Series
496
Deruan angin laut yang membawa aroma garam menyapa wajah Mawar sebaik sahaja bot laju bertenggek di jeti sebuah vila atas air di Pulau Semporna. Air laut yang sejernih kristal membias warna hijau zamrud dan biru baiduri, memaparkan keindahan alam yang tiada tandingan.
"Cantiknya tempat ni, bang..." bisik Mawar, terpana merenung lautan luas yang terbentang.
Zakuan melangkah keluar dari bot lalu menghulurkan tangannya dengan senyuman manis.
"Suka tak? Abang sengaja bawa Mawar jauh dari semua orang. Kat sini, tak ada siapa boleh kacau kita... hanya ada abang dengan Mawar."
"Betul kata abang... damai sangat," tutur Mawar lembut sambil menyambut huluran tangan suaminya.
Sebaik sahaja jemari mereka bertaut, rasa hangat terus menyusup masuk ke dalam dada, menenggelamkan sebarang gelisah yang cuba bertunas. Zakuan memimpin Mawar menyusuri pelantar kayu menuju ke sebuah vila mewah bertiang tinggi di tengah laut.
Sebaik pintu dibuka, Mawar masuk ke bilik utama yang dikelilingi dinding cermin lut sinar. Namun, matanya terikat pada satu sudut anjung luar. Di atas meja kayu, tersusun sebuah bekas membakar colok kecil berwarna hitam. Asap nipisnya berkepul-kepul, menyebarkan bau kayu lembut bercampur manis pekat yang tebal.
"Abang... kenapa ada colok hitam tu kat luar?" tanya Mawar, dadanya tiba-tiba berdebar tanpa punca.
Zakuan tersenyum tenang. Dia berjalan mendekati Mawar dari belakang lalu merangkul pinggang wanita itu dengan mesra.
"Kan abang cakap, abang nak Mawar betul-betul tenang kat sini? Bau colok ni khas untuk hilangkan stres Mawar," bisik Zakuan rapat di telinga Mawar. Tangannya mula mengusap lembut leher.
Aroma pekat itu perlahan-lahan memenuhi segenap deria Mawar. Serta-merta, fikiran Mawar yang tadinya mula curiga terus lebur begitu sahaja.
"Oh... untuk Mawar..." gumam Mawar dengan pandangan mata yang mula meredup.
"Ya, sayang. Cuma ada abang yang ambil berat pasal Mawar. Mawar cuma perlu dengar cakap abang, ya?" bisik Zakuan lagi, mengucup dahi Mawar dengan penuh kehangatan yang membuai.
Mawar mengangguk perlahan dalam dakapan Zakuan, menyerahkan seluruh jiwa dan raganya tanpa sedar bahawa dia sedang dikunci dalam sebuah sangkar yang indah.
.
.
.
Suasana siang yang indah bertukar menjadi gelap gulita.
Mawar terbangun dari tidur akibat rasa gelisah yang teramat sangat. Di sebelahnya, Zakuan terbaring nyenyak. Tidak mahu mengejutkan suaminya, Mawar perlahan-lahan menyarungkan selimutnya lalu menolak pintu kaca gelangsar, melangkah keluar ke beranda yang menghadap lautan hitam legam.Udara malam begitu dingin.
Mawar berdiri di tepi pagar kayu, merenung gelombang air laut. Tiba-tiba, suasana di sekeliling menjadi sunyi sepi. Bunyi ombak pun terhenti. Kreoott...
Mawar menoleh ke sisi kiri. Di hujung beranda yang gelap, berdiri seorang wanita berambut menutupi sebahagian wajahnya. Kain putih yang membaluti tubuhnya melayang-layang ditiup angin malam.
"Siapa kat situ?"
Lembaga wanita itu perlahan-lahan mengangkat mukanya. Sepasang mata yang sayu dan kemerahan menatap tepat ke dalam anak mata Mawar. Tanpa sebarang suara, lembaga itu mengangkat jarinya, menuding tepat ke arah bilik tidur di mana Zakuan berada.Bibir lembaga putih itu bergerak-gerak perlahan membisikkan sesuatu yang menembusi minda Mawar...
“Dia... bukan... suami kau...”
"Argh!" Mawar menjerit ketakutan lalu terjelepok jatuh ke lantai kayu beranda, menutup matanya rapat-rapat sambil menggigil hebat.
Di dalam bilik, Zakuan tersentak bangun apabila meraba ruang katil di sebelahnya kosong. Matanya meliar memandang ke luar beranda melalui pintu kaca yang terbuka sedikit.
"Mawar?" panggil Zakuan dengan nada suara yang keras dan berbaur cemas.Tiada jawapan. Zakuan melangkah pantas keluar ke beranda.
Dia melihat Mawar sedang terduduk ketakutan di lantai sambil menangis teresak-esak. Suasana di hujung pelantar bagaimanapun kosong tanpa sesiapa.
"Mawar! Kenapa ni, sayang?!" soal Zakuan setelah bergegas mendapatkan Mawar. Langsung mendakap erat ke dadanya.
"Bang... ada... ada perempuan baju putih kat situ...mukanya buruk..." adu Mawar terketar-ketar, menunjuk ke sudut gelap beranda dengan jari yang menggigil.
"Dia kata... dia kata...ab...ab..."
Zakuan merenung tajam ke sudut gelap pelantar, sebelum berpaling menatap wajah isterinya yang pucat lesi.
"Tak ada sesiapa kat luar ni, Mawar. Kenapa Mawar keluar malam-malam sorang diri," kata Zakuan namun nadanya cuba ditahan agar kekal lembut.
"Betul, bang! Mawar nampak dia! Mawar. Mawar cuma nak ambik angin. Mawar nampak,bang. Mawar tak bohong...percayalah Mawar..." Mawar merayu sambil mencengkam baju Zakuan.
"Shh... pandang abang," arah Zakuan memusingkan wajah Mawar supaya menatap tepat ke matanya. Jari-jemarinya bermula mengurut bahagian belakang kepala Mawar dengan ritma yang teratur.
Aroma manis pekat dari asap colok hitam tiba-tiba bertiup kencang mengepung mereka berdua. Bau pekat itu meresap masuk ke dalam paru-paru dan fikiran Mawar.
"Tak ada perempuan lain. Tak ada sesiapa kat sini selain abang. Abang suami Mawar yang sah... abang yang bawa Mawar ke sini. Lupakan apa yang Mawar nampak tadi. Benda tu tak pernah wujud," bisik Zakuan rapat di telinga Mawar, berulang-ulang kali.
Perlahan-lahan, ketakutan di mata Mawar mula memudar. Pandangannya kembali redup. Ketidakselesaan dan memorinya sekali lagi lebur di bawah kawalan Zakuan.
"Abang... suami Mawar..." gumam Mawar lemah, menyandarkan kepalanya ke dada Zakuan.
Zakuan mengukir senyuman dingin di balik kegelapan malam Semporna. Dia memeluk Mawar erat sambil matanya menatap tajam ke arah lautan luas.
Zakuan mengangkat tubuh Mawar yang terkulai lemah. Langkahnya di atas pelantar kayu chalet terasa semakin berat. Sebaik masuk ke bilik utama, dia membaringkan Mawar di atas katil lalu menyelimutkan isterinya hingga ke paras dada.
"Tidur, Mawar. Tak ada apa-apa... abang ada," bisik Zakuan.
Sebaik Mawar terpejam rapat, senyuman lembut Zakuan hilang serta-merta. Muka lelaki itu bertukar pucat. Dia berpaling, melangkah keluar ke beranda dan menutup pintu kaca rapat-rapat.
Di atas meja, colok hitam masih berkepul-kepul. Zakuan mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mendail satu nombor dari Kalimantan.Panggilan disambung. Suara seorang lelaki tua yang tenang dan bersahaja kedengaran di corong telinga, diiringi sedikit bunyi angin di hujung sana.
"Halo... ada apa malam-malam begini, Zakuan?"
"Ki... Mawar kena ganggu tadi," adu Zakuan cemas, suaranya perlahan seperti berbisik.
"Dia nampak benda. Kenapa jadi macam ni, Ki?"
"Pesona tu ada pantang larangnya. Bukan salah ilmunya," kata Ki dengan nada lembut berlogat Dayak.
"Cuba kau bagi tahu aku betul-betul... ada pantang yang kamu dah terlanggar tadi atau sebelum ni?"
Dada Zakuan berdebar kencang.
"Pan... pantang apa, Ki?"
"Dengar dulu bah," Ki bersuara tenang.
"Selagi belum genap tujuh hari, jangan bawa dia keluar lepas maghrib. Jangan biarkan bayang atau rambut dia terpantul kat air waktu malam."
Zakuan terdiam kaku. Otaknya terus teringat kejadian petang tadi sewaktu mereka baru sampai di jeti. Dia memimpin tangan Mawar rapat ke gigi air dan ombak kecil telah membasahi jemarinya.
"Aku... aku tak sengaja, Ki..." balas Zakuan terketar-ketar. Peluh dingin mula bintik-bintik di dahinya.
"Petang tadi... tangan aku kena air laut..."
Ki terdiam sejenak di hujung talian sebelum mengeluh panjang.
"Aduhai... sebab itu rupanya seru tu jadi tawar, anak buah," kata Ki tanpa nada amarah, cuma rasa bersimpati dengan kecuaian itu.
"Kalau pantang air tu dilanggar, ikatan pirunduk tu akan terbuka separuh. Akal mangsa mula melawan balik, lagi-lagi kalau bau darah atau tipu helah kau terpancing dengan penunggu laut kat situ."
"Habis tu... macam mana dengan Mawar, Ki? Apa saya kena buat?" suara Zakuan menggeletar ketakutan.
"Sabar dulu, jangan panik," pesan Ki tenang.
"Masuk dalam, tambah lagi colok hitam tu dan bawak bertenang. Kalau Tenangkan dia elok-elok... jangan biarkan dia keluar malam ni."
Zakuan cuba mengawal jantungnya yang masih berdegup kencang selepas mendengar pesanan Ki. Dia menekan butang merah di skrin telefon, menamatkan panggilan itu.
Dia perlahan-lahan menolak pintu kaca gelangsar dan melangkah masuk semula ke dalam bilik utama. Udara di dalam bilik itu masih dipenuhi aroma colok hitam yang membakar di atas meja anjung tadi.
Mawar masih terbaring lena di atas katil king. Wajah isterinya kelihatan tenang, nafasnya teratur seolah-olah igauan ngeri di beranda sebentar tadi langsung tidak pernah berlaku. Namun, bagi Zakuan, ketenangan itu terasa seperti kaca yang menunggu masa untuk berkecai.
Mengingat kembali amaran Ki bahawa seru pirunduk itu sudah menjadi tawar akibat pantang air yang dilanggarnya, Zakuan tahu dia tidak boleh tinggal berpeluk tubuh. Ikatan yang mengunci akal Mawar sedang retak. Jika dia gagal memperbaharuinya malam ini juga, isterinya akan sedar sepenuhnya dan melarikan diri.
Zakuan segera bergerak ke beg pakaiannya di sudut bilik. Dia mengeluarkan sebuah bekas kecil berisi serbuk akar kayu hutan dan sebotol minyak pengasih beraroma tajam yang dibekalkan oleh Ki sebelum mereka bertolak ke Semporna.
Mengikut aturan ritual kecil yang dipesankan oleh Ki untuk menyelamatkan keadaan darurat begini, Zakuan tidak memerlukan kemenyan yang banyak.
Zakuan melangkah perlahan ke arah katil. Dia duduk di birai katil, merenung wajah Mawar yang masih dibuai lena.
Mengikut petua Ki, dia mula merapatkan ibu jarinya ke bekas minyak sambil membisikkan seru pirunduk dalam bahasa dayak secara perlahan-lahan di dalam hati, Zakuan menyapu sedikit minyak itu pada tapak tangannya.
Dia kemudian menongkat kedua-dua belah tangannya di sisi kepala Mawar lalu perlahan-lahan melayangkan tapak tangannya tepat di atas wajah isterinya tanpa menyentuh kulit, membiarkan wap dan aroma minyak itu mengepung pernafasan wanita tersebut.
"Pulanglah kesedaranmu pada akal yang tunduk... " bisik Zakuan berulang kali, mengikut serapah pirunduk yang diajar Ki.
Serentak dengan bisikan itu, asap nipis colok hitam di sudut bilik seolah-olah ditarik angin halimunan, berputar melingkari ruang katil dan meresap masuk ke dalam tubuh Mawar.
Mawar merengus perlahan dalam tidurnya. Dahinya berkerut seribu, seolah-olah mindanya sedang berperang hebat antara kesedaran yang cuba bangkit dan cengkaman ilmu hitam yang memaksa ia kembali padam.
Zakuan tidak beralih. Dia terus mengetatkan genggaman tangannya sambil melafazkan seru itu berulang-ulang, menghantar gelombang tenaga pirunduk itu masuk jauh ke dalam darah Mawar.Beberapa saat kemudian, kerutan di dahi Mawar perlahan-lahan kendur. Nafas isterinya kembali tenang dan sekata seperti sediakala.
Zakuan menghembuskan nafas lega yang panjang. Peluh dingin yang merintik di dahinya disapu dengan lengan baju.
Dia lekas-lekas mengemas bekas minyak pengasih itu dan menyembunyikannya semula.
"Lepas ni, aku kena alert dan lebih berhati-hati. Aku cintakan Mawar..."
Dia bertekad tidak akan membiarkan sebarang kecuaian kecil merosakkan rancangannya lagi.
"Johan tak boleh wujud dalam minda Mawar. Dia isteri aku!"
Share this novel