BAB 9

Action Series 869

Mak hanya memerhatikan Tupai dan Romeo sedang memenuhkan beg mereka dengan senjata senjata dari bilik kebal itu. Dia kemudian mengalihkan pandangannya ke anak tangga yang baru mereka turuni tadi. Dihujung anak tangga itu, ada satu pintu, dengan satu tingkap kaca bulat kecil. Fikirannya kembali melayang pada hari MINDEF diserang.

IMBAS KEMBALI

Hanya dia seorang dalam bilik kebal itu. Tekun menyiapkan senjata untuk pasukan pertahanan Malaysia. Sudah siap 80%, hanya tinggal 20% lagi.

Dia mengalihkan pandangan kearah jam di dinding bilik itu. Waktu menunjukkan pukul 4.45 petang. Lagi 15 minit untuk dia pulang kerumah. Hari ini, harijadi suaminya. Mereka sudah merancang untuk keluar makan bersama dengan anak tunggal mereka.

Dia memandang kearah monitor cctv yang ada didalam bilik itu. Nampak suami dan anaknya sedang menunggu diatas sofa di lobi. Dia memandang kearah jam dinding lagi sekali. Lagi 10 minit untuk dia pulang.

Dia mula mengemas meja dan barang barang peribadinya. Menyusun semula peralatan yang digunakannya di tempat sepatutnya, dan memasukkan barang barang peribadi kedalam begnya. Dia membelek sebentar hadiah untuk suaminya yang dibalut kemas.

Ditutupnya monitor cctv, dan dia mula melangkah riang menaiki anak tangga untuk keluar dari bilik kebal itu. Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. Diambil kad pekerja dari dalam begnya, dan diswipe ke scanner pintu bilik kebal itu untuk dia keluar.

Dia berasa hairan apabila pintu itu tidak terbuka. Dicubanya lagi sekali, tetapi masih tidak terbuka. Dia mengangkat kepalanya dan menjenguk keluar melalu cermin bulat kecil yang ada dipintu itu.

Terperanjat dia melihat apa yang berlaku diluar. Rakan sekerjanya sedang berlutut, bahunya ditekan oleh seorang yang memakai pakaian askar serba hitam, dan memakai topeng, tapi berlubang di mata, hidung, dan mulutnya. Askar itu meletakkan pistol dikepala rakan sekerja Mak.

Rakan sekerjanya mengangkat kepala, memandang Mak, dan mulutnya bergerak menyebut “Jangan buka pintu”. Habis sahaja dia menyebut ayat itu, kepalanya ditembak oleh askar tadi. Menjerit Mak melihat peritiwa itu. Tangannya ditekupkan ke mulutnya, air matanya mula mengalir.

Seorang lagi rakan sekerjanya dibawa ke depan pintu masuk bilik kebal. Situasi yang sama. Dia melutut, dan kepalanya diacukan pistol oleh askar tadi. Askar itu menjeritkan sesuatu kepadanya, tetapi dia tidak membalas. Dia hanya mengangkat kepalanya, memandang Mak, dan menggeleng, seolah olah memberikan isyarat jangan buka pintu bilik kebal itu. Hampir serentak dengan itu, pistol yang diacukan dikepalanya, memuntahkan isi.

Perasaan panik mula menyerang Mak. Dia tak pasti apa yang berlaku. Siapa askar askar yang membunuh rakan rakan sekerjanya. Kenapa mereka bertindak demikian.

Mak kembali berlari menuruni anak tangga. Dia menuju kearah monitor cctv. Dia membuka suisnya, tetapi tiada apa yang tertera. Gelap. Dia hendak melihat dimanakah anak dan suaminya. Bertambah panik dia kerana tidak mengetahui nasib mereka.

Dia kembali berlari naik anak tangga itu, menuju semula kepintu bilik kebal tadi. Dia berharap dapat melihat mereka melalui cermin kecil tadi. Tapi apa yang dia nampak, hanyalah askar yang mebunuh rakan sekerjanya tadi, sedang berdiri dihadapan pintu itu. Menjeritkan sesuatu kepadanya. Ada dua orang askar sedang berdiri dihadapan pintu itu. Mereka cuba memecahkan tingkap kecil itu, tapi tingkap itu kalis peluru, susah untuk dipecahkan.

Mak berundur kebelakang. Dia merasa takut yang amat sangat. Dia panik. Dia tak tahu apa yang patut dia lakukan. Dia hanya melihat dua orang askar berpakaian serba hitam itu, cuba memecahkan tingkap kecil itu sambil menjerit sesuatu kepadanya.

Tiba tiba, ada satu tangan menekup mulut askar itu dari belakang. Dan sebelah tangan lagi mengelar lehernya, menggunakan senjata kerambit. Rakan askar tadi, berpusing untuk melihat apa yang terjadi kepada rakannya, dan dia menerima nasib yang sama. Lehernya dikelar dengan kerambit tadi.

Bertambah terkejut Mak melihat apa yang terjadi. Tapi digagahi juga untuk melangkah. Dia berjalan perlahan merapati pintu itu. Melihat melalui cermin kecil itu. Dia nampak pemuda yang mengelar leher askar askar tadi, sedang berlutut disebelah mayat mereka. Memeriksa nadi, memastikan askar askar itu sudah mati.

Pemuda itu kemudiannya berdiri, dan kemudiannya berpusing melihat Mak. Wajah pemuda itu terkejut. Mungkin dia tak menyangka ada seseorang di dalam bilik itu. Pemuda itu mengangkat tangan kirinya, menunjukkan telapak tangannya, memberikan isyarat kepada Mak supaya bertenang. Itulah pemuda yang sekarang Mak kenali sebagai Tupai.

Mak melihat dibelakang Tupai, ada dua orang lagi pemuda sedang berdiri, kemas bersedia dengan rifle mereka. Tupai bercakap sesuatu kepada mereka, sambil tangannya memberikan isyarat, seolah olah memberitahu mereka, ada seseorang dalam bilik kebal itu. Kedua dua mereka seperti terperanjat, dan serentak memandang kearah Mak. Mereka adalah pemuda yang Mak kenal sekarang sebagai Dungun dan Rembau.

Mak memberanikan dirinya, merapati cermin kecil itu. Dia memandang kearah kirinya, cuba untuk melihat apa yang terjadi. Arah kirinya, adalah pintu masuk, dan disitu terletaknya lobi. Dia cuba untuk memandang dan melihat dimana anak dan suaminya.

Tapi pandangannya terbatas. Apa yang dia nampak, adalah seorang pemuda berpakaian celoreng hijau, sedang bertempur dengan dua orang berpakaian serba hitam. Tangkas pergerakan pemuda itu. Walaupun sedang berhadapan dengan dua orang, dia tenang, masih mampu bertahan dan membalas serangan serangan mereka. Itulah pemuda yang Mak kenali sekarang sebagai Romeo. Dan dia sedang bertempur dengan General dan Mata Satu, salah seorang pembunuh Jahat Berenam.

Tupai datang memberikan pertolongan kepada Romeo. Baru adil pertempuran itu. Walaupun bertubuh kecil, Tupai pantas dalam pergerakannya. Dia berjaya mengelar badan Mata Satu berkali kali dengan kerambit ditangannya, membuatkan pergerakan Mata Satu semakin perlahan.

General sedar apa yang terjadi kepada Mata Satu. Tetapi dia tidak mampu untuk menolong Mata Satu, kerana dia sendiri hampir kalah sekarang ini bertempur dengan Romeo. Didalam keadaan terdesak, General menolak Romeo ke dinding, dan dia berpusing, menolak Tupai, dan mengangkat Mata Satu, dan mereka berlari, cuba lari pertempuran itu.

Waktu itulah Mak nampak ada seorang pemuda lagi sedang bertempur. Dia juga memakai pakaian celoreng berwarna hijau. Dia sedang bertempur dengan dua orang, seorang berkepala botak, lengan kiri dan kanannya penuh dengan tatu ular, dan seorang lagi yang seolah olah memakai topeng pernafasan di mulutnya. Itulah pemuda yang Mak kenali sekarang sebagai Kapten, dan dia sedang bertempur dengan Si Bisu, dan Si Ular, juga ahli kumpulan Jahat Berenam.

Si Ular cedera parah. Mukanya berlumuran darah. Dia terhuyung hayang, cuba berdiri. Si Bisu, sedang terbaring, dadanya turun naik, masih bernafas, tetapi sudah tidak mampu untuk bergerak. Kapten berdiri dihadapan Si Ular, mengangkat parangnya, bersedia untuk memenggal kepala Si Ular.

Tetapi waktu itu, General datang dan menolak Kapten. Si Ular mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri bersama General dan Mata Satu. Walaupun hilang keseimbangan, Kapten menghayunkan juga parangnya, dan hayunannya mengenai belakang Si Ular. Tetapi Si Ular tetap terus berlari.

Setelah mendapat kembali keseimbangannya, Kapten mengangkat Si Bisu yang sedang terbaring. Digenggam rambut Si Bisu, dan dia memaksa Si Bisu berdiri. Mak tidak pasti apa yang berlaku, tetapi dia nampak General, Mata Satu dan Si Ular tiba tiba berhenti dan berpusing mengadap Kapten.

Apa yang terjadi seterusnya, amat mengejutkan Mak. Kapten menghayunkan parangnya, dan Si Bisu rebah ke lantai. Tetapi hanya badannya. Kepalanya telah dipenggal Kapten. Menjerit kecil Mak melihat situasi itu. Kapten kemudiannya, menendang kepala Si Bisu kearah General, Si Ular dan Mata Satu.

Si Ular nampak seperti hendak berpatah balik kepada Kapten, tetapi pergerakannya dihalang General. Begitu juga dengan Kapten. Dia baru hendak mengatur langkah mengejar General, Mata Satu dan Si Ular, tetapi pergerakannya dihalang Tupai.
Mak nampak Tupai sedang bercakap dengan Kapten sambil tangannya menunjuk kearah Mak. Kapten memusingkan kepalanya, melihat kearah yang ditunjukkan Tupai. Dia dan Tupai mula berlari menuju kearah Mak.

Sejurus sampai dihadapan Mak, Kapten mengangkat telapak tangan kirinya kearah Mak, sambil jari telunjuk kanannya menekan nekan telapak tangan kirinya tadi. Mak paham apa yang Kapten cuba lakukan. Dia meminta kod membuka pintu kebal itu dari Mak.
Mak berasa ragu. Setelah apa yang berlaku dihadapan matanya tadi, dia was was hendak membuka pintu kebal itu. Dia tidak pasti adakah dia patut percaya dengan sekumpulan pemuda yang berdiri dihadapannya ketika ini.

Mak hanya memandang Kapten. Kapten menganggukkan kepalanya, seperti paham dengan keraguan Mak. Kapten menggunakan jari telunjuk kanannya, menunjuk kearah Dungun, Rembau, Romeo dan Kapten sendiri, dan kemudian Kapten menunjukkan lambang Angkatan Tentera Malaysia yang ada di bajunya.

Keraguan Mak hilang apabila mengetahui kumpulan pemuda yang berdiri dihadapannya ini adalah askar askar dari Angkatan Tentera Malaysia. Walaupun dia hairan kenapa Kapten tidak menunjukkan jari kearah Tupai. Mak mula mengangkat tangannya. Memberikan kod untuk membuka pintu kebal itu menggunakan isyarat tangan.

Dia terus berlari keluar apabila pintu bilik kebal itu dibuka Kapten dari luar. Berlari terus ke lobi untuk melihat apa terjadi kepada suami dan anaknya. Lagi dua tiga langkah dia hendak sampai ke sofa di lobi, langkah Mak terhenti. Dia tidak mampu untuk bergerak lagi, hanya jatuh melutut.

Dia menangis. Air matanya laju keluar. Mulutnya tidak berhenti henti menyebut “abang…. Zaki…” mayat suami dan anaknya ada diatas sofa itu. Ada kesan tembakan di kepala mereka. Betul betul didahi. Cebisan cebisan otak yang pecah akibat tembakan itu, melekat di dinding di belakang sofa itu.

Dia menangis dan terus menangis. Dia tidak paham dengan apa yang terjadi. Kenapa tempat kerjanya diserang, siapakah askar askar berpakaian serba hitam itu, kenapa suami dan anaknya dibunuh dengan kejam.

Mak dapat melihat melalui ekor matanya kaki kaki yang melangkah keluar dari MINDEF melintasi ditepinya. Tetapi, satu langkah terhenti betul betul disebelahnya. Pemilik kaki itu melutut, dan memakukan pandangannya kearah Mak.

Mak mengalihkan pandangannya kearah pemilik kaki itu, iaitu Kapten. Kapten mengatakan sesuatu kepadanya, dan secara spontan dia mengangguk, tanda paham dengan apa yang dikatakan oleh Kapten. Dia mengagahkan dirinya untuk bangun, dibantu Kapten. Dengan lemah, dia melangkah keluar bersama Kapten.

IMBAS KEMBALI TAMAT

“Mak, jom, dah siap” lamunan Mak terhenti dengan sapaan Tupai. Dia menganggukkan kepalanya, dan mengikut Tupai dan Romeo keluar dari bilik kebal itu. Dia dapat merasakan pandangan tajam Budak kepadanya. Seolah olah ingin mengatakan sesuatu.

Mak tidak menghiraukan pandangan Budak kepadanya. Dia meneruskan langkah, mengikuti mereka yang lain keluar dari MINDEF.

“Wo… berenti jap” tiba tiba Kapten mengarahkan mereka semua berhenti apabila mereka semua sudah keluar dari MINDEF, sambil mengangkat tangan kanannya. Dia berdiri, memerhatikan sekeliling.

“Kenapa?” tanya Romeo…

“Aku rasa macam ada orang perhatikan kita” sebaik sahaja Kapten menghabiskan ayatnya, Romeo, Tupai, Dungun, Rembau, Fatimah dan Aisyah mengangkat senjata mereka, bersedia.

Kapten memandang kearah Tupai. Tupai mengangguk faham. Tupai meninggalkan kumpulan mereka, dan mula bergerak memeriksa kawasan sekitar. Memang pakar menyelinap Tupai. Setelah lebih kurang 10 minit, dia kembali kekumpulannya dan menganggukkan kepalanya kearah Kapten.

“Ada drone ikut kita” Tupai memberikan laporan pada Kapten. Kapten memandang pada Mak.

“Mak... Hack drone tu. Tengok berapa lama lagi diaorang nak sampai” ujar Kapten pada Mak. Mak mengangguk dan kemudian mengeluarkan tab dari begnya. Dia menekan nekan tab yang dipegangnya itu. Mak kemudian mengalihkan pandangannya pada Kapten.

“Dalam 30 minit lagi. Ada 6 jip.” Kapten kemudian memandang rakan rakannya.

“Kita tak sempat nak lari dah... Jom kita plan apa nak buat bila diaorang sampai” kata Kapten. Yang lain semuanya mengangguk faham.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience