Jenny menyambut tangan Aidan, nafasnya putus-putus akibat kesan dari pertarungan yang dilaluinya dengan susuk misteri itu. Dia menggenggam kuat tangan Aidan dan bangun dengan sisa tenaga yang ada.
Peluh membasahi dahi dan seluruh tubuhnya terasa lesu. Mereka berdua berdiri bersebelahan dalam keheningan malam yang sunyi selepas susuk itu menghilangkan diri.
"Eh, kejap... kejap... bu... bukan kau kat UK ke? Ma... macam mana kau boleh sampai kat sini?" Jenny bersuara dengan nada terkejut. Matanya bulat memandang Aidan. Dia baru tersedar rakannya itu sepatutnya berada ribuan kilometer jauhnya diluar negara.
Aidan memandang Jenny dan mentertawakan keletah gadis itu yang terkejut dengan kehadirannya. "Aku ni kan anak orang kaya. Aku sampai sini guna jet peribadi aku la." jawab Aidan berseloroh.
Jenny yang mendengar jawapan itu terus menunjukkan isyarat tangan penumbuk kepada Aidan. " Kau jangan main-main Aidan. Aku serius ni."
"Okay... okay... jangan la marah sangat. Aku cuma nak kurangkan kesakitan kau je dengan gurauan aku ni." pujuk Aidan sambil mengangkat tangan seperti orang menyerah kalah kepada Jenny.
"Kurangkan kesakitan kau kata? Ni menambah kesakitan namanya. Kau ni tak berubah la Aidan. Masih lagi loyar buruk macam dulu." kata Jenny geram sambil melepaskan satu tamparan yang kuat dibahu Aidan.
"Aduh... alah... gurau sikit pun tak boleh. Kau ni garang la Jenny. Jangan garang-garang nanti tak ada lelaki nak kat kau nanti." Aidan cuba meredakan keadaan.
"Ehhh, suka hati aku la. Cepat bagitau kat aku macam mana kau boleh ada disini? Kalau tak aku jerit kuat-kuat biar jiran-jiran aku dengar. Lepas tu aku cakap ada lelaki menceroboh dalam rumah aku." ugut Jenny sambil membesarkan matanya kepada Aidan.
"Uishhh... jangan la macam tu. Kau ni nak bunuh aku ke Jenny? Okay... okay... aku cerita kat kau macam mana semua ni terjadi." akhirnya Aidan menyerah kalah dengan ugutan Jenny.
"Ceritanya macam ni. Masa aku tengah study kat dalam bilik aku. Tiba-tiba Seru Laksamana berfungsi dan mengeluarkan cahaya. Aku pelik sebab azimat ni sepatutnya aktif masa kita kat Inderapati je." cerita Aidan sambil menelan air liurnya.
"Aku pun melalui perkara yang sama dengan kau Aidan. Mawar Cakrawala ni tiba-tiba boleh aktif semasa aku bertarung dengan makhluk tadi tu. Sedangkan alat ni sepatutnya hanya berfungsi semasa kita di dunia mimpi." Jenny menunjukkan loket ajaibnya yang sudah kembali ke bentuk asal kepada Aidan.
Aidan dan Jenny termenung seketika memikirkan perkara-perkara pelik yang terjadi pada mereka berdua. "Aku rasa ada sesuatu yang buruk sedang terjadi di Inderapati." sambung Aidan memecahkan kesunyian.
"Apa maksud kau? Mana kau tahu Inderapati dalam keadaan bahaya?" soal Jenny.
"Kau ingat tak part aku cerita pasal Seru Laksamana bercahaya tu?" Aidan menyambung ceritanya.
"Okay... aku ingat yang tu. Jadi apa kaitannya?" Jenny menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil menjawab soalan Aidan.
"Alat tu bukan sahaja mengeluarkan cahaya tetapi memunculkan Nakhoda Ragam. Dia muncul untuk memberi pesan supaya kembali ke Inderapati. Dia juga ada ajarkan cara bagaimana untuk membuka portal ke Inderapati. Dengan cara yang dia ajarkan tu la aku gunakan untuk sampai disini." terang Aidan dengan panjang lebar.
Jenny mengangguk kecil setelah mendengar penjelasan yang panjang lebar dari Aidan. "Aku rasa... kita seperti diseru untuk kembali ke Inderapati, Aidan. Inderapati dalam bahaya. Kita kena kembali ke sana." bisik Jenny perlahan. Matanya penuh dengan kebimbangan apabila teringatkan bahaya yang menghampiri Inderapati.
Share this novel