Series
9884
“Dengar dulu apa yang aku nak cakapkan ni,” ujar Tengku Azura Erisya supaya sepupunya mendengar penjelasannya terlebih dahulu sebelum membuat andaian bodoh.
Tengku Puteri Azura Erisya menyambung ceritanya, “Sebenarnya aku tahu mengenai penyakit arwah pun secara kebetulan, suatu hari aku lihat Qaira ke hospital, dia terserempak dengan aku, bila aku tanya dia buat apa dekat hospital, dia bagitahu aku temankan sepupu dia dekat hospital tu. Tapi dalam masa yang sama aku tengok dia macam sembunyikan ubat yang dia ambil dekat hospital tu, aku perasan benda tu tapi aku terlalu sibuk, kebetulan ada panggilan kecemasan masa tu, jadi aku hanya sempat cakap sekejap saja dengan dia,”
“Lepas tu?” Soal Tengku Amira.
“Tergerak hati aku untuk mengetahui ubat yang diambil Qaira, jadi aku tanya pihak hospital. Bila aku tengok nama ubat tu aku terkejut. Masa tulah aku tahu Qaira sakit. Aku siasat dan tanya dengan doktor pakar yang merawatnya. Qaira kena kanser paru-paru tahap tiga. Selama ini dia cuma bergantung pada ubat sepenuhnya. Kau tahu kan dia orang susah? Dia tak mampu untuk menjalani kemoterapi, dia juga tak nak susahkan mak ayah dia,”
“Kanser paru-paru? Macam mana kanser paru-paru tu boleh berlaku?” Soal Tengku Amira ingin mengetahui tentang penyakit kanser paru-paru yang telah meragut nyawa Qaira Imani.
“Biasanya kanser paru-paru berlaku kerana ketidaknormalan unit asas di dalam tubuh, iaitu dipanggil sel. Selalunya tubuh mengekalkan sistem pemeriksaan dan keseimbangan di dalam proses pembahagian sel untuk menghasilkan sel baru. Gangguan terhadap sistem ini akan menyebabkan pertumbuhan sel tidak terkawal dan akhirnya membentuk pepejal yang dikenali sebagai tumor,”
“Tumor?”
“Iya tumor, tumor mempunyai dua sifat, iaitu benigrl dan malignant. Apabila kita membincangkan tentang kanser, biasanya ia merujuk kepada sifat yang malignant. Tumor benign selalunya boleh dikeluarkan dan tidak merebak ke bahagian badan yang lain. Bagi tumor malignant pula, ia tumbuh secara agresif dan menyerang jaringan tubuh badan manusia yang lain, membolehkan kemasukan sel tumor ke dalam aliran darah atau sistem limfa dan kemudian ke bahagian lain di dalam tubuh. Untuk lebih jelas lagi, proses penyebaran ini digelar sebagai metastasis. Memandangkan kanser paru-paru merebak pada fasa pertumbuhannya, ia menyebabkan kanser ini dikenali sebagai pembawa maut dan salah satu kanser yang sangat sukar untuk dirawat. Kalau kau nak tahu, kanser paru-paru ini boleh merebak ke setiap organ di dalam tubuh manusia terutamanya kelenjar adrenal, hati, otak dan tulang. Kadang-kadang kanser paru-paru juga dikenali sebagai nama kanser bronkus,”
“Biasanya apa tanda-tanda yang menyebabkan seseorang itu terkena kanser paru-paru?” Soal Tengku Amira ingin mengetahui dengan lebih jelas.
“Batuk berterusan, darah pada kahak, sakit dada, kehilangan berat badan yang mendadak, kesukaran bernafas dan bronchitis yang berterusan atau jangkitan respiratori yang berulang. Kalau soal bronchitis dan respiratori aku rasa tidak perlu menjelaskan lebih detail, takut kau tak faham, itulah sebahagian tanda-tanda seseorang yang menghidapi penyakit kanser paru-paru,”
“Amira sebenarnya aku dah cuba bantu Qaira tapi dia menolak semua tu. Dia minta aku janji dengan dia jangan bagitahu kau soal sakitnya. Jadi aku cuma turutkan saja permintaan dia untuk kali terakhir. Maafkan aku sebab merahsiakan semuanya daripada kau,” sambung Tengku Azura Erisya yang merupakan salah seorang doktor pakar di Universiti Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Share this novel