DUA

Family Completed 114340

Enam tahun lalu, ibu mertuanya, Mak Cah seorang yang baik dan peramah pada pandangan dan kiraan Suria. Arwah ibunya juga menyenangi besannya. Ada saja aktiviti kedua-dua orang tua itu lakukan dan luangkan bersama. Sehinggalah ibunya meninggal dunia akibat demam panas, ibu mertuanya seakan kehilangan rakan baik.

Disebabkan itu, Suria sedaya upaya melayani ibu mertuanya dengan baik. Ya, mereka rapat sehinggalah beberapa tahun selepas dia mendirikan rumahtangga dengan Fahrin. Seakan terserlah segala perangai sebenar Mak Cah. Namun Suria cuba bersabar dan bersangka ibu mertuanya itu sunyi tanpa kawan untuk diajak bersembang.

Kini cakap-cakap ibu mertuanya lebih kepada meluahkan rasa tidak puas hati. Bebelannya mampu berlangsung berjam lamanya diselang-selikan dengan sindiran dan perlian.

Semakin lama Suria merasakan ibu mertuanya itu seperti mahu mendera mentalnya. Dan paling pedih dan perit apabila setiap bebelan serta leteran Mak Cah tentulah berkaitan zuriat. Betapa kerdilnya dia merasakan dirinya apabila Mak Cah seringkali membandingkan dirinya dengan wanita-wanita berkahwin lain yang sudah beranak pinak ramai.

Ada sajalah nama-nama baru yang disebut Mak Cah hingga dia merasakan ibu mertuanya itu seperti sengaja mencipta nama-nama entah sesiapa semata mahu membandingkan dirinya yang penuh kekurangan.

Suria membelek galeri gambar di dalam telefon pintarnya. Kembali pada momen 5-6 tahun yang lalu di mana dia merasakan tahun itu adalah tahun paling bahagia buat dirinya. Saat-saat manisnya bercinta, indahnya dunia dirasakan. Pada ketika itu dia sudah pun mendedikasikan diri serta masa depannya demi Fahrin kerana pada ketika itu dia yakin bahawa lelaki itu adalah jodoh yang telah ditetapkan dan ditakdirkan buat dirinya.

Banyak gambar kenangan dia bersama Fahrin. Gambar mereka bercuti dalam negara dan janji Fahrin untuk menjelajah bersamanya ke seluruh negeri di Malaysia. Kenangan berbulan madu. Dia masih ingat lagi waktu itu ada juga Mak Cah memujuk Fahrin agar membatalkan niatnya untuk mereka berbulan madu. Kata Mak Cah tidak perlu dan membazir saja, wang yang ada sepatutnya kami gunakan untuk keperluan harian saja. Tetapi Fahrin bertegas kerana telah berjanji dan Suria merasa sangat gembira malah terasa sangat bahagia saat itu.

Namun janji kini tinggal janji. Negeri yang mereka kunjungi juga hanyalah negeri di mana dia pernah menuntut ilmu dahulu, negeri kelahirannya serta negeri kelahiran Fahrin. Yakni rumah mertuanya kini yang mereka duduki bersama. Suria mendongak memandang langit biru dengan serakan tompokan awan putih.

Apakah tiada keceriaan dalam hidupnya kini? Dia juga sentiasa menantikan malah tidak putus berdoa agar ada kehadiran sinar kehidupan yang baru dari rahimnya namun sehingga kini masih belum tercapai. Masih belum direzekikan cahaya mata buat dirinya.

Sejak dua tahun lalu, pelbagai cara dia cuba usaha dan ikhtiar demi memberi zuriat buat suami. Lebih-lebih lagi untuk menutup bebelan ibu mertuanya tetapi sehingga kini menemui jalan buntu. Jika ditakdirkan dia keguguran pun sudah cukup memadai bagi membuktikan dia mampu memberi zuriat tetapi perkara itu juga tidak pernah sekali berlaku.

Kata-kata Mak Cah yang sering kali terngiang-ngiang di telinga Suria kembali bergema di ingatan.

"Mak bukan nak kata kat Su, tapi kalau tengok genetik dan generasi mak dengan ayah ni kami ramai adik beradik. Anak mak walaupun tak ramai cukup syukurlah empat orang tu. Adik beradik mak pun ada empat orang, ayah Fahrin lagi ramai tujuh orang tambah lagi tiga adik tiri. Dah sepuluh orang! Ramai, kan?"

"Farina tu kasihan gugur dulu tapi kurang-kurang pernah juga mengandung walaupun Allah pinjam sekejap anak dalam perut tu. Nasib la si Fahmi tak kahwin lagi, kalau tak mesti ramai dah cucu mak. Kau tengok diri kau? Kau sorang aje, mak kau dulu pun cerita kat mak dia pun anak tunggal. Ayah kau, mak tak taulah sebab ni mak kau yang cerita dulu. Ada dua beradik je katanya. Mak pun tak pernah jumpa jadi mak tahulah. Yang kau ni gugur pun tidak, mak tak tahulah memang keturunan kau ni tak subur ke macam mana?"

"5 tahun lama kau kahwin dengan si Fahrin tu. Kau tengok, siapa anak jiran kampung sebelah tu, si Salma? Dia kahwin sama tarikh kau berdua tapi anak dia dah 4 orang, kembar pulak tu sepasang elok. Bunting pelamin pulak! Mak tak mau la dengar orang kata menantu mak ni mandul tapi entahlah, malu laa..."

Sesungguhnya, pertama kali dia mendengar kata-kata yang diluahkan padanya dari mulut Mak Cah, berguguran air mata Suria membasahi pipi. Ibarat pisau ditikam-tikam dan menghiris jantungnya. Pedih, sakit.

Dia tidak menyangka ibu mertuanya selantang itu dalam melemparkan kata-kata tanpa memikirkan hati dan perasaan Suria sedikit pun. Namun apa yang lebih membuatkan dia kecewa apabila Fahrin hanya berdiam diri tanpa membela sepatah pun kata-kata Mak Cah terhadap isterinya ini malah seakan mengiyakan pula tindakan lelaki itu.

Sejak itu, Suria seringkali memujuk dan menguatkan hati serta fikirannya sendiri. Dia sudah bosan dengan topik cemuhan yang sama berulang setiap hari dari mulut mertuanya. Sudahlah Fahrin juga enggan berpindah dari rumah emaknya itu supaya mereka dapat mencari kebahagiaan berdua. Tetapi alasan yang diberikan pula hanyalah kerana mereka akan bosan berdua nanti disebabkan ketiadaan anak lagi. Malahan lagi pula risaukan Mak Cah akan kebosanan tanpa kawan berbual dirumah.

Hujahan Suria sudah entah berapa kali ditepis, dipatahkan oleh Fahrin. Sememangnya jika lelaki itu sudah bulat dengan keputusannya, maka itulah yang dia akan lakukan tanpa sebarang kompromi lain. Suria hilang kata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience