Pada pagi yang cerah keesokannya, mereka telah bersiap sedia untuk bertolak ke rumah Pendeta Adika. Sengal-sengal dibadan Aidan dan Jenny akibat diasak dengan latihan keras dari Rendra masih lagi terasa.
Ajaibnya, kecederaan dalaman yang dialami oleh Aidan sudah pun sembuh sepenuhnya berkat herba dan ubat-ubatan yang diletakkan Rendra semasa merawatnya.
Rendra memandang kearah matahari yang makin meninggi dihadapannya. Angin yang lembut bertiup dimukanya membawa bau-bauan udara segar menenangkan jiwa.
Dia berpaling semula kepada Aidan dan Jenny yang baru turun dari pondok membawa barangan keperluan. Semua barang itu dibungkus dengan kain yang diikat pada sebatang kayu.
"Sudah bersediakah kalian bertolak ke Indra Utama?" tanya Rendra kepada Aidan dan Jenny. Matanya tidak beralih dari menatap langit yang cerah, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
"Ya, kami berdua sudah bersedia." jawab Aidan sambil menghela nafas panjang. Jenny yang disebelahnya terus memeriksa barangan yang dibawa mereka, takut-takut ada yang tertinggal.
Selepas memastikan tiada barang yang tertinggal, Rendra membuat isyarat kepada Aidan untuk membuka portal.
Seperti biasa, Aidan menutup matanya dan memberi sepenuh tumpuan kepada Seru Laksamana untuk membuka portal ke tempat yang dituju. Cahaya biru yang lembut mula muncul disekeliling azimat itu.
Dalam sekelip mata, cahaya biru itu membesar menjadi sebuah lingkaran yang bersinar. Aidan membuka matanya, portal yang berkilau seperti cermin yang berputar muncul dihadapan mereka bertiga.
Angin kecil menghembus keluar dari dalamnya bersama bunyi desiran yang aneh. Tanpa membuang masa, Aidan, Jenny dan Rendra terus masuk ke dalam portal, meninggalkan Kampung Sepucuk Pandan dan menuju ke Indra Utama.
Cahaya terang yang menyilaukan menyelubungi mereka. Apabila kaki mereka menjejak ke tanah, mereka mendapati diri mereka sudah berada di pekarangan istana yang megah.
Pintu gerbang istana berdiri teguh dihadapan mereka, pengawal yang lengkap bersenjata berkawal mengelilingi kawasan istana. "Kita sudah sampai di istana Indra Utama. Biar aku uruskan pertemuan kita dengan Pendeta Adika." kata Rendra kepada Aidan dan Jenny sambil melangkah ke depan untuk menemui pengawal istana.
"Tunggu Rendra, bukankah Pendeta Adika sudah tidak lagi menjadi penasihat kepada Raja Batram?" tanya Aidan kepada Rendra. Dia sedikit pelik kenapa portal membawa mereka ke istana ini.
"Oh, aku lupa hendak beritahu pada kau tentang itu." kata Rendra sambil berpaling semula kepada Aidan dan Jenny.
"Semasa kalian pulang ke dunia asal, kerajaan Indra Utama masih lagi dalam proses pemulihan. Oleh sebab itu, seorang penasihat diperlukan untuk membantu kerajaan memikirkan jalan untuk mengatasi semua itu. Jadi, Raja Batram telah membuat keputusan dengan melantik semula Pendeta Adika menjadi penasihat untuk kerajaan Indra Utama." terang Rendra dengan panjang lebar.
Aidan dan Jenny sekadar menganggukkan kepala dengan perlahan tanda faham dengan situasi yang sedang berlaku. "Jadi Melur?" tanya Aidan sekerat.
"Ya, Melur juga ada disini. Dia juga telah dilantik oleh Raja Batram sebagai pembantu kepada Pendeta Adika." sambung Rendra lagi.
"Melur..." bisik Aidan perlahan sambil tersenyum nipis. Dia sangat merindukan gadis itu hinggakan semasa di dunia nyata, ingatannya terhadap Melur sukar untuk dilupuskan. Suaranya, tutur kata yang sopan, dan sifat lemah lembutnya sukar untuk Aidan lupakan sampai bila-bila.
Kini, peluangnya untuk bertemu semula dengan Melur kembali cerah selepas berjaya kembali ke dunia mimpi ini.
Setelah dikecewakan oleh Fatin yang lebih memilih untuk menjadikan Zarul sebagai pasangan hidup, Aidan membawa diri dengan menyambung pelajaran ke luar negara.
Ketika Aidan berada disana, dia sentiasa terkenangkan Melur apabila fikirannya melayang. Dengan cara itu, dia dapat mengubati sedikit kekecewaan dan kelukaan yang bersarang didalam hatinya.
Share this novel