SUASANA di ruang makan vila mewah itu seperti biasa, sama seperti pada hari-hari sebelumnya. Semua orang sibuk dengan telefon masing-masing sambil menikmati makan malam. Hanya kedengaran bunyi sudu dan pinggan yang sesekali berlaga.
Emir Hud melirik satu per satu wajah ahli keluarganya, lalu pandangannya terhenti pada wajah Datuk Ahmad. Sengaja dia berdeham kuat beberapa kali untuk menarik perhatian lelaki berwajah serius itu.
"Kalau sakit tekak, minumlah air," tegur Datin Mayla yang berasa terganggu dengan dehaman anaknya.
Emir Hud menarik hembus satu nafas panjang, lalu gelas berisi air kosong di depannya dicapai, kemudian dia meneguknya sehingga habis dengan satu nafas. Lantas, wajah Datuk Ahmad dipandang semula. "Daddy... pasal yang tok ki cakap kat daddy tempoh hari tu..." kata-katanya serta-merta terhenti saat lelaki itu menoleh dan memandangnya.
"Kenapa? Emir dah ada calon ke?"
"Belum ada lagi. Emir cuma nak tanya, kenapa tok ki letak syarat macam tu? Tak boleh ke kalau tak perlu kahwin?"
"Dah macam mana juga kalau tok ki nak macam tu?" sampuk Datin Mayla. "Tok ki tu nak Emir jadi orang. Tengoklah macam mana gaya hidup Emir sekarang ni? Mungkin sebab tu kut tok ki nak Emir kahwin dulu baru tok ki bagi syarikat perhotelan tu kat Emir."
"Macam tu pula? Apa masalahnya dengan Emir sekarang?" Emir Hud menjongketkan keningnya menayang riak wajah tidak puas hati.
"Masalahnya, abang tu playboy, arrogant dan juga selfish. Kalau abang kahwin dan ada anak, mungkin perangai tu akan berubah. Who knows, kan? Well, Sha cuma buat andaian je kenapa tok ki letak syarat macam tu. Tok ki nak abang jadi orang yang bertanggungjawab untuk urus syarikat tu nanti. Kalau tak, takut lingkup je."
Serentak tiga beranak itu memandang Aleysha.
"Amboi, bijaknya dia bercakap! Cermin besar kat bilik Sha pecah eh? Cakap orang, tapi sendiri..."
"Cut the crap!" Keras lontaran suara garau milik Datuk Ahmad mencelah sebelum sempat Emir Hud meneruskan percakapannya. "Apa yang Sha cakap tu betul, kan?"
"Sha dah kenyang. Sha naik ke bilik dulu ya?" Cepat-cepat Aleysha berdiri. Sempat lagi dia mengejek dengan menjelirkan lidah kepada Emir Hud sebelum dia berlalu pergi dari ruangan itu.
Emir Hud mengetap kuat giginya sambil memerhati adiknya dari belakang dengan perasaan tidak puas hati.
"Look, Emir. Emir sendiri tahu syarikat daddy sekarang agak goyah sebab kes pecah amanah berjuta ringgit tu kan? Ambil masa yang panjang nak recover balik, itupun kalau berjaya recover, kalau tak..." Datuk Ahmad menghela nafas panjang. "Kalau tak, A&M Holding will be in memory."
"Persoalannya macam ni, daddy. Tak boleh ke kalau tok ki tolong je daddy? Dah namanya urgent and in need kan? Kenapa tok ki letak syarat pelik-pelik pula masa daddy minta pertolongan tempoh hari? Emir tak fahamlah dengan tok ki tu."
"Ada lah sebabnya tu. Sekarang ni, Emir je yang boleh bantu daddy. So, Emir nak bantu ke tak ni?" celah Datin Mayla, malas hendak mengulas isu sebenar yang pernah tercetus di antara ayah dan suaminya itu. "Kalau daddy muflis, maknanya kita semua pun jadi muflislah. No more travelling, no more shopping, no more everything. Emir ramai girlfriend kan? Pilihlah salah seorang yang Emir rasa sesuai untuk dijadikan isteri," lanjutnya dengan muka serius.
"What? No, mommy! Kalau Emir kahwin dengan salah seorang daripada perempuan-perempuan tu, rasanya sama juga Emir akan muflis. Setakat ni, Emir belum jumpa lagi calon isteri yang layak, macam mana nak kahwin? Kesimpulannya, Emir memang takkan kahwin mana-mana perempuan yang Emir pernah ajak keluar," tegas Emir Hud sambil berpeluk tubuh.
Tiba-tiba, Datuk Ahmad berdiri. "Well, daddy tak nak paksa Emir. Siapalah daddy ni nak paksa jodoh orang walaupun anak sendirikan? Prepare ajelah untuk A&M Holding tu karam nanti," ujarnya dengan nada yang kedengaran seperti merajuk, lalu dia terus mengorak langkah keluar daripada ruangan itu.
Datin Mayla mencerlung wajah anak lelakinya sambil mendengus dan menggeleng, lalu dia turut berdiri dan mengejar suaminya.
"Haih! Tok ki, tok ki." Emir Hud lantas meraup kasar wajahnya disusuli dengan keluhan berat. Dalam situasi sekarang, dia menyalahkan datuknya seratus peratus.
- - - -
BUKAN main lebar lagi senyuman yang terukir pada wajah Hanis sebaik sahaja dia mengeluarkan kek hasil tangannya daripada ketuhar.
"Weh! jadi weh aku buat!" Hanis tersenyum bangga seraya memandang Afiqah yang sedang gigih menyusun biskut ke dalam balang.
"Kan aku dah cakap. Kau ikut je resipi dan teknik yang aku ajar tu. Confirmed jadi," balas Afiqah yang turut tersenyum melihat keterujaan rakan baiknya itu. "Lepas ni, aku ajar kau buat cookies pula."
Hanis lantas duduk di kerusi meja dapur yang berdepan dengan Afiqah. "Thanks tau sebab sudi ajar aku."
"Tak ada hallah. Daripada aku bagi kau ikan, baik aku ajar kau macam mana cara nak tangkap ikan, kan?"
Hanis mengangguk-angguk mengiakan kebenaran akan kata-kata wanita itu. "Betul, yang tu aku setuju!"
Suasana berubah sepi. Afiqah masih sibuk menyusun biskut-biskut untuk dijual esok, manakala Hanis pula sedang termenung.
"Weh! kau okey tak ni?"
Laju Hanis memandang Afiqah yang kini sudah duduk di sebelahnya, lalu satu keluhan panjang dilepaskan. "Entahlah, Fiqah. Aku rasa, aku hidup di muka bumi ni untuk tanggung hutang abang aku je kut sampai mati."
"Hisy, kau ni! Tak baik kau cakap macam tu tau! Kata-kata tu kan doa," tegur Afiqah.
"Ya, aku tahu, tapi hutang abang aku tu bukan sikit, Fiqah."
"Berapa hutang abang kau?"
Hanis melepaskan keluhan buat ke sekian kalinya sambil menunduk sebelum dia memandang semula wajah Afiqah. "Dua ratus lima puluh ribu ringgit."
Serta-merta terbeliak mata Afiqah dengan mulut ternganga selepas dia mendengar angka yang disebut oleh Hanis sebentar tadi. "Kau biar betul? Judi apa juga abang kau main sampai hutang banyak macam tu sekali?"
"Ceritanya macam ni. Abang aku hutang dengan orang tiga ribu ringgit aje. Dia main mesin judi tu, lesap macam tu je duit sebab kalah. Kalau dah kalah, macam mana dia nak bayar hutang tu? Dia dahlah tak kerja."
"Hmm, okey, jadi dari tiga ribu ringgit tu, macam mana boleh jadi beratus ribu ringgit pula?" soal Afiqah dengan perasaan tidak sabar hendak tahu.
"Hutang tiga ribu ringgit tu, aku bayar juga sikit-sikit tiap bulan, tapikan ada masa tu, tiga bulan berturut-turut aku tak dapat bayar sebab bos tempat kerja aku dulu tu lambat bayar gaji. Pemiutang tu datang ke rumah, mengamuk bawa geng dia belasah abang aku. Lepas tu orang tu ugut akan bakar rumah dan mak bapa aku sekali kalau tak bayar hutang tu. Mana aku nak cari duit? Abang aku terdesak sangat sampai dia paksa aku pergi melacur, tapi aku tak nak."
"Astaghfirullahalazim!" Afiqah menekup mulutnya kerana terkejut. "Kau jangan marah tau. Maaflah aku cakap macam ni, tapi abang kau tu memang manusia yang sangat teruk dan tak layak jadi abang kau!"
Hanis tersenyum tawar. "Buat apa aku nak marah kalau memang betul?"
"Hmm, lepas tu, apa jadi?"
"Keesokan harinya, orang yang abang aku hutang tu datang jumpa abang aku. Dia cakap kat abang aku, kalau dia hantar semua stok ke tempat yang dia suruh, baki hutang tu kira langsai."
"Stok dadah ke?"
Hanis mengangguk.
"Okey, lepas tu?"
"Abang aku tersekat dalam roadblock dengan kawan dia seorang, tapi abang aku sempat lari. Kawan dia yang bawa kereta tu kena tangkap polis sekali dengan stok dadah yang dia orang bawa. Dengar cerita, kawan abang aku masa tu, dia keluarkan pistol dan cuba tembak polis, tapi dia yang kena tembak dulu."
"Okey, aku dah faham. Jadi, maknanya hutang beratus ribu tu kira nilai dadah yang kena rampas tulah ya?"
Hanis mengangguk lemah. "Sampai bila aku kena tanggung hutang tu, aku pun tak tahu, Fiqah. Ni pun aku datang ke sini, terpaksa hutang dengan kau untuk beli tiket, sebab duit last gaji aku, aku bagi kat mak aku untuk beli barang dapur sementara tunggu aku ada duit lagi lepas ni."
"Berat betul dugaan kau. Pasal hutang kau dengan aku, kau jangan risau. Bila-bila masa kau senang nanti baru kau bayar. Hmm..." Afiqah mengetuk-ngetuk bibirnya menggunakan jari telunjuk dengan lagak seperti sedang berfikir. "Kau nak tak kerja part time?"
"Part time?" Hanis memicingkan mata memandang wajah serius wanita di sebelahnya.
"Ya, part time. Kau ada resume tak ni?"
Hanis mengangguk.
"Okey, cun! Kitakan meniaga dari pukul 6.30 pagi sampai pukul 10.00 je, so, kau bolehlah kerja part time masa selebihnya tu kalau kau nak. Aku masa free tu, aku tolong mak cik aku kat kedai dobi dia. Kitakan baking sebelah malam."
"Aku nak kerja part time kat mana? kat kedai dobi mak cik kau ke?" teka Hanis.
"Bukan... kedai dobi mak cik aku tak sibuk sangat pun. Aku ada seorang kawan yang kerja dengan satu company besar. Company tu ada banyak cawangan kilang dalam pelbagai sektor. Esok aku tanya dia kalau ada kekosongan untuk kerja part time kalau kau nak. Dia biasa datang beli kek dan cookies aku. Kau nak ke tak? Tapi, kesian pula kat kau nanti kalau kau buat banyak kerja dalam sehari, kan?"
"Kan aku ada cakap kat kau pagi tadi, aku dah lali dah dengan rasa letih dan penat. Aku nak kerja part time tu kalau ada. Aku nak sangat! Tapi, kalau kau ada kawan yang boleh recommend kerja, kenapa kau tak kerja kat situ je?"
"Sebab aku dah terbiasa jadi bos jadi kuli sendiri tak ada orang nak arah-arah. Hmm, kalau macam tu, pagi esok aku tanya kawan aku tu, okey?"
"Thanks, Fiqah! Kaulah sahabat aku dunia akhirat!" Tubuh Afiqah langsung dipeluk erat.
Share this novel