Jenny membantu Aidan untuk bangun, namun kecederaan dalaman yang dialami oleh Aidan membataskan pergerakan. Jenny memapah Aidan dengan perlahan. Aidan dapat merasakan kesakitan yang menjalar ke seluruh tubuhnya.
Setiap tarikan nafas yang dilakukannya terasa amat berat seperti sedang ditindih oleh batu yang besar. Dia hampir hilang keseimbangan beberapa kali sebelum akhirnya dapat berdiri tegak.
Semangat Aidan juga mula luntur selepas apa yang terjadi dalam pertarungan dengan Jahar. Dia mula meragui keupayaannya untuk menewaskan lelaki itu dan menyelamatkan Inderapati.
Dia memandang ke tanah yang berdebu. Dadanya terasa berat bukan kerana kecederaannya sahaja, tetapi juga beban untuk menyelamatkan Inderapati dari bahaya. Namun, bagaimana dia hendak melakukannya jika dia tidak mampu menandingi kekuatan Jahar yang jelas lebih hebat daripadanya.
Jenny memandang Aidan dengan penuh rasa simpati. Dengan lembut dia cuba memberi keyakinan semula kepada rakannya itu. "Aidan, aku tahu kau rasa kecewa sekarang." suara Jenny penuh kelembutan. "Tapi aku percaya pada kekuatan kita. Setiap kali kita jatuh, kita akan bangkit semula. Jahar tak akan menang selagi kita belum mengalah. Ingat Aidan, kau tidak berseorangan dalam perjuangan ini."
Aidan memandang Jenny dengan pandangan yang dalam. Dia menganggukkan kepalanya perlahan. Senyuman terukir semula di wajah Aidan menandakan semangatnya pulih sedikit.
"Terima kasih Jenny. Kau banyak berubah sejak kali terakhir selepas SPM. Cara kau lembut tak kasar macam dulu." puji Aidan sambil melemparkan senyuman yang manis.
"Jap... jap... apa kena mengena dengan semua tu? Kau tak puas hati ke? nak gaduh?" kata Jenny sambil menumbuk perut Aidan.
"Aduh... aku puji pun salah ke? Sakit la kau tumbuk perut aku. Dah la aku tengah cedera. Kasihan la kat aku sikit. Aku tarik balik pujian aku tadi." katanya sambil memegang perut yang senak akibat ditumbuk Jenny. Tapi senyuman di bibirnya tidak lekang.
Jenny melepaskan tangannya dari memapah Aidan, dia memalingkan wajahnya dari Aidan sambil memuncungkan mulutnya tanda merajuk dengan usikan Aidan.
"Laaa... merajuk pulak dia ni. Okay... okay... aku minta maaf, aku janji tak buat lagi." pujuk Aidan dengan rasa serba salah.
"Betul kau tak nak buat lagi?" Jenny cuba meminta kepastian.
"Ye aku janji... tengok ni." kata Aidan sambil mengangkat tangannya seperti orang yang sedang mengangkat sumpah.
Jenny ketawa kecil melihat gelagat Aidan. "Baiklah... kalau macam tu aku nak kau pula bukakan portal. Kita perlu mencari di mana Pendeta Adika dan yang lain."
"Eh! Aku kan cedera. Kau agak-agak la." balas Aidan geram dengan muslihat Jenny.
"Kau dah janjikan? tak baik tau mungkir janji." sindir Jenny dengan nada mengusik
Aidan yang terperangkap dengan muslihat Jenny terpaksa menurutkan sahaja permintaan gadis itu. "Kau main tipu la. Kalau apa-apa jadi kat aku, siap kau Jenny." katanya sambil memberi sepenuh perhatian kepada Seru Laksamana.
Satu portal terbuka luas di hadapan mereka. Tanpa membuang masa, Aidan dan Jenny melangkah masuk ke dalam portal itu. Cahaya yang menyilaukan menelan seluruh tubuh mereka dan membawa mereka ke destinasi yang dituju.
Share this novel