BAB 3

Drama Completed 531

Melayani perasaan pilu yang tidak tertahankan lagi. Sudah lama dia tidak menatap wajah manis Muliani .

“Marilah. Kak Zura ke pejabat dulu untuk mengisi borang keluar waktu pejabat.” Kak Zura mencapai anak kunci kereta Saga berwarna merahnya itu keluar menuju ke pejabat sementara Cikgu Hajar terus ke tempat parkir kereta menunggu Kak Zura di sana.

Wajah manis Muliani bagaikan menjelma kembali dalam khayalan Cikgu Hajar yang berbalam-balam. Di alam khayalan itu dilihatnya Muliani begitu manis sambil tersenyum dan melambai-lambaikan tangan kepadanya. Ingin dia memegang tangan lembut Muliani , namun Muliani kian menjauh pergi dan akhirnya lenyap daripada khayalan Cikgu Hajar .

Sesampainya mereka di perkarangan surau perkampungan Orang Asli Sungai Rual, jenazah Muliani sudah pun siap disembahyangkan dan diusung oleh penduduk kampung untuk ke tanah perkuburan.

Cikgu Hajar membiarkan situasi itu berlalu. Memerhatikan sahaja jasad murid kesayangannya itu diusung ke tanah perkuburan. Niatnya untuk menatap wajah Muliani buat kali terakhir tidak juga kesampaian. Terkilan dan hampa bercampur baur.

Dan di waktu petang yang lengang itu, sempat juga Cikgu Hajar menziarahi ibu Muliani . Di situlah terungkai segalanya. Kenapa sekian lama Muliani tidak hadir ke sekolah. Kenapa hari-hari sebelum dia terus menghilang, wajahnya tampak sugul dan lesu sehinggalah berita kematiannya hinggap ke telinga Cikgu Hajar .

Setelah ibu Muliani menceritakan penyakit yang dideritai olehnya, Cikgu Hajar bagai tidak dapat menahan perasaan sebaknya lagi. Lalu dipeluknya ibu Muliani seperti dia pernah memeluk Muliani sewaktu hayatnya. Bagaikan tidak dapat membendung lagi kesedihannya itu. Sungguh dia begitu alpa pada muridnya yang sedang sakit ini. Seandainya dia tahu Muliani yang sedang bertarung dengan kanser Limfoma tentunya dia akan menghulur sebanyak mana bantuan yang diperlukan. Jika perlu dan harus dia memungut derma, dia akan berbuat demikian atau apa saja demi menyelamatkan nyawa Muliani . Tetapi dia harus sedar. Ruang waktu yang berlalu pergi tidak dapat dikembalikan walau mengalir air mata darah sekalipun.

Hanya yang tinggal adalah cebisan-cebisan kenangan yang masih bersisa sebagai tanda ingatan abadi di lubuk sanubari Cikgu Hajar yang paling dalam.

Di tanah perkuburan, seorang diri Cikgu Hajar menatap pusara arwah Muliani penuh pilu. Hembusan bayu yang berhembus seperti membawa pergi untaian kenangannya bersama arwah Muliani . Jauh dan kian jauh. Kicauan burung pada petang yang damai itu juga dirasakan tidak seindah dulu. Seperti mendendangkan irama alam yang sayu dan memilukan.

Muliani …

Maafkan cikgu di atas kealpaan Yang cikgu tidak sengajakan Cikgu benar-benar kesal dan bersalah

Cikgu tidak pernah menjengukmu

biar sekalipun

Cikgu menyesal

Cikgu kecewa

Cikgu terkilan

Benar-benar terkilan Muliani ..

Kerana gagal menyumbang bakti

Ketika dirimu sedang menderita

kanser

Muliani ..

Hanya Al-Fatihah

yang mampu cikgu titipkan moga damailah dirimu di alam sana

Dan di tepi tebing Sungai Kalok yang yang jernih airnya, Cikgu Hajar tidak dapat menahan perasaan sebaknya lagi. Lalu dia melepaskan segala rasa terkilannya dengan menangis semahu-mahunya.

Dia masih belum mahu pulang. Jiwanya masih luluh. Perasaan dan harapannya untuk menghadapi hari esok bagaikan tiada lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience