Bab 3

Romance Series 126951

HABIS berselerak lantai biliknya dengan cebisan gambar-gambar yang dikoyakkan. Puas hatinya melihat tiada satu keping gambar langsung yang tertinggal.

Sejak tadi, tidak henti-henti telefonnya berdering, namun Syazleen tidak mengendahkannya langsung. Dia membiarkan sahaja bunyi deringan panggilan telefon yang berselang-seli dengan bunyi notifikasi yang menandakan ada mesej masuk itu.

"Patutlah kau selalu tersasul panggil aku dengan nama perempuan yang berbeza-beza sebelum ni. Rupa-rupanya tu nama-nama spare girlfriend kau di belakang aku! Cinta konon! Pergi mampuslah dengan cinta kau!" gumam Syazleen sambil merenung tajam skrin telefonnya yang sedang menyala di depannya.

Sebaik sahaja deringan terhenti, dia segera mencapai telefonnya, lalu dia terus menyekat nombor lelaki yang kini sudah bergelar bekas kekasihnya itu.

"Kau ingat aku akan termakan pujuk kau ke? Mesti kau fikir aku sedang menangis sekarang ni, kan?" Senyuman sinis langsung tersungging pada seraut wajah cantik itu. "Dalam mimpi kaulah! Baik aku pergi gosok gigi, cuci muka dan terus tidur!"

Syazleen lantas berdiri, lalu dia terus menuju ke bilik air untuk menyelesaikan apa yang patut sebelum tidur.

Pada hakikatnya, kekecewaan yang dia rasakan pada ketika ini membuatkan hatinya benar-benar hancur dan sakit, namun dia sedaya upaya menahan diri agar tidak menangis kerana dia tahu tangisannya itu hanya sia-sia.

- - - -

"JADI, apa kau nak buat lepas ni?" soal Misha sambil membetulkan tali kasutnya di atas kerusi panjang yang terletak di bawah salah sebuah pohon di taman itu.

"Nak buat apalagi? Aku terima ajelah pilihan mama aku tu. Tak ada masa aku nak frust-frust bagai! Bercinta bukan main, sekali kesudahan cerita, rupa-rupanya boyfriend kaki perempuan. Entah aku ni spare dia yang ke berapa dah. Mujurlah aku bukan jenis yang serah body macam tu aje! Baik kahwin koboi je. Tak payah bercinta, kahwin je terus, lepas tu buat anak. Haa, mama aku pun dah tak terus-terusan membebel lagi dah setiap hari. Settle!" ujar Syazleen panjang lebar dengan muka tegang.

"Amboi, mudahnya!" balas Misha disusuli tawa kecil.

"Kalau ada jalan yang mudah, buat apa nak kusut-kusutkan fikiran pilih cara yang susah? Jadi, kau expect aku nak berbaik dengan buaya darat tu ke? Syesssh! No way!"

"Okey, okey, pasal tu aku sokong kau! Bukan dia sorang je lelaki kat muka bumi ni. Kau cantik apa! Tinggi, langsing, menawan dan menggoda, kenyit mata je pasti ramai lelaki yang..."

"Eh, kau tak payah nak membodek akulah!" Laju Syazleen memintas sambil menampar sisi bahu rakan baiknya yang sedang menahan tawa itu.

"Lah! Aku cakap betullah! Tu... Tuan Hairol tu. Satu department tahu yang Tuan Hairol suka kat kau tau! Kau je yang tak layan sebab kononnya kau setia pada si buaya tu!"

"Eee, dahlah, dahlah! Malaslah aku nak cakap pasal ni. Aku dah muktamad dah dengan keputusan aku. Aku tak nak bercinta lagi. Aku nak kahwin je terus dengan pilihan mama aku tu!"

"Masalahnya, kau yakin ke pilihan mama kau tu handsome dan budiman?" soal Misha sambil menjongketkan kening.

"Hmmm... kau tolonglah doakan semoga calon menantu pilihan mama aku tu handsome dan budiman. Handsome macam abang nasi lemak tu pun okey juga," balas Syazleen sambil tersengih.

"Eh, kau ni kan!" Spontan Misha menampar lengan wanita yang sedang tersengih itu. "Hmm, pasal nak resign tu... kau dah fikir masak-masak ke, Syaz?"

Syazleen mengangguk yakin. "Aku dah cakap dah dengan Tuan Jazman pasal ni."

"Apa Tuan Jazman cakap? Dia bagi ke?"

"Dia bagi je, tapi dari cara dia bercakap tu, dia macam berat hati."

"Macam manalah dia tak berat hati kalau anggota elite terbaik kesayangan dia ni nak resign. Sayanglah kau berhenti, Syaz," balas Misha disusuli dengan keluhan berat. "Memang cita-cita kau dari kecil nak kerja dalam bidang ni, kan?"

"Yang tu... memanglah! Tapi, kita sebagai perempuan ni susah sikit nak terus jadikan kerja sekarang ni sebagai kerjaya sampai pencen. Kau pun tahu bahaya dan risiko kerja kita ni, kan? Lainlah kalau kau memang tak nak kahwin dan ada anak sampai tua. Kes yang kita handle sekarang ni kes terakhir aku."

"Jadi, kau kerja dengan papa kaulah lepas ni?"

Laju Syazleen mengangguk disusuli dengan keluhan. "Kerja dengan papa akulah, kat mana lagi? Lagipun, aku kesian juga abang aku tu terpaksa cover hampir semua kerja. Dia yang urus bekalan bahan mentah, lepas tu dia juga yang urus bahagian management."

"Yalah, apa-apapun, jangan pula kau sombong terus dengan aku bila kita dah tak kerja sama-sama dah nanti," ujar Misha dengan suara yang kedengaran sayu. Berat rasa hatinya untuk membiarkan sahabat baiknya itu berhenti kerjanya sekarang, namun dia tahu dia tiada hak untuk menentukan pilihan orang lain.

"Hisy, kau ni! Kalau aku nak sombong, dah lama aku sombong, tahu tak! Tapi nak sombong kenapa kalau semua aset dan harta tu bukan aku punya? Aku tumpang papa dan mama aku je."

"Nanti akan jadi bahagian kau dan abang kau juga tu. Orang kaya ni kebanyakannya..."

"Eh, dahlah! Kau tak payah nak mengarut sangatlah! Tak semua orang kaya ni sombong tau! Walau apapun, kau tetap kawan baik aku sampai bila-bila!" Laju Syazleen memintas percakapan wanita itu dengan muka serius.

"Janji?" Misha lantas menaikkan jari kelingkingnya.

"Ya, janji!"

Jari kelingking mereka saling bertaut buat beberapa saat sebelum Syazleen turun daripada kerusi panjang itu.

"Okeylah, aku nak balik ni. Jomlah! Hari ni tak ada meeting, so, kita tak masuk office. Jumpa kau dan Wana malam nanti!" ujar Syazleen sambil melingkarkan tuala kecilnya di leher sebelum dia mulai mengorak langkah menuju ke kawasan parkir.

- - - -

SESAMPAI sahaja di rumah, Syazleen terus menuju ke dapur untuk mencari ibunya.

"Awal pula balik dari taman hari ni. Selalunya mama dan papa dah keluar baru Syaz balik," tegur Puan Athirah yang sedang menikmati sarapan sambil bersembang dengan suami serta anak lelakinya di meja makan.

"Syaz ada hal nak cakap kat mama ni," ujar Syazleen seraya menarik kerusi dan duduk di sebelah ibunya.

"Hal apa yang Syaz nak cakap tu? Bukan main serius lagi muka tu haaa, macam nak makan orang."

Tuan Rashid hanya tersengih mendengar kata-kata isterinya itu sambil menikmati mi goreng masakan permaisuri hatinya itu.

"Syaz setuju nak jumpa dengan calon menantu pilihan mama tu."

Serta-merta kunyahan Puan Athirah terhenti. Matanya langsung dipicingkan memandang wajah anak daranya itu dengan perasaan hairan. Baru kelmarin anak daranya itu menangguh pertemuan yang dirancanganya. Tiba-tiba pula pagi ini berubah fikiran pula. Entah mimpi apa anaknya itu semalam.

"Tak jadi nak bawa calon pilihan Syaz tu jumpa mama ke?" soal Puan Athirah dengan nada memerli, lalu dia menyambung semula kunyahannya dan kembali beriak tenang.

"Tak jadi. Orang tu dah hilang kat Lautan Pasifik," jawab Syazleen dengan muka bersahaja sambil mencedok mi goreng.

"Cakap ajelah putus cinta," sampuk Safri sambil tersengih dengan muka mengejek.

Syazleen hanya membalas kata-kata berbaur ejekan abangnya itu dengan jelingan tajam dan cebikan.

"Hmm, kebetulan mama nak jumpa kawan mama tu pukul 1.00 petang nanti. Kalau macam tu, mama bagitahu kawan mama tu bawa sekali anak dialah. Kita jumpa dia orang hari ni juga. Macam mana?" soal Puan Athirah dengan muka teruja.

"Ikut mamalah, tapi mama jangan bagitahu pasal kerja Syaz sekarang ni," balas Syazleen dengan mulut yang penuh dengan makanan.

Dia sudah pasrah dengan rancangan ibunya kerana dia sudah malas dan tiada hati lagi untuk memikirkan tentang mencari kekasih baru.

- - - -

SELEPAS mengambil keretanya di bengkel, Syazleen terus memandu menuju ke kafe yang dijanjikannya dengan mangsa tumbukannya semalam. Dia sudah nekad untuk menyelesaikan ketidakpuasan hatinya dengan lelaki tersebut.

"Padan dengan muka kau. Balasan atas keangkuhan kau! Poyo!" Dalam rasa serba salahnya, sempat lagi dia mengutuk lelaki tersebut.

Setelah memandu selama sepuluh minit, akhirnya dia tiba di kafe yang dijanjikan itu. Dari tempat dia memarkirkan keretanya dia sudah terpandang lelaki itu sedang duduk di dalam kafe.

"Nasib baik kau datang!" gumam Syazleen seraya keluar daripada kereta, lalu tanpa membuang masa, dia terus masuk ke dalam kafe itu.

"Appologize!" kata lelaki itu dengan muka serius dan dingin sebelum sempat Syazleen duduk.

Eh, eh, mamat berlagak ni! getus hati Syazleen sambil menayang muka meluat, lalu dia terus menarik kerusi dan duduk. "Aku akan minta maaf kalau kau minta maaf kat aku dulu!"

"Why should I?" balas lelaki itu sambil menjongketkan sepasang kening tebalnya dengan muka angkuh.

"Firstly, sebab kau bahayakan nyawa aku kemarin. Secondly, sebab kau tak minta maaf dekat aku lepas kau buat bonet aku kemek dan lampu aku pecah. Thirdly, sebab kau tiba-tiba sentuh aku semalam sampai aku tertumbuk muka kau. So, it's all your fault not mine!"

"I don't think I should appologize to a woman like you, sebab orang macam you tak layak dapat permohonan maaf daripada I. Semalam tu, I cuma nak tanya macam mana dengan kereta you, so, you yang sepatutnya minta maaf kat I sebab cederakan I," tegas lelaki berwajah serius itu.

Kata-kata lelaki itu membuatkan darah Syazleen serta-merta menyirap.

"Maksudnya, orang kaya macam kau tak perlu nak minta maaf kat orang yang bagi kau tak setaraf dengan kaulah ya? Excuse me, man! Setakat kekayaan yang kau ada tu, aku tak hairanlah! Manusia kaya harta tapi miskin adab macam kau ni, bersepah kat muka bumi ni. Orang angkuh berlagak macam kau ni kan, tak payah hidup pun takpa," sembur Syazleen dengan perasaan sebal. Kalau diikutkan hati, mahu dilayangkan sekali lagi penumbuk seperti semalam ke wajah lelaki itu biar tahu adab.

"What? You cakap apa tadi?" soal lelaki itu dengan muka bengang. Bukannya dia tidak dengar kata-kata yang baru sahaja dihamburkan oleh wanita itu, tetapi dia terkejut dan berasa tercabar. Belum pernah lagi dia dicemuh dan dihina seperti itu selama dia hidup.

"Tengok tu! Kaya, tapi malang. Tak cukup dengan angkuh, berlagak, biadap, pekak lagi!" Syazleen terus berdiri. "Sebenarnya sebelum aku sampai ke sini tadi tu, aku dah plan dah nak bincang elok-elok. Tapi lepas tengok perangai tak semenggah kau ni, aku batalkan niat aku. Jangan harap aku nak minta maaf kat kau selagi kau tak minta maaf kat aku! Poyo! Malang betul perempuan yang kahwin dengan kau!"

Syazleen lantas mengeluarkan sebuah sampul coklat daripada beg silangnya. "Ni balance duit kau! Lapan belas ribu dua ratus ringgit lima puluh sen selepas aku bayar kos repair kereta aku yang kau rosakkan! Kau dengar sini ya! Jangan kau fikir kau boleh buat orang tunduk kat kau sebab kau berduit, okey? Aku tak hairan pun dengan duit kau tu!" Sampul tadi kemudian diletakkan di atas meja sebelum dia beredar pergi dari kafe itu tanpa sempat memesan minuman.

Lelaki itu memandang sampul di atas meja dan wanita yang sedang menuju ke pintu kafe itu dengan muka tidak puas hati. Bergerak-gerak rahangnya menahan rasa marah. Dia benar-benar sakit hati dan berasa tercabar dengan sikap dan kata-kata yang dihamburkan oleh wanita itu sebentar tadi.

"Berani kau ya! Kau tak kenal aku lagi! Aku akan pastikan kau melutut depan aku tak kira siapapun kau!" gumamnya sambil mengepal kuat kedua-dua penumbuknya di atas meja.

- - - -

"LAMBAT lagi ke kawan mama nak sampai ni? Syaz dah lapar dah ni, ma," omel Syazleen, lalu dia menghirup gelas kedua jus tembikainya.

"Sabarlah dulu, kita makan sama-sama dengan dia orang. Sekejap lagi sampailah tu. Puan Suzi chat mama tadi dia orang dah dekat," balas Puan Athirah dan pada ketika itu juga seorang wanita anggun bergaya yang seusia dengannya menghampiri mereka dari arah belakang.

"Assalammualaikum, Tirah. Maaf lambat, korang dah lama tunggu ke?"

"Waalaikumussalam. Eh, Suzi! Haa, sampai pun! Tak adalah lama sangat. Tu anak saya tu yang tak sabar nak jumpa bakal mak mentua dan bakal suami dia ni," balas Puan Athirah seraya berdiri, lalu dua bersahabat itu saling melagakan pipi masing-masing. "Mana anak awak? Tak jadi datang ke?"

"Ada kat luar tu. Tengah pusing-pusing cari parking. Ni ke anak dara awak? Cantiknya! Macam mama dia juga," puji Puan Suzilah mesra bersama dengan senyuman lebar.

"Hai, auntie," sapa Syazleen yang turut tersenyum lebar, lantas dia menyalami wanita itu sebelum mereka saling melagakan pipi.

"Syazleen, kan?" soal Puan Suzilah seraya duduk di sebelah calon menantunya itu.

"Ya, auntie. Panggil Syaz aje. Awet mudalah auntie. Umur nampak macam baru empat puluh tahun."

"Eh! Ya ke?" Laju Puan Suzilah memegang kedua-dua belah pipinya sambil tersipu malu.

"Ma."

Semua mata langsung terhala kepada lelaki yang baru tiba dan sedang berdiri di sebelah Puan Suzilah itu.

"Haa, Syaz. Inilah anak auntie, nama dia Ash Farrel," kata Puan Suzilah sambil menarik tangan anaknya supaya duduk.

Dia? Ya Allah, dugaan apakah ini? jerit hati Syazleen. Matanya yang terbeliak tidak berkedip langsung memandang wajah lelaki yang kelihatan turut terkejut melihatnya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience