Bab 1

Romance Series 126951

SINARAN mentari pagi yang memancarkan cahaya lemah mulai menyinari bumi pada ketika ini. Angin sepoi-sepoi bahasa terasa nyaman bertiup menerpa wajah Syazleen yang dibasahi peluh.

Dia lantas mengambil keputusan untuk duduk berehat di kerusi panjang Taman Anggerik yang agak ramai pengunjung datang untuk berjoging sama sepertinya. Seperti hari-hari biasa, sudah menjadi kebiasaannya berjoging di taman itu selepas subuh.

Sedang meneguk air dari botol minumannya, dia terpandang sepasang suami isteri yang sedang berjalan kaki bersama dengan seorang anak kecil berusia dalam lingkungan tiga tahun melepasinya. Tidak lepas matanya daripada memerhati keluarga tersebut. Tiba-tiba dia melepaskan satu keluhan panjang sambil menunduk memandang kasut yang dipakainya.

Fikirannya langsung tertumpu kepada isu yang sering ditimbulkan oleh ibunya semenjak dua menjak ini yang sering dia berusaha untuk elakkan.

"Oi, Syaz! Lajunya kau!"

Spontan Syazleen menoleh, lalu dia ketawa kecil melihat wanita yang sedang membongkok pada posisi rukuk di sebelahnya itu dan sedang tercungap-cungap.

"Mana ada laju! Kau tu yang sempat lagi nak menggedik dengan abang nasi lemak tu," balas Syazleen.

"Bukan menggediklah! Aku tanya menu lauk nasi lemak dia je pun! Kan baru hari ni abang tu mula berniaga kat situ tadi."

"Kenapa lagi kau nak tanya kalau dah terang-terang tertulis tulisan besar sebesar alam senarai menu dia kat atas meja tu? Eleh! cakap ajelah kau nak minta nombor telefon. Mentang-mentang abang tu handsome, tiba-tiba pula kau tak pandai membaca, kan?" perli Syazleen. Bukannya dia tidak tahu sikap kawan baik merangkap rakan sekerjanya yang pantang melihat lelaki kacak itu.

"Halah! Kalau jealous, cakap! Eh! minta air kau sikit. Aku lupa botol air aku kat kereta. Malas pula nak jalan jauh kat parking pergi ambil," ujar Misha sambil tersengih.

"Tak ada maknanya aku nak jealouslah, mak cik! Nah! Jangan kau letak bibir kau kat mulut botol tu pula. Takut kau jatuh cinta kat aku je kalau kau terkena bekas bibir aku tu. Kalau kau lelaki dan handsome macam abang nasi lemak tu tadi, takpa juga."

Meletus tawa besar Misha selepas mendengar
kata-kata rakan baiknya itu. "Hisy, bengonglah kau! Mati aku kena pancung dengan bapa aku kalau dia tahu anak kesayangan dia ni geng pelangi tau!"

Suasana bertukar menjadi sepi buat seketika tatkala Misha sedang meneguk air dengan lagak seperti orang yang sudah beberapa hari tidak minum. Lantas, pandangan Syazleen tertumpu semula kepada keluarga tadi yang sudah semakin jauh sambil melepaskan keluhan.

"Kau kenal ke family tu?" soal Misha sambil menyenggol sisi bahu Syazleen.

"Tak."

"Dah tu, kenapa kau tengok family tu macam tu?"

Syazleen serta-merta melepaskan satu keluhan panjang yang kedengaran sangat berat sekali. "Mama aku tulah."

"Kenapa dengan mama kau?"

"Kau nak tahu tak, semenjak dua menjak ni kan, mama aku asyik cakap pasal nak menantu dan cucu aje tau! Kalau aku duduk dengar mama aku membebel, boleh tercabut gegendang telinga aku ni. Sebab tulah aku asyik mengelak aje daripada duduk diam kat rumah tu pergi lepak kat rumah kau setiap kali cuti," jelas Syazleen disusuli dengan keluhan dan gelengan.

"Mama kau dah tahu ke pasal Yazid?"

"Tak, aku belum bagitahu family aku lagi, sebab dia cakap kat aku yang dia belum ready atas alasan hubungan kami ni kira baru lagi. Yalah, baru sebelas bulan lebih. Dahlah masing-masing sibuk. Dia sibuk siang, aku pula sibuk malam. Minggu depan anniversary kami yang ke setahun. Aku ingat aku nak cakap balik kat dia pasal kahwin. Mama aku tulah, tak sabar-sabar nak aku kahwin. Paling sakit telinga aku ni kan setiap kali dengar mama aku cakap aku ni dah jadi andartu dah. Haih, sabo ajelah!"

"Kita kena pasrah dan berani berhadapan dengan realiti, Syaz. Macam tulah orang tua. Sama juga dengan mak aku tu, balik-balik tanya bila aku nak kahwin."

"Yang kau tu logiklah mak kau tanya, sebab kau tu dah tua!" ejek Syazleen disusuli tawa, lalu dia bingkas berdiri dan terus berlari menuju ke kawasan parkir yang terletak agak jauh dari situ.

"Hoi, mulut tu kan! Aku tua dua tahun aje daripada kaulah!" pekik Misha yang turut berlari mengejar wanita tinggi lampai bertubuh langsing itu.

- - - -

STERENG kereta berlambang H itu diketuk-ketuk menggunakan jari-jemarinya, kepalanya pula terangguk-angguk kecil mengikut rentak irama lagu pop rancak yang sedang dimainkan melalui pemain MP3.

Sengaja Syazleen memandu perlahan dengan niat hendak melengahkan waktunya sampai ke rumah. Bukannya dia tidak tahu, pada waktu-waktu sebegini, ibunya masih berada di dapur dan hanya akan keluar pergi ke kilang sos ayahnya pada pukul 8.00 pagi iaitu lima minit dari sekarang.

Sedang asyik menyanyi-nyanyi kecil, tiba-tiba sebuah kereta keluar daripada simpang tanpa lampu trafik secara melulu. Cepat-cepat Syazleen menekan brek, namun pertembungan tetap berlaku walaupun tidak terlalu teruk, tapi cukup membuatkan beg udaranya keluar.

Dummm!

"Arghhh, kereta aku!!! Macam manalah manusia ni bawa kereta!" bentak Syazleen sambil memukul beg udaranya sebelum dia keluar dengan muka bengis bersama dengan sedikit kesan serbuk putih dari beg udara yang melekat pada wajahnya.

Belum sempat dia mengetuk cermin kereta sport mewah yang dilanggarnya, pintu kereta terus terbuka. Seorang lelaki berpakaian formal dan segak keluar dengan muka tanpa riak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Syazleen mengetap geram giginya sambil bercekak pinggang di depan lelaki itu, lalu jari telunjuknya dinaikkan ke paras muka. "Kau..."

Belum sempat Syazleen menghamburkan kemarahannya, lelaki itu dengan pantas meraih tangannya, lalu dia meletakkan sekeping kertas di atas tapak tangannya.

"I tak ada masa nak layan you. Nah! You pergi hantar kereta you tu pergi ke bengkel untuk repair. I'm pretty sure jumlah tu lebih daripada cukup," ujar lelaki itu dengan muka angkuh seraya masuk ke dalam keretanya dan terus memandu pergi.

Terkebil-kebil mata Syazleen memandang kertas di tangannya dan juga kereta yang sudah meluncur pergi itu bersilih ganti dengan perasaan tidak percaya.

"Amboi, berlagak nak mampus punya manusia! Tahulah orang kaya! Dia ingat nyawa ni ada jual kat kedai ke?" gumam Syazleen dengan perasaan sebal.

Setelah kereta sport tadi menghilang daripada pandangannya, cepat-cepat dia memeriksa bahagian depan keretanya.

"Haih! Habis pecah bumper depan dan lampu aku! Dengan bonet kemek terangkat macam ni, ingat sikit ke kos nak repair!" rungutnya sambil menendang tayar melepaskan kemarahannya. "Kau siaplah nanti, mamat berlagak! Aku nak bawa juga kes ni ke dalam!"

Lantas, dia memandang angka yang tertera pada kertas cek di tangannya yang tidak sempat dia teliti tadi. Serta-merta matanya membulat selepas dia melihat lima digit angka bermula dengan nombor dua yang tertulis.

- - - -

"EH! Mama tak keluar ke hari ni?" desis Syazleen sejurus selepas dia terpandang kereta jenis SUV hitam milik ibunya yang berparkir di dalam garaj ketika kereta Grab yang dinaikinya itu masuk ke dalam perkarangan rumah banglo dua tingkat itu.

Dia memanjangkan lehernya memandang lorong menuju ke dapur untuk mencari kelibat ibunya sebaik sahaja dia menolak daun pintu utama, namun wanita yang dicarinya tidak kelihatan. Dia fikir, mungkin ibunya sedang bersiap-siap dalam bilik untuk keluar sebentar lagi.

Dengan langkah perlahan dan terhendap-hendap seperti gaya pencuri, Syazleen masuk ke dalam rumah dan menutup pintu dengan sangat berhati-hati supaya tidak menghasilkan bunyi.

"Haa, balik pun!"

"Astaghfirullah!" Spontan Syazleen berpusing dan tersandar pada pintu sambil memegang dadanya dengan mata membulat kerana terkejut selepas terdengar suara lantang itu. "Hisy, mama ni! Buat orang terkejut ajelah!" Langkah kakinya dengan pantas diorak menuju ke tangga hendak ke tingkat atas. Sengaja hendak mengelak daripada mendengar bebelan ibunya seperti biasa.

"Syaz, mari sini! Mama ada nak cakap," kata Puan Athirah yang sedang duduk menyilangkan kakinya di sofa ruang tamu.

"Ah, sudah! Habislah telinga aku!" gumam Syazleen seolah-olah sudah dapat mengagak bahawa dia bakal dibebeli oleh wanita itu, namun dia tetap pergi kepada ibunya dengan langkah kaki yang terasa berat sekali.

"Syaz dari mana tadi?" soal Puan Athirah sambil memandang anak daranya itu dari atas sampai ke bawah dengan muka serius.

"Dari Taman Anggerik, pergi joging macam biasa."

"Dengan Misha?" teka Puan Athirah sambil menjongketkan kening.

Laju Syazleen mengangguk.

Tiba-tiba, Puan Athirah mendengus sambil merenung anak daranya yang masih berdiri itu. "Syaz ni ada apa-apa hubungan istimewa dengan Misha ke?"

"Ya Allah, ya Rabbi... astaghfirullah al-azim! Apa mama cakap ni?" Syazleen membalas dengan pertanyaan, lalu dia cepat-cepat duduk di sebelah wanita berusia pertengahan lima puluhan tahun yang masih terlihat anggun dan bergaya itu. "Syaz straight lah, ma. Syaz dan Misha kan BFF."

"Orang lain pun ada BFF juga, Syaz. Tapi yang Syaz ni macam dah terlebih dah. Mana taknya, setiap kali Syaz keluar mesti dengan Misha. Setiap kali lepak kat rumah orang, mesti kat rumah Misha. Misha, Misha, Misha! Tak cukup dengan kerja sama-sama satu tempat kerja. Takda orang lain nak jumpa sampai nak cari bakal suami untuk bawa jumpa mama dan papa pun tak ada masa!"

"Maaa," rengek Syazleen dengan panjang ayat lima harakat. "Nanti Syaz bawalah bakal suami Syaz jumpa mama, tapi bukan sekarang."

"Nanti tu bila?"

"Ermm, minggu depan."

"Dah ada calon ke?"

"In shaa Allah, ada," jawab Syazleen dengan muka yakin.

"Hmm, okey. Kalau minggu depan tak ada, mama nak bawa Syaz jumpa dengan anak kawan mama."

Serta-merta berkerut dahi Syazleen mendengarkan kata-kata wanita itu. "Kawan mama yang mana pula ni?"

"Puan Suzilah, kawan baik mama masa kat universiti dulu. Baru terjumpa balik kat Fac sebulan lepas. Lost contact lepas masing-masing kahwin. Yalah, dulu teknologi bukan macam sekarang, hujung jari je. Dia ajak mama datang ke rumah dia dua minggu lepas, haa, masa tulah dia kenalkan anak lelaki dia kat mama."

Patutlah semenjak dua menjak ni takda topik lain, getus hati Syazleen. "Mama ni kan... Abang Safri tu dah umur 30 tahun dah, tapi mama tak ada pula bebel pasal suruh nak kahwin."

"Sebab lelaki dan perempuan tak sama. Orang lelaki, umur 50 tahun pun masih boleh ada anak lagi. Kalau orang perempuan, umur 35 tahun dah berisiko mengandung, tahu tak?"

"Yalah, tapikan ma... zaman sekarang ni dah tak relevan lagilah nak kenen-kenenkan anak dengan kawan baik ni. Ketinggalan zaman dah. Kalau zaman mama dulu, logiklah kut," hujah Syazleen disusuli dengan keluhan dan gelengan.

"Mama bukan suruh terus kahwin, kan? Mama cakap, kalau minggu depan Syaz tak bawa calon suami jumpa mama, mama nak kenalkan Syaz dengan anak kawan mama tu. Berkenal-kenallah dulu hati budi masing-masing, haaa, lepas tu kalau semua okey, kahwin terus tak payah nak lama-lamakan sangat. Umur Syaz tu dah dekat nak 30 tahun, tahu tak? Kalau zaman mama dulu, umur 25 ke atas orang dah panggil andartu dah. Jangan sampai..."

"Ya, ma, Syaz faham. Jangan sampai terlewat nak ada anak. Syaz dah set dah kata-kata mama tu." Laju Syazleen memintas kata-kata wanita itu, lalu dia bingkas berdiri. "Syaz nak mandi, lepas tu Syaz nak keluar pergi ke office sekejap."

"Haa, tu lagi satu hal. Mama dah banyak kali dah cakap pasal kerja Syaz yang..."

"Ma... kan Syaz dah balik-balik cakap pasal ni juga. Syaz akan resign lepas selesai kes yang sekarang ni. Lepas tu, Syaz kerja dengan papalah nanti." Sekali lagi Syazleen memintas dengan sedikit rasa tertekan dengan macam-macam perkara yang tidak kena di hati wanita itu.

Puan Athirah hanya mampu mendengus sambil menggeleng selepas mendengar kata-kata satu-satunya anak daranya itu.

"Okeylah, ma. Syaz naik dulu." Pipi wanita kesayangannya itu terus dikucup sekilas sebelum dia cepat-cepat melangkah menuju ke tangga.

"Mama nak ingatkan ya, Syaz. Minggu depan, kalau Syaz tak bawa calon suami jumpa mama, mama nak Syaz setuju jumpa dengan calon menantu pilihan mama!" laung Puan Athirah ketika Syazleen sudah berada di separuh tangga.

"Eee, mama ni kan," gumam Syazleen sambil mempercepatkan lagi ayunan langkah kakinya mendaki satu per satu anak tangga menuju ke biliknya.

Share this novel

Guest User
2024-10-16 12:45:24 

gdxsol

jruuoy
2024-10-14 17:38:43 

test_account


NovelPlus Premium

The best ads free experience