JAMBATAN Brooklyn di tengah Kota New York dikunjungi Azriel bersama Ivy. Mereka berdua berjalan menyusuri laluan pejalan kaki di jambatan itu bersama para pengunjung yang lain.
Menurut catatan sejarah Jambatan Brooklyn adalah jambatan gantung kabel keluli pertama di dunia yang dibina merentasi East River menghubungkan antara Manhattan dan Brooklyn. Ia mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 1883 dan merupakan salah satu mercu tanda ikonik yang terkenal di kalangan para pelancong yang mengunjungi Kota New York.
Sepanjang mereka berjalan bersama, Ivy melihat gelagat Azriel yang tidak lepas dengan kamera DSLR di tangannya. Lelaki itu begitu leka merakamkan satu-persatu foto di setiap lokasi yang mereka kunjungi. Manakala dia pula hanya sesekali merakamkan momen di jambatan itu menggunakan telefon pintar termasuk ber’selfie’.
“You memang suka ambil gambar ke?” Ivy menyoal ketika mereka tiba di tengah Jambatan Brooklyn.
Dari lokasi itu boleh dilihat pemandangan Kota Manhattan dan bot-bot kecil yang melalui East River di bawahnya. Angin petang yang bertiup lembut ke wajah memberikan suasana damai dan tenang.
“Erm sekali-sekala. Untuk isi masa lapang,” jawab Azriel sambil terus memberi fokus terhadap lensa kameranya.
“So, during free time you suka ambil gambar je? Takde aktiviti lain? You tak keluar dengan kawan-kawan? Clubbing? Gaming? Racing?” Ivy bertanya lagi.
Sambil itu fikirannya menerawang teringatkan ‘seseorang’ yang mempunyai kegemaran sebegitu. Seseorang yang pernah wujud dalam hidupnya dahulu.
Azriel lantas menggeleng. Semua yang disebutkan Ivy itu tiada dalam minat atau kegemarannya.
“I tak suka buang masa dengan benda-benda macam tu. I lebih suka tengok dunia. Menikmati alam. Melihat keindahan ciptaan Tuhan. Dan berfikir apa hikmah dari setiap kejadian. Ia akan buatkan I lebih bersyukur dan menghargai apa yang I ada.”
Jawapan Azriel menarik perhatian Ivy. Terbit perasaan kagum di benaknya. Pertama kali dia mengenali lelaki yang mempunyai pemikiran sebegini. Jauh berbeza berbanding kebanyakan lelaki yang pernah dikenalinya sebelum ini.
“So, you suka ambil gambar alam je? Gambar manusia macam I you tak nak ambil ke?” Dalam maksud tersirat Ivy bertanya.
Azriel merenung ke wajah Ivy. Saat itu baru dia menyedari yang foto Ivy belum dirakamkan kameranya. Padahal sedari tadi gadis itu menemani dan berjalan di sisinya.
Lantas lensa kamera difokus dan dihalakan ke arah Ivy. Jari Azriel mengetik butang beberapa kali. Merakamkan setiap gerakan dan momen spontan gadis itu.
Saat Ivy meraup rambut panjangnya yang beralun lembut ditiup angin. Saat Ivy memandang ke sisi melihat suasana petang hari di tempat itu. Saat Ivy memejam mata sambil berpusing-pusing bebas dengan santai di tengah jambatan itu. Semuanya dirakamkan lensa kamera Azriel.
“Done,” kata Azriel.
“Done? Done apa?” Ivy menyoal tidak faham.
“I dah ambil gambar you.”
“Hah? You tak cakap 123 pun?? Masa bila you ambil gambar I? Nak tengok!”
Pantas Ivy merapati Azriel untuk melihat hasil rakaman gambar yang diambil lelaki itu. Azriel dengan senang hati menunjukkan paparan foto-foto di skrin kameranya.
“Ala, semua gambar I tak ready. Yang ini tak cantik. Yang itu buruklah muka I. Delete please~” Ivy memberi komen.
“Yang inilah cantik. Gambar ni nampak fotogenik dan estetik. Gaya you spontan dan natural.” Azriel meyakinkan Ivy.
Ivy membentuk-bentukkan bibirnya sambil memandang ke foto-foto berkenaan sebelum dia akhirnya mengangguk mengakui. Memang benar gambar-gambar yang diambil Azriel itu nampak estetik dan natural. Seperti gambar-gambar yang berada di aplikasi Pinterest.
“Thanks, Azriel. Pandai you ambil gambar. Then, tolong ambil gambar I banyak-banyak lagi boleh??”
Azriel tanpa banyak soal mengangguk. “Boleh.”
Dan Ivy pun mulalah beraksi dengan berbagai gaya dan ‘posing’ di tengah jambatan itu. Sekejap macam model catwalk. Sekejap macam kanak-kanak riang yang comel pun ada. Gadis ini memang sejenis yang bersikap selamba orangnya.
Dan entah mengapa tika itu hati Azriel bagaikan terpaut pada Ivy. Wajah gadis itu yang cantik dan anggun bersama gayanya yang bersahaja seakan menggetarkan tulang rusuknya. Haih. Adakah dia dah terjatuh cinta pandang pertama pada gadis ini?
Selesai berposing di tengah jambatan itu, Ivy menghampiri Azriel lalu meminta kamera milik lelaki itu.
“Come I ambil gambar you pula.”
Azriel menggeleng pada mulanya. Dia tidak suka dirakam foto sendiri. Namun, Ivy tetap memaksa.
“Cepatlah. I nak ambil gambar you. You jadi model kat tengah tu. Trust me I ni pandai ambil gambar orang tau. Setanding fotografer terkenal dunia.” Ivy mendabik dada sendiri sambil tersengih mempamerkan giginya yang tersusun cantik dan putih bersih.
Akur setelah dipaksa beberapa kali oleh gadis itu, Azriel akhirnya menurut permintaan Ivy. Dia berdiri tegak di tengah jambatan itu menanti fotonya dirakamkan oleh Ivy.
“Azriel, you ni keras macam patung je. You kena bergaya sikit. Tangan you masuk dalam poket seluar. Sebelah lagi pula kat sini. Muka you dongak ke atas sikit. Ha, macam ni barulah handsome. Macam model BOSS.” Ivy tertawa kecil saat membetulkan gaya Azriel.
Azriel menghembus nafas. Pertama kali dia dipaksa oleh seorang gadis untuk melakukan begini. Selalunya kalau dengan perempuan lain reaksinya akan dingin seperti salji di kutub. Tapi, dengan Ivy entah kenapa ais itu seolah-olah mencair pula hari ini. Haish.
Selesai merakamkan gambar Azriel beberapa kali, Ivy kembali menghampiri lelaki itu.
“Last one, jom ambil gambar kita.” Ivy memberi cadangan.
“Gambar kita?”
“Yes. Selfie kita berdua. Cepat, say cheeseeee~”
Dalam ceria dan bersahaja Ivy menghalakan kamera milik Azriel ke wajah mereka berdua. Klik, klik, klik. Butang kamera itu diketik beberapa kali.
Setelah itu Ivy menyerahkan semula kamera di tangannya kepada Azriel. Saat melihat hasil foto yang diambil Ivy tadi, spontan Azriel ketawa kerana berasa lucu saat melihat foto diri sendiri di skrin kamera itu. Namun, harus diakui yang Ivy juga pandai mengambil gambar. Foto-foto yang terhasil kelihatan cantik dan berseni.
“Kelakar ye gambar I ambil?” Ivy bertanya setelah melihat Azriel ketawa.
“Tak. Cantik gambar-gambar ni semua.” Azriel memuji.
“Termasuk I?” Ivy bertanya spontan.
Lalu Azriel mengangguk mengiyakan. “Ya. Termasuk you. Cantik.”
Ivy meleret senyuman. Seronok mengenali lelaki ini. Walaupun nampak luarannya macam dingin dan kaku, namun ada sesuatu dalam diri Azriel yang membuatkan hati Ivy seakan tertawan. Mungkinkah lelaki seperti Azriel mampu memadam kekecewaan masa lalu dirinya yang memaksa hingga dia terbang jauh ke Kota New York untuk melupakan kisah itu. Mungkin…
SELESAI menghabiskan masa di Jambatan Brooklyn, Azriel membawa Ivy berjalan-jalan di beberapa lokasi menarik lain untuk menghabiskan waktu petang hari itu. Sambil berjalan melihat panorama suasana musim luruh di kotaraya terkenal dunia itu, mereka berdua berbual beberapa topik secara santai.
“Sorry kalau I tanya. You sebenarnya orang apa, Ivy? Maksud I nama you macam Chinese.” Azriel mengambil peluang bertanya tentang perkara itu. Sekadar mencari topik untuk diborakkan.
“I’m half Chinese. My dad is Chinese. My mom pula ada darah English sebelah datuk I. So, I ni adalah adalah mix-mix sikit,” jawab Ivy.
“Ohh. Tapi, Bahasa Melayu you bagus. Fluent.”
“Actually our maid is Indonesian. So, I membesar dengan dia dari kecil. I banyak communicate dalam Malay. Then, bila I masuk uni, I mingle around dengan kawan-kawan Malay. I dah terbiasa cakap Melayu dengan diorang. So, yeah. No big deal. Lagipun, I orang Malaysia. Of course lah kena pandai cakap Bahasa Melayu kan,” ujar Ivy disusuli tawa kecilnya. Membuatkan lekuk lesung pipit di pipinya terserlah dan menambah aura manis di wajah itu.
Azriel kian galau melihat raut jelita gadis di sisinya. Atau dalam lain perkataan wajah Ivy ketika itu seakan membuatkan Azriel semakin terpesona. Seumur hidup inilah pertama kali dia berjalan berdua bersama seorang gadis cantik seperti Ivy.
“Erm ya. Betul-betul.” Azriel mengangguk-angguk. Cuba berlagak tenang biar pun hakikat sebenar hatinya bagai sedang kacau-bilau saat ini.
“So, Azriel. You jalan-jalan dengan I ni tak apa ke? Your girlfriend tak marah? Sorry I baru teringat nak tanya,” soal Ivy.
Iyalah. Bahaya juga kalau tiba-tiba kekasih lelaki ini nampak mereka berjalan berdua-duaan. Walaupun hakikatnya tiada sebarang jalinan hubungan antara mereka berdua.
Azriel tergelak dengan soalan Ivy. “I tak ada girlfriend. ‘Girlfriend’ kesayangan I cuma ini ajelah. My camera.” Azriel menjawab dalam seloroh.
Ivy ikut tertawa. Entah mengapa jawapan Azriel itu membuatkan hatinya merasa senang. Kenyataannya dia selesa berada dekat dengan lelaki ini.
SEDAR tak sedar senja kian berlabuh di Kota New York. Suasana sekeliling beransur gelap saat malam mula menyapa. Dan derap langkah kaki mereka berdua juga akhirnya tiba di hadapan hotel penginapan yang didiami Ivy.
“Kita dah sampai,” ujar Azriel ketika menghantar Ivy di hadapan pintu hotel.
“Thanks so much Azriel untuk hari ini. I happy sangat dapat spend time dengan you. And thanks juga sebab you tolong I masa beg I kena ragut,” ucap Ivy.
“Sama-sama. Thanks juga belanja I minum siang tadi.”
“Ah, coffee tu. Small matter,” balas Ivy dalam tawa kecil.
“So, you berehatlah. I nak masuk kerja pula selepas ni,” ujar Azriel sambil memandang ke arah jam di lengan kirinya.
“You nak masuk kerja? You kerja apa, Azriel?” soal Ivy ingin tahu.
“I buat part-time dekat sebuah bar di hujung blok sana. Kalau you and your friend nak minum sambil dengar muzik bolehlah datang ke sana. Malam ni ada ‘live’ band.” Sengaja Azriel memberitahu.
Mimik muka Ivy bertukar teruja. “Wah, menariknya. Nanti I tanya my friend kalau dia nak pergi.”
“So, I gerak dulu ya. Take care. Till we meet again.” Azriel mengangkat tangan sebagai isyarat meminta diri.
“Urm okey, Azriel. You too take care. Till we meet again.” Ivy turut mengangkat tangan melambai ke arah lelaki itu.
Entah mengapa saat itu Ivy bagaikan berat hati ingin berjauhan dengan lelaki ini. Terasa seolah-olah mereka sudah lama saling mengenali satu sama lain.
Mereka kemudian sama-sama berpusing dan berpisah ke arah yang berlainan. Azriel menyambung langkahnya berjalan menyusuri laluan pejalan kaki di deretan bangunan tersebut. Manakala Ivy pula mengatur langkah menuju ke lif yang terletak di aras lobi hotel.
Beberapa tapak melangkah Azriel menoleh pandangannya ke arah pintu hotel semula. Ingin melihat wajah manis gadis tadi sekali lagi. Dari kejauhan dia nampak kelibat tubuh Ivy yang sedang menunggu di depan lif.
Azriel menghembus keluhan. Seraya digeleng perlahan. Cuba menghapuskan satu rasa yang baru bertandang di jiwanya. Siapalah dia untuk menaruh perasaan terhadap gadis itu. Mungkin tidak layak.
“Bye, Ivy Clarissa~”
Dan Azriel menyambung semula langkahnya yang terhenti seketika tadi.
Sementara itu dari ruang lobi hotel, Ivy tiba-tiba berpaling. Dia menuju semula ke pintu kaca hotel yang terbuka secara automatik. Entah mengapa dia seolah-olah didesak untuk melakukan begitu. Mungkin Azriel masih belum pergi jauh.
Namun, perasaan Ivy kecewa apabila bayang kelibat Azriel sudah tidak kelihatan. Laluan pejalan kaki di hadapannya hanya dipenuhi warga kota yang saling bertali-arus. Pandangan Ivy kosong. Lantas sebuah keluhan kecil terbit dari bibirnya.
“Bye, Azriel Elhan. See you when I see you~”
Hmm perkenalan satu hari mereka hari ini yang cukup bermakna. Akan adakah lagi pertemuan di antara mereka selepas ini?
Share this novel
smooth lagi pnulisn u dr c... mcm bca buku
ptt ivy lawa