Mungkin kawasan kampung itu masih belum mendapat bekalan elektrik sepenuhnya atau mungkin juga diakibatkan oleh cuaca buruk, menyebabkan pengaliran bekalan elektrik kurang baik.
Hati Dahlan berdetik, sudah jam 1.00 pagi, mengapa masih ada jemaah di dalam madrasah?. Ah, mungkin ada lagi jemaah atau pentadbir madrasah yang masih beristiqomah menjalani ibadat-ibadat sunat.
Itu adalah lebih baik baginya. Ada juga orang yang menemaninya.
Dahlan mengeluarkan sehelai tuala dari dalam beg dan menuju ke bilik air. Dikuaknya daun pintu bilik air, kelihatan sawang bergayutan di sana sini seperti sangat jarang dibersihkan.
Dia melepaskan hajatnya. Kemudian dia terfikir mahu mandi pula bagi menyegarkan tubuh dan menghilangkan mengantuk. Dilihatnya sekeliling bilik air, ah! tiada disediakan kain basahan, macam mana mahu mandi?
Dia meneruskan juga niatnya dengan hanya menggunakan seluar dalam sahaja. Air di dalam tempayan besar terasa dingin mencengkam tubuh.
Sedang dia asyik membasahkan tubuhnya, pintu bilik air di ketuk orang. Dahlan terperanjat. Siapa pula yang mengetuk pintu bilik air.
Dah tak reti sabar ke? Apa dia tak dengar ke ada bunyi air dari dalam? Eh panas pula hati Dahan dibuatnya.
Dahlan menguak daun pintu sedikit. Hairan, tiada siapa yang berada di hadapan pintu. Dia menutupnya semula. Selesai mandi dia menanggalkan seluar dalamnya yang basah.
Diperah dan dicampakkan di satu sudut. Kemudian dia menelek sebuah cermin kecil yang agak unik yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Cermin muka zaman dulu.
Wajahnya dicermin kelihatan samar kerana daki dan tahi lalat yang bertompok di permukaan cermin. Tiba-tiba dia tersentak. Ada sesuatu yang menghairankannya.
Share this novel