BAB 3

Romance Completed 459928

PENERBANGAN ke Kota Kinabalu ditunda tiga jam kerana pesawat itu lambat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu akibat cuaca buruk di sana. Namun itu tidak menjadi masalah bagi Eidlan dan Nadia kerana berapa lama pun masa diambil, mereka tetap berdua tanpa ada yang mengganggu. Firdaus pula duduk agak jauh daripada pasangan itu kerana muak melihat wajah hipokrit Eidlan dan muka tidak tahu malu Nadia.

“Attention. Boarding for Air Asia Airlines flight number AK 5031 to Johor Bahru will commence immediately. Would all passengers please to proceed to gate C2 and have your boarding pass and ID ready. Thank you.”
Mendengar pengumuman itu, Firdaus segera berdiri. Sebelum menaiki pesawat, dia perlu ke tandas dahulu supaya di dalam pesawat nanti dia boleh melelapkan mata tanpa gangguan daripada seruan alam.

“Eid!”

Eidlan yang sedang melihat entah apa di telefon Nadia mendongak apabila mendengar suara Firdaus.

“Tolong tengokkan beg aku kejap. Aku nak pergi toilet.”

“Okey.”

Ketika Firdaus keluar dari tandas, langkah sigapnya yang menuju ke tempat duduk perlahan terhenti. Jantungnya berdetak kencang bagai disentak arus elektrik. Mana tidak, susuk yang amat dikenalinya sedang berdiri tidak jauh dari tempat duduknya tadi, memerhatikan pasangan sejoli yang sedang asyik bergurau senda. Walaupun dari sisi, dapat dia lihat betapa rapuh susuk itu. Getar bibir itu dapat dia lihat dengan jelas.

“Awin!” Dia memanggil, bukan sekadar mahu menarik perhatian Syazwin, tetapi juga supaya Eidlan menyedari kehadiran Syazwin di situ.

Syazwin bergeming kerana tatapannya hanya terpaku pada satu arah, melihat sepasang kekasih yang kelihatan begitu mesra. Si lelaki melingkarkan tangan pada bahu si perempuan, menonton entah apa pada telefon. Sesekali mereka ketawa bersama. Kelihatan bahagia sekali. Tidak langsung merespons dengan suara Firdaus.

“Syazwin!” Kali ini Firdaus menaikkan suaranya seoktaf.

Eidlan yang mendengar suara Firdaus itu mengangkat muka. Dipandang Firdaus dengan wajah sebal. Fikirnya Firdaus menyebut nama Syazwin kerana mahu merosakkan mood percutiannya bersama Nadia.

“Apa hal? Syazwin… Syazwin… Jangan rosakkan mood aku boleh tak?” Eidlan merungut.

Firdaus melotot. Apa Eidlan masih tidak menyedari kehadiran Syazwin? Syazwin tidak jauh pun daripada mereka atau Eidlan sebenarnya tidak menyangka Syazwin akan datang? Ya, bukan saja Eidlan, dia juga tidak menyangka.

Diarahkan dagunya ke arah Syazwin yang berdiri lebih kurang dua meter saja dari tempat duduk Eidlan.

Eidlan menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Firdaus. Wajah sebalnya berubah pucat sebaik melihat Syazwin, tegak berdiri, memandangnya dengan tatapan yang tidak berani Eidlan tafsirkan. Basah wajahnya dengan air mata yang dibiarkan jatuh tanpa diseka.

Cepat-cepat Eidlan mengalihkan tangannya dari bahu Nadia lalu bergegas mendekati Syazwin.

“Awin…” Tangan Eidlan terhulur, mahu merengkuh tubuh Syazwin, namun Syazwin mengundur selangkah.

“Jangan…” Lemah dan lirih suaranya. Dia terkejut. Dia bingung, namun dia tidak bodoh untuk mentafsir apa yang dilihatnya.

Daripada riak wajah Eidlan dan perempuan itu, dari bahasa tubuh mereka, ketawa mereka, dia yakin hubungan mereka bukan biasa. Dia pernah melalui fasa itu dan dia tahu.

Syazwin gigit bibir bawahnya. Bibirnya bergetar. Tubuhnya menggigil. Kepalanya pusing. Dia kepal kedua-dua tangan, mencari kekuatan dari dalam dirinya sendiri.

“A… Awin… Kenapa tak bagitahu abang nak datang?” Sekali lagi Eidlan cuba meraih tangan Syazwin, namun Syazwin pantas menyembunyikan tangannya di belakang badan.

“Maaf… Dah rosakkan mood abang.”

Eidlan terhenyak. Ludah ditelan berkali-kali. Melihat air mata Syazwin, dadanya turut sakit. Sungguh, membuat Syazwin menangis adalah perkara yang tidak ingin dia lakukan, namun mencintai Nadia juga sesuatu yang tidak dapat dia elakkan.

“Abang nak pergi mana?” Terluah juga pertanyaan itu. Perlahan, datar dan hampir tanpa nada. Melihat beg sandang yang selalu digunakan untuk pulang ke kampung, dia yakin Eidlan mahu pergi ke satu tempat.

Eidlan tidak menjawab. Turun naik halkumnya seolah-olah beribu kata mahu diluah, namun lidahnya kelu. Saraf otaknya beku. Getaran suara Syazwin dengan wajah yang menggambarkan kecewa luar biasa itu membuat dirinya seperti dihempap segunung rasa bersalah.

“Sayang…”

Esakan Syazwin lolos jua. Jika dulu perasaanya pasti melayang mendengar panggilan sayang dari mulut Eidlan, namun sekarang ia seperti belati yang menghiris setiap saraf dalam tubuhnya.

“Jom kita duduk dulu.” Eidlan cuba meraih tangan Syazwin, namun Syazwin menepis. Dia tidak sudi disentuh oleh tangan yang telah lancang menyentuh perempuan lain.

“Saya nak balik!” Bergetar suara Syazwin sambil tangannya menggagau dompet di dalam beg sandang, mengeluarkan kad untuk membeli tiket balik.

“Sayang… Sayang…” Eidlan cepat-cepat mendekat, menahan tangan Syazwin yang sudah memegang kad debitnya. “Balik dengan abang, okey?”

“Eid, habis tu trip kita macam mana?” Suara Nadia itu membuat tubuh Syazwin menegang. Tangannya yang dalam genggaman Eidlan menggigil. Dia tidak pernah menyangka akan terperangkap dalam situasi seperti ini. Fikirnya hanya dia satu-satunya wanita dalam hidup Eidlan. Fikirnya Eidlan tidak akan pernah berlaku curang. Fikirnya Eidlan akan setia dengan perkahwinan mereka, menjaga mata dan hatinya daripada berpaling kepada wanita lain, namun nyatanya dia silap. Hanya dia yang bersungguh-sungguh mempertahankan ikatan suci ini. Percintaan selama empat tahun di universiti tidak menjamin ikatan ini berkekalan sehingga ke akhir hayat, malah tidak membuat dia berjaya mengikat hati Eidlan hanya untuknya.

“Pergilah…” ujar Syazwin apabila merasakan genggaman Eidlan pada tangannya melonggar. Dia tidak mahu memaksa dan dia tidak berharap Eidlan akan memujuk atau memilihnya, kerana sekali Eidlan berlaku curang, bermaksud Eidlan sudah tidak meletakkannya sebagai keutamaan berbanding perempuan lain.

“Sayang…” Eidlan mengejapkan semula genggamannya. “Sayang tunggu ya. Abang suruh dia balik dulu.” Eidlan menatap wajah terluka Syazwin dengan penuh mengharap. Sekalipun dia menjalinkan hubungan dengan Nadia, tetapi dia tidak mahu kehilangan Syazwin.

Syazwin ketap bibir. Eidlan masih memikirkan perempuan itu. Mengapa tidak dibiarkan perempuan itu menguruskan dirinya sendiri? Perempuan itu bukan sesiapa bagi Eidlan. Mengapa Eidlan perlu bertanggungjawab kepadanya?

“Selangkah abang pergi, abang takkan jumpa Awin lagi kecuali di mahkamah.”

Seiring dengan kata-kata yang lolos dari bibir Syazwin, mata Eidlan turut membuntang sempurna. Dia menggeleng tidak terima. Dia tidak mahu perkahwinan yang masih muda ini berakhir dengan perpisahan.

“Sayang… Tolong jangan macam ni. Abang cuma carikan teksi untuk dia. Lepas tu kita balik sama-sama, ya?”

Tiada jawapan daripada Syazwin dan Eidlan menganggap itu persetujuan. Perlahan dia melepaskan tangan Syazwin dan menghampiri Nadia.

Tubuh Syazwin melemah. Hatinya tersayat melihat Eidlan memujuk Nadia yang kelihatan berang. Digigit kuat bibir bawahnya menahan tangisan. Rasa tidak percaya melihat suaminya memujuk dan menenangkan perempuan lain. Dia sendiri tidak pernah dipujuk begitu oleh Eidlan kerana dia jarang merajuk atau marah. Jika ada pun, dia akan cepat sejuk dan kadangkala mengalah kerana tidak mahu memanjangkan perbalahan. Mungkin kerana itu, Eidlan berani berlaku curang di belakangnya. Dengan harapan, dia akan cepat terpujuk dan mengalah, seperti selalu.

Namun, tidak hari ini dan tidak untuk hari-hari seterusnya. Hatinya sudah terlanjur terluka dan sangat sulit untuk memaafkan.

Agak lama juga Eidlan mengambil masa memujuk dan menenangkan dia kerana teman wanitanya itu degil dan keras hati, tetap berkeras mahu ke Kota Kinabalu kerana mereka sudah merancangnya lama. Namun, Eidlan tidak boleh mengabaikan Syazwin. Kedatangan Syazwin hari ini di luar daripada pengetahuannya. Dia tidak sangka Syazwin boleh mengambil tindakan senekad itu.

Hampir 20 minit, Eidlan akhirnya berhasil memujuk Nadia setelah berjanji dan meyakinkan wanita itu yang dia akan datang awal sebelum sesi persekolahan dibuka dan mereka boleh merancang semula trip ke KK.

Setelah menguruskan Nadia dan memastikan teman wanitanya itu selamat menaiki teksi, Eidlan kembali ke tempat duduknya tadi. Namun, langkahnya terhenti apabila melihat Syazwin tidak ada di situ. Matanya melilau ke seluruh ruang yang dapat dicapai oleh penglihatannya, namun dia tidak melihat kelibat Syazwin di mana-mana.

Dia berlari ke pintu masuk, mencari-cari jika Syazwin mengambil teksi untuk ke bandar Sibu mencari hotel. Nihil. Dia berlari masuk semula, menuju ke arah tandas perempuan, menunggu di sana. Beberapa minit berlalu, tiada kelibat Syazwin keluar dari tandas. Dikeluarkan telefon dari saku seluar lalu menghubungi isterinya itu, namun dijawab oleh pesanan suara.

Eidlan mendengus kecewa. Diraup kasar wajahnya, melampiaskan rasa kesal. Syazwin perempuan yang lembut dan manja.

Isterinya itu tidak biasa ke mana-mana sendirian. Tempat ini asing baginya dan dia yakin Syazwin pasti tidak tahu ke mana harus dituju.

Eidlan menghubungi Firdaus pula. Dijawab oleh mesin pesanan suara juga. Ya, tentu Firdaus sudah di dalam penerbangan.

Eidlan melangkah gontai sambil matanya terus melilau. Setiap orang yang lalu lalang dan melewatinya diperhatikan dengan saksama, tidak dilewatkan walau seorang pun sehinggalah matanya tertancap pada belakang badan seseorang yang sedang melangkah anak tangga menuju ke balai berlepas di tingkat atas.

“Awin!” Dia meneriak nama isterinya itu lalu berlari ke arah tangga.

Syazwin yang mendengar suara Eidlan, melajukan langkahnya menuju ke pemeriksaan imigresen. Pengunjung dari semenanjung perlu mengemukakan dokumen perjalanan terhad ataupun passport untuk keluar masuk ke negeri Sarawak dan Sabah.

“Awin, tunggu!” Eidlan melangkah empat anak tangga sekali gus berharap sempat untuk menghalang Syazwin daripada pergi. Namun dia terlewat.

“Awin!” Eidlan cuba masuk, namun dihalang oleh pegawai imigresen.

“Awin!”

Perlahan Syazwin menoleh. Tatapan mereka bertemu dan Eidlan dapat melihat kekecewaan yang luar biasa melalui tatapan itu.

“Awin…”

Syazwin tidak berkata apa-apa. Dipusing tubuhnya lalu meneruskan langkah tanpa mempedulikan jeritan Eidlan yang
memanggil-manggil namanya.

Dia sudah mendapat jawapan untuk setiap perubahan Eidlan sejak beberapa bulan ini. Selama ini dia meyakinkan dirinya yang Eidlan tidak pernah dan tidak akan berubah. Tetapi dia silap. Dia lupa. Dia manusia. Eidlan juga manusia. Dia lupa ada Allah yang membolak-balikkan hati manusia.

Mengingat betapa terhegeh-hegehnya dia beberapa bulan ini, dia jadi malu sendiri. Eidlan sedang enak bermadu cinta bersama perempuan lain, dia pula menghitung hari untuk bertemu dan membuat kejutan untuk lelaki itu.

“Syazwin… Syazwin… Jangan rosakkan mood aku boleh tak?”

Terngiang-ngiang kata-kata itu di telinganya dan dia tidak tahu sampai bila ia akan terus bergema dalam benaknya. Jadi, kedatangannya ke sini hanya merosakkan mood Eidlan yang mahu bercuti bersama teman wanitanya. Kata Firdaus, hanya berdua yang membuat soalan lain pula berputar di benaknya. Mereka menempah satu bilik atau dua bilik? Ingin sekali dia bertanya, namun tidak punya keberanian. Takut tidak mendapat jawapan yang dia ingin dengar.

Dia sayangkan Eidlan. Dia cintakan Eidlan. Tetapi hatinya sudah terlanjur sakit. Dia tidak boleh menunggu di sini lagi. Melihat cara Eidlan memperlakukan perempuan itu, dadanya bagi ditusuk dan dirobek tanpa belas. Sakit hanya Tuhan yang tahu.

Berbekalkan nekad dan sedikit keberanian, dia menempah tiket pulang ke Kuala Lumpur. Ada abangnya di sana yang akan menjemput.

Tidak lama dia menunggu sebelum dipanggil untuk memasuki pesawat. Dia menoleh apabila dinding kaca yang memisahkan balai berlepas dengan ruang legar menempatkan kaunter pemeriksaan imigresen itu diketuk kuat.

Eidlan!

“Tunggu abang! Abang minta maaf!” Itu yang dapat dia baca dari gerak mulut Eidlan.

Setitis air matanya jatuh sebelum dia memutar tubuhnya, mengabaikan Eidlan yang masih ingin berkata sesuatu.

Cukuplah. Apa yang dilihatnya hari ini sudah jelas dan dia tidak memerlukan penjelasan. Apa sahaja yang keluar dari mulut Eidlan sudah tidak bererti apa-apa.

Share this novel

awer
2022-09-28 21:12:02 

good job win...laki yg rela disondol oleh babi kita pggil babi jntan...


NovelPlus Premium

The best ads free experience