BAB 1

Drama Completed 531

Perjalanan ini adakalanya amat pedih dan menyakitkan.Ia bagai memaksa kita untuk menyusuri alur waktu yang penuh onak dan berduri dengan seribu halangan terentang. Apakan daya hidup ini adakalanya tidak punya pilihan. Dan jika ada pun cuma satu. Iaitu garis waktu yang dilalui kini. Garis waktu yang pedih dan pahit untuk ditelan.

Sedari tadi Cikgu Hajar masih tercegat di situ. Melayani fikiran sendiri. Di tepi tebing Sungai Kalok yang cukup jernih airnya. Dengan batu-batu kecil yang terhampar di dasarnya yang menjadi syurga ikan-ikan. Sungai inilah yang menjadi nadi kehidupan masyarakat Orang Asli suku Jahai yang entah berapa puluh tahun mendiami pedalaman Sungai Rual. Sebuah perkampungan terpencil di daerah Jeli ini.

Sambil melayahkan pandangannya ke arah deretan rumah-rumah yang telah dimodenkan oleh pembangunan, dia menyela-nyela lembaran waktu yang telah pergi. Pergi umpama bayu senja yang berhembus lembut menyapa tubuhnya yang sedia kurus itu dan berlalu tanpa kembali.

Fikirannya melayang jauh mengingati Muliani , salah seorang muridnya berketurunan Orang Asli yang telah pergi buat selama-lamanya. Tiada siapa pun yang tahu derita yang dialami oleh murid itu yang sentiasa tersenyum manis bila disapa namun agak pendiam. Bahkan dia sendiri pun tidak menyangka Muliani akan pergi menghadap Ilahi dalam usia yang begitu muda. Masih empat belas tahun usianya.

Masih segar di dalam laci kotak fikirannya, kali terakhir Muliani hadir ke sekolah ialah pada penghujung April. Pada waktu itu Cikgu Hajar langsung tidak mengesyaki sesuatu. Muliani seperti kebanyakan murid yang lain. Melangkah masuk ke perkarangan sekolah penuh riang dengan semangat ingin menimba ilmu, bergurau senda bersama-sama rakan yang lain dan sering kelihatan kuntum senyumnya itu tidak pernah lekang di bibirnya apabila mata bertentangan. Sosok dan personanya langsung tidak memperlihatkan derita sakit yang ditanggungnya.

Setelah April melabuhkan tirainya dan Mei pula menjengah di balik tabir waktu, kelibatnya jarang sekali kelihatan. Rekod kehadirannya mula memperlihatkan lompang-lompang yang mencacatkan pada buku kedatangan murid.

Cikgu Hajar merenung pada setiap wajah rontok muridnya sewaktu memasuki kelas Mutiara 2. Ada satu meja kosong yang tidak berpenghuni di penjuru kanan di bahagian hadapan kelas. Sudah lama ia terbiar kosong dan sepi. Sekosong dan sesepi hatinya yang kabut dengan seribu persoalan.

Persoalan demi persoalan yang dirinya sendiri tidak mampu merungkainya. Kenapa begitu lama Muliani tidak hadir ke sekolah. Ingin segera dia ke Sungai Rual, perkampungan Orang Asli yang terpencil jauh di pedalaman itu. Segera ingin dia mengetahui sebab-musababnya. Bagi dirinya Muliani seorang murid yang rajin ke sekolah. Ketidakhadiran Muliani lazimnya adalah bersebab. Mungkin demam atau sakit. Atau barangkali disebabkan oleh cuaca. Adakalanya hujan lebat juga menyukarkannya mendaki bukit yang licin untuk sampai ke jalan besar.

Kesulitan itu memungkinkan dia ketinggalan bas. Sebuah bas sekolah yang memang tersedia menunggu anak-anak Jahai ini berulang-alik dari rumah ke SMK Jeli secara percuma. Ia disediakan oleh pihak Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) bagi mengatasi masalah kesukaran mereka untuk ke sekolah.

Suara-suara depresinya bagai melontarkan kata-kata yang meronta ingin tahu. Biarpun teknologi komunikasi kini begitu mendakap mesra, namun kepayahan mendapatkan talian untuk berhubung terus membantutkan hasrat itu.

“Kak Zura, Muliani ni sakit apa sebenarnya?” Tanya Cikgu Hajar kepada Pembantu Pengurusan Murid pada waktu luang selepas dia selesai mengajar dari kelas Mutiara 3.

“ Entahlah Cikgu Hajar , Kak Zura pun tak pasti sakit apa. Tapi yang pastinya dia sedang sakit. Emak dia pernah datang untuk mengambil buku akaun Elaun Murid Khas bagi perbelanjaan perubatannya baru-baru ni.” Jelas Kak Zura sambil berada di meja di sebelahnya yang sedang tekun menyiapkan ABM untuk murid-murid berkeperluan khas.

“ Kalau nak diikutkan di dalam buku kedatangan murid sudah tiga minggu dia tak hadirkan diri,” jelas Cikgu Hajar . Cikgu Hajar dan Kak Zura arif benar akan murid-murid berkeperluan khas kategori Bermasalah Pembelajaran ini diberikan sedikit kelonggaran dari segi kehadiran mereka ke sekolah.

Perasaan Cikgu Hajar membuak-buak dengan rasa ingin tahu. Bisikan sukmanya bagai meronta-ronta mengeluarkan suara depresi dengan beberapa persoalan yang dia sendiri gagal mencari jawapannya.

Ingin sekali dia ketemu ibu Muliani dan bertanyakan sendiri akan keadaan kesihatannya. Namun apakan daya kekangan waktu sedikit sebanyak membataskan keinginannya itu. Pernah sekali diajaknya Kak Zura untuk pergi ke perkampungan tempat Muliani tinggal, tetapi dibantutkan pula oleh perjumpaan taklimat Sekolah Amanah yang memakan waktu hingga lewat petang.

Sekali lagi dia dan Kak Zura merancang untuk bertemu dengan mereka, tetapi hampa. Menurut jirannya Muliani kini di masukkan ke wad di HUSM Kubang Kerian bagi menerima rawatan susulan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience