-Masa adalah sesuatu yang tak mampu dibeli oleh manusia.-
“BILA umi dengan baba tak sihat ni Chah tak sukalah. Rumah jadi suram. Esok Chah nak cutilah. Chah ambil dua hari.” Aisyah menyusun pinggan di atas meja dan meminta Encik Daim dan Puan Kalsom untuk makan.
Umi dan babanya hanya tersenyum dan menggeleng. “Orang tua Chah. Biasalah sakit belakang ni ha bila pergi angkat pasu bunga kat tepi tu.”
“Itulah tak nak dengar cakap anak. Melawan. Orang dah cakap tak payah. Kan dah sakit. Nanti makan ubat yang Chah bawak tu. Sebelum tidur nanti Chah tukar koyok yang ada tu. Sekarang ni makan. Sampai habis,” arah Aisyah dan meletakkan air suam di sisi pinggan umi dan babanya.
“Garang sungguh anak awak ni, Som.”
“Princess awak, kan?”
“Masa makan jangan bercakap. Makan dulu,” kata Aisyah sambil merenung manja.
Encik Daim memandang Aisyah dengan senyuman. “Dulu ke sekarang?”
Aisyah terus terdiam. Dia pernah dengar gurauan ini.
“LAMA ke ayah pergi Johor?” tanya Damia bila melihat Malik masuk ke ruang tamu dan duduk di sofa.
“Tak lama. Seminggu je.”
Damia mengerutkan muka. “Lamalah tu ayah. Habis tu Mia dengan tok ma macam mana?”
Puan Sepiah menggosok lengan Damia bagaikan memujuk. Pandangan seperti mahu Malik bercakap kepada Damia membuatkan Malik mengangguk perlahan.
“Mia, ayah bukan tak nak bagi tok ma jaga Mia. Tapi, ibu nak jaga Mia. Ibu kata dia ada kat sini untuk sebulan ni. So…” Belum sempat Malik habiskan ayat, Damia memotong ayat Malik.
“Sebulan ke Mia kena duduk dengan ibu?”
Malik mengeluh kecil. “Mia dah lama kan dengan ayah. Nanti apa pulak ibu cakap. Kesian ibu,” pujuk Malik. Dia tahu Damia bukan tidak suka dengan ibunya, Daria tapi dia tidak suka dengan keluarga belah Daria.
Damia hanya tunduk diamkan diri. Dia tidak mampu untuk berkata apa-apa. Damia tidak kisah jika dia tinggal bersama tok manya.
“Mama boleh je jaga Mia…” sampuk Puan Sepiah memberi seribu harapan kepada Damia.
“Bukan tak nak bagi mama tapi faham jelah Daria tu. Dengan drama tak kesudahan dia. Lagipun Khamis ni mama ada check up kan? Itu pun Malik tak dapat nak bawa mama. Ni nak suruh mama jagakan Damia lagi. Dengan pergi sekolahnya lagi,” jelas Malik perlahan. Dia tidak suka berbincang di hadapan Damia kerana Damia masih kecil. Malik pandang Damia dan duduk di sebelah Damia.
Tangan Damia dicapai. “Ayah sayang Mia. Sangat-sangat. Ayah kan dah lama tak pergi outstation, tak adil untuk team ayah kalau ayah asyik mengelak. Dorang semua tu ada anak umur macam Mia. Jadi, ayah kena pergi jugak. Pasal ibu tu, nanti ayah cakap kat ibu tak payah bawak Mia pergi rumah tok mi sana. Kalau ibu bawak jugak Mia bagitahu ayah, okey?” jelas Malik perlahan.
Damia tersenyum memandang Malik. “Betul eh? Ayah cakap dengan ibu nanti?” soal Damia inginkan kepastian.
Malik angguk. “Ayah akan cakap dengan ibu. Sekarang ni ayah nak Damia naik atas. Tadi kata nak tengok episod terbaharu cerita Mia tu,” kata Malik sambil menggosok kepala anak perempuannya itu.
Damia mencium pipi ayahnya dan terus naik ke atas. Malik mengeluh kecil dan bersandar ke sofa. Puan Sepiah memerhatikan Malik.
“Boleh ke Daria dengar cakap kamu, Malik?” tanya Puan Sepiah.
Bahunya dijongketkan. “Malik kena cakap jugak. Pandailah Malik warning Daria nanti.”
“Jangan bergaduh sudah. Kesian Mia.”
“Taklah ma. Pandailah Malik nanti. Tapi memang jumpa mesti gaduh. Entahlah bila fikir balik masa bercinta macam nak gila, tapi hmm… entahlah,” luah Malik tanpa sengaja.
Penceraian bukanlah satu benda yang mudah. Lagi-lagi bila melibatkan anak-anak. Sesungguhnya Malik memang menyayangi perkahwinannya tapi dia hanya serahkan kepada takdir dan dia bahagia dengan apa yang ada.
“Apa-apa pun buatlah yang terbaik untuk Damia. Hal orang dewasa jangan libatkan budak-budak. Mama nak anak mama ni bahagia je,” kata Puan Sepiah sambil tersenyum melihat Malik yang memandangnya. Anak yang dia kandung dahulu kini sudah menjadi bapak orang.
Malik bagaikan terfikir sesuatu. “Hmm, ma… Aisyah tu ramah jugak orangnya ya? Berapa kali dah terserempak, ramah je mulut dia.”
Puan Sepiah tergelak kecil. “Ramah sangat dia tu. Buat lawak pun pandai. Suka sakat orang tua. Manja dengan umi dan baba dia. Anak kesayangan baba dia tu. Jangan memain.”
“Okey. Dia dah kahwin ke ma?”
Jelingan diberikan kepada Malik. “Amboi, Malik. Ada apa-apa ke ni?”
“Eh, mama ni. Tanya je pun. Yalah mana tahu kang ada orang fikir lain pulak. Tahu jelah duda ni selalu dipandang serong. Lagi-lagi duda ada anak ni,” balas Malik sambil bersandar.
“Banyaklah kamu punya duda. Selalunya janda yang dipandang serong oleh masyarakat. Yang duda selalunya dapat perhatian. Ceh!” kata Puan Sepiah tak puas hati.
“Amboi, pertahankan persatuan janda sedunia ke?” usik Malik.
Tergelak Puan Sepiah. “Main-main kamu ya. Kalau kamu kenan dengan si Aisyah tu apa lagi pergilah sambar cepat.”
“Fikir dia tu barang tengah sale ke apa mama ni? Hahaha. Taklah, Malik tanya je. Sebab dia tu manis orangnya.” Senyuman muncul di bibir Malik. Tiba-tiba dia muram semula. Puan Sepiah yang perasan akan kelakuan anaknya mengerutkan dahi.
“Tapi tulah. Yang kat atas tu macam anti je dengan Aisyah.” Malik tergelak kecil.
“Dia anti dengan semua perempuan yang dekat dengan ayah dia. Dahlah, kamu jaga anak kamu tu elok-elok. Mama nak naik dah, nak rehat. Kamu pun sama.” Puan Sepiah terus memanjat tangga.
“ASSALAMMUALAIKUM…” salam diberikan oleh Puan Sepiah sambil menjinjit satu beg plastic dan mangkuk tingkat.
Aisyah mengintai dari dalam rumah dan tersenyum melihat Puan Sepiah. Terus dia keluar dan menuju ke pagar rumah. “Cik Piah kita oiiii…”
“Nah, bagi kat umi dan baba Chah. Masih tak sihat ke?” tanya Puan Sepiah.
Tergelak Aisyah. “Alhamdulillah dah sihat. Kena Chah bebel, sumbat ubat, pantau makan. Baru okey. Macam-macam dua orang baby tu.”
Puan Sepiah tergelak dengan telatah Aisyah. “Nah, acik bagi. Ada buah-buahan acik beli semalam nak bagi ke umi dan baba Chah.”
Aisyah menyambutnya dengan senyuman. “Terima kasih Cik Piah. Semoga sentiasa makin muda dan selalu sihat.”
“Apa kamu ni.” Gelak Puan Sepiah.
“Kitorang nak lunch luar kejap lagi ni. Chah ambil cuti nak pantau umi dan baba. Tapi dah sembuh pulak jadi kita belanja dorang pergi makan. Cik Piah nak ikut?” ajak Aisyah.
Gelengan laju diberi Puan Sepiah. “Taklah. Kejap lagi ibu Damia nak datang. Bekas menantu Cik Piah tu nak datang ambil Damia.”
“Ooo… giliran belah sanalah ya. Faham.”
Tiba-tiba ada sebuah kereta laju melalui di hadapan rumah Aisyah dan membuatkan dia dan Puan Sepiah terkejut. Lantas, Puan Sepiah gelengkan kepala bila melihat kereta itu. Dia amat kenal benar.
“Apak laju bawak. Terkejut Cik Piah kita. Tak padan perempuan pemandu dia. Kalau Chah tahu dia pergi mana Chah nak sekolahkan je dia…” Aisyah seperti terdiam bila melihat kereta itu berhenti seperti di hadapan rumah Puan Sepiah. Perlahan Aisyah memandang Puan Sepiah.
Puan Sepiah mengangguk. “Ya. Itu bekas menantu Cik Piah.”
Malik menahan muka geramnya. Dia mengangkat beg Damia masuk ke dalam kereta Daria. Daria terus memeluk Damia yang sudah lama dia tidak temui.
“Sorry ibu lambat. Kena hantar tok mi balik rumah dia dulu baru dapat datang sini. Maafkan ibu ya sayang,” pujuk Daria sambil menggosok kepala Damia. Damia gelengkan kepala dan senyum.
“Kita tinggal kat rumah ibu kan?” tanya Damia.
Daria menjeling Malik yang berdiri berdekatan dengan dia dan Damia. Daria anggukkan kepala. “Rumah ibulah. Kenapa?”
“Damia masuk dalam kereta dulu jom.” Malik terus pimpin tangan Damia dan masukkan Damia di carseat khas untuk Damia di tempat duduk belakang. Ciuman diberikan pada dahi Damia.
“Apa-apa call ayah. Suruh ibu call ayah. Sepantas kilat ayah ambil Damia balik. Damia kan princess ayah. Satu-satunya princess ayah.” Senyuman manis diberikan kepada Damia. Damia tersenyum bahagia. Dipeluknya Malik sekuat hati.
“Jangan lupa call Mia okey. Bukan call, tapi video call,” pesan Damia.
Malik mengangguk dan menunjukkan tabik kepada Damia. Pintu ditutup. Terus saja Malik berdiri di depan Daria.
“Lain kali jangan lambat macam ni. Kacau timing orang,” kata Malik perlahan.
Daria keluh perlahan. “I dah cakap dengan you tadi kan. Mami suruh hantar dia dulu last minute.”
“I nak ingatkan… Mia tak nak pergi rumah mami. Dia tak suka dengan environment sana. I nak you patuh arahan ni. You tahu kan macam mana Mia kena buli kat sana dengan orang sana.” Malik mengingatkan Daria.
“Ya… you dah cakap kan malam tadi. I tahulah. Damia tu pun anak I.”
“Kalau I call, tolong angkat. Kalau Damia mintak call I. Tolong ikutkan je. Nanti lepas I balik I terus ambil Damia.” Malik memberi arahan dan keputusan sekali gus.
Terangkat kening Daria. “Eh, you dah lama ya dengan dia. Lagipun tadika Mia dekat je dengan rumah. Nanti-nantilah you ambil dia.”
“Kita ikut cakap Damia. Mana yang dia nak duduk.”
“You memang tak puas hati dengan I kan, Malik? Apa sangat you berdendam dengan I ni?” Tiba-tiba Daria macam berangin.
“Dah, I tak nak gaduh dengan penipu macam you.”
Daria jadi lebih berangin. “Penipu? Siapa penipu? Apa masalah you sekarang ni? You tu lelaki yang konon sangat nak dominan tapi hmmm… jangan nak tunjuk you tu baik sangat depan Damia. Pura-pura!” marah Daria.
“Wow, betul punya marah tu…” Aisyah terlepas cakap. Dia terus tutup mulut selepas menyedari dia termenyampuk perbualan laki bini itu.
Daria terus berpusing menghadap Aisyah yang sedang tekup mulut dia dan Puan Sepiah gelengkan kepala perlahan. Malik terlepas gelak tengok reaksi Aisyah.
“Sorry… saya terlebih emosi. Air cincau kuih bahulu. Cik Piah, Chah cau dulu.” Aisyah yang segan dengan apa yang berlaku terus nak berlalu pergi sambil ketuk kepala berulang kali, namun terhenti bila Malik bersuara.
“Dulu ke sekarang?”
Share this novel