Sekitar jam 12.45 pagi, kelopak mata Kaylee berkelip terbuka. Akhirnya dia terjaga dari kegelapan. Bau steril hospital dan bunyi bip mesin beransur-ansur menjadi jelas ketika dia menyesuaikan diri dengan persekitarannya. Kesakitan dan keletihan melanda dirinya, tetapi dia lega mendapati tubuhnya memberi tindak balas, meskipun agak lemah.
"Victor..." Fikiran tentangnya segera timbul ketika dia mengingati peristiwa sebelum dia kehilangan kesedaran. Dia berusaha untuk melihat sekeliling dan menyedari bahawa dia bersendirian di dalam bilik itu, kemudian satu kesedaran yang melegakan menyelubungi dirinya: "Dia pasti dah selamat sekarang, dia meyakinkan dirinya."
Fikirannya melayang ke mimpi yang baru sahaja dia bangun dari, di mana Victor telah mengaku perasaannya terhadapnya. Pipinya memerah seperti jambu lembut. Namun pada detik berikutnya, dia menggulingkan matanya terhadap dirinya sendiri, menolak angan-angan tentang sesuatu antara dia dan Victor, tetapi dia berlegar sekitar angan-angan itu juga sekejap, tanpa disedarinya senyuman kecil semakin muncul di sudut bibirnya.
"Ouh..." alisnya berkerut apabila kesakitan dari bibirnya yang kering dan merekah itu menyentaknya kembali ke realiti.
Tidak lama selepas itu, seorang jururawat syif malam memasuki biliknya untuk pemeriksaan rutin.
"Aww, awak dah sedar!" kata jururawat itu dengan lembut, senyumannya hangat dan tulus.
"Macam mana rasa awak sekarang, cik?" tanya jururawat itu, memegang lembut lengan Kaylee untuk menilai pemulihan ototnya daripada hipotermia.
"Gerak sikit pun sakit dan sengal," jawab Kaylee dengan lemah, memberikan senyuman pahit kepada jururawat yang baik hati itu.
"Biasalah tu," jururawat itu meyakinkannya dengan senyuman yang menenangkan sambil terus memeriksa Kaylee. "Asalkan dijaga dengan baik, tak lama lagi okeylah dia."
Berita tentang kebangkitan Kaylee segera sampai ke Hann yang berehat semalaman di hospital. Para pakar telah menasihatkan bahawa jika tanda-tanda vitalnya kekal stabil, dia boleh dipindahkan ke wad biasa pada waktu pagi dan, sebaik sahaja dia boleh menelan makanan cecair, dia boleh dibenarkan pulang untuk meneruskan pemulihan di rumah.
Hann memutuskan untuk membiarkan Victor terus tidur dan hanya memberitahunya apabila dia bangun sekitar jam 7 pagi.
Tubuh atletik Victor telah pulih dengan baik, berkat daya tahan yang luar biasanya terhadap kesejukan yang melampau. Setelah tidur yang nyenyak semalaman, dia sudah dapat bergerak dan berjalan dengan lebih mudah tanpa bantuan.
Sangat gembira dengan berita tersebut, Victor berjalan pantas ke bilik baru Kaylee di sebelah. Selepas mengetuk ringan, dia menolak pintu.
Mendengar bunyi pintu, Kaylee menoleh sedikit. Di situ berdiri Victor, dengan jambangnya yang telah bertumbuh beberapa hari ini memberinya gaya baru, lain daripada wajahnya yang biasanya bersih dicukur.
Kaylee terdiam, matanya terpaku pada Victor ketika dia menghampiri katilnya. Victor menghulurkan tangan kanannya yang sedikit menggeletar dan menekup lembut pipi kiri Kaylee, pandangan mereka bertemu.
Merasai kehangatan tapak tangan Victor, gelombang emosi menyelubungi Kaylee. Kehadiran Victor menghidupkan kembali kerinduan Kaylee yang mendalam ketika ketiadaannya, hati Kaylee pilu mengenangkan penderitaan yang telah mereka alami bersama. Pada masa yang sama, dia turut berasa syukur yang tidak terhingga kerana telah selamat mengharungi pengalaman pahit itu bersama. Kelegaan menyelubungi dirinya, bersyukur kerana walaupun segala-galanya yang telah berlaku, Victor masih ada di sisinya.
Air mata mengalir di pipinya tetapi tidak disedarinya sehingga ibu jari Victor mengesatnya perlahan-lahan, mata Victor sendiri bergenang dengan air mata. Pada saat itu, Kaylee terlepas tangisan kelegaan, melepaskan segala emosi yang telah ditahannya – ketakutan, kebimbangan, dan ketegangan daripada pengalaman itu.
Hati Victor sakit benar melihatnya dalam kesedihan sebegitu. Tanpa teragak-agak, dia menunduk lalu memeluknya dengan lembut, sebelah tangan menahan belakang kepalanya, sebelah lagi di sekeliling bahunya, pipi basahnya menekan pipi Kaylee. Mereka menangis bersama, berkongsi emosi mereka dalam bilik yang sunyi.
Hann yang telah mengikuti Victor masuk ke dalam bilik, secara naluriah melangkah ke belakang apabila melihat detik intim itu. Adegan itu berlaku terlalu cepat, dan ketika mereka mula menangis, dia berpaling untuk pergi lalu menutup pintu dengan lembut di belakangnya, berasa seperti dia tidak patut mengganggu detik peribadi sebegitu.
Berdiri di luar bilik, dia menyedut hingusnya dan berkata kepada dirinya sendiri, "Tersentuh juga hati saya ni..." Dia meyedut hingusnya lagi, senyuman terbentuk ketika dia berfikir, "Mungkin tak lama lagi ni akan dapat Mem Presiden." Dengan pemikiran itu, dia berlalu pergi, merenung adegan penuh emosi yang baru sahaja disaksikannya itu.
***
Menjelang lepas tengah hari, Kaylee sudah boleh makan makanan lembut, namun dia masih merasakan kesakitan dan kelemahan yang berterusan di seluruh tubuhnya. Setiap pergerakan yang menyakitkan mengingatkan dirinya tentang kelemahannya buat masa ini.
Victor telah mengatur agar Kaylee dipindahkan ke rumahnya untuk pemulihan. Memahami kesulitan Kaylee buat masa ini, lebih-lebih lagi bagi menjaga maruah dan privasinya – terutamanya memandangkan status mereka yang belum berkahwin – dia dengan prihatinnya telah mengupah seorang jururawat profesional, Corinna Soo, untuk memberikan penjagaan kepada Kaylee sepanjang masa di kediamannya.
Pengaturan ini bukan sahaja akan menawarkan perhatian perubatan yang terbaik kepada Kaylee tetapi juga melindunginya daripada sebarang gosip atau perhatian yang tidak diingini supaya Kaylee dapat pulih dalam persekitaran yang selamat dan peribadi.
Victor juga ingin terlibat secara peribadi dalam pemulihannya, memastikan Kaylee menerima penjagaan yang terbaik. Selepas membincangkan rancangan dan fikirannya dengan Kaylee, Kaylee memikirkan tentang pangsapuri sewanya dan ibu bapanya yang sedang berada di kawasan pedalaman untuk menjalankan misi. Menyedari bahawa tiada siapa lagi yang boleh menjaganya sepanjang minggu pertama yang kritikal ini, dan terharu dengan mata Victor yang merayu dan penuh harapan, akhirnya dia bersetuju dengan pengaturan tersebut.
Setibanya di rumah Victor, Kaylee disambut oleh Corinna yang sudah pun tiba lebih awal untuk menyediakan penjagaannya. Dia dibawa dengan perlahan-lahan ke dalam bilik tetamu yang telah disediakan dengan mengutamakan keselesaannya – pencahayaan lembut, katil yang selesa, dan kehadiran Corinna yang menenangkan semasa dia mula menguruskan Kaylee.
Victor turut memastikan Kaylee selesa untuk menyesuaikan dirinya dalam persekitaran baru itu. Dia sangat berhati-hati dalam menghormati privasi dan maruah Kaylee, dengan mengatur agar Corinna tinggal berhampiran, hanya di sebelah biliknya.
Ketika Corinna menggerakkan kerusi roda Kaylee ke dalam bilik, Kaylee mula menyenaraikan barang-barang yang dia perlukan dari pangsapuri sewanya untuk penginapan sementaranya di rumah Victor dalam fikirannya. Dia berasa agak segan memikirkan untuk meminta Victor atau orang lain mengemas pakaiannya, terutama pakaian dalamnya. Namun ketika itu juga Corinna akhirnya menghentikan kerusi rodanya di hadapan almari pakaian berhampiran kawasan bersalin.
Almari pakaian itu dipenuhi dengan pakaian yang dipilih khusus untuk keselesaan Kaylee. Corinna membawa beberapa pasang pakaian rumah yang selesa untuk dipilih oleh Kaylee, semuanya dalam saiz yang sesuai dan gaya citarasa Kaylee – sesuatu yang tidak mudah didapati di kebanyakan kedai kerana kontur tubuhnya yang unik. Yang paling mengejutkan adalah sebahagian almari itu yang dilengkapi dengan pakaian-pakaian dalam yang berkualiti tinggi daripada pelbagai jenama, termasuk Kissy yang Kaylee sedang gunakan, semuanya dalam saiz yang tepat.
Pipi Kaylee memerah. Dia segera memberitahu dirinya bahawa memang tidak sukar untuk menganggarkan saiznya pun, memandangkan carta saiz pakaian dalam Kissy pun berdasarkan ketinggian dan berat badan.
Tidak ingin berfikir secara mendalam, dia memilih sepasang pakaian rumah yang selesa dan sepasang pakaian dalam berjenama Kissy untuk ditukar kemudian.
Corinna kemudian menggerakkan kerusi roda Kaylee ke dalam bilik mandi pula untuk memeriksa kelengkapan mandian yang telah disediakan. Kaylee tidak begitu memilih mengenai krim mandian, jadi dia hanya mengimbas senarai ramuan untuk syampu dan perapi rambut. Melihat tiada bahan yang disenaraihitamkan, dia cukup puas hati.
Ketika mereka keluar dari bilik mandi, Corinna perasan yang Kaylee memandang ke kawasan sinki, lalu segera menjelaskan, "Presiden Victor cakap mungkin cik ada jenama penjagaan kulit yang tertentu, jadi dia suruh saya tanya cik dulu."
"Oh, masih ada produk saya dekat apartmen saya," jawab Kaylee dengan sopan. "Saya tengah fikir nak bawanya ke sini bersama beberapa barang keperluan saya yang lain."
***
Pada waktu makan malam, Victor telah menyediakan hidangan yang ringkas tetapi berkhasiat untuk Kaylee.
Kaylee masih menghadapi kesukaran untuk membengkokkan lengannya, jadi Corinna yang tolong suapkan di meja kecil di dalam biliknya.
Victor mengetuk perlahan pintu bilik Kaylee, meminta izin untuk membawa masuk hidangan makan malam. Mereka berbual santai sambil Victor bertanya sekiranya Kaylee dapat menyesuaikan diri. "Ada apa-pa yang kamu perlukan?" dia bertanya, jelas menunjukkan prihatinnya.
Kaylee teragak-agak sebelum menjawab. "Sebenarnya, ada beberapa barang yang saya perlukan dari apartmen saya, kalau tak menyusahkan," katanya lembut, sambil perlahan-lahan menghulurkan sekeping nota kecil kepada Victor di atas meja. Nota itu menyenaraikan Alkitab, buku catatan, dan produk penjagaan kulitnya.
Victor mengimbas nota itu dan mengangguk tanpa ragu. "Nanti saya ambilkan."
Melihat keikhlasan dalam matanya, Kaylee menarik nafas panjang dan memutuskan untuk mempercayainya. "Okey. Lepas ni saya hantar alamat dan kod masuk pintu apartment saya dalam mesej. Alkitab dan buku catatan saya ada di atas meja di dalam bilik tidur saya, dan produk penjagaan kulit saya ada di meja solek."
Victor memberikan senyuman yang meyakinkan. "Saya akan pastikan barang-barang ni sampai awal malam nanti."
Ketika Victor berpaling untuk pergi, Kaylee memanggilnya, "Victor, terima kasih. Sangat-sangat." Dia teringat kembali sealmari penuh pakaian dan pakaian dalam yang disediakan untuknya lalu pipinya turut berasa hangat.
Demi meyakinkan Kaylee untuk menerima penjagaan di rumahnya dengan selesa, Victor membalas, "Kaylee, saya yang sepatutnya berterima kasih kat kamu. Kamu tak pernah berputus asa untuk menyelamatkan saya. Bagi saya peluang untuk bersama memulihkan kamu. Kamu boleh mempercayai saya dengan apa-pa saja."
Selepas Victor pergi untuk mengambil barang-barangnya, Kaylee merasakan kesyukuran yang mendalam. Walaupun dalam keadaan yang kurang sihat, dia berasa selamat dan dijaga dengan baik. Penghormatan Victor terhadap keinginannya dan bantuan yang penuh perhatian menyentuh hatinya dengan mendalam.
Seperti yang dijanjikan, Alkitab Kaylee, buku catatannya, dan produk penjagaan kulit V Magic-nya dihantar ke biliknya dua jam selepas makan malam, disambut oleh Corinna.
Selepas Corinna membantunya mengelap badan, mencuci muka, dan memberus gigi, dia turut membantu Kaylee menyapu tonik muka, serum-serum, dan balsam bibirnya. Kaylee perasan sekotak V Magic H Serum yang baru di antara produk penjagaan kulitnya. Menyedari H Serum yang digunanya sekarang sudah hampir habis, dia tersentuh dengan ketelitian Victor terhadap butiran kecil sebegitu. "Lelaki ini terlalu menawan," mengeluhnya dalam hati.
Pada awalnya, Kaylee berasa janggal dengan penglibatan Victor dalam pemulihannya. Tetapi selepas beberapa hari berlalu, dia mula menghargai keprihatinan tulusnya. Victor tidak bersikap mengganggu; sebaliknya, dia menawarkan dorongan dan kekuatan yang membuatkan Kaylee berasa selamat dan difahami.
Dua hari pertama di rumah Victor dilalui dengan penyesuaian dan pemulihan. Corinna dengan tekun memantau tanda-tanda vital kesihatan Kaylee dan menguruskan keperluan perubatan dan fizikalnya, manakala Victor mengambil peranan sebagai rakan sokongan, mengekalkan kehadiran yang mengambil berat tanpa terlalu mendesak.
Victor telah memindahkan kerjanya ke pejabat rumah untuk berada dekat dengan Kaylee sambil memberikan dirinya masa yang cukup untuk pulih. Setiap hari, dia menyediakan hidangan berkhasiat dan memastikan bahawa Kaylee mempunyai segala yang diperlukan untuk pemulihan yang selesa. Rumahnya yang selesa dan penjagaan yang profesional telah mencipta persekitaran yang menenangkan bagi memudahkan penyembuhan Kaylee.
Walaupun Kaylee masih lemah dan dalam kesakitan, dia berasa ketenangan dalam suasana yang mendorong. Kehadiran Victor yang sederhana, perhatiannya, dan penghormatan terhadap privasi Kaylee telah membolehkan Kaylee menumpukan perhatian pada pemulihannya tanpa tambahan tekanan.
Secara beransur-ansur, kepercayaan Kaylee terhadap Victor semakin mendalam. Dia mula bergantung pada kehadirannya dan merasakan keselesaan dalam perhatian yang diberikan. Victor membantu dengan latihan fisioterapinya, menyokongnya ketika dia mengambil langkah-langkah awal untuk mendapatkan kembali kekuatannya. Semasa saat-saat kekecewaan dan kesakitan, Victor ada dengan kata-kata semangat dan tangan yang memberi dorongan.
Menjelang hari keempat di rumah Victor, kehidupan Kaylee semakin pulih menjadi lebih normal. Pada pagi itu, seperti biasa, dia telah membersihkan diri, menyapu produk-produk penjagaan kulit dan balsam bibirnya, serta duduk di meja kecil di biliknya, bersedia untuk membaca Alkitab dan sembahyang seperti hari-hari sebelumnya.
Corinna sudah mengenali amalan kerohanian Kaylee setiap pagi dan malam. Sebagai seorang penganut Buddha, dia menghormati kepercayaan Kaylee dan biasanya memberikannya ruang peribadi pada waktu-waktu tersebut.
Terdengar suatu ketukan lembut di pintu bilik Kaylee sebelum dia mula, Kaylee pun memanggil, "Masuk." Wajah Victor muncul di sebalik pintu. Berdiri di situ, dia bertanya dengan kekok, "Selamat pagi, Kaylee. Saya tengok hari ni Ahad, dan fikir mungkin saya boleh ikut kamu sembahyang hari Ahad. Bolehkah?"
Victor merindui masa bersama Kaylee tetapi juga benar-benar berminat untuk menemukan semula kepercayaannya, yang telah ditinggalkannya lebih dari sedekad lalu selepas pemergian ibunya. Pertemuan baru-baru ini dengan Kaylee benar-benar menghidupkan semula sesuatu dalam kerohaniannya.
Kaylee tergelak kecil. "Boleh, masuklah. Sembahyang hari Ahad dah nak mula ni," dia bergurau.
Victor memang datang dengan bersedia. Setelah mendapat izin, dia masuk dengan membawa sebuah buku nota dan pen.
Sambil duduk di meja kecil, dia berkata, "Saya ni dah lama tak baca Alkitab. Ada petuakah untuk orang baru?"
Kaylee tersenyum. "Yang penting, kita mendekatinya dengan hati yang terbuka. Kamu boleh cuba mula dengan sesuatu yang mudah," dia mencadangkan, sambil menolak Alkitabnya ke tengah meja untuk mereka kongsikan.
Victor mencapai Alkitab tersebut, membeleknya dengan kekok. "Ya, jom cuba yang mudah dulu. Apa kata kita mula dengan yang ni – 'Ulangan'? Bunyi macam hal undang-undang, macam baca kontrak perniagaan."
Kaylee ketawa kecil, "Comelnya presiden Kumpulan Langford ni," fikirnya. "Ulangan mungkin bukan buku yang paling mudah untuk dimulakan, tapi boleh juga kita lihat Ulangan 8," dia mencadangkan dengan ramah.
"Ulangan 8... Ha, sini," kata Victor, mencari bab tersebut selepas menyelak beberapa muka surat.
"Peringatan Supaya Tidak Melupakan TUHAN," dia membaca tajuk bab itu dengan semangat, dan selepas dia mencerna maksudnya, dia membersihkan tekaknya, telinganya menjadi merah. Dia memang telah melupakan Tuhan selama tiga belas tahun.
Memahami air mukanya yang rasa bersalah, Kaylee memberi semangat, "Setiap hari adalah hari yang baru. Biar saya berdoa untuk kita sebelum kita membaca firman dalam Alkitab."
Dia menghulurkan tapak tangan kanannya ke arah Victor dengan senyuman yang mendorong, matanya mengundangnya untuk menyertainya. Victor menarik nafas panjang, menenangkan dirinya, dan meletakkan tangan kirinya dengan lembut dalam tangan Kaylee. Kaylee tersenyum lalu menutup matanya, diikuti oleh Victor.
Dia memulakan, "Ya Bapa kami yang di syurga, sucilah namaMu. Datanglah kerajaanMu. Terlaksanalah kehendakMu di bumi sebagaimana di syurga. Berilah kami makanan untuk hari ini. Ampunkanlah kesalahan kami sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami." Sampai di sini, dia merasakan genggaman Victor menjadi tegang sebentar lalu tenang kembali.
"Janganlah biarkan kami tergoda, tetapi selamatkanlah kami daripada yang jahat. Engkaulah yang empunya kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin," dia mengakhiri.
"Amin," Victor mengulang.
Dia merasakan gelombang kerendahan hati menyelubungi dirinya selepas mendengar doa Kaylee.
"Jom, mulakan dengan membaca dari Ayat 1 hingga Ayat 20 bersama-sama," Kaylee membimbing.
"Segala perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini wajib kamu lakukan dengan setia supaya kamu dapat hidup..." Suara mereka berpadu harmonis ketika mereka mula membaca dari Ulangan 8:1.
"...bahawa manusia hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut TUHAN..." Mereka meneruskan melepasi Ayat 3.
"...Jangan sampai kamu berkata dalam hatimu, 'Kekuatan dan keperkasaan tangankulah yang membuat aku memiliki kekayaan ini.' Sebaliknya, ingatlah TUHANmu, kerana Dialah yang memberikan kepadamu kekuatan untuk memperoleh kekayaan itu, demi meneguhkan perjanjian yang telah Dia sumpah kepada nenek moyangmu, seperti pada hari ini. Jika kamu benar-benar melupakan TUHANmu, lalu mengikuti tuhan-tuhan lain, beribadat kepada semua tuhan itu dan sujud menyembah kepadanya, maka pada hari ini aku mengingatkan kamu bahawa kamu pasti binasa. Sama seperti bangsa-bangsa yang dibinasakan TUHAN di hadapanmu, demikianlah kamu akan dibinasakan, kerana kamu tidak mahu mematuhi TUHANmu."
Setelah selesai membaca Ayat 20, kesunyian yang mendalam menyelubungi mereka. Victor kelihatan dalam pemikiran yang mendalam, merenung firman itu.
"Kekuatanku untuk memperoleh kekayaan datang dari Tuhan," dia menggumam, mencatatkan pengajaran utamanya dalam buku nota. Dia mendapati pemahaman itu sangat mencabar tetapi menarik.
Dia telah bersungguh-sungguh membangunkan empayar perniagaan Kumpulan Langford selama ini melalui kerja keras dan wawasan strategik. Dia selalu mengaitkan kejayaannya dengan usahanya sendiri. Kini, pemahaman baru ini membuatnya menilai semula.
Ini bukanlah hasil yang dia jangkakan daripada sembahyang Ahad pertamanya bersama Kaylee, tetapi rasa ingin tahunya semakin meningkat untuk belajar dan mengetahui dengan lebih lanjut, dan Kaylee dapat melihat keghairahannya. Kemudian, Kaylee terfikir suatu idea untuk dilakukan esok semasa keluar jalan-jalan buat pertama kali setelah terkurung di rumah selama beberapa hari untuk pemulihannya.
"Dulu, saya sangat memandang tinggi diri saya – bakat saya, kebijaksanaan saya, pencapaian saya," Kaylee mula bercerita, suaranya rendah diri ketika dia berkongsi perjalanan peribadinya.
"Apabila saya menemui firman suci ini, saya menyedari betapa kecilnya diri saya sebenarnya, dan betapa agungnya Tuhan. Sejak itu, setiap kali saya mencapai sesuatu yang baru atau menerima pujian, saya pastikan diri saya beri segala kemuliaan kepada Tuhan dengan bersyukur – berterima kasih kepadaNya kerana menganugerahkan saya kecemerlangan, kebijaksanaan, dan kelebihan, serta membolehkan saya menikmati bakat dan minat yang Dia berikan kepada saya. Itu yang membantu saya tak menjadi sombong," sambungnya, pandangannya lembut sambil menelusuri ayat-ayat firman pada Alkitab dengan jarinya.
Melihat itu, semangat kerohanian Victor terbangkit. Keikhlasan renungan Kaylee sangat menyentuh hatinya, memberinya hala tuju yang baru. Kaylee yang sebegitu juga sangat memikat hatinya. Rasa ingin tahunya tentang iman dan perenungannya tentang firman Tuhan mula membentuk semula pemahamannya tentang kejayaan dan tanggungjawabnya di arena perniagaan – satu minat baru yang dia ingin terokai lebih lanjut, terutamanya bersama Kaylee.
Selepas mereka selesai membaca Alkitab, Kaylee dan Victor duduk diam buat sementara, masing-masing larut dalam fikiran mereka tentang pengalaman sembahyang pagi itu. Suasana bilik yang damai digabungkan dengan penerokaan iman mereka yang dikongsi, memupuk rasa hubungan yang mendalam antara mereka.
"Terima kasih kerana sembahyang bersama saya pagi ini," Kaylee berkata lembut, dengan nada yang ikhlas. "Perbincangan kita sungguh bermakna."
Victor memandangnya dengan senyuman penuh kesyukuran. "Terima kasih kerana menjemput saya untuk sembahyang bersama. Sudah lama saya tak buat semua ni, dan rasa ingin mulakan lagi bersama kamu." Lalu dia teragak-agak, pipinya sedikit memerah sambil mengumpulkan keberanian untuk bertanya, "Mm... Bolehkah saya ikut sembahyang harian kamu lagi?" Suaranya terasa ragu-ragu, mendedahkan kebimbangannya jika dianggap mengganggu. Dia mengakui, ada sebahagian daripada keinginannya berakar pada kesukaannya terhadap saat-saat bersama Kaylee, dan dia belum lagi mengakui perasaan mendalamnya terhadap Kaylee depan-depan, kecuali pengakuannya semasa Kaylee belum bangun.
Mata Kaylee bersinar dengan kemesraan dan pemahaman. "Boleh saja, saya suka sembahyang bersama kamu juga," katanya, suaranya dipenuhi dengan semangat yang tulus. Minat hati Victor dan perbualan bermakna yang mereka kongsikan telah mendekatkan mereka, dan dia menantikan untuk menyaksikan perjalanan baru kerohanian Victor.
Victor segera berasa lega, dia tidak dapat menahan senyuman yang menjalar di bibirnya. Dia mengucapkan terima kasih kepada Kaylee sekali lagi lalu meninggalkan biliknya dengan rasa puas dan gembira.
***
Sementara kedamaian dan ketawa sekali-sekala memenuhi rumah Victor yang selesa, di kediaman Kaunselor George pula semakin huru-hara.
Sebuah pasu seramik yang dihiasi dengan motif Dayak yang rumit dan cantik telah dilemparkan ke lantai, serpihannya bertaburan dan bergema di seluruh tingkat bawah rumah berkembar dua tingkat itu.
#
Share this novel