3. Andai Itu Takdir-Nya

Short Story Series 9884

Tengku Amira melepaskan keluhan panjang. Berat dirasakan beban perasaannya pada ketika itu. Dia kembali bersuara setelah selesai sepupunya bercerita panjang dan menjelaskan sedikit sebanyak mengenai penyakit kanser paru-paru, “Qaira memang macam tu, dia tidak suka susahkan orang lain tapi aku terkilan Zura bila dia tak bagitahu aku langsung, kalau dia bagitahu awal aku boleh bantu dia. Aku sanggup tanggung semua kos rawatan penyakit kanser dia. Aku takkan biarkan dia macam tu. Aku boleh bincang dengan papa soal ni tapi kenapa Zura, kenapa dia langsung tak bagi aku peluang untuk bantu dia?”

“Amira…. kau kena ingat, ajal maut tu di tentukan Allah. Arwah tak nak kau susah Amira. Dia sayangkan kau. Arwah tak nak kau risau pasal dia. Dia tak nak kau sedih masa dia sudah tiada lagi, sebab tu dia tak bagitahu kau,” pujuk Tengku Puteri Azura Erisya.

“Tapi Zura, tak adil untuk aku,” air mata yang bergenang di kelopak matanya kini mengalir laju. Tengku Puteri Azura Erisya hanya melihat sepupunya menangis. Dia tidak menyangka pemergian Qaira Imani memberi kesan yang begitu mendalam buat sepupunya.

“Kenapa Zura, kau sebagai doktor tak boleh selamatkan Qaira, kenapa kau tak buat betul-betul untuk selamatkan dia, kau kan doktor pakar,” soal Tengku Amira seakan hilang kewarasan ketika melontarkan kata-kata itu. Puteri Tengku Azura Erisya mengelengkan kepalanya perlahan. Dia merasakan sepupunya semakin parah, seolah-olah tidak dapat menerima hakikat kehilangan itu.

“Siapa kita nak melawan takdir Tuhan, Amira. Kau kena ingat yang kita semua milik Allah. Apa kau fikir kau saja yang bersedih. Mak ayah dan adik-adik dia tak sedih ke?”

“Walaupun aku seorang doktor pakar, ajal, maut, jodoh, pertemuan, perpisahan bukan aku yang mengawal semua tu, aku tak boleh nak lawan takdir Allah, kalau dah itu memang ajal Qaira aku buatlah sebaik apapun untuk selamatkan dia, dia tetap akan pergi sebab ajal dia dah ditetapkan oleh Allah, tidak terlalu awal dan terlambat walau satu saat pun kematian itu. Doktor bukan Tuhan, Amira. Bukan!”

“Tapi aku sayangkan Qaira, dia sahabat aku dunia akhirat,”

“Kalau betul kita anggap dia sahabat dunia dan akhirat, kita doakanlah untuk dia di sana sebab aku yakin yang dia perlukan doa dari kita,”

“Aku tak boleh, Zura. Aku….. aku….” suara Tengku Amira bercampur tangisan. Dia merasakan sakit yang amat di dadanya. Baru dia tahu begini rasanya kehilangan seseorang dalam hidup.

“Kau nak menangis, kau menangislah. Lepaskan semua yang kau rasakan, biar pantai ni jadi saksi, tapi lepas ni aku tak nak kau menangis macam ni lagi, kau kena ingat tiada kasih sayang yang abadi, yang lebih agung melainkan kasih sayang Allah. Allah lebih sayangkan Qaira, jadi aku harap kau belajarlah menerima kehilangan dia itu sebagai takdir yang sudah tertulis,”

Tengku Puteri Azura Erisya melepaskan keluhannya sebelum kembali bersuara, “Qaira dah lama maafkan kau, dia faham kau macam mana, dia dah bagitahu aku semuanya. Kau tak perlu rasa bersalah pada dia,”

‘Bukan aku tak faham, aku faham hati kau macam mana, aku tahu jalan yang kau tempuhi ni payah, hati kau tengah hancur tapi aku yakin masa akan merawat segala-galanya,’ desis hati Tengku Puteri Azura Erisya.

Sebulan sudah berlalu selepas pemergian Qaira Imani. Tengku Amira mengimbas kembali saat-saat dulu. Ketika mereka bermain layang-layang bersama di pantai. Masih terngiang-ngiang saat indah itu. Qaira Imani mengawal layang-layangnya daripada jatuh.

“Jatuh itu sakit, macam layang-layang aku ni kalau jatuh. Nak bagi dia naik balik melayang-layang tinggi dekat awan sana tu bukan mudah tau, samalah macam kita, kalau sekali dah jatuh, nak bangkit balik dari kejatuhan tu tidak mudah. Kalau suatu hari kau jatuh, kau jangan berputus asa,” Qaira Imani bersuara.

“Wah, sejak bila kau jadi pujangga ni?” Ujar Tengku Amira dan soalan itu membuatkan Qaira Imani tersengih.

“Sejak aku belajar dari kaulah,” jawab Qaira Imani.

“Iyalah tu. Bagi pada aku layang-layang kau tu, aku nak cuba main. Biar aku yang tolong kau bagi layang-layang kau kembali terbang. Kalau bab-bab macam ni aku memang hebat,”

Tengku Amira tersenyum sendirian mengenangkan saat-saat indah itu. Dia tidak perasaan kehadiran Tengku Puteri Azura Erisya yang sudah lama berada di meja makan pada tengah hari itu.

“Kau mengelamun apa tu?” Soal Tengku Puteri Azura Erisya.

“Eh, kau rupanya. Tak ada apa-apalah,”

Jujur dia merasa sangat sedih dengan kehilangan sahabat baiknya. Allah lebih menyayangi Qaira Imani. Andai itu takdir-Nya dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia reda kerana dia tahu kasih sayang Allah tidak pernah padam. Setiap hari dia berdoa untuk arwah. Semoga arwah Qaira Imani di tempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.


- TAMAT

Terbitan: Majalah Jendela Timur 2019
Writer: @iamwriterheart

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience