1Muslihat

Romance Completed 368129

MARIA segera menyimpan enam keping wang kertas berwarna ungu yang diberikan oleh Tuan Decsier kepadanya tadi ke dalam dompet.  Lelaki yang cerewet itu mengarahnya pergi membeli barangan-barangan dapur dengan vitamin untuk neneknya, Nek Kalsom. 

Nek Kalsom masih boleh berdiri dan berjalan biar tidak lincah namun untuk menguruskan dirinya sendiri, dia tidak mampu untuk sepenuhnya.  Sebelum ini, Mak Rauda yang selalu menguruskannya, menjadi pembantu di rumah besar itu namun kerana ada urusan peribadi di kampung, wanita itu terpaksa meminta cuti untuk beberapa bulan.  Sudah berkali-kali rumah itu bertukar pembantu.  Tidak ada seorang pun yang tahan bekerja di rumah besar itu disebabkan oleh sikap Tuan Decsier yang sangat cerewet, ditambah lagi dengan tugasan lain iaitu perlu mengurus Nek Kalsom.

Nek Kalsom hanya memiliki dua orang anak sahaja; Ameera dengan Ariffin.  Ameera kini menetap di luar negara bersama keluarganya. Kedua-dua orang tua Tuan Decsier pula telah meninggal dunia ketika lelaki itu baru sahaja berusia 10 tahun akibat kemalangan jalan raya.  Oleh kerana dijaga sedari kecil, Tuan Decsier amat menyayangi neneknya.  Terlalu sayang.  Dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk orang tua itu.  Jangan ada yang salah atau kurang walau sedikitpun kerana semua itu boleh mendatangkan kemurkaan dalam dirinya.

"Dah habis beli barang nanti, jangan merayau tak tentu arah pula.  Balik cepat sebab lepas ni saya ada hal kat luar.  Saya tak nak nenek tinggal sorang-sorang kat rumah." Tuan Decsier melaungkan pesan ketika Maria sedang  bersiap-siap mahu pergi.

Mengukir senyuman palsu, segera Maria mengangguk.  "Baik, tuan.  Saya janji, tak keluar lama pun."

"Hrmmm... Ni!" Tuan Decsier menghulurkan lagi sekeping wang kertas berwarna ungu kepada pembantu rumahnya itu.  "Yang ni buat beli minyak kereta awak nanti."

"Hahhhh?" Maria pura-pura tercengang sedang bebola matanya pula sudah terlihat bersinar-sinar.  "Errr, banyak sangat ni tuan.  Perodua je tu, jimat minyak.  Tapi... terima kasih!" Maria tersengih.  Dalam menolak serba salah, laju juga tangannya menyambut huluran tadi.  Duit, siapa tak nak?

"Perodua ke perotiga ke, perosepuluh ke pakai minyak juga kan? Ke kereta awak tu pakai minyak senyonyong??" Tuan Decsier membidas angkuh sebelum terus berlalu pergi tanpa mahu mempedulikan keadaan sekeliling.

"Eh, apa pula macam tu.  Tapi tak kisahlah pero berapa sekalipun, asalkan... jangan perosak, sudah!" Maria mengecilkan mata sambil memerhatikan kepergian Tuan Decsier dengan perasaan yang jengkel.  "Daripada aku suruh kereta aku tu yang pakai minyak senyonyong, lagi bagus kalau aku sendiri yang pakai.  Kot-kot, cepatlah juga dapat jodoh! Hihihi!" Maria mengekeh sendiri namun laju menampar mulutnya saat tersedar waras.  "Ishhh mulut aku ni pun! Lagi baik aku pergi sekarang.  Lambat balik, mengamuk pula makhluk Tuhan yang paling cerewet tu nanti!"

Maria memecut laju keretanya dibawa menghala ke arah jalan raya besar.  Mujur tidak terlalu banyak kereta,  keadaan hanya lengang.  Mungkin kerana pada waktu seperti itu, masing-masing sudah berada di tempat kerja.

Jarak di antara rumah Tuan Decsier dengan pasar raya besar yang hendak dituju oleh Maria itu tidak jauh, masih sahaja berada di kawasan yang sama. 

Hanya dalam kiraan 10 minit, akhirnya Maria tiba juga tepat di hadapan pasar raya besar tersebut.  "Okey sekarang... masa untuk membeli belah! Ishhh, mana list barang tadi?" terkial-kial Maria mencari sesuatu sebelum melangkah keluar dari dalam keretanya.

DARA JELITA yang sedang sibuk menyusun kotak ubat-ubatan segera menoleh ketika namanya dipanggil nyaring oleh seseorang dari arah bilik stor bahagian belakang.

"Dara, ooo... Dara!"

"Apa?" Dara Jelita menyoal dengan tampang yang curiga.

"Duhai dara kau manis jelita
Senyum mu indah berseri-seri
Hati ku selalu menjadi tergoda
Memandang kau tiap hari... hahaha!"

Keadaan di dalam farmasi itu menjadi riuh-rendah, riang dan ceria buat seketika tatkala kedengaran paduan suara menyanyikan serangkap lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi L.Ramlee suatu ketika dahulu, diiringi pula dengan bunyi tepukan pada permukaan meja, kotak-kotak besar atau apa sahaja yang boleh dijadikan menghasilkan muzik.

Ah, Dara Jelita sudah terlalu biasa diusik dan mendepani situasi seperti itu, bahkan sejak belajar di sekolah menengah lagi.  Dia tidak marah, cuma... sebal.  Dipanggil berkali-kali hanya untuk diusik sahaja, hati siapa yang tidak akan haru?

"Ishhh, korang ni kan." Dara Jelita mendengus sebelum kembali menyambung semula pekerjaannya yang tadi.

"Hahaha!" semakin asyik para pengusik tadi melantunkan tawa.  Sehari tidak mengusik, terasa bagai ada yang kurang sahaja.  Walau seringkali bertengkar, namun tidak sedikitpun mereka menyimpan dendam.  Pendek kata; sekadar bertengkar sayang sahaja.  Jika tidak, tidak cerialah suasana.

Suasana yang riuh tadi semerta menjadi sunyi ketika kelihatan seorang pelanggan wanita melangkah masuk.  Masing-masing mula berlagak profesional. Hanya Dara Jelita sahaja yang bertingkah kekal seperti tadi kerana dia sememangnya seorang yang serius dan fokus jika sedang melakukan sesuatu pekerjaan.  Daripada posisi mencangkung, Dara Jelita segera berdiri untuk melayan pelanggan wanita yang tadi.

"Cik, kata sini ada jual vita... "

Jeda buat sesaat kerana masing-masing sedang terkejut.

"Maria??"

"Dara?? Dara Jelita??"

Kedua-dua wanita itu saling berpandangan, saling mengingati siapa gerangan wajah yang sedang tertayang di depan mata sebelum langsung berpelukan erat.

"Maria, awak apa khabar? Lamanya kita tak jumpa!" Dara Jelita menyoal dengan nada yang sangat teruja.  Walaupun dia dengan Maria tidaklah begitu rapat suatu ketika dahulu, tetapi tetap sahaja mereka saling bersahabat.  Mesra tapi jauh.   Dara Jelita tidak hanya terkenal di kampung, tetapi di sekolah juga sama.  Mungkin kerana namanya yang begitu unik dan lain, ditambah pula dengan kekurangannya dalam melakukan segala pekerjaan rumah.

"Saya... saya sihat.  Makin cantik awak, Dara.  Dah pandai masak dah? Dah pandai cuci pinggan mangkuk?" soalan berbaur usikan yang Maria lontarkan sebelum tawa nakalnya ikutan memecah.

Terasa tercabar pula Dara Jelita mendengar pertanyaan yang seperti itu walaupun dia tahu Maria sekadar mahu mengusik.  "Tak hebat, tapi dah boleh dah.  Saya selalu belajar memasak, tahu tak?" kata Dara Jelita.

"Belajar dari mana?"

"Dari Youtube.  Hehe... " Dara Jelita tersengih bangga.  "Awak dari mana hendak ke mana?"

Lama Maria diam, membiarkan pertanyaan Dara Jelita yang terakhir tadi tergantung tanpa respon.  Bukan tidak sudi mahu menjawab, tetapi ketika itu otaknya sedang ligat memikirkan sesuatu.  Dara Jelita? Dah pandai masak? Dah pandai buat kerja-kerja rumah? Menarik!

"Maria, awak... okey tak? Kenapa awak pandang saya sampai macam tu sekali?" Dara Jelita kembali bersuara sambil tangan gigih membelek-belek wajahnya sendiri.  Manalah tahu kalau-kalau ada yang aneh pada wajahnya sehingga membuat Maria bertingkah seperti itu.

"Errr... Dara.  Boleh... boleh kita cakap sekejap? Saya ada hal yang penting sangat nak cakap dengan awak." Maria memulakan akal.  Bukan niat mahu mengenakan Dara Jelita, tetapi, apa lagi cara lain yang dia ada? Dia benar-benar sudah buntu mahu memerah akal.

Dara Jelita melirik ke arah jam pada pergelangan tangannya.  Kebetulan, 15 minit lagi akan masuk waktu rehatnya.  "Bolehlah, jom.  Kita berbual kat kedai makan depan tu.  Tapi... tadi tu awak nak beli erk?"

"Errr... nanti-nanti je lah.  Yang penting sekarang ni, saya nak jumpa dengan awak dulu." ujar Maria.

"Ohhh... " Dara Jelita tersenyum nipis.  "Kalau macam tu, awak tunggu dulu.  Saya nak ke belakang ambil handbag jap." kata Dara Jelita sambil terus berlalu.

Maria mengangguk sebelum melangkah ke arah luar dengan perasaan yang sedikit lega.  Belum lega penuh, kerana selagi dia tidak menemui orang yang sudi menggantikan dirinya, selagi itu jugalah dia akan terus berasa tidak tenang.

MENGAMBIL tempat duduk di suatu sudut, sepasang sahabat lama itu terus membuat pesanan makanan dan minuman.

"Bagi saya... mee goreng mamak satu, air sirap ais satu." kata Dara Jelita kepada seorang pelayan lelaki yang sedang berdiri di hadapan mereka ketika itu.  "Awak, Maria? Pesan je apa-apa, biar saya yang belanja."

"Errr... air sirap ais juga.  Makan tak nak." Maria tersenyum nipis.  Bukan dia tidak mahu makan, tetapi dia bimbang jika akan terlambat sahaja.

"Awak tak nak makan? Nanti awak lapar." Dara Jelita menayang riak bimbang.

"Tak apa, saya masih kenyang." Maria tetap menggeleng, kekal bersama segaris senyuman nipis di bibir.

Memahami maksud senyuman Maria, pelayan lelaki yang tadi terus mengangguk lalu melangkah pergi.

"Saya sebenarnya memang nak cepat ni.  Saya minta maaf, Dara.  Sebenarnya... saya nak minta tolong awak." Maria memulakan kata-katanya dengan sangat berhati-hati.

"Awak nak minta tolong apa? Kalau awak nak minta pinjam duit... " Dara Jelita laju menggaru kepala.  Riak yang serba salah dan segan sudah pasti jelas tertayang.  Otak anak dara itu sempat mengira jumlah simpanannya yang terkini.  Yang berbaki di dalam bank simpanan barangkali hanya beratus ringgit sahaja.  Itupun sebagai wang kecemasan.  Dara Jelita bukanlah seorang yang boros, 30 peratus daripada gaji bulanannya akan disimpan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera kerana dia tahu, menjadi penyimpan yang bijak adalah sangat penting untuk jaminan masa hadapan.

"Tak.  Bukan sebab tu." Maria laju menggelengkan kepalanya berkali-kali.

"Kalau bukan sebab duit, habis tu sebab apa?" riak Dara Jelita bertambah penasaran apalagi tika melihat tingkah Maria yang semakin sahaja bertambah aneh.  Tersenyum ada, terlihat bimbang ada dan seperti mahu menangis juga ada.

"Cerita dia macam ni... " Maria memicingkan sepasang matanya terlebih dahulu, mencuri nafas sambil gigih mencuba untuk menghadam setiap apa malapetaka yang akan menimpa dirinya jika dia terus bertahan bekerja di bawah seorang majikan yang terlalu mementingkan kesempurnaan seperti Tuan Decsier.  Ah, mengingat namanya sahaja sudah cukup membuat Maria hampir tercekik air liurnya sendiri apalagi jika mahu mendepani lelaki yang sangat menjengkelkan itu setiap hari!  "Se... sebenarnya, saya... saya kena jaga nenek saya kat kampung.  Kesian dia Dara.  Dah tua.  Nak buat makan minum sendiri pun dia dah tak larat." Maria memulakan drama gundah.  Menjadi sekali lakonan Maria, biar sebenarnya, rasa lucu dan serba salah sedang rakus menggigit hati.

Air muka Dara Jelita serta merta berubah.  Jangan disebut tentang perkataan nenek kerana hatinya sangat mudah tersentuh! Dia terlalu rindukan arwah neneknya yang sudah bertahun-tahun pergi menghadap Ilahi.  Rasa rindu yang tidak berpenghujung, seperti itu keadaannya jika insan yang kita sayang telah tiada.  Kedengaran kejam, namun seperti itulah hakikat dalam sebuah kehidupan.   Sehebat manapun kita, mati itu tetap pasti.

"Jadi? Awak nak minta tolong saya jagakan nenek awak ke?" Dara Jelita meneka.

"Eh tak, bukan! Maksud saya bukan macam tu, Dara!" Maria segera mencantas.

"Habis tu??"

"Awak tahu, sekarang ni saya kerja jadi maid sebab gantikan Mak Long saya.  Saya dah sign kontrak untuk enam bulan dan saya terikat dengan kontrak tu.  Saya nak berhenti pun tak dapat, Dara.  Nenek saya pula tak ada orang yang nak jaga.  Mak saya tu, bukannya larat sangat.  Jadi... awak nak tak tolong gantikan saya jadi... maid kat rumah bos saya tu? Tolonglah, Dara.  Saya tak tahu lagi nak buat macam mana.  Saya tak ada saudara mara pun kat sini. Saya cuma ada awak."

"Hahhh? Awak nak saya gantikan awak jadi maid?? Macam tu??" Dara Jelita melopong penuh. Membayangkan keadaan di rumah orang jika dia yang menjadi pembantu sahaja sudah membuatkan dia kecut perut apalagi lagi jika semua itu menjadi nyata. Huru-haralah jadinya nanti. Sudahlah dia tidak tahu langsung membuat segala pekerjaan rumah.

"Tolonglah, Dara. Saya tak tahu lagi nak minta tolong pada siapa. Pasal gaji awak jangan risau, saya berani jamin yang awak tak akan menyesal. Errr... ma... majikan saya tu pun, baik sangat. Tak kedekut. Baru je tadi dia bagi RM100 untuk minyak kereta saya. Tu baru minyak kereta je tau, belum lagi yang lain. Tak lama pun, Dara. Enam bulan je." Maria memujuk dengan bersungguh-sungguh.

Lama keadaan menjadi diam. Tiada sahutan kata daripada Dara Jelita. Mungkin kerana otaknya sedang memikirkan baik buruk jika dia menerima mahupun menolak.

"Tolonglah, Dara. Kalau awak tak kesiankan saya sekalipun, awak kesiankanlah nenek saya. Nenek saya dah tak larat dah, Dara. Saya betul-betul tak sanggup nak bayangkan dia tinggal sorang-sorang."

Dara Jelita menarik nafas, lama lalu dibuang juga dengan hembusan yang terbeban berat. Mahu menolak tetapi dia berasa kasihan pula.

"Tapi saya... tak pandai sangat bab masak-masak ni, Maria. Kerja-kerja rumah pun... ala-ala... "

"Pasal tu, awak jangan risau." Maria segera mencantas. "Bos saya tu jarang ada di rumah. Selalunya dia traveling, kadang sampai berbulan-bulan lamanya. Tu yang Mak Long saya cakaplah. Saya pun, baru je kerja dengan dia. Tapi awak jangan risau, kerja kat rumah tu seronok sangat. Kalau bukan kesiankan nenek saya kat kampung tu, saya tak nak berhenti pun. Sayang sangat. Bos baik, gaji pula besar."

"Berapa gaji awak untuk sebulan kat situ?" soal Dara Jelita.

"Lima ribu, Dara. Belum lagi ditambah dengan elaun minyak kereta awak kalau keluar beli barang dapur macam sekarang ni ha."

"Lima ribu??" tanpa sedar, Dara sudah mengukir senyum. Kalaulah apa yang dikatakan oleh Maria itu betul, penuhlah poketnya nanti! Boleh juga dia membantu ayah di kampung.
5000 jika dikalikan dengan enam, mana nak cari??

"Saya jamin, awak takkan menyesal Dara. Saya sebenarnya sedih sangat nak berhenti tapi... saya lebih kesiankan nenek saya." Maria menambah dengan nada dan perasaan yang semakin yakin tatkala menyedari akan riak teruja Dara Jelita. Umpan sudah mengena.

'Ah, maafkan saya Dara! Sebenarnya, nenek saya pun dah lama meninggal dunia.'

"Demi nenek saya, tolonglah Dara. Saya betul-betul tak tahu nak minta tolong pada siapa lagi ni." Maria mula menitiskan air mata sebagai pelengkap kepada muslihat nakalnya. Tidak kisahlah, asalkan Dara Jelita bersetuju untuk membantu.

"Baiklah, saya akan tolong awak. Lagipun... untuk enam bulan je kan?"

"Ya, Dara. Enam bulan je. Lepas tu, Mak Long saya akan kerja semula." Maria membela senyuman lega. Ikutkan hati, mahu sahaja dia melompat dan berdansa di situ. Riang di dalam hati, hanya Dia yang tahu!

"Bila awak nak saya gantikan awak?" soal Dara Jelita.

"Esok."

"Esok??"

Share this novel

Che Da(Ayunifalin)
2022-08-31 10:15:19 

ok hehehe

Che Da(Ayunifalin)
2022-08-31 10:07:38 

kenapa order dengan pelanggan bukan dengan pelayan love?


NovelPlus Premium

The best ads free experience