Prolog

Romance Completed 368129

PRANGGG!

Mutalib mengeluh, lagi dan lagi.  Memang semua itu sudah dia jangkakan setiap kali satu-satunya anak dara kesayangannya itu turun ke dapur.  Jika bukan pinggan, maka mangkuk yang akan pecah.  Jika bukan mangkuk, lalu gelas.  Belum lagi jika mahu ditambah dengan jeritan penghuni sementara dapurnya itu.

Semua itu bukanlah situasi yang baharu dan asing buat diri Mutalib, tetapi memang dia sudah hadam benar. "Habis jahanam harta ayah! Dara, oh Dara... " Mutalib merungut dalam lantunan gelak tawa yang kecil. 

Tadinya; Dara Jelita menawar mahu membancuh air kopi untuk Mutalib.  Sudah ditegah namun dia tetap berkeras.  Sebagai ucapan terima kasih kata Dara Jelita, kerana Mutalib telah memasak kari ikan kesukaannya.  Namun, sudah sejam berlalu, jangankan kopi, wajah cantik Dara Jelita pun tidak muncul-muncul. 

Ah, sedikitpun Mutalib tidak berharap kerana dia tahu tingkah seorang anak dara itu seperti apa. Terkial-kial di dalam dapur itu sudah pasti.

Di kampung itu, siapa yang tidak kenal pada Dara Jelita? Satu-satunya anak tunggal Ahmad Mutalib.  Cantik jelita itu sudah pasti, sesuai sekali dengan namanya.  Bijak pandai, sopan santun dan tidak pernah melawan cakap orang tua tetapi... mana ada makhluk yang sempurna di muka bumi ini? Ya, dia memang cantik, dia memang bijak, dia memang baik dan dia juga memang seorang yang sopan santun tetapi malangnya... tiada satu pun pekerjaan di rumah yang Dara Jelita tahu lakukan.  Mencuci pinggan sudu pun sudah teragak-agak, inikan pula mahu memasak?

Jangan ingat anak orang kaya sahaja yang seperti itu, Dara Jelita yang merupakan anak seorang nelayan biasa juga sama.  Dia sudah terbiasa dimanjakan oleh ayahnya sedari bayi.  Anak bapa yang tidak beribu.  Dara Jelita ditinggalkan bersama Mutalib ketika dirinya baru sahaja berusia 6 bulan.  Kata orang-orang kampung, ibu kandungnya itu melarikan diri kerana mengikut lelaki lain.

Dara Jelita dibesarkan oleh ayah dan neneknya namun ketika berusia 18 tahun, neneknya pula yang meninggal dunia.  Semenjak itu, tinggallah Dara Jelita bersama Mutalib sahaja di dalam sebuah rumah kampung itu.

Kini, anak tunggal kepada Mutalib itu sudahpun berusia 22 tahun. Sudah hampir setahun Dara Jelita menamatkan pengajiannya di sebuah pusat pengajian tinggi, di daerah yang sama juga. Semenjak itulah, Dara Jelita dengan Mutalib tabah berjauhan. Sementara menunggu peluang pekerjaan tetap, Dara telah mengambil keputusan untuk bekerja di sebuah farmasi. Gajinya tidaklah terlalu besar, cukup-cukup untuk menampung kehidupannya yang seharian, membayar bulanan kereta dan rumah sewanya sahaja. Namun, biar bergaji kecil sekalipun, Dara Jelita tidak pernah lupa untuk menghulurkan sedikit wang belanja kepada ayahnya. Berbakti kepada orang tua selagi terdaya dan diberi nafas, itulah tekad seorang anak dara yang bernama Dara Jelita.

Pemikiran Dara Jelita sangat hidup. Dia tidak lemah dan dia juga tidak pernah mengenal erti putus asa. Membesar dalam keadaan yang serba kekurangan bukanlah satu alasan untuk anak gadis itu hidup seperti katak di bawah tempurung. Sebelum ini; sambil meneruskan pengajian, sambil itu juga Dara Jelita belajar memandu dan mendapatkan lesen.

Kehidupan Mutalib bersama Dara Jelita tidak mewah, tetapi tidak juga papa kerana selagi bernafas, Mutalib akan terus memastikan keperluan dan kehendak anak kesayangannya itu sentiasa mencukupi.  Apa sahaja yang diminta oleh Dara Jelita, dia akan tunaikan dan semua itu baginya mudah, tidak membebankan.  Tidak mengapa, asalkan seorang anak dara yang jelita itu bahagia. Pendek kata; mereka dua beranak selalu saling melengkapi.

"Ayah... " akhirnya; muncul juga susuk Dara Jelita di dalam ruangan tamu itu.  Dengan membawa sebiji cawan plastik bersama, dia segera mengambil tempat di sisi Mutalib.  "Arghhh, pa... panas!" gadis itu tersengih lalu meletakkan laju cawan yang dibawa tadi di atas meja.

"Air apa yang kamu buat ni, Dara?" soal Mutalib sambil melirik ke arah cawan plastik tersebut.  Seram pula mulutnya mahu meneguk.  Namun demi menjaga hati anak tersayang, Mutalib tetap sahaja gigih mengukirkan senyuman tuanya.

"Kopi, yah.  Black coffee kata orang putih." Dara Jelita mengekeh bangga. Resepinya begini; lima sudu makan serbuk kopi hitam diletakkan dengan 10 sudu makan gula pasir di dalam sebiji cawan plastik bersaiz 360 mililiter lalu dibancuh bersama air panas. Dara Jelita tahu, ayahnya sangat sukakan kopi hitam yang pekat.

"Hrmmm, ye lah." Mutalib mengangguk sambil menggaru kepala. Belum diminum dia sudah rasa mahu termuntah.  "Cuma... lain kali kalau buat air yang panas-panas, jangan guna cawan plastik macam ni."

"Habis tu nak pakai apa? Pakai mangkuk ke pinggan?" soal Dara terpinga-pinga.  Bukankah kegunaan cawan plastik juga untuk minum? Jadi apa bezanya?

Mutalib sekadar mengeluh.  Apa gunanya dia menghantar anak itu belajar tinggi-tinggi jika hal semudah itu pun dia tidak tahu?  "Tak apalah.  Plastik pun plastiklah." lelaki tua itu akhirnya mengalah. Mencapai cawan plastik yang terisi dengan air kopi tadi, Mutalib lalu mencicipnya dengan perlahan-lahan. Ya Tuhan, rasa pahit dan manisnya amat keterlaluan! Namun kerana enggan Dara Jelita berkecil hati, Mutalib tetap gigih menayang riak senang dan bahagia. "Hrmmm, rupa-rupanya pandai juga anak dara ayah yang jelita ni buat kopi. Sedap!" lelaki tua berkumis hitam itu memuji. Tersipu-sipu Dara Jelita dek menahan rasa segan dan suka.

"Yah, lusa Dara dah habis cuti dah.  Ayah jaga diri tau bila Dara tak ada kat rumah ni.  Makan minum ayah jangan lupa.  Kerja tu, kerja juga, kesihatan ayah tu tetap penting."

"Ya, ayah tahu.  Kamu tak perlu risaukan ayah.  Kamu tu yang kena jaga diri.  Dahlah masak pun tak pandai.  Hari-hari makan kat luar." Mutalib tersenyum seraya menggelengkan kepalanya berkali-kali.  Walaupun mulutnya selalu ligat meleteri anak kesayangannya itu, namun tidak sekalipun dia menyalahkan Dara Jelita bulat-bulat.  Dia sedar, semua itu silapnya sendiri juga.  Namun mahu mengeluh sekarang pun sudah tiada gunanya lagi.

"Ayah juga yang selalu tak bagi orang masak.  Takut kena minyaklah, kena apilah,  Kalau tak, orang dah pandai masak, buat kerja-kerja rumah dah." alasan yang sama, dan paling basi yang akan dilontarkan oleh Dara Jelita.  Bukan malas, bukan juga tidak mahu belajar.  Sudah berkali-kali dia mencuba namun kesudahannya hanya bala yang dia dapat.  Ikan atau ayam yang digoreng bersama sekuali minyak masak, boleh pula meletup-letup.  Walau berjaya sekali pun, penghujungnya apa sahaja yang digoreng jika tidak masih berdarah, lalu hitam legamlah jadinya  sedangkan dia sentiasa mengikut baik setiap langkah para chef yang dipelajari daripada Youtube.  Pendek kata; tangannya benar-benar kekok mahu melakukan semua itu.

"Ye lah, ye lah.  Salah ayah." Mutalib akhirnya mengukir senyuman lucu.  Seperti apapun tingkah Dara Jelita, tetap sahaja anak gadis itu satu-satunya insan yang dia paling sayang di muka bumi ini.

Dara Jelita seorang anak yang sangat baik, sangat patuh kepada orang tua dan paling disukai oleh orang-orang kampung kerana kerana sikapnya yang sangat peramah. Namun, kelemahannya hanyalah dalam melakukan pekerjaan-pekerjaan rumah.  Itu sahaja.

TUAN DECSIER memerhatikan ke pelosok-pelosok rumah agamnya dengan pandangan dan fokus yang sangat dalam dan teliti.  Mata tajam itu selalu tidak gemar melihat apa sahaja yang kotor dan tidak teratur.  Segalanya harus sempurna.  Tidak boleh tidak sempurna!

"Maria."

Oh, tidak! Maria yang sedari tadi menelan air liur kegugupan langsung sahaja tersentak.  Jika namanya sudah disebut keras seperti itu, maksudnya adalah yang tidak kena di mata lelaki cerewet itu.

"Macam mana ni? Nak pergi ke tak? Nak pergi ke tak?" Maria masih berdiri kaku pada posisinya.  Menggaru kepala, sedang jari-jemarinya pula saling berkuisan sesama sendiri.  Mahu datang menghadap, dia takut.  Atau... adakah perlu dia berpura-pura meninggal dunia sahaja?

"Maria!" lagi suara garau itu melaung.  Bukan herdikan, bukan juga pekikan melainkan hanya nadanya sahaja yang kedengaran sangat garang dan tegas.

Segera Maria meninggalkan pekerjaannya yang tadi.  Mana berani dia bersilengah lagi jika seorang Tuan Besar yang sangat cerewet sudah memanggil seperti itu.

Terkial-kial memasang langkah, bersungguh-sungguh juga bibir wanita itu mengukir senyuman biar hanya nipis dan kelat.

"Tu... tuan," Maria menunduk hormat berkali-kali, sesekali melilaukan mata ke pelbagai arah untuk mengenal pasti di mana silapnya kerana dia yakin ada yang tidak kena di mata lelaki bertubuh tinggi dan sasa itu.  "Ada apa, tuan?" soal Maria dengan lantunan suara yang sedikit terketar-ketar.

"Awak nampak tu?" soal Tuan Decsier sambil menunjuk ke arah permaidani berbulu biri-biri putih yang dibeli mahal dari luar negara beberapa bulan lalu.

Laju Maria menoleh sebelum menganggukkan kepalanya berkali-kali sedang di dalam otak gigih mencari apa yang tidak kena? Permaidani yang sedang terbentang di atas lantai itu terlihat sangat cantik dan sempurna.  Divakum dan dibersihkan secara rutin walau tiada yang memijak sekalipun.

"Nampak, tuan.  Kenapa, tuan?" Maria menyoal lagi.

"Salah tu.  Saya tak suka.  Permaidani tu, awak kena letak betul-betul tegak dan dekat dengan kaki sofa.  Jangan senget-senget macam tu.  Faham?" ujar Tuan Decsier dengan cara yang amat tegas.

Dalam terkedu, laju juga Maria menganggukkan kepalanya untuk sekali lagi.  Senget yang tidak teruk, hanya sedikit sahaja namun itupun boleh dijadikan isu? Dasar manusia cerewet!

"Ba... baik, tuan.  Nanti... "

"Satu lagi." Tuan Decsier mencelah membuatkan Maria kembali menelan air liur kasar.  "Masa memasak, saya tak nak awak bercakap apalagi menyanyi.  Awak tahu kenapa?"

"Errr... tak.  Saya tak tahu." Maria menggeleng.

"Saya tak nak air liur awak masuk dalam makanan-makanan saya yang awak masak tu.  Kalau boleh, awak diam je.  Itu peraturan saya dan awak kena ikut.  Faham?" ujar Tuan Decsier dengan cara yang sangat tegas.  Lelaki itu memang seorang yang sangat menjaga kebersihan.  Jika dia sedang berada di dalam tandas, jangan harap yang dia akan bercakap mahupun membuka mulut.  Mengapa? Sudah semestinya kerana dia bimbang segala kuman dan bau-bauan tandas itu akan masuk ke dalam mulutnya.  Ah, memikirkan semua itu sahaja boleh membuatkan Tuan Decsier mahu termuntah!  Kerana sikapnya yang cerewet itu jugalah, tiada seorang wanita pun yang sudi mendekat.  Memiliki wajah yang kacak, tubuh yang sangat sempurna, belum lagi jika mahu dihuraikan tentang kejayaannya dalam bidang sukan yang sedang dia ceburi kini.  Namun semua itu bukanlah satu tiket untuk menjadikan Tuan Descsier menjadi idaman dan rebutan para wanita yang mengenalinya.  Jika mahu dijadikan hiburan mata, mungkin ya tetapi jika mahu dijadikan pendamping hidup, tiada siapa yang akan mahu.

"Faham, tuan." lagi Maria mengangguk.

Usai memberi peringatan dan arahan, Tuan Decsier terus berlalu ke tingkat atas dan setelah itu barulah Maria menarik nafas lega.  Sangat lega walaupun dia tahu kelegaan itu tidak akan lama selagi majikannya itu ada di dalam rumah.

"Oh ya, Maria... "

Lagi?? Maria yang baru sahaja mahu melangkah ke arah dapur semula pantas menoleh dengan perasaan yang gugup dan sebal saat mendengar namanya dipanggil lagi oleh Tuan Decsier.

"Ya, tuan?" Maria menyoal bersama wajah yang dihiasi dengan segaris senyuman palsu.

"Setengah tahun ni saya akan ada kat sini.  Kalau ada training dan game sekalipun, cuma dalam Malaysia je.  Jadi, pastikan awak uruskan semua kerja-kerja dalam rumah ni, termasuk kebajikan nenek saya dengan sangat baik.  Saya tak nak ada salah dan kurang walau sikit pun." Tuan Decsier berujar dengan tampang yang enggan diingkari.  Setiap apa yang dia ungkapkan harus dituruti.  Sikap Tuan Decsier memang seperti itu.  Mungkin kerana dia sudah terlalu biasa memberitahu dan mengarah.  Selaku ketua pasukan, tidak akan ada seorang pun yang berani berkata tidak terhadap semua arahan yang dia berikan.

Maria bercurian membuang keluhan yang paling dalam. Gundah dan huru-gara yang sedang menggelegak di dalam hati, tiada siapa yang tahu.  Baru sahaja dia mahu mendesah lega tadi, datang pula perkhabaran yang mengecewakan itu.  Sudahlah dia dikehendaki menjaga nenek majikannya yang sudah terlalu lanjut usia itu lagi.   Semuanya benar-benar membuatkan Maria menjadi menyesal bersetuju menggantikan posisi ibu saudaranya tempoh hari.  Biar hanya tempoh enam bulan sahaja yang dijanjikan, diumpan lagi dengan gaji yang sangat lumayan setiap bulan.  Tetapi jika seperti ini keadaannya, Maria tidak akan sanggup.  Hari-hari menghadap majikan yang sangat cerewet, perlu mengurus lagi orang tua yang sudah lemah,
mana dia mahu! Dibuatnya hilang nafas nenek tua itu ketika berada di bawah penjagaannya, dia pula yang akan dituduh sebagai pembunuh nanti.

Melihat dan memahami erti reaksi Maria, Tuan Decsier langsung mendengus geram.
"Ingat, Maria.  Awak dah sign kontrak dengan saya.  Jangan mimpi yang awak boleh berhenti sesuka hati sebab saya boleh saman awak.  Kalaupun awak nak berhenti kerja dengan saya, awak kena cari orang untuk gantikan awak.  Saya tak ada masa nak uruskan tentang maid-maid ni semua.  Faham?" ujarnya dengan riak yang paling galak.

"Baik, tuan.  Saya faham." Maria pura-pura mengangguk, memerhatikan kepergian Tuan Decsier sebelum figura tegap itu lenyap daripada pandangan. "Ishhh, tak boleh jadi ni! Apa-apapun, aku kena cepat-cepat cari orang untuk gantikan aku! Nak bertuankan manusia yang cerewet macam mamat tu, memang tak lah! Dahlah kena jaga nenek dia lagi! Aku tak nak hairan lagi dengan gaji lima ribu sebulan tu dah! Tak nak, tak nak!" Maria memasang tekad sebelum berlari laju ke arah dapur.

Hai para pembaca kesayangan. BBP bagi prolog dulu. Terima kasih kerana sudi datang bertandang. Semoga karya BBP yang ini dapat diterima dan kena dengan selera kalian ya. Mmuahh 1000x muahh!

Share this novel

Clarissa kolong
2023-01-06 06:10:40 

wow...saya sangat suka dengan storyline nya ni..wahai Dara ujaan hatiku..

Yusrin Assyerakyy
2022-12-19 12:03:26 

waaaaww

Rohaya Ramli
2022-10-29 22:41:32 

bila nak update bab baru tuan decsier


NovelPlus Premium

The best ads free experience