Dia tidak biasa melalui jalan itu. Itu adalah perjalanan kali pertamanya ke Kuala Lumpur sejak dia memiliki kereta. Sebelum ini dia hanya menaiki bas ekspress untuk ke Ibu kota.
Dia berdoa di dalam hati moga dihindar dari segala ancaman, bencana dan mala petaka. Janganlah ada makhluk lain seperti harimau,
Gajah atau saki baki komunis menyerang mereka.
Keletihan dan kepayahan memandu di dalam hujan membuatkan dia ingin berhenti, menghilangkan penat lelah dan mengantuk.
Jika ada rumah, pondok atau apa sahaja yang membolehkannya menumpang teduh, dia akan singgah.
Menempuhi hujan lebat dan sejuk begitu dia terasa sangat ingin membuang air kecil.
Di satu simpang jalan dia terlihat sebuah papan tanda uzur bertulisan arab. Segera dia membelokkan stereng keretanya memasuki lorong kecil kira-kira sejauh 200 meter.
Akibat hujan yang masih belum reda, dia tidak nampak dengan jelas apakah ayat papan tanda tersebut. Dia berhasrat mahu melepaskan penat lelah dan menunggu hujan berhenti.
Dahlan memberhentikan keretanya di hadapan sebuah bangunan yang agak usang. Bukan surau, bukan juga sebuah masjid kerana tiada kubah. Kelihatannya seperti sebuah madrasah lama dua tingkat.
Berdinding papan dan bertingkap lebar yang bertutup rapat. Dari sinar lampu anjung yang menyala pudar dia dapat melihat dua corong di atas bumbung seperti trompet besar.
Dia tahu itu adalah pembesar suara. Tentunya ia sebuah tempat ibadat orang islam atau madrasah.
Dilihatnya lampu di dalam madrasah masih terpasang, malap tidak begitu cerah.
Share this novel