KEPUTUSAN paling berat akhirnya diambil. Apa pun yang bakal berlaku, apa pun yang akan dia hadapi, dia tidak akan mengubah keputusannya dan dia tidak akan menyesal. Perceraian bukan tragedi. Tragedi sebenar adalah jika bertahan dalam sebuah perkahwinan toksik, mengorbankan hati dan perasaan sendiri, sedang suami berbuat seenaknya di luar sana.
Tidak! Dirinya terlalu berharga untuk disia-siakan seperti itu.
Lalu di sinilah mereka. Di depan sebuah bangunan yang Syazwin tidak pernah terfikir untuk menjejaknya. Sebuah bangunan yang menjadi simbolik kepada terlerainya sebuah ikatan suci.
“Awin…” Eidlan pandang wajah datar Syazwin. “…Awin dah betul-betul nekad ke?”
Syazwin tunduk, menghela nafas yang terasa mengandungi seguni batu. Ya, dia nekad walaupun dia tahu tidak mudah.
Namun, untuk bertahan dia tidak mampu. Ditipu, dikhianati, dicurangi, bukan perkara remeh yang boleh dimaafkan dalam satu dua hari. Apatah lagi, Eidlan mengabaikannya sejak berhubungan dengan perempuan itu.
“Awin takkan senekad ni kalau abang tak curang belakang Awin.”
Eidlan terdiam. Bahang matahari di pekarangan mahkamah itu tidak langsung membuatnya berganjak. Begitu juga Syazwin.
“Sekali abang jatuh cinta pada perempuan lain, maksudnya abang dah tak letakkan Awin sebagai keutamaan abang. Kalau abang ingat Awin, sayang Awin, abang takkan bagi cinta abang pada orang lain.”
“Abang minta maaf. Abang betul-betul minta maaf. Kita baiki semula hubungan kita ya? Abang akan lupakan dia. Abang janji.” Eidlan tidak tahu dia mampu melupakan Nadia atau tidak, namun saat ini dia hanya mahu Syazwin mengubah pendiriannya yang mahu bercerai. Egoiskah dia jika mahu mengekalkan Syazwin di sisinya, tetapi pada masa yang sama dia tidak mahu melepaskan Nadia?
“Awin dah tak boleh percayakan abang. Maaf.” Syazwin melangkah satu anak tangga menuju ke bilik mahkamah.
“Awin…” Eidlan cuba meraih tangan Syazwin, namun ditepis oleh isterinya itu. Ya, yang beberapa minit lagi akan menjadi bekas isteri.
“Tak ada perempuan yang boleh terima pengkhianatan, abang. Termasuk Awin. Abang nak bersama dengan perempuan tu kan? So, go ahead. Tak ada sesiapa akan halang abang lagi. Tak payah abang susah-susah fikirkan alasan untuk tipu Awin.” Syazwin meneruskan langkahnya, namun kata-kata Eidlan membuatnya terhenti.
“Abang takkan ceraikan Awin.”
Syazwin menoleh.
“Jangan sulitkan Awin, bang. Sampai bila Awin kena mengalah dengan abang? Sebelum ni Awin selalu mesej abang, call abang dulu walaupun abang dah jarang balas, jarang jawab. Sampai tahap Awin kena call Firdaus. Awin tak pernah curiga pada abang. Bila abang kata abang sibuk, Awin percaya. Awin tak pernah persoalkan abang. Tapi abang gunakan kepercayaan Awin yang tak berbelah bagi tu untuk bodohkan Awin. Awin malu dengan diri Awin sendiri… Ya Allah terhegeh-hegehnya aku… Orang dah tak sudi, dah tak layan, tapi masih sibuk nak mesej, nak call… Awin malu dengan Firdaus.” Suara Syazwin serak menahan tangis. Sedih mengingat kebodohannya dulu.
Eidlan kehabisan kata untuk membalas. Benar. Dia menyalah gunakan kepercayaan dan kepolosan Syazwin untuk menjalin hubungan dengan Nadia. Fikirnya hubungan itu akan berjalan lancar dan tidak akan sampai ke pengetahuan Syazwin.
Nyata dia silap perhitungan. Dia lupa, Syazwin tidak tahu, tapi Allah maha melihat.
“Kalau abang betul-betul sayangkan Awin, abang akan putuskan hubungan dengan dia. Tapi abang tak nak lepaskan dia. Abang ingat Awin ni apa? Awin manusia tau bang. Awin ada perasaan.”
Hening. Eidlan membalas tatapan berkaca Syazwin. Mungkin untuk kali terakhir.
“Tolonglah, bang. Lepaskan Awin. Kalau Awin kekal di sisi abang, abang takkan bahagia, apatah lagi Awin. Dengan apa yang abang dah buat, kita tak mungkin boleh kembali macam dulu. Awin tak mungkin boleh sayang dan cintakan abang macam dulu. Semua perasaan Awin pada abang dah luntur.”
Ya, luntur. Bukan hilang kerana jujurnya rasa cinta itu masih ada. Cuma rasa sakit akibat pengkhianatan itu yang membuat dia nekad untuk mengakhiri ikatan ini.
“Syazwin!”
Azhan, abang Syazwin muncul dengan wajah tegang. Tadi, dia menurunkan Syazwin di depan pagar mahkamah dan dia pergi mendapatkan petak parkir kerana tidak mahu Syazwin berjalan jauh dalam keadaannya yang hamil.
Namun, darahnya terasa menyerbu naik ke ubun-ubun melihat adiknya itu masih berbicara dengan Eidlan.
“Cakap apa lagi tu? Lagi cepat masuk, lagi cepat selesai!” ujarnya lalu menarik tangan Syazwin menuju ke bilik bicara tanpa menyapa Eidlan.
Dengan langkah berat seperti menyeret ribuan bongkahan batu, Eidlan membawa sepasang kakinya ke bilik bicara bersama jantung yang bagaikan sudah tidak berada di tempatnya.
LAFAZ itu, akhirnya terzahir juga. Lafaz yang Eidlan tidak pernah terfikir akan terluah dari bibirnya. Juga, lafaz yang tidak pernah Syazwin sangka akan disebut atas namanya.
“Saya… Eidlan Syafiq bin Malik dengan ini menceraikan isteri saya Nursyazwin binti Abdul Kahar dengan talak satu.” Seiring meluncurnya lafaz itu dari bibirnya, air mata Eidlan turut mengucur deras. Syazwin bukan lagi isterinya. Empat tahun percintaan dan dua tahun pernikahan, akhirnya kini dia dan Syazwin menjadi orang asing.
Syazwin pula menunduk. Tidak ada rasa kesal. Yang ada cuma sedih. Anak di dalam kandungannya sudah menjadi mangsa perceraian jauh sebelum dia lahir. Ya, dia belum memberitahu kehamilannya kepada Eidlan kerana takut Eidlan enggan melafazkan talak. Tunggulah. Selesai edah nanti dia akan memberitahu Eidlan.
“Awin doakan abang bahagia dengan dia,” ujarnya lalu melangkah keluar dari kamar mahkamah tanpa menoleh lagi.
Jika dulu, dia menganggap Eidlan adalah masa depannya. Namun sekarang, lelaki itu sudah menjadi masa lalu. Masa lalu yang sepantasnya ditinggalkan di belakang tanpa perlu menyeretnya bersama ke masa depan. Dia akan melupakan Eidlan dan semua kenangan yang wujud antara mereka. Meski sulit, dia akan mencuba.
Biarlah. Kadang perpisahan bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada sesuatu yang lebih baik. Dia tidak membenci Eidlan, apa lagi berdendam. Dia cuba berlapang dada dan menganggap jodoh mereka hanya setakat ini saja.
Kata Albert Einstein, Belajar dari masa lalu, hidup untuk hari ini, dan berharap untuk hari esok.
“Awin!” Eidlan bangun dari tempat duduknya lalu berlari mengejar Syazwin. Dia cuba meraih tangan Syazwin, namun ada tangan lain tiba-tiba mencengkam pergelangan tangannya.
“Apa lagi yang kau nak daripada adik aku?” Suara bariton itu milik Azhan. Lelaki itu mencengkam pergelangan tangannya sambil menatapnya tajam.
“Saya nak bercakap sekejap dengan Syazwin.”
“Pasal apa? Kau dah sia-siakan hidup dia, kau masih ada muka nak bercakap dengan dia?”
“Saya takkan ganggu Syazwin lagi lepas ni. Izinkan saya bercakap dengan dia. Sekejap je.” Eidlan separuh merayu.
“Aku tak…” Azhan tidak ingin mengizinkan, namun suara Syazwin membantutkannya.
“Abang…” Syazwin memandang abangnya dengan tatapan memohon. Meminta supaya Azhan memberi peluang kepada Eidlan untuk memperkatakan apa yang dia mahu katakan.
“Abang tunggu kat kereta. Jangan lama-lama,” kata Azhan akhirnya. Sempat dia hadiahkan tatapan tajam pada Eidlan sebelum berlalu.
“Cakaplah…” ujar Syazwin setelah tinggal dia dan Eidlan saja di situ.
“Abang minta maaf.”
Syazwin senyum. “Eidlan...”
Eidlan terkesiap apabila Syazwin tidak lagi memanggilnya abang. Baru beberapa minit mereka bercerai dan Syazwin sudah mengubah panggilannya?
“…minta maaf kalau kita buat salah. Awak tak salah apa-apa dengan saya. Saya yang sepatutnya minta maaf sebab tak mampu jadi isteri yang baik sampai suami saya cari perempuan lain.”
“Awin… Tolong jangan cakap macam tu…”
Senyum masih tidak luput dari bibir Syazwin, namun terkesan tawar dan hambar.
“Saya berundur supaya awak boleh bersama dengan perempuan yang benar-benar layak dengan awak. Tak ada sesiapa yang akan merosakkan mood percutian awak lagi lepas ni.” Syazwin memutar tubuhnya menuruni tangga menuju ke kereta abangnya.
“Win! Awin!” Eidlan cepat-cepat mengejar Syazwin dan menahan langkahnya. Dia berdiri di depan Syazwin, menghalang bekas isterinya itu daripada meneruskan langkah. Tidak ada apa lagi yang mahu dia perkatakan, hanya saja hatinya berat mahu melepaskan Syazwin pergi.
“Awin tak pernah salah apa-apa dengan abang. Abang yang salah. Tolong maafkan abang.”
“Kalau itu yang awak nak dengar…” Syazwin mengangguk-angguk. “Saya maafkan awak. Boleh saya pergi sekarang?”
Hening. Eidlan menatap wajah Syazwin. Dia mahu merakam wajah itu dengan kemas dalam kepalanya kerana selepas ini tidak mungkin dia akan berpeluang untuk bertemu Syazwin lagi. Puas menatap, lambat-lambat dia menyisih, memberi laluan kepada Syazwin.
“Saya ikhlas doakan awak bahagia,” kata Syazwin.
Eidlan memerhatikan belakang badan bekas isterinya itu dengan tatapan sayu. Berharap Syazwin akan menoleh dan tersenyum kepadanya. Namun, tidak. Syazwin tidak menoleh. Wanita itu terus melangkah, semakin jauh, dan akhirnya hilang daripada pandangan.
Eidlan masuk ke tempat duduk penumpang kereta Firdaus setelah kereta yang dipandu Azhan meninggalkan mahkamah. Hanya Firdaus yang menemaninya. Sahabatnya itu walaupun menyebalkan namun setia menjadi pendampingnya dalam saat dia terpuruk selepas menerima tuntutan cerai daripada Syazwin. Dia tidak menyangka Syazwin akan bertindak sejauh itu. Fikirnya masih ada ruang untuk dia memperbaiki keadaan, namun apa yang dia tidak tahu, hati Syazwin yang lembut akan menjadi sekeras batu kerana disakiti.
Firdaus melirik sekilas sebelum menurunkan brek tangan dan memandu keretanya meninggalkan pekarangan mahkamah.
“Semuanya dah selesai. Tak guna kau menyesal sebab semuanya berpunca daripada kau.” Tanpa berusaha menjaga hati Eidlan, Firdaus mengeluarkan kata-kata pedasnya. Dia hanya mahu Eidlan memikirkan semula semua perlakuannya. Dia sudah mengingatkan, namun Eidlan sangat degil dan tidak mendengar nasihat. Nah, sekarang, untuk apa menyesal?
Eidlan diam. Menyandarkan kepala pada ‘head rest’ sambil membuang pandang ke luar tingkap. Seluruh dunia terasa tidak berwarna. Dia rasa kosong sekosongnya. Perginya Syazwin seperti meninggalkan satu lohong yang amat besar dalam hatinya. Enam tahun ruang itu terisi dan terpahat dengan nama Syazwin. Sekali ia dicabut keluar secara paksa, sakitnya terasa seperti jantungnya disentap putus dari tangkai.
“Pelajaran terbaik dalam hidup ialah kesalahan dan kegagalan kita. Jadikan pengajaran dan anggaplah jodoh kau dengan Syazwin sampai setakat ni je. Kalau ditakdirkan kau kahwin dengan Nadia, aku harap kau jangan ulang apa yang kau buat pada Syazwin. Perempuan kalau bukan isteri kita semua akan nampak baik dan sempurna. Sebab apa? Sebab perempuan lain ni dia tak tunjuk perangai asli dia depan kau. Isteri? Kau dah hidup dengan dia, dah kenal luar dalam dia sebab tu kau nampak semua kekurangan dia. Aku nasihat bukan sebab aku nak tambah rasa menyesal kau, tapi sebab aku kawan kau. Aku ikhlas dan aku bersimpati dengan kau.”
Eidlan masih diam. Otaknya sibuk memutar semua kenangan bersama Syazwin. Saat kali pertama mereka keluar berjanji temu di kampus, di mana Syazwin masih malu-malu ketika itu. Pipinya akan merona merah setiap kali Eidlan menatapnya.
Juga ketika hari pernikahan mereka, Syazwin masih kekok untuk bersentuhan dengannya kerana sepanjang mereka menjalinkan hubungan, tidak pernah sekali pun mereka berpegang tangan. Syazwin sangat menjaga hal itu. Auratnya juga tertutup rapi. Tudung yang melepasi dada dan pakaian yang tidak terlalu sendat. Syazwin dibesarkan dan dididik dengan baik oleh ibu bapanya.
Sedangkan Nadia? Hanya bertudung ketika ke sekolah. Di luar, dia membiarkan rambutnya lepas bebas. Malah, Nadia juga tidak menolak apabila dipegang dan disentuh. Ketika diajak menempah satu bilik sahaja semasa trip mereka ke KK, Nadia tidak menolak. Mujurlah trip itu tidak jadi kerana kedatangan mengejut Syazwin. Bererti Allah masih menyelamatkannya daripada dosa zina. Juga… daripada terus menyakiti Syazwin.
Syazwin… Menyebut sebaris nama itu walaupun hanya dalam hati, membuat air matanya jatuh tanpa silu.
Share this novel
pdn muka ko jntan...p la idup ngan babi yg dh sondol ko tu..babi kan cntik kat mata ko..ha...babi babi babi