberi salam. Arissa Edrea membalas salam neneknya.

“Ed, kenapa ni? Ada apa-apa berlaku dekat rumah tu ke? Jarang Ed nak telefon nenek waktu macam ni.” Soal Puan Habsah, ibu kepada Nadia iaitu ibu kepada Arissa Edrea.

Terdengar keluhan kecil meniti di bibir Arissa Edrea. Tidak tahu apa jawapan yamg sesuai untuk membalas pertanyaan neneknya itu. Membuatkan dia terdiam seketika. Buntu untuk menyusun ayat. Tidak mahu neneknya risau saat dia tahu apa yang terjadi pada ibunya. Salahnya juga. Tanpa berfikir panjang, laju sahaja mendail nombor telefon wanita itu. Sekarang, dia yang mati kutu untuk mencipta alasan. Sedangkan Arissa Edrea sendiri tidak pasti apa yang sudah dilalui oleh ibunya hinggakan ibunya menangis sebegitu teruk.

“Ed, nenek tanya ni? Ed okay ke? Hello... Hello... Ed masih dekat situ ke?”

Arissa Edrea tersentak. Cepat-cepat dia menyahut panggilan neneknya itu.

“Er…Ya nek. Ed masih dekat sini. Sebenarnya… Ed call nenek ni sebab….” Arissa Edrea buntu untuk meneruskan bicara.

“Cuba Ed jujur dengan nenek. Ed buat nenek risau. Ibu kamu sihat ke? Apa yang dah berlaku sebenarnya ni?” Soal Puan Habsah sekali lagi. Hatinya mula dihimpit resah.

“Tak ada apa-apa. Ed cuma rindukan nenek. Sebab tu Ed call nenek. Rindu sampai termimpi-mimpi. Lama dah nenek tak datang sini. Last nenek tidur rumah Ed masa mak su buat kenduri tahlil untuk arwah atok.”

“Pasal tu je ke Ed sanggup telefon nenek? Baru pukul dua pagi Ed. Risau nenek. Ingatkan ada perkara buruk yang jadi tadi. Ed…Ed…” Terdengar keluhan di hujung bicara Puan Habsah.

Arissa Edrea menggaru kecil kepalanya yang tidak gatal. Dia rasa bersalah dengan tindakannya.

“Nenek, boleh tak kalau esok nenek datang ke sini? Tidur sini dua tiga malam. Lagi pun Ed dah mula cuti sekolah. Please..." Arissa Edrea separuh merayu.

“Tiba-tiba je minta nenek tidur dekat sana? Apa kata Ed minta ayah bawa ibu dan Ed balik ke sini. Ed pun dah lama tak balik ke sinikan?”

“Mm…. bukan Ed tak nak balik ke sana. Cuma… ayah… ayah… dia…”

“Kenapa dengan ayah? Ayah kamu sakit ke?” Celah Puan Habsah tanpa sempat Arissa Edrea menghabiskan kata-katanya.

“Tak. Ayah sihat je. Cuma dia dah jarang ada dekat rumah. Ibu kata ayah ada kerja luar. Tapi semalam ayah ada balik. Tapi tiba-tiba Ed tengok ayah dah tak ada dekat rumah pagi ni. Mungkin ayah outstation lagi kot. Er… boleh tak nenek minta pak ngah yang hantarkan nenek ke sini? Kalau pak ngah nak Ed bayarkan duit minyak dan tol, Ed sanggup bayarkan. Tapi Ed nak sangat nenek ada dekat sini. Please nenek.” Pujuk Arissa Edrea lagi.

Keadaan hening seketika. Seakan memberi waktu buat Puan Habsah untuk berfikir sejenak.  

“Yalah. Nanti nenek minta pak ngah kamu hantarkan nenek ke sana.” Balas Puan Habsah setelah berfikir panjang. Mungkin ada sesuatu yang disembunyikan oleh cucunya. Kerana tidak selesa bercakap di telefon, lantas Arissa Edrea mengajak dia ke sana. Itu sahaja yang terlintas di fikirannya saat ini. Mahu tidak mahu, dia perlu ke rumah anak perempuan sulungnya untuk mencari jawapan tentang persoalan yang bermain di benaknya itu.  

“Betul ke, nek?” Soal Arissa Edrea dengan riak teruja.

“Ya, nenek datang. Nenek pun rindu nak jumpa anak dan cucu nenek.”

“Okay. Terima kasih nenek. Jumpa nanti. Tak sabar Ed nak jumpa nenek.” Ujar Arissa Edrea lega.

“Yalah. Dah lewat ni. Pergilah tidur. Nenek pun dah mengantuk ni. Jangan tidur lewat. Bangun awal. Tolong ibu kamu apa yang patut. Kesian kalau biarkan ibu kamu buat kerja sendiri.”

“Baik, nek. Ed letak call dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Panggilan ditamatkan. Telefon pintarnya diletakkan di atas meja sisi bersebelahan dengan katil miliknya. Arissa Edrea merebahkan tubuhnya di atas katil. Lalu, selimutnya ditarik menutupi separuh tubuhnya. Tanpa menunggu lama, kelopak matanya ditutup. Kembali menjemput lenanya.

KAKI melangkah laju mengekori seorang lelaki yang berpimpin tangan dengan seorang wanita di pusat membeli-belah itu. Arissa Edrea ingin memastikan yang dia tidak tersalah melihat. Mungkin pelanduk dua serupa. Arissa Edrea mengejari pasangan itu hingga ke tempat parkir kereta. Dia menapak mendekati pasangan itu saat pasangan itu baru sahaja ingin memboloskan diri di dalam perut kereta. Melihat jenis kereta yang dinaiki, kini dia yakin dia tidak silap orang. Memang benar apa yang dilihatnya tadi. Lelaki itu merupakan ayahnya. Tetapi siapa pula wanita yang bersamanya itu? Bukankah ibunya ada memberitahu bahawa ayahnya bekerja di luar selama seminggu ini? Kerana itu ayahnya tidak dapat ikut serta majlis keluarga belah ibunya hari ini. Ini pun kebetulan ada barang yang ingin Arissa Edrea beli untuk majlis tersebut. Oleh sebab itu, kini dia berada di situ. Tanpa dirancang dia boleh terserempak dengan ayahnya. Malah bukan ayahnya seorang sahaja, tetapi bersama seorang wanita asing di sisi.

“Ayah!”

Langkah Hazran terhenti. Dia menoleh memandang ke arah suara yang memanggil namanya. Hazran terkedu saat melihat susuk tubuh anak perempuannya sedang berdiri betul-betul di hadapannya. Lidahnya kelu tanpa suara. Seakan ada sesuatu yang tersangkut di kerongkongnya. Melihat Hazran yang diam membatu, Zarina iaitu wanita yang berada di sisi Hazran mula bersuara.

“Haz, I rasa dah tiba masanya you berterus-terang dengan dia. Sampai bila you nak sorokkan hal ni?”

“Hal? Hal apa ni, ayah? Siapa perempuan ni? Apa ayah buat dengan dia dekat sini? Bukan sepatutnya ayah ada kerja dekat Kuantan ke?” Soal Arissa Edrea bertubi-tubi. Jari- jemarinya digenggam kuat menahan amarah. Apatah lagi saat melihat tangan wanita itu memaut erat lengan ayahnya.

“Ed, ayah…ayah nak beritahu Ed sesuatu. Sebelum tu ayah nak minta maaf dekat Ed. Bukan niat ayah nak tipu Ed dan ibu. Tapi ayah belum bersedia. Sebenarnya perempuan yang Ed panggil ni bukan orang lain. Tapi… dia ni ibu tiri Ed, Zarina. Nama dia Zarina. Rina, ini Ed, satu-satunya anak perempuan I. Anak tunggal I dan Nadia.” Ujar Hazran dengan riak lega. Lega kerana rahsia yang disimpan selama ni tidak lagi menjadi rahsia.

Arissa Edrea terkedu. Ada cecair jernih yang mengalir di pipinya tanpa sedar. Dia mencerlung tajam menatap dua manusia di hadapannya itu. Seakan mahu ditelan mereka berdua hidup-hidup.

“Ibu tiri? Sejak bila?”

“Dah hampir dua tahun. Kami bernikah di Thailand semasa kami berkursus sama-sama di sana. We love each other. So, we decided to get married. Halalkan hubungan kami. Kami bukan buat benda yang salah pun. Bina masjid. Perkara yang baik.Am I right, Haz?”  Tanpa dipinta Zarina membalas pertanyaan Arissa Adrea. Bersama riak muka yang bersahaja. Tanpa sekelumit pun rasa bersalah.

“Tak salah? Memang tak salah. Tapi yang salahnya bina masjid di tapak yang salah. Membina kebahagiaan di atas penderitaan orang lain. Itu yang salah! Wow, sikit pun ayah tak rasa bersalah buat ibu macam ni! Apa salah ibu pada ayah? Apa kurangnya ibu di mata ayah? Sebab ibu dah tak secantik dulu? Sebab ibu tak pandai bergaya macam perempuan ni? Siapa yang ubah ibu jadi macam tu? Ayah yang tak bagi ibu bekerja. Ayah suruh ibu tumpukan perhatian uruskan rumah tangga. Sekarang ni… ini balasan yang ibu dapat setelah apa yang ibu buat untuk ayah, untuk keluarga kita?” Arissa Edrea menghembur kemarahannya. Air mata yang tidak berhenti mengalir dibiarkan sahaja.

“Ayah you tak salah. Dia pun ada perasaan. You ingat cinta ni kami yang paksa ke? Ia datang dengan sendiri. Daripada kami buat dosa, lebih baik kami kahwin!” Zarina cuba mempertahankan Hazran. Baginya apa yang mereka lakukan bukan suatu kesalahan. Bahkan, mereka dapat mengelakkan diri daripada perbuatan zina. Bukankah ini yang terbaik?

“Terbaik kepala hangguk kaulah perempuan! Sebab kau family aku musnah. Sebab kau ayah aku dah jarang ada dengan kami. Semua sebab kau! Perempuan tak guna! Tak tahu malu! Macam dah habis lelaki bujang dekat muka bumi ni. Sampaikan ayah aku pun kau nak kebas!” Meluap-luap rasa amarahnya saat ini. Hilang sudah sifat lemah-lembut dan sopan-santun seorang gadis bernama Arissa Edrea.

“Kurang ajarlah kau ni! You… tengoklah anak you ni! Dia tuduh I macam-macam. Takkan you nak diamkan je?” Rengek Zarina di sisi Hazran.  

“Rina, sudah! Ini hal I dan anak I. Biar I yang settlekan. I tak nak keruhkan lagi keadaan. Please... you tunggu I dalam kereta.”  

Zarina terkedu. Menarik muncung. Tanpa bersoal jawab, dia terus mengatur langkah masuk ke dalam perut kereta. Meninggalkan Hazran bersama Arissa Edrea di luar kereta.

“Ed, dengar dulu penjelasan ayah. Ayah tahu ayah salah. Tapi ayah yakin kita semua akan jadi sebuah keluarga yang bahagia. Ada ayah, ibu, ibu tiri Ed dan Ed. Kita boleh saling melengkapi. Ayah harap Ed boleh terima Zarina dalam keluarga kita. Lagi pun ibu tak ada halangan. Kalau ibu boleh terima, kenapa tak Ed?” Hazran cuba memujuk.

“Huh, itu ibu! Tapi bukan Ed. Ibu terpaksa terima. T.E.R.P.A.K.S.A! Sebab ibu terlalu sayangkan ayah. Tapi ayah? Sayang ke ayah dengan ibu? Ed tak rasa ayah ikhlas sayang ibu macam ibu sayangkan ayah. You know what? Ed kecewa dengan ayah. Ed betul-betul dah tak kenal siapa ayah Ed yang sekarang. Nampaknya Ed dah hilang ayah Ed buat selama-lamanya. Jangan tunjuk muka ayah dan perempuan tu depan Ed, kalau tak nak Ed jadi anak derhaka. Selamat tinggal, Encik Hazran.”  

Tidak menunggu lama, Arissa Edrea terus berlalu tanpa sedikit pun menoleh ke belakang. Hatinya hancur. Lelaki yang sentiasa disanjung dan menjadi idolanya kini sudah tiada. Yang tinggal hanya rasa benci. Benci pada manusia yang bernama lelaki. Lelaki tidak pernah puas. Baginya lelaki pemusnah hati wanita. Kerana lelaki ibunya menderita. Lebih-lebih lagi apabila yang menjadi nakhoda dalam rumah tangga adalah lelaki seperti ayahnya. Sampai bila-bila dia tidak akan memaafkan ayahnya. Kerana ayahnya punca keluarganya musnah dan kerana orang ketiga segala-galanya berubah. Saat itu, Arissa Edrea tidak lagi mempercayai lelaki. Dia tidak mahu terjebak dalam hubungan seperti ibu bapanya. Cukuplah apa yang berlaku dia jadikan pengajaran buat hidupnya. Dia tidak mahu ibunya terus menangis dan terseksa. Dia rela ibu bapanya berpisah. Baginya itu yang terbaik buat mereka. Hidupnya lebih tenang tanpa manusia yang bernama lelaki.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience