HABIS waktu bekerja, Izelda memandu keretanya menuju ke ‘transit’ untuk menjemput anaknya pulang. Sempat dia memerhati ke arah jam di ‘dashboard’. Sudah lewat hampir satu jam. Maklum sahaja jalan dari tempat kerja ingin ke tempat itu pada waktu petang turut sesak. Tambahan pula dia keluar lambat dari pejabat kerana perlu menyiapkan satu tugasan seperti yang diminta oleh bosnya.
Sebaik memberhentikan kenderaan di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat, Izelda dapat melihat dari jauh kelibat anak tunggalnya Alesya sedang menunggu di sebuah bangku bersama mimik muka yang monyok. Serta-merta dia dirundung rasa bersalah.
“Icha sayang! I’m sorry. Mama terlambat ambil Icha. Jalan jem teruk tadi,” ucap Izelda sambil memeluk tubuh kecil si anak. Tahu bahawa alasan itu sudah seringkali dia berikan.
Si kecil Alesya hanya memandang ke wajah mamanya dengan riak tanpa perasaan. Mungkin sudah terbiasa dibiarkan menunggu lama seperti itu.
Selalunya selesai menghadiri sesi persekolahan biasa pada sebelah pagi, Alesya akan ke sekolah agama pula. Dan kemudian akan diambil oleh seorang pemandu yang juga pemilik sebuah taska untuk dibawa pulang ke transit ini.
Taska atau kebiasaannya disebut sebagai ‘transit’ merupakan tempat persinggahan untuk anak-anak sekolah rendah di sekitar tempat itu berehat dan makan sementara menanti ibu ayah datang mengambil mereka.
“Dia tunggu akak lama. Budak lain semua dah balik. Itu yang merajuk agaknya.” Seorang staf di taska berkenaan memaklumkan kepada Izelda.
Dalam mimik wajah yang muram Izelda memandang ke raut keletihan si anak. Mana tidaknya. Dari awal pagi tadi keluar sehingga ke lewat petang barulah dapat pulang.
“Maaf ye, teacher. Akak lambat sikit. Ada kerja kena siapkan di office tadi.”
“Takpe, akak. Saya faham.” Staf yang dipanggil teacher itu hanya tersenyum memahami.
Selepas mengucapkan terima kasih, Izelda bersama anaknya berlalu ke kereta. Izelda memandu kenderaannya meninggalkan tempat tersebut.
“Icha nak makan apa-apa? Kita pergi Texas Chicken nak tak? Icha suka ayam goreng kat situ kan?” Izelda cuba mengambil hati si anak ketika dalam perjalanan.
Sebaliknya si kecil Alesya masih mempamerkan reaksi protes. Dia duduk berpeluk tubuh sambil memuncungkan bibir tanda rajuk yang masih belum reda.
Izelda menggaru kepala yang tidak gatal. Hilang idea bagaimana mahu memujuk anaknya. Sekali pandang cara merajuk tu sebijik macam perangainya sendiri. Tak hairanlah kalau orang selalu cakap perangai anak perempuan ni akan ‘copy paste’ emaknya.
Tidak ingin banyak bicara, Izelda lantas membelok ke sebuah restoran makanan segera yang terletak di tepi jalan. Setelah itu dia mengajak anaknya turun. Cadangnya nak makan malam siap-siap di situ. Kalau tunggu sampai rumah baru nak memasak nanti entah pukul berapa baru boleh makan.
Si kecil Alesya akur dengan tingkah ibunya. Tidak membantah. Malah, ketika makanan yang dipesan mereka tiba di meja, dia terus makan dengan penuh berselera.
“Mama, Icha nak aiskrim.” Pinta Alesya ketika mereka sudah selesai menjamu selera.
Demi si anak Izelda turutkan. Aiskrim dibeli lalu diberikan kepada Alesya. Mimik muka anak kecil itu terus bertukar ceria sebaik sahaja aiskrim singgah ke mulutnya.
“Sedap. Thank you, mama!” ucap Alesya sambil melompat-lompat keriangan.
Izelda tersenyum lega. Mood anaknya sudah pulih seperti sediakala. Bagi Izelda si anak adalah segala-galanya. Tidak dapat diganti dengan apa pun. Dia sanggup lakukan apa sahaja demi melihat Alesya tersenyum gembira.
“Sama-sama sayang mama. I love you!” Izelda mengucup pipi si kecil.
“I love you too mama!” Alesya turut membalas dengan mengucup pipi ibunya.
IZELDA dan Alesya tiba di rumah pada jam 7:30 malam. Cepat-cepat Izelda menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Alesya turut berlalu ke kamarnya untuk mandi.
Sebentar kemudian, Izelda dan Alesya menunaikan solat fardhu Maghrib bersama-sama sebelum Izelda mengambil peluang mengajar anaknya membaca Al-Quran. Waktu singkat sebegini digunakan dengan sebaiknya untuk memenuhi keperluan rohani si anak.
Selesai sesi mengaji, Izelda membantu Alesya menyiapkan kerja sekolah pula. Dia bukanlah pandai sangat. Mana yang termampu bolehlah diajar kepada si anak. Sebolehnya dia tidak mahu Alesya ketinggalan dalam apa jua bidang.
“Icha belajar sungguh-sungguh tau. Sampai berjaya. Banggakan mama dan nenek. Mama nak tengok Icha genggam ijazah suatu hari nanti,” ujar Izelda sebaik kerja sekolah anaknya dapat disiapkan.
“Ijazah tu apa mama?” Alesya bertanya.
“Ijazah tu kelulusan yang tinggi dalam pelajaran. Nak dapatkan ijazah kena belajar rajin-rajin di sekolah dan masuk universiti. Bila ada ijazah, peluang untuk dapat pekerjaan yang bagus lebih luas.” Izelda cuba menerangkan kepada anaknya.
“Erm mama ada ijazah tak?”
Soalan Alesya membuatkan Izelda menyepi seketika. Lantas terkenang memori ketika dia menyambung pelajaran peringkat Sarjana Muda di sebuah kolej beberapa tahun yang lalu.
Waktu itulah dia berkenalan dengan seorang lelaki muda yang berwajah tampan serta datang dari latar belakang keluarga berada. Mereka belajar di kolej yang sama. Tetapi, berlainan jurusan.
Entah macam mana hubungan mereka menjadi rapat dan erat hingga membibitkan perasaan cinta. Dan tanpa diduga dengan beraninya mereka berdua mengambil keputusan untuk bernikah walaupun tahu usia mereka ketika itu sangat muda.
Malangnya perkahwinan tersebut tidak bertahan lama. Ketika bekas suaminya pergi ke luar negara tanpa sebarang berita, Izelda terpaksa berhempas-pulas sendirian menguruskan kehidupan selepas perceraian.
Dia cuba menghabiskan sesi pengajian yang cuma berbaki hanya dua semester. Namun, berbagai dugaan yang menimpa di sekeliling membuatkan Izelda berputus-asa. Apatah lagi waktu itu dia sedang sarat mengandungkan Alesya keseorangan. Ditambah pula dalam masa yang sama ayahnya pergi mengadap Ilahi.
Akhirnya selepas selamat melahirkan Alesya, Izelda mengambil keputusan untuk tidak menyambung lagi sesi pengajian dan membiarkan impiannya untuk memiliki segulung ijazah berkubur.
Tak mengapalah. Izelda redha dan pasrah dengan jalan kehidupan yang dilalui. Sementelah dia sendiri yang memilih laluan ini dahulu.
“Mama… mama okey?” Alesya menyentuh lengan Izelda apabila melihat ibunya diam sahaja tanpa suara.
Izelda tersentak dari lamunan. Pandangannya beralih semula ke arah Alesya. Air mata yang bergenang di tubir mata kerana teringatkan memori lampau tadi dikesat perlahan.
“Mama okey sayang. Don’t worry. Mama sayang Icha sangat-sangat tau. Maaf kalau mama selalu lambat jemput Icha. Mama kerja kuat untuk bagi kehidupan yang baik untuk Icha,” ujar Izelda sambil mengusap lembut kepala si anak.
“Mama, kalau Icha ada ‘ayah’ mesti best kan? Mama tak perlu kerja kuat lagi. Sebab ada ayah yang pergi kerja. Mama boleh duduk rumah. Boleh main dengan Icha. Boleh buat macam-macam dengan Icha.”
Tutur kata Alesya membuatkan hati Izelda menjadi pilu dan sebak. Setiap kali si kecil itu sebutkan berkenaan ‘ayah’ perasaan bersalahnya bertambah menggunung.
Selama ini Izelda terpaksa berikan alasan bahawa si ‘ayah’ telah pergi jauh. Sangat jauh dan tak akan kembali lagi. Dia tidak mampu bercerita lanjut mengenai sosok si ayah kerana lelaki itu memang tidak pernah wujud dalam hidup Alesya.
“Mama kan boleh jadi ‘ayah’ untuk Icha juga. Selama ni mama pergi kerja cari duit. Lepas tu mama boleh main dengan Icha di rumah. Tak ada beza kan?”
Alesya pantas menggeleng sambil mencemik bibirnya. “Tak sama. Icha nak ayah yang betul. Siang tadi masa di sekolah kawan-kawan ejek Icha. Diorang cakap Icha ni ‘anak pungut’ dari tong sampah. Sebab tu Icha tak ada ayah. Hu… hu… hu…”
Ya Allah. Terkedu Izelda melihat reaksi si anak yang sedang menangis tersedu-sedu itu. Aduhai, sampainya hati mereka yang berkata begitu. Tahukah mereka betapa terluka anaknya apabila diberi gelaran sedemikian?
Pantas Izelda menarik tubuh kecil anaknya ke dalam pelukan. Dibelai rambut Alesya cuba untuk menenangkan perasaan si anak.
“Icha sayang, kat dunia ni bukan Icha seorang yang tak ada ayah. Ada ramai lagi budak lain yang senasib dengan Icha. Lebih sedih ada budak yang tak ada dua-dua ibu dan ayah. Dia anak yatim-piatu. Sekurang-kurangnya Icha ada mama kan? Mama akan jaga Icha dengan baik. Mama akan selalu sayangkan Icha lebih dari segala-galanya di dunia ni. Mama sanggup korbankan apa saja demi Icha,” ucap Izelda lalu mengucup ke ubun-ubun si anak.
Mendengar kata-kata pujukan si ibu, perasaan Alesya menjadi tenang semula. Dia memandang ke raut Izelda.
“Mama, boleh Icha minta sesuatu?”
“Apa dia, sayang?”
“Icha nak ayah baru. Please~” ucap Alesya dalam mimik wajah yang polos.
Izelda hampir terbatuk mendengar permintaan si anak. Haih, dia ingat nak cari ‘ayah baru’ tu macam cari ikan di pasar ke? Siapa pula yang sudi dan sanggup nak menjadi ayah baru si Icha ni?
“Hurm nanti mama carikan ayah baru untuk Icha ye. Dah, jom masuk tidur dulu.” Izelda mengiyakan permintaan si anak semata-mata mahu menghilangkan mood sedih tadi.
“Yeay! Icha tak sabar nak jumpa ayah baru. Nanti Icha nak tunjuk ayah baru kat semua kawan-kawan yang ejek Icha tadi.” Alesya melompat-lompat seronok.
Izelda sekadar menggelengkan kepala sambil mengiringi si kecil itu ke bilik tidur. Selepas menggosok gigi, Alesya naik ke katil lalu berbaring.
“Mama, janji tau...” Tutur Alesha sebelum melelapkan mata.
“Janji apa?” Izelda mengerutkan kening tidak mengerti.
“Janji cari ‘ayah baru’ untuk Icha.”
Izelda meraup muka seketika. Haih, kalau dah berjanji kejap lagi nak kena tunaikan. Kat mana pulak dia nak mencari si ‘ayah baru’ untuk budak Icha ni?
“Erm yelah. Mama janji. Dah, tidur cepat. Mama pun nak kena tidur awal. Esok mama kena pergi office cepat. Ada perjumpaan dengan CEO baru~” ujar Izelda malas mahu melanjutkan perbualan berkenaan topik ‘ayah baru’.
“CEO tu apa, mama?”
“CEO tu Ketua Pegawai Eksekutif. Dia bos besar mama. Semua pekerja bawahan macam mama kena berkumpul untuk sambut ketibaan dia di pejabat esok.” Izelda memberi penerangan ringkas. Kalau tidak dijawab nanti soalan bertubi-tubi akan keluar dari mulut si kecil itu yang memang suka bertanya macam-macam.
“Ooo…” Alesya membulatkan mulutnya. Entah faham atau tidak.
“Dah. Tidur ye. Good night sayang mama,” ucap Izelda lalu mengucup ke tengah dahi anaknya.
“Good night mama.” Alesya membalas sebelum melelapkan mata.
Izelda menyelimutkan tubuh Alesya yang berbaring di katil sambil memeluk patung beruang itu. Dia menekan suis lampu tidur dan duduk menemani seketika di sisi anaknya.
Setelah itu, Izelda melangkah keluar dari bilik si kecil dan berlalu ke kamar beradunya. Di dalam kepala sedang berfikir pakaian apa yang ingin disarungkan ke tubuh untuk acara di pejabat esok hari.
Sambil itu dia cuba membayangkan raut wajah CEO baharu yang akan muncul di syarikat tempatnya bekerja. Menurut maklumat ‘risikan’ temannya Wana, CEO baharu itu kacak orangnya. Haih, tak sabar pula Izelda nak bertemu dengan CEO itu esok.
*Ha, agaknya bagaimanakah pertemuan semula Syed Farees dan Izelda Qaireen nanti? Adakah Syed Farees akan mengetahui tentang kewujudan anak kandungnya Icha? Semuanya akan terjawab nanti. Sebelum itu sis nak minta maaf sebab novel ni ‘unlocked chapter’. Pembaca perlu gunakan coins untuk baca bab-bab seterusnya. Sis ucapkan terima kasih buat semua pembaca yang sudi bertandang ke novel ini. Insya-Allah kisah Syed Farees dan Izelda Qaireen ni happy ending.
Share this novel
dulu free jer nak baca semua novel kat dalam ni...sekarang kena pulak beli coin...sekarang ni...nk dpt benda free mmg payah??so...saya ambil pendekatan...tak payah baca lagi...??
Mcmmane nk smbung bab 4.. Sya dh top up coin dah byr tp tak dpt msuk bab 4..rugilah mcm ni
test_account