SATU

Family Completed 114340

Abang balik lambat hari ini.

Hanya itu ayat pesanan ringkas yang diterima oleh Suria ketika dia memeriksa telefon pintarnya. Secara spontan terlepas keluhan kecil dari bibir nipisnya.

Jarinya cuba menaip beberapa perkataan. Otaknya juga sedang ligat memikirkan ayat balasan namun dia buntu. Suria menggigit bibir. Dia sendiri teragak mahu berinteraksi bagaimana dengan suaminya itu. 5 tahun usia perkahwinan sudah makin pudar hubungan mereka. Ayat yang telah ditaip tadi cepat-cepat dia padam semula. Hatinya memberontak.

"Dah kenapa tu duk mengeluh dari tadi? Fahrin jadi balik ke tak ni? Mak dah masak macam-macam nak bagi anak mak tu makan ni. Jangan kata dia tak jadi pulak? Membazir je makanan banyak-banyak ni takde orang nak makan. Ayahnya pun bukan ada di rumah, sibuklah dengan geng surau dia tu. Kerja bukan buat pahala pun, entah-entah lepak kedai kopi bergosipkan janda si Seman tu. Tu laa, dari dulu mak cakap. Tak payah merancang bagai, bagus je ada anak awal-awal ni. Kau tengoklah sendiri si Hanis tu anak setahun seorang, meriah rumah dia. Cukup pulak pasang-pasang anak dia. Anak ramai pun kau tengok pandai dia jaga badan, cantik mak tengok. Kau..." Leteren wanita tua itu terhenti apabila Suria pantas menyekat.

"Err, mak nanti Suria bungkus lauk ni bagi Ustazah Salina. Dia ada bagitau Suria tadi malam ni nak buat makan-makan untuk anak mengaji tu. Elok sangat dah tu. Dia kata nanti dia bagi duit, kurang-kurang ada jugak hasil mak masak hari ni. Boleh buat belanja, betul tak? Suria call Ustazah Salina dulu ye.." cepat-cepat Suria memotong bebelan mak mertuanya.

Jika dia terus berdiam diri, insyaallah berdarah telinganya nanti. Tidak cukup begitu, dia juga segera mengundurkan diri keluar dari dapur. Tahu bebelan mertuanya hanya akan bersambung jika dia tetap disitu.

Terik matahari petang menyucuk pandangan mata. Waktu asar baru saja lepas. Kiranya tadi usai menunaikan solat Asar dia mahu membantu ibu mertuanya di dapur, tetapi selepas membaca pesanan ringkas suaminya itu tadi terus saja hilang rasa ringan tulangnya. Semangatnya pudar.

Tidak jauh dari laman rumah mertuanya terdapat sebuah pangkin dibawah pokok. Elok rendang dan teduh dari sinaran matahari. Angin petang juga mula terasa sepoi-sepoi bahasa. Lantas kaki Suria mengatur langkah menuju ke situ. Telefon bimbit yang digenggam dari tadi dibelek mencari nama Ustazah Salina.

Teringat lauk pauk yang banyak dimasak ibu mertuanya tadi. Yang hendak makan empat orang sahaja tetapi kenapa pula ibu mertuanya masak bagai kenduri. Ada ketika dia sendiri tidak dapat meneka apa yang ada difikiran mertuanya itu.

"Assalamualaikum, Kak Sal?" Sapa Suria sebaik talian dihujung berjawab.

"Waalaikumussalam, ya Su. Ada apa call?" Sahut si empunya suara dengan ceria.

"Macam ni.. mak masak banyak tapi Abang Fahrin lambat balik jadi ingat nak tolak mak masak tu kat Kak Sal. Sayang nak bazir. Su teringat semalam Kal Sal ada kata nak buat makan-makan untuk budak mengaji, kan?" Suria melontarkan hajatnya tanpa selindung. Terbayang-bayang lauk pauk di dapur.

"Ooo.. bolehlah, Su. Walaupun Kak Sal ingat nak masak sendiri aje tapi dah Su offer ni takkan nak tolak pulak. Kurang-kurang Kak Sal tak adalah terkejar-kejar buat kerja. Nak hantar bila ni? Kejap lagi Abang Saleh nak keluar, kot boleh suruh dia singgah ambil kat rumah Mak Cah. Senang sikit, sekali jalan aje." Ustazah Salina menerima baik hajat Suria. Sedikit sebanyak dia lega kerjanya dipermudahkan.

"Abang Saleh nak pergi mana?" Soal Suria.

"Katanya nak pergi jemput Amran, budak tu call tadi suruh ambil kat asrama. Bosan katanya, nak balik jugak minggu ni. Kenapa?"

"Kalau macam tu biar Su jelah yang hantar ke rumah Kak Sal. Karang Abang Saleh tu bawak jalan-jalan pulak lauk tu, rosak pulak nanti." Suria membuat pelawaan.

"Eh, tak apa ke?" Ustazah Salina agak keberatan. Risau menyusahkan pula.

"Eh, takpe laa.. Su ok je.. Hmmm.. tak nak duk lama-lama dengan mak, Kak Sal faham-faham la mak tu macam mana. Telinga Su ni sikit lagi nak pekak tadi," seloroh Suria agak kekok.

Tak semena-mena, kedengaran tawa besar dihujung talian. Suria tersengih kerang busuk. Ustazah Salina memahami keresahannya. Padanya Ustazah Salina lah tempat dia meluah rasa mengadu-domba rutin hariannya.

Meskipun mereka tiada pertalian darah namun atas tiket kenal keluarga, dia selesa dengan wanita itu. Dia sudah menganggap Ustazah Salina seperti kakak kandungnya sendiri.

Ya, dia sebatang kara sebelum berkahwin dengan Fahrin. Satu-satunya keluarga yang dia punyai sekarang hanyalah keluarga Fahrin. Fahrin yang sudah dia kenali lebih kurang 10 tahun lalu dan akhirnya dia menerima lamaran lelaki itu setelah lima tahun perkenalan dan selepas dia tamat belajar diperingkat ijazah.

Dan ya, sijilnya itu masih tersimpan rapi tanpa digunakan lagi untuk mencari pekerjaan.

"Baguslah, Su. Datanglah sini tolong Kak Sal kemas rumah, ada jugak teman Kak Sal nak bersembang sambil tengokkan si kembar tu." Pelawa Ustazah Salina. Suria tersenyum lebar. Suka betul hatinya dapat menjauhkan diri sekejap dari 'keluarganya'.

"Okay, Su pergi bungkus makanan tu sekarang. Nanti Su dah gerak Su mesej Kak Sal dulu, assalamualaikum!" Suria segera menamatkan perbualan setelah salamnya dijawab. Dia mencari mesej suaminya tadi.

Abang, Su hantar makanan kat rumah Ustazah Salina ye? Dia ada makan-makan sikit malam ni..

Seminit. Dua minit. Lima minit. Masih tiada respon. Suria kecewa. Respon dari suaminya itu kini semakin lambat berbalas dan ada ketika juga sekadar dibaca tanpa balasan lanjut. Terlalu berbeza jika dibandingkan dulu sewaktu dia di universiti, kerapkali lelaki itu menghubunginya. Malah jika dia terlewat memberi respon pasti panggilan bertalu-talu menyusul. Suria memejam mata, menghela nafas dalam mengenangkan memori lama.

Mesej mesra juga hampir tiada kini. Setelah 5 tahun bersama sebumbung, sebilik dan sebantal. Apakah sudah tiada manis atau cabaran bercinta seperti dulu buat mereka? Sehingga ia terasa hambar kini? Suria mengeluh lagi untuk kesekian kalinya.

Ok, jangan balik lambat. Kesian mak sorang nanti.

Hanya itu balasan yang diterima Suria. Mulanya dia ingin mengukir senyuman namun setelah membaca ayat terakhir mengenai kerisauan tentang ibu mertuanya, senyumannya mati. Dia perasan sejak akhir-akhir ini, suaminya itu sangat menitikberatkan keberadaan ibunya.

Hampir setiap isi butir bicara mereka pasti akan terselit tentang ibu mertuanya itu. Mak risau, mak kata, mak itu, mak ini. Suria mulai bosan. Bukanlah dia membenci ibu mertuanya, tidak. Cuma dia kurang selesa seperti tiada ruang privasi untuk mereka berdua.

Ada saja ibu mertuanya itu mencelah. Dulu suaminya sering membela dirinya dalam apa jua situasi tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin terlihat perubahan mood suaminya itu. Semakin ketara layanan yang ala kadar saja diterima Suria.

Share this novel

Buat Coba
2023-07-28 15:56:32 

jtxitsti

akbar mulana
2023-07-28 15:56:31 

sysymdh

Amtester Flagship
2023-07-28 15:56:31 

jgcktcigx


NovelPlus Premium

The best ads free experience