Bab 11

Romance Completed 59725

Melihat Aidan dan Jenny berada dalam keadaan bersedia untuk menyerang, Jahar hanya ketawa sambil menggelengkan kepalanya. "Jangan takut. Aku datang dalam keadaan aman. Aku tidak ada niat hendak memudaratkan kalian. Aku cuma datang untuk bertanya khabar."

"Kau jangan berpura-pura. Mari kita selesaikan perkara ini sekarang Jahar." cabar Aidan dan terus melompat ke atas batu besar di mana tempat Jahar berdiri.

Mata mereka berdua saling bertentangan tanpa ada suara yang keluar dari mulut mereka. Angin yang bertiup lembut memainkan lagu desiran yang terhasil dari rumput-rumput yang menghijau.

Aidan memulakan langkahnya dengan menyeru semangat Badang dan Nakhoda Ragam menggunakan azimat Seru Laksamana. Selepas itu, dia menggabungkan kedua-dua semangat itu ke dalam tubuhnya. Hasil daripada teknik itu, tubuhnya memancarkan aura yang berwarna-warni dan beralun seperti api yang sedang membara.

Aura yang terhasil di tubuh badan Aidan memukau mata Jenny. Dia belum pernah melihat Aidan menggunakan teknik itu sebelum ini. Semua ini membuatkan Jenny sedar keupayaan Aidan telah meningkat melangkaui dirinya. Jadi dia membuat keputusan untuk tidak masuk campur dalam pertarungan tersebut.

"Aidan, jangan kalah dengan jantan tak guna tu!" jerit Jenny memberi semangat kepada Aidan.

Aidan memandang Jenny dan tersenyum. Dia menukar kekudanya, kakinya mencengkam tanah dengan penuh keyakinan. Dia menatap Jahar dengan mata yang membara. Dalam sekelip mata, Aidan melonjak tinggi dengan kelajuan yang hampir sukar untuk dilihat.

Gerakan yang dilakukannya pantas dan tepat, sambil tangan kanannya dikepalkan erat untuk melancarkan serangan yang pertama. "Jahar! Ini adalah pengakhiran untuk kau!" jerit Aidan, suaranya bergema di padang rumput yang luas itu.

Udara seakan-akan bergetar apabila serangan Aidan hampir tiba ke dada Jahar. Tetapi lelaki itu tidak berganjak. Keningnya sedikit berkerut, namun bibirnya mengukir senyuman sinis. Jahar mengangkat tangan dan menangkis serangan itu dengan mudah.

Dentuman kuat bergema menghasilkan gelombang yang menggongcang tanah di sekeliling mereka. Debu-debu halus yang berterbangan menciptakan awan kecil yang mengelilingi mereka.

Aidan berundur ke belakang, dia terkejut dengan kekuatan Jahar. Tangannya bergetar hebat kesan dari tangkisan itu.

Jahar menggeleng kecil, senyuman sinis masih menghiasi wajahnya. "Mengapa kau marah-marah? Aku datang cuma hendak bertanya khabar sahaja."

Aidan mengatur semula nafasnya. Langkahnya nampak bersedia untuk melancarkan serangan seterusnya.

"Aku belum selesai lagi." Aidan membalas dengan semangat yang membara.

Dengan kekuda yang baru, dia melancarkan serangan yang bertubi-tubi kepada Jahar. Namun dengan mudahnya Jahar mengelak setiap serangan yang dilancarkan oleh Aidan.

Tubuhnya bergerak dengan lancar seperti penari balet di atas pentas, membuatkan setiap serangan yang datang dari Aidan menjadi sebahagian daripada tarian yang menghiburkan.

Aidan tidak mengalah. Setiap serangan yang dilancarkannya semakin pantas dan kuat.

Jahar hanya tersenyum sahaja menerima serangan Aidan sambil mengelak. Dia seolah-olah sedang menikmati setiap detik yang berlaku di dalam pertarungan itu.

Tiba di satu sudut, Jahar mengangkat tangan serta jari telunjuk kanannya lalu dia menghayun lembut ke arah Aidan. Maka terhasil satu gelombang yang kuat menuju laju ke arah Aidan.

Aidan yang terkejut cuba bertahan dari terkena serangan tersebut. Namun, dia tidak berjaya lalu terkena serangan itu dan terpelanting ke belakang. Darah bersemburan di udara keluar dari mulut Aidan. Kecederaan dalaman yang dialaminya membuatkan dia merasa lemah seketika.

Jenny yang melihat keadaan itu terus datang untuk menyelamatkan Aidan daripada terhempas ke tanah. "Aidan, kau tak apa-apa?" tanya Jenny, wajahnya penuh dengan kerisauan.

Aidan bangun sambil memegang bahagian dadanya. "Aku okay Jenny." jawab Aidan sambil bangun dan dibantu oleh Jenny.

Jahar berjalan ke arah mereka sambil menguap. "Aku rasa cukup sahajalah setakat ini. Aku sudah mulai bosan." katanya kepada Aidan dan Jenny lantas dia memetik jarinya. Sebaik sahaja jari dipetik satu pintu portal terbuka di belakang Jahar.

"Tunggu aku belum habis lagi!" jerit Aidan apabila melihat Jahar berpusing dan melangkah masuk ke dalam portal.

Langkah Jahar berhenti, dia berpaling memandang Aidan dan Jenny. "Aku pasti kita akan bertemu lagi Penjejak Mimpi." katanya sambil tersenyum.

Selepas itu, dia melangkah masuk ke portal dan hilang begitu sahaja meninggalkan Aidan dan Jenny dalam keadaan yang terpinga-pinga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience