DALAM lima minit, keluar seorang wanita yang bertinggi lampai berskirt pendek hingga menampakkan pehanya yang putih gebu.
“You ni Damia Darus?” tanya Erin dengan nada sinis.
“Ya, saya puan.” Damia tersenyum manis.
“Eh, tak payah nak panggil I puan. I ni tak kahwin lagi tau! Muka macam I ni, you ingat I dah kahwin ke?” cebik Erin.
Damia sedikit tersentak. “Saya minta maaf, saya tak tahu.”
“Tak payah nak minta maaf. Dah pergi masuk sana!” tengking Erin.
Damia terkejut apabila ditengking sebegitu. Apa kena dengan perempuan ni. Tiba-tiba nak tengking orang pulak. Periodlah tu, gumam Damia.
Pintu diketuk. Terdengar suara lelaki mengarah masuk. Damia melangkah masuk sambil membaca
Bismillah. Alangkah terkejutnya Damia, apabila melihat wajah lelaki di hadapannya. Dia lelaki yang di dalam lif bersama dengannya tadi.
Adam Ian turut terkejut melihat gadis di hadapannya. Tetapi Adam Ian cuba berlagak tenang.
“Duduklah,” arah Adam Ian.
“Terima kasih,” jawab Damia, sambil menarik kerusi
di hadapannya lalu dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi tersebut.
Boleh cakap Melayu rupanya, gumam Damia. Malu pula dia, apabila teringatkan kejadian tadi di dalam lif.
“Awak ni Cik Damia Darus kan? Datang interview untuk jawatan kerani ya?” soal Adam Ian.
“Ya, saya. Saya dapat tahu tentang jawatan kosong ni pun dari Kak Liyana.” Damia berterus terang sambil matanya merenung sepasang mata coklat milik lelaki di hadapannya.
“Oh. Saya dah tengok resume awak ni. Saya tengok keputusan STPM awak bagus. Kenapa tak nak sambung belajar?” Mata Adam Ian, tidak lepas memandang wajah gadis di hadapannya. Entah kenapa, dia merasakan wajah gadis itu betul-betul manis.
“Sebenarnya saya memang nak sambung belajar. Tapi saya tak nak susahkan kakak saya lagi. Saya nak cari pengalaman kerja dulu. Lagipun sekarang ni saya tinggal dengan kakak saya. Ibu bapa saya dah meninggal dua tahun yang lepas. Nanti kalau ada rezeki baru saya sambung belajar balik,” ujar Damia berterus terang.
“Jadi, awak nak kerja sini lama kan? Tak ada kerja kejap, and then bila dapat tawaran belajar terus berhenti?” Adam Ian sengaja serkap jarang.
“Tak, tak. Saya memang nak kerja lama. Itupun kalau saya diterima bekerja di sini.” Damia tersenyum.
“Baiklah, kalau macam tu, bila awak boleh mula kerja?” soal Adam Ian.
“Eh, saya diterima kerja ke ni?” Damia seperti tidak percaya apabila mendengar kata-kata lelaki itu.
“Ya. Awak diterima kerja,” jawab Adam Ian sambil tersenyum.
“Kalau dah macam tu, esok pun saya dah boleh mula.” Riak wajah Damia betul-betul sungguh teruja. “Okey baik. Awak dah boleh mula kerja esok. Starting salary awak, saya bagi RM1700 dulu. Lepas tiga bulan, kalau kerja awak okey, tak ada masalah apa-apa, saya akan naikkan gaji awak ke RM2000. Jadi, macam mana awak setuju? tanya Adam Ian lagi.
“RM1700? Err.” Damia sedikit terkejut.
“Kenapa tak cukup ke?”
“Eh, taklah. RM1700 tu dah banyak. Tu yang saya terkejut. Setahu saya, starting gaji yang kerajaan tetapkan sepatutnya RM1200lah kan?”
“Oh, ingatkan tak cukup. Tak apa, memang saya nak bagi lebih sikit. Nanti dah tiga bulan, gaji awak akan dinaikkan. Ada apa-apa yang awak nak tanya?”
“Err, tak da apa-apa,” jawab Damia. Dia juga buntu untuk bertanyakan soalan pada lelaki itu.
“Baiklah, kalau macam tu selamat bekerja dengan syarikat kami ya.” Adam Ian tersenyum.
“Terima kasih bos, sebab sudi mengambil saya bekerja di syarikat ini.”
“Sama-sama,” ucap Adam Ian.
Gembira tak terkata Damia waktu itu. Kalau boleh dia melompat, dah lama dia melompat di situ. Tapi, tak kan nak melompat depan lelaki itu pula kan? Akhirnya Damia diterima bekerja setelah dua bulan dia menganggur di rumah.
Adam Ian memandang Damia sambil tersenyum. Dalam hatinya sempat berbisik bahawa gadis di hadapannya tadi sungguh manis sekali dengan adanya tahi lalat di bawah bibir kirinya. Ia lagi menampakkan kecantikannya.
Damia keluar dari pejabat Adam Ian sambil berlalu di meja Erin. Erin mencebik. Damia tidak pedulikan pandangan Erin. Janji dia sudah diterima bekerja di situ.
“Ha macam mana interview tadi?” soal Liyana.
“Mia diterima kerja kak. Esok dah boleh mula kerja.”
“Okeylah kalau dah macam tu. Waktu kerja pukul 9.00 pagi tau hingga 6.00 petang. Jangan lewat pulak esok.” Liyana mengingatkan Damia.
“Okey, Kak Yana. Terima kasih ya Kak Yana sebab tolong Mia dapatkan kerja ni.
“Sama-sama,” ucap Liyana.
Akhirnya Damia diterima bekerja di Syarikat Empayar Holdings. Sungguh gembira tak terkata, apabila dia diterima bekerja di situ. Entah bagaimanalah agaknya, permulaan hari bekerjanya esok.
AWAL-AWAL pagi lagi, Damia sudah berada di dapur sambil menyiapkan sarapan pagi. Dia masih tidak percaya, yang hari ini dia akan memulakan pekerjaannya sebagai kerani. Memang betul-betul rezekinya.
“Hai seronok nampak. Tahulah hari ni dah mula kerja,” usik Dahlia.
“Isy, akak ni terkejutlah Mia.”
“Yalah orang tu kan kerja hari ni. Bosnya pula handsome. Tu yang gembira sangat tu,” usik Dahlia lagi.
Malam tadi bukan main lagi Damia bercerita pada Dahlia tentang kejadian di lif, saat dia bertembung dengan bosnya itu.
“Sajelah tu nak usik Mia.” Damia memuncungkan bibirnya.
“Cakap sikit je nak merajuk. Apalah Mia ni. Nak bergurau pun tak boleh. Akak tak dapat nak hantar Mia pergi kerja tau? Sebab Mia masuk kerja pukul 9.00 pagi. Akak pukul 7.30 dah kena ada di sekolah.”
“Yalah Kak Lia. Mia naik bas je pergi kerja nanti,” balas Damia.
PUKUL 7.00 pagi lagi, kakaknya Dahlia sudah pun keluar dari rumah untuk pergi ke sekolah. Damia pula mengemasngemas rumah dan membasuh baju. Tepat jam 8.00 pagi dia sudah keluar dari rumah untuk menunggu bas. 8.40 pagi Damia sudah tiba di pejabat.
“Awal Mia sampai ofis hari ni,” tegur Liyana.
“Eh, taklah kak. Mia baru je sampai 5 minit tadi.”
“Ha, jom akak tunjukkan meja Mia,” ajak Liyana sambil menuju ke meja di belakangnya.
“Okey, ni tempat Mia. Mia duduk belakang akak je.”
“Wah dekat dengan akaklah ni. Adalah Mia kawan.” Damia meletakkan beg tangannya di atas mejanya.
“Jom Mia, akak perkenalkan Mia pada semua staf pula,” ajak Liyana lagi.
Liyana menarik tangan Damia, dan mula memperkenalkan Damia kepada semua staf. Semua staf menyambut baik kedatangan Damia di syarikat itu. Kecuali Erin. Erin menyambut dingin kedatangan Damia.
“Kak Yana. Mia nak tanya sikit boleh tak?”
“Mia nak tanya apa?”
“Kenapa Erin tu macam sombong je. Tadi pun dia macam nak tak nak je sambut salam Mia,” ujar Damia.
“Mia jangan layan sangat Erin tu. Dia memang macam tu. Akak pun tak berapa berkenan sangat dengan dia. Lagipun Erin tu baru je enam bulan kerja di syarikat ni,” jawab Liyana.
“Oh ya ke? Kalau akak dah cakap macam tu, Mia fahamlah lepas ni.”
Sementara itu, pintu hadapan terbuka. Terjegul Adam Ian masuk ke dalam pejabat. Liyana memberi ucapan selamat pagi kepada Adam Ian, dan diikuti pekerja yang lain.
“Morning boss,” ucap Erin dalam nada yang menggoda dari kanan Damia.
Tetapi Adam Ian hanya mengangguk sahaja dan terus berlalu ke biliknya.
“Apa tengok-tengok pergi buat kerja! Sibuk je!” tengking Erin kepada Damia dan Liyana sambil berlalu ke mejanya.
“Apa kena dengan dia tu kak Yana? Takkanlah bos tak jawab morning dia, dia hangin macam tu?”
“Pedulikanlah dia tu. Tak payah ambil tahu pasal dia. Jom akak tunjukkan pantri nanti senang kalau Mia nak buat air ke, apa ke,” ajak Liyana.
Damia dan Liyana menuju ke pantri. “Akak nak air apa? Mia boleh tolong buatkan.” “Eh, Mia nak tolong buatkan ke?” soal Liyana.
“Ya kak. Lagipun ini kan hari pertama Mia kerja dekat sini. Biarlah Mia buatkan.” Damia mula mengambil cawan dari rak.
“Kalau macam tu, akak nak Nescafelah. Nescafe dekat dalam laci tu,” tunjuk Liyana.
Damia tersenyum, sambil mengambil Nescafe 3 in-1 dari dalam laci, yang ditunjuk Liyana tadi.
Tiba-tiba muncul Adam Ian ke pantri waktu itu. Damia tersentak sedikit melihat lelaki itu sedang mengambil cawan.
“Bos nak buat air ke? Kalau macam tu, biar saya buatkan. Dah alang-alang saya buatkan untuk Kak Yana sekali.” Damia secara spontan bersuara. Dia pun tidak tahu kenapa tiba-tiba sahaja dia menawarkan dirinya.
Adam Ian terdiam. Selama ni dia tidak pernah mengarah stafnya membuatkan air untuknya, walaupun dia bos di syarikat itu. Erin juga dulu pernah menawarkan diri untuk membuat air kopi, setiap kali Adam Ian masuk ke pejabat, tetapi Adam Ian menolak.
“Emm, boleh juga, Saya nak kopi O,” jawab Adam Ian.
Damia mengambil cawan dari tangan Adam Ian, secara tak sengaja jari Adam Ian tersentuh sedikit pada jarinya. Cepat-cepat Damia mengambil cawan tersebut dari tangan bosnya. Dalam dua minit, siap secawan kopi O untuk bosnya itu. Liyana dari tadi hanya memerhatikan mereka berdua.
“Nah bos.” Cawan bertukar tangan.
“Terima kasih,” ucap Adam Ian sambil berlalu pergi.
Liyana tersengih melihat Damia.
“Kenapa akak senyum-senyum ni?”
“Mia, sebenarnya kan, bos tak pernah suruh staf dia buat air tau. Selama ni pun dia yang buat sendiri,” ujar Liyana tiba-tiba.
“Erk, betul ke Kak Yana? Ya Allah malunya Mia, kak.” Merah padam muka Damia.
“Tapi tak apalah, bos pun macam tak kisah je. Ke sebenarnya bos dah jatuh hati dekat Mia?” usik Liyana.
“Eee, apa akak ni.”
“Usik sikit je pun, sampai merah wajah Mia. Ha, jomlah pergi ke depan,” ajak Liyana sambil belalu pergi ke meja masing-masing.
“Kak Yana, apa nama bos kita?” soal Damia. “Eh, Mia tak tau ke? Bos tak beritahu nama dia?” “Tak ada pun.” Berkerut dahi Damia waktu itu.
“Oh, nama bos kita Adam Ian.”
“Oh, Adam Ian. Dia memang mix kan kak?”
“Mia tengok dia macam ada mix kan? Ha’ah, arwah ibu dia orang German, tetapi meninggal dunia lepas bersalin kan bos kita. Ayahnya Melayu macam kitalah.”
Patutlah nampak macam mat salih sikit, gumam Damia.
“Eh, diam pulak dia. Terpikat ke?” soal Liyana.
“Isy, ke situ pulak Kak Yana ni.” Damia tersipu malu.
“Habis tu kenapa diam?”
“Isy, mana adalah. Kak Yana, bos kita tu dah kahwin ke?” soal Damia lagi.
“Bos kita tu bujang lagilah. Tapi, umur dia dah 30 tahun.”
“30? Biar betul. Nampak mudalah?” Damia agak terkejut. Beza umur Damia dengan bosnya dalam sepuluh tahun. Damia pula baru berumur 20 tahun.
“Memanglah muda lagi. 30 kan umur dia? Mia ni tanya-tanya ni, confirm terpikat kat bos kan?”
“Akak ni saje je tau. Mana adalah. Saje je Mia nak tahu. Lupakanlah pasal tadi ya? Okay sekarang ni apa kerja Mia patut buat?” soal Damia.
Dari jauh Erin memandang Liyana dan Damia dengan renungan yang tajam.
“Baru kerja hari ni ada hati nak tahu pasal lelaki pujaan aku. Perempuan tak sedar diri.” Erin mengomel sendirian.
Di dalam bilik, Adam Ian menghirup air kopi yang dibuat pekerja barunya tadi.
“Erm, sedap jugak dia buat. Lepas ni boleh suruh dia buat lagi.” Adam Ian bercakap sendiri sambil tersenyum.
Share this novel