Bab 16

Romance Completed 59724

Rendra dengan segera menghampiri pengawal istana Indra Utama. Dengan tenang dia mengeluarkan cap mohor rasmi dari kerajaan Langit Perkasa.

Cap mohor berwarna emas diukir dengan lambang burung garuda yang menjadi simbol kesetiaan dan kekuatan kerajaan Langit Perkasa itu berkilauan apabila terkena cahaya matahari.

Rendra menatap cap mohor itu sejenak. Ingatan tentang konfilk yang lepas melintasi fikirannya. Sejak peristiwa yang mengorbankan nyawa Tengku Wira Hitam ditangan Maharaja Sesepuh Emas, Raja Adi Senja kembali memegang tampuk pemerintahan kerajaan Langit Perkasa.

Raja Adi Senja ingin melantik semula Rendra sebagai penasihat. Namun, Rendra menolaknya kerana tidak lagi berminat untuk menjawat jawatan itu.

Sebagai tanda penghargaan atas jasa Rendra selama ini terhadap kerajaan, Raja Adi Senja menghadiahkan cap mohor rasmi itu sebagai simbol hubungan akrab Rendra dengan istana Langit Perkasa.

Cap mohor itu memberi keistimewaan kepadanya untuk berurusan dengan kerajaan lain di Inderapati. Walaupun pengawal istana mengenali cap mohor tersebut, mereka tetap menjalankan pemeriksaan sebagai langkah berhati-hati.

"Cap mohor dari kerajaan Langit Perkasa." ujar salah seorang pengawal tersebut dengan penuh hormat. "Tapi kami perlu mengesahkan dahulu dengan penasihat kerajaan sebelum memberi kebenaran kepada tuan untuk masuk."

Rendra mengangguk tanda memahami. Walaupun dia pernah dikenali sebagai penasihat dari istana kerajaan Langit Perkasa, dia tetap mematuhi dan menghormati peraturan keselamatan yang telah digariskan oleh istana-istana lain.

Selepas beberapa ketika dia menunggu, pengawal itu kembali. "Pendeta Adika telah dimaklumkan tentang kedatangan tuan dan rakan-rakan. Silakan masuk."

Rendra berpaling kepada Aidan dan Jenny. "Ayuh... mari kita masuk dan berjumpa dengan Pendeta Adika." katanya sambil melangkah masuk ke dalam istana.

Setibanya mereka didalam istana, mereka disambut oleh Pendeta Adika dengan senyuman yang tenang diwajahnya. Melur yang berdiri disebelahnya juga melemparkan senyuman yang manis yang membuatkan hati Aidan bergetar.

"Ah... cantiknya senyuman Melur. Terasa macam dunia ni aku yang punya." bisik hati Aidan, jantungnya berdegup lebih kencang.

"Aidan... apa khabar? Sudah lama kita tidak berjumpa." sapa Melur perlahan, suaranya lembut dan sedikit gemuruh.

"A.. aku baik je. Kau macam mana Melur?" balas Aidan tersekat-sekat, seolah-olah setiap perkataan yang hendak diluahkan tersangkut dikerongkong.

Jenny yang memerhati gelagat mereka tidak tahan lagi untuk mencelah. "Eh... eh... malu-malu pulak si Aidan ni. Sebelum jumpa, bukan main confident kau ye. Dah depan-depan dengan Melur, terus jadi macam cacing kepanasan." usiknya membuatkan Aidan tersipu-sipu.

"Sudah-sudahlah kalian. Kita sekarang berada di dalam istana. Jaga adab semasa didalam kawasan ini." tegur Rendra. Hatinya kurang senang melihat telatah Aidan dan Jenny yang bergurau di dalam istana.

Bagi Rendra, sikap itu mencerminkan sikap tidak menghormati pemerintah dan pegawai-pegawai yang ada di dalam istana.

"Tidak mengapalah Rendra. Mereka sudah lama tidak berjumpa. Apa salahnya mereka bergurau sekali sekala. Aku faham dan tidak mengambil hati atas semua itu." celah Pendeta Adika sambil tersenyum memandang mereka bertiga. Rendra hanya mendiamkan diri sahaja selepas Pendeta Adika berkata demikian.

Jenny tersipu-sipu malu apabila Pendeta Adika memandangnya. "Terima kasih kerana datang Jenny. Ternyata pesananku sampai kepadamu." ucap Pendeta Adika kepada Jenny.

"Tidak apa-apa Pendeta. Aku cuma ingin tahu sahaja apa sebenarnya yang sedang berlaku." balas Jenny.

"Aku tahu tujuan kalian datang ke sini menemui aku. Kalian mahu tahu tentang Berlian Sebutir bukan?" soalnya kepada Jenny, Aidan, dan Rendra.

Mereka bertiga menganggukkan kepala dengan serentak. "Ya, aku mahu tahu lebih mendalam selepas banyak perkara pelik terjadi padaku dan Jenny." Aidan melangkah dan memandang Pendeta Adika dengan mata yang penuh dengan persoalan.

"Baiklah, jika begitu mari ikut aku ke bilik penasihat kerajaan." kata Pendeta Adika sambil berpusing dan melangkah menuju ke bilik yang dikhaskan hanya untuk penasihat kerajaan.

Mereka bertiga hanya mengikuti sahaja dari belakang bersama-sama Melur menuju ke bilik yang dikatakan oleh Pendeta Adika.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience