“KITA akan tahan dia kat ward sampai bacaan kreatinin dia capai 100,” ujar doktor yang bernama Hanim berdasarkan tag namanya.
Raana sekadar mengangguk. Fikirannya berserabut memikirkan dirinya yang mungkin sudah menganggur. Walaupun belum meletakkan jawatan secara rasmi, tetapi tidak mungkin dia masuk kerja setelah memaki hamun bossnya tanpa menggunakan otak. Mahu menyesal rasanya sudah terlambat. Norli bukan manusia yang mudah bertolak ansur. Mahu tidak mahu, dia terpaksa mencari kerja sementara untuk menampung hidup dia bersama adiknya.
“Kakak…”
Raana yang baru saja melabuhkan duduk di kerusi, segera bangun lalu mendekati katil adiknya.
“Ada apa? Nak makan ke?”
Husna geleng. “Kakak tak pergi kerja ke?”
“Erm…kakak ambik cuti.”
“Boss kakak tak marah ke?”
“Tak. Dia faham. Dah, tak payah fikir pasal kakak. Una rehat je. Nanti cepat sikit kita boleh keluar hospital.”
Husna mengangguk. “Kakak dah makan?”
“Dah.”
“Una tak suka hospital.”
“Sekejap je. Doktor nak pantau keadaan Una,” pujuk Raana. Dia faham perasaan Husna yang sudah jenuh menjadi penghuni hospital. Sejak lahir, hospital menjadi rumah keduanya. Ubat-ubatan usah ditanya. Berpuluh-puluh biji sehari dengan pelbagai warna dan saiz. Dia yang melihat pun mual. Apatah lagi Husna yang saban hari harus menelannya.
“Kenapa Una tak mati je…”
“Una…” Raana genggam tangan adiknya. “...kalau Una mati, siapa nak teman kakak?”
“Abang Rizman kan ada.”
“Abang Rizman tak sama dengan Una.”
Husna diam. Raut wajahnya sugul.
“Kalau tak nak duduk hospital lama-lama, Una kena paksa jugak makan walaupun tak selera. Lepas tu minum air banyak.”
Tiada jawapan daripada Husna. Mungkin tidak percaya dengan pujukan kakaknya.
“Husna rehatlah ya? Kakak nak balik rumah sekejap, ambik baju.”
“Okey.”
MENYUSURI koridor wad untuk menuju ke lobi, Raana menghubungi Rizman. Seharian sibuk dengan pekerjaannya, kemudian berkejar pulang dan menghantar Husna ke hospital, dia terlupa untuk bertanya dan menghantar khabar kepada tunangannya itu.
Agak lama dia menunggu sebelum Rizman menjawab panggilannya.
“Hello sayang…”
Tersenyum Raana mendengar suara garau itu di hujung talian.
“Awak kat mana tu?” tanya Raana. Jam di pergelangan tangan dilirik sekilas. Pukul 7.30 petang. Selalunya waktu begini Rizman masih di jalanan. Tetapi dia tidak mendengar bunyi bising kenderaan atau gema yang berlaku setiap kali Rizman menggunakan bluetooth kereta.
“Dekat rumah.”
“Eh, tak kerja ke hari ni?”
“Lepas melawat site tadi, saya terus balik rumah. Sakit kepala.”
“Sekarang dah okey ke? Dah pergi klinik?” tanya Raana. Rasa bersalah pula kerana mengabaikan tunangnya itu.
“Sakit kepala sikit je. Telan panadol tadi, lepas tu tidur sekejap. Sekarang dah okey.”
“Oh…” Raana mendesah lega. “...nak keluar makan tak? Saya boleh pergi tempat awak. Kita makan dekat kedai roti canai kat bawah apartment awak tu.”
“Saya baru order Grabfood. Takpe. Awak balik rehatlah. Nanti kita jumpa.”
“Ya ke…” Raana agak kecewa. Sudah beberapa hari dia tidak bertemu tunangnya itu kerana kesibukan masing-masing. Rindu. Dan pada masa yang sama dia perlukan seseorang untuk bercerita tentang pergaduhannya dengan Norli siang tadi. Juga meluahkan kegusarannya yang mungkin akan kehilangan kerja.
“Okeylah sayang. Saya nak mandi. Awak pun rehatlah. Jangan lupa makan.”
“Erm okey. Bye.”
“Bye.”
Talian diputuskan Rizman terlebih dahulu. Terkebil-kebil Raana memandang skrin telefonnya. Tiada ungkapan I love you atau I miss you seperti selalunya yang membuat dia rasa seperti kehilangan. Namun memikirkan Rizman yang mungkin penat atau masih sakit kepala, dia mengabaikan perasaan tidak enak itu. Tinggal sebulan saja lagi sebelum mereka melangsungkan perkahwinan dan dia yakin semuanya akan baik-baik saja.
“BACAAN kreatinin dia masih tinggi ni. Kalau tak turun jugak, kita kena buat CT scan,” ujar Doktor Hanim ketika melawat wad Husna pagi itu.
“CT scan? Kenapa nak kena buat CT scan?” tanya Raana. Menurut pakar IJN, keadaan Husna sudah stabil dan tidak perlu melalui apa-apa ujian lagi. Cuma dia perlu membuat pemeriksaan susulan di hospital berdekatan untuk memantau keadaannya. Itu sahaja.
“Untuk tengok keadaan buah pinggang dia. Sebab kerosakan buah pinggang akan efek pada organ lain juga.”
“Tapi keadaan tu normal kan? Dia makan banyak ubat, then dia kurang makan dan minum. Memang akan kurang air dalam badan dan efek pada buah pinggang kan?”
“Betul. Sebab tu kita kena pantau.”
“Jadi doktor pantau jelah. Tak payah buat ujian apa-apa. Pakar IJN cuma mintak kami datang untuk follow up saja. Bukan untuk buat ujian,” tegas Raana.
“Cik kena faham. Sekarang patient bawah tanggungjawab kami. Jadi kami kena kenal pasti simptom-simptom yang ada pada dia so that kita boleh bagi rawatan yang sesuai.” Doktor Hanim juga mula meninggi suara apabila Raana seperti mahu mengajar dan mempertikaikan tugasnya.
“Sekarang ni berapa bacaan kreatinin dia?” tanya Raana.
“Tinggi.”
“Tinggi tu berapa? Saya nak tahu.”
“320.”
“Semalam?”
“365.”
“Kan dah turun. Tunggulah beberapa hari lagi. Kalau masih tak berubah baru buat ujian.”
“Cik…CT scan tu…”
“Saya tahu. Saya tahu macam mana prosedur CT scan tu. Dia dah pernah buat sebelum minor operation lima tahun lepas. MRI pun dia pernah buat. Jadi keputusan saya, saya tolak ujian tu unless bacaan kreatinin dia tak turun.”
Doktor Hanim berdecit. Tidak suka dengan kedegilan Raana yang terasa menyusahkan tugasnya.
“Untuk pengetahuan doktor, Husna memang ada tekanan darah tinggi sebab salur dia sempit. Doktor boleh tengok rekod rawatan dia dalam fail tu.” Raana tunjuk fail putih yang menyimpan semua rekod rawatan Husna. “Dan pakar IJN kata, itu akan menyebabkan buah pinggang mengecut sikit tapi dia ada ambik ubat. Pakar kata keadaan tu masih terkawal, tak membahayakan dan Husna tak perlu lalui apa-apa ujian.” Raana tegas berpegang kepada kata-kata doktor pakar IJN yang merawat Husna sebelum discaj minggu lalu.
“Kalau apa-apa jadi pada adik cik macam mana?”
“Jadi apa? Saya tak nampak apa-apa simptom yang membahayakan pun pada adik saya. Dia nampak sihat. Cuma kurang makan dan kurang minum.”
Doktor Hanim mendesah kasar. Bolak-balik anak matanya kerana jengkel dengan Raana. Sikit-sikit nama pakar IJN yang dipetik. Apa dia yang bukan pakar ini tidak layak memberikan pendapat?
“Okey, kita tengok esok macam mana.” Dia akhirnya mengalah. Tidak guna juga dia berkeras jika nanti akan menimbulkan suasana tegang antara dia dan keluarga pesakit. Silap hari bulan perkara itu diviralkan. Habis semua menteri, pengarah, turun berkampung di hospital. Lagipun dia nampak gadis muda itu mempunyai cukup pengetahuan tentang penyakit adiknya.
“Kenapa kakak gaduh dengan doktor tu?” tanya Husna setelah Doktor Hanim keluar dari wadnya. Dia ditempatkan di wad khusus yang tidak memberi akses kepada doktor praktikal untuk masuk kecuali doktor yang merawat dan jururawat bertugas.
“Bila masa kakak gaduh?” balas Raana sambil menyua sesudu bubur ke mulut Husna. Mujurlah adiknya itu tidak menolak walaupun mukanya seperti dipaksa menelan segenggam pasir.
“Tadi kakak macam marah doktor tu.”
“Kakak memang baran. Nak-nak kalau orang buat muka macam mintak kaki.”
Husna terkekeh. Tahu sangat dia dengan perangai kakaknya yang baran itu. Pantang ada yang tidak kena, habis semua orang diajak bergaduh.
“Makan cepat. Habiskan bubur ni. Lepas tu minum air. Biar cepat sikit boleh keluar hospital.”
Husna akur. Membuka mulut lalu dengan susah payah menelan bubur itu. Mahu menolak, dia tidak berani. Sesuap demi sesuap dia telan sehingga habis semangkuk bubur.
“Ha…kan bagus macam ni. Minum air tu.”
“Nak sirap bandung.”
“Tak boleh. Minum air masak dulu. Dah sihat betul-betul nanti baru boleh minum sirap bandung.”
Husna tarik muncung. Namun dia meneguk juga air mineral yang dihulurkan kakaknya.
“Habiskan,” ujar Raana apabila melihat Husna hanya meneguk sedikit sahaja.
“Tak sedap.”
“Mana ada air mineral yang sedap dalam dunia ni.”
“Tapi…” Bicara Husna terhenti apabila telefon Raana berbunyi.
“Minum sampai ke titisan yang terakhir…” ujar Raana sambil menghulurkan gelas berisi air mineral dengan sukatan 200ml kepada Husna sebelum mencapai telefonnya yang diletakkan di atas meja.
“Siapa telefon?” tanya Husna.
“Kak Iza.” Raana tunjuk skrin telefonnya kepada Husna. Sempat dia menyuruh Husna menghabiskan air itu sebelum menjawab panggilan Aniza. Sengaja dibuntangkan matanya untuk menggertak adiknya itu.
“Helo Iza.”
“Weh, kau kenapa tak datang kerja?” tanya Aniza.
Raana tidak segera menjawab. Bangkit dari duduknya, dia keluar dari wad Husna. Tidak mahu adiknya itu mendengar perbualannya dengan Aniza.
“Aku bergaduh dengan bos semalam,” jawabnya setelah pintu wad Husna dia tutup rapat.
“Hah, gaduh? Tak ada pulak aku dengar dia bising-bising ke apa. Elok je mood dia hari ni.”
“Ya ke? Agaknya dia suka hati la tu sebab semalam masa tengah gaduh-gaduh tu aku cakap nak resign.”
“Kau biar betul. Nanti nak kerja apa? Adik kau tu nak pakai banyak duit.”
“Entahlah Iza. Aku tengah marah semalam. Aku pun tak sedar apa yang aku cakap. Kau bayangkan eh, aku cakap elok-elok, bagitahu dia hospital call mintak aku hantar Husna untk warded. Dia boleh suruh aku call ambulans ambik adik aku. Patut tak?”
“Tak patut. Langsung tak ada timbang rasa.”
“Kan…”
“Habis tu macam mana sekarang?”
“Entahlah Iza. Aku pun serabut jugak ni. Aku belum officially letak jawatan, maksudnya aku masih pekerja kat situ kan? Dia tak boleh senang-senang buang aku kan?”
“Betul. Jadi aku rasa esok kau kena datang kerja jugak. Takut nanti kau kena tata tertib sebab tak datang kerja tanpa permohonan cuti dan tak datang kerja tanpa kebenaran.”
“Itulah…” Raana juga memikirkan penyelesaian yang sama. Dia masih memerlukan kerja itu. Jika tidak, bagaimana dia mahu menyara adiknya? Walaupun tidak lama lagi dia akan berkahwin dengan Rizman, tidak mungkinlah dia membebankan suaminya itu dengan belanja perubatan Husna.
“Agak-agak apa dia buat kalau dia tengok muka aku esok?” tanyanya khuatir.
“Alah macam tak biasa dengan muka rumput dia tu. Buat bodoh je. Muzium tu pun bukan bapak dia punya. Dia pun makan gaji macam kau cuma level dia je atas sikit. Datang je macam biasa. Kalau semalam kau boleh maki dia macam takde hari esok, ha esok kau datanglah dengan telinga yang bersedia dimaki macam dunia takkan kiamat. Setakat kena maki, apalah sangat daripada hilang kerja kan.”
Raana terdiam sejenak sebelum mengangguk-angguk. Aniza betul. Kata-kata makian itu paling tidak, akan berbekas dua tiga hari. Selepas itu dia akan melupakannya seiring kesibukan dengan rutin harian. Tetapi jika hilang kerja, belum tentu dia akan mendapat pekerjaan lain dalam masa dua tiga hari. Apatah lagi dengan rekod buruk bergaduh dengan boss.
“Okeylah, esok aku pergi kerja.”
“Eloklah tu. Jangan lupa rendahkan sikit ego kau, mintak maaf dengan dia. Mulut bukak untuk mintak maaf je. Lepas tu kunci. Jangan cakap apa-apa even dia provok kau. Diam je. Faham?”
“Erm…”
“Okeylah. Jaga diri. Kirim salam dengan Husna. Petang ni lepas kerja aku datang melawat.”
“Okey, thanks Iza.”
“Sama-sama. Aku letak dulu. Bye.”
Memutuskan panggilan dengan Aniza, Raana termenung sejenak. Runsing memikirkan kemungkinan hari esok. Masuk kerja dengan muka tebal lalu bertemu Norli dan meminta maaf. Otaknya sudah membayangkan tatapan sinis dan kata-kata pedas yang bakal keluar dari mulut bosnya itu. Walaupun dia baran dan mulutnya celopar, tetapi dia tetap memiliki sekeping hati yang halus. Kadang-kadang mudah tersentuh dan tersinggung apatah lagi jika melibatkan adiknya. Dia sedar dia salah kerana terlalu ikutkan perasaan. Tetapi jika Norli ada sedikit pertimbangan dan membenarkannya bercuti, tentu keadaan tidak akan menjadi seperti ini.
Ah, ini bukan masanya untuk menyalahkan Norli. Suka atau tidak, dia tetap perlu berdepan dengan wanita itu esok. Semoga Tuhan mempermudah urusannya.
DI DALAM sebuah bilik yang hanya diterangi cahaya dari skrin bersaiz 110 inci, Rayden memandang gambar Raana yang terpampang di sana.
Raana Radhia binti Jamaludin
29 tahun
Art conservator di Muzium Pisonia
Dia membaca detil gadis itu yang terpampang di sebelah gambarnya.
“Kenapa pilih art conservator?” tanya pembantunya, Edwin.
“Sebab dia tahu menilai artifak dan barang berharga.” Mencapai alat kawalan tidak jauh darinya, Rayden menukar slaid seterusnya pada paparan skrin. Terpampang sebuah artikel yang dipetik dari sebuah akhbar dua tahun lalu.
“Dia pernah terlibat dengan pasukan yang memulihkan sebuah arca bernilai satu juta ringgit tanpa meninggalkan sebarang kecacatan.”
“Tapi…memulihkan tak sama dengan menghasilkan,” tingkah Edwin.
“Memang tak sama. Kita cuma nak kepakaran dia dalam menilai dan menganalisis Sword of Oblation supaya kita boleh hasilkan pedang yang sama. Lagipun dia bukan dalam kalangan art conservator yang popular. Tak ada keluarga kecuali seorang adik yang sakit. So…” Rayden tidak melanjutkan kata-katanya. Hanya memandang Edwin, berharap pembantunya itu faham dengan sendiri.
Edwin mengangguk-angguk. Faham dengan apa yang dimaksudkan bossnya.
Share this novel