2 Tempat Baharu

Romance Completed 440693

BERDETIK-DETIK lamanya Hazura ternganga sambil otaknya rakus meratah isi percakapan Hafiz yang diungkapkan oleh lelaki itu sebentar tadi. Hazura sendiri tidak tahu sama ada dia seharusnya gugup atau gembira. Yang pasti, dia sangat terkejut dengan ketekadan sepupunya, sedang lelaki itu pula, tetap sahaja tersengih bangga.

"Tak kisahlah kau setuju atau tak, yang pasti tapak kedai tu dah jadi hak kita dan kita akan berniaga kat sana." Hafiz menambah. Ayat yang sama, juga dengan maksud yang sama. Dia tahu Hazura terkejut, tetapi dia peduli apa? Semua itu demi...cinta!

"Seriuslah, Fiz! Kau pilih tempat dekat dengan tempat kerja...Abang Hayrill aku tu?" soal Hazura, dengan ayat pertanyaan yang sama, juga dengan maksud yang sama.

Hafiz mengangguk. Penat sudah mulutnya mahu mengungkap jawapan yang berulang-ulang.

Melihat anggukan Hafiz, lama-kelamaan tingkah Hazura langsung berubah menjadi gedik. Nah, semua itu memang sudah dijangkakan oleh Hafiz. Sebenarnya, wanita itu berpura-pura terkejut sahaja, sedang di dalam hati bukan main lagi melonjak gembira.

"Hishh, kau ni!" senyuman gedik yang disimpan akhirnya tertayang keluar. "Macam...tau-tau je!" tambah Hazura lagi dalam cara yang penuh kesipuan, kesucian dan kepolosan. Ah, semua itu pura-pura. Hafiz tahu!

"Sukalah tu! Tapi...aku pun suka. Dekat sikit nak intai Nasha nanti. Manalah tahu, kalau nasib kita baik, mereka akan datang makan ke restoran kita tu nanti." Hafiz mula berangan dalam angau. Tidak sabar lagi rasanya mahu menatap wajah Nasha secara berdepan. Dia yakin, wanita itu masih sendiri; belum berpunya.

"Mesti...seronok kan, Fiz? Kau tahu tak, macam mana bayangan aku tentang penampilan duda aku tu sekarang?" kini, giliran Hazura pula yang angau. Bibirnya diketap geram, dengan sepasang mata yang sempat dikatup lantaran mahu menghayati bayangan yang sedang menghiasi benaknya ketika itu.

"Tahu, aku tahu sangat." jawab Hafiz dengan yakin dan tegas.

Hazura laju mencelikkan matanya semula. "Macam mana?" soalnya tidak sabar. Pasti Hafiz akan membuat huraian yang indah tentang dudanya itu nanti.

"Aku dapat bayangkan yang bekas laki kau tu...berambut putih penuh kepala, jalan terbongkok-bongkok pakai tongkat, muka berkedut-kedut macam..."

Riak Hazura spontan berubah berang lalu ringan sahaja tangannya diangkat sebelum dihinggapkan dengan kuat pada lengan sepupunya.

Pappp!

"Eee mulut kau ni kan? Nak makan pelempang?!"

"Hahaha!" Hafiz tidak peduli, sebaliknya semakin seronok pula dia melilahkan gelak tawa.

"Kau pula nak tahu tak, macam mana bayangan aku tentang Kak Nasha sekarang ni?" Giliran Hazura pula menyoal. Licik dan bermaksud nadanya tanpa Hafiz sedar.

"Macam mana?" Hafiz memulangkan pertanyaan dengan riak yang polos. Jika hal yang berkaitan dengan Nasha, memang dia akan boleh menjadi bodoh. Mungkin kerana terlampau angau dengan wanita itu.

Melebar panjang senyuman Hazura tatkala mendengar pertanyaan sepupunya itu, gembira lantaran misi pembalasan dendamnya akan berlangsung dengan lancar. "Walaupun aku tak pernah tengok muka Kak Nasha secara berdepan, tapi aku dapat rasa yang...dia sekarang ni tengah..."

"Tengah apa?" cantas Hafiz tidak sabar.

"Tengah...duduk di atas pelaminan menjadi ratu sehari!"

"Cisss! Aku hempuk karang!" Hafiz sudah mengangkat tangan untuk menangkap kepala Hazura namun wanita itu pula lebih cepat mengelak.

Kini, giliran Hazura pula yang mengekeh tidak ingat dunia. Puas hatinya melihat wajah bengang Hafiz. Ingatkan tak pandai marah! Bab mengusik orang, bukan main lagi!

Memang seperti itulah rutin mereka, masing-masing suka mencari pasal. Yang kalah itulah yang akan marah di penghujung ceritanya.

**********

"Makan lagi, pa. Sikit sangat papa makan." Tuan Hayrill Iskandar memujuk lagi. Namun tetap sahaja Syed Ibrahim menggeleng. Hanya angguk dan geleng sahaja caranya merespon kerana mahu membuka mulut, orang tua itu sudah tidak mampu lagi. Kali terakhir dia bersuara ketika menanyakan keberadaan Puan Sharifah Hamnah namun sehingga ke hari ini, wanita itu enggan menunjukkan diri.

"Kalau tak makan, macam mana nak baik, pa? Sikit lagi, ya?" tidak lelah untuk seorang anak itu terus memujuk.

Mungkin kerana terharu dengan kesabaran Tuan Hayrill Iskandar, Syed Ibrahim akhirnya membuka juga mulutnya dengan gerakan bibir yang terketar-ketar.

Terlalu banyak kisah yang ingin dia ceritakan kepada anak kandungnya itu, termasuklah kekejamannya, namun jangankan mahu bercakap, mahu mengunyah makan sahaja dia merasa sudah tidak berdaya lagi. Penyakit yang aneh, mungkin inilah peringatan daripada Allah untuknya.

Setiap hari, jika bukan Tuan Hayrill Iskandar, maka, Tuan Rafiquelah yang akan datang menjaga. Fatin? Wanita itu hanya datang sekali sahaja, itupun hanya memerhati dari jauh. Walau peristiwa duka itu sudah berlalu tiga tahun lalu, namun Fatin masih terlalu sukar untuk menerima kenyataan tentang kekejaman ayahnya sendiri apalagi setiap kali mengingati saat di mana dirinya digelar sebagai seorang anak pungut. Bukan tidak mengenang budi, bukan juga tidak sedar diri, tetapi hatinya masih terluka sahaja.

Kali keempat suaan bubur mendekati mulutnya, Syed Ibrahim kini berkeras untuk menolak. Gelengannya kuat, malah, kerutan pada wajahnya juga jelas menterjemahkan kemahuan hatinya yang sebenar.

Hanya senyuman nipis yang Tuan Hayrill Iskandar mampu ukirkan, dia akur dan faham. Mungkin selera makan ayahnya memang tiada. Lama wajah tua itu direnung, air mata yang tiba-tiba sahaja mengalir pada wajah yang sudah terlalu banyak kedutannya itu, pantas diseka. Tuan Hayrill Iskandar yakin, ayahnya mahu memberitahu sesuatu namun mulutnya tidak mampu. Lalu, hanya air mata yang akan menyudahi segalanya. Kerana terlalu kasihan dan sebak, tubuh lemah ayahnya lantas dipeluk. Dia tahu, sekejam-kejam Syed Ibrahim, lelaki tua itu amat menyayanginya bersama Fatin.

"Ma...m...ma." Tuan Hayrill Iskandar tidak terkejut ketika hembusan suara itu terbisik pada telinganya. Dia tahu, Syed Ibrahim mencari Puan Sharifah Hamnah. Bisikan sama, juga dengan rasa tanpa lelah
lelaki tua itu akan mencuba untuk menyebut perkataan yang sama setiap saat, setiap jam, setiap hari.

"Nanti saya...pujuk mama. Papa bersabar ya?" juga harapan kosong sama yang akan diberikan oleh Tuan Hayrill Iskandar kepada ayahnya walau dia tahu, apa jawapan yang akan diberikan oleh Puan Sharifah Hamnah nanti. Mungkin hati ibu tirinya itu sudah terlalu tawar untuk menerima
Syed Ibrahim sebagai peneman hidupnya semula walau jika mengikut hukum, mereka masih lagi pasangan suami isteri yang sah.

Seperti itulah lumrah kehidupan; di saat diri sudah tidak berdaya, barulah kita akan tersedar dan mengaku, ada lagi kuasa yang jauh lebih agung daripada kuasa besar seorang manusia.

**********

Hanya dua hari sahaja menginap di kampung halaman, Hafiz telah mengambil keputusan untuk membawa Hazura bersama Naqil bertolak ke ibu kota. Banyak lagi urusan yang perlu diselesaikan; rumah baharu Hazura, sekolah baharu Naqil juga lokasi perniagaan baharu mereka. Pendek kata, semuanya harus bermula kembali dari bawah.

Mujur sempat mencari sebuah rumah untuk Hazura dan Naqil. Tidak mewah tidak juga murah, hanya sederhana sahaja kerana semua itu hanya untuk sementara. Namun Hazura tidak kisah. Asalkan selamat dan selesa buat dia dan anaknya, semua itu sudah lebih daripada cukup.

Penampilan diri Hazura pula, tidak lagi sepolos dahulu. Hazura yang kini lebih terlihat yakin diri, matang dan lebih anggun; sesuai sekali dengan jawatannya selaku seorang pengusaha restoran mewah. Semua itu boleh dijadikan satu markah untuk memenangi hati dudunya nanti.

"Haz," tersentak Hazura daripada lamunannya. Entah berapa lama sudah dia bermimpi dalam sedar, dia tidak pasti, barangkali kerana terlalu asyik melayan perasaan sendiri agaknya. Laju wajah Hafiz ditoleh. "Petang nanti, aku akan bawa kau dengan Naqil pergi tengok sekolah baru tu. Pagi ni, korang berdua rehat dulu. Aku pun, nak terus balik rumah aku sendiri nanti, nak tidur kejap." ujar Hafiz tanpa mengalihkan pandangan daripada arah hadapan. Berkali-kali sudah lelaki itu menguap, mungkin kerana terlalu lelah memandu berjam-jam tanpa henti.

"Kau nampak penat sangat Fiz. Kenapa tak pergi esok je?" usul Hazura dengan niat peduli. Dia tahu Hafiz mahu menyelesaikan semua urusan di sini dengan cepat, tetapi, kalau diri sudah tidak berdaya, janganlah dipaksa.

"Esok kan Sabtu Cik Janda oi! Sabtu Ahad, sekolah tu tak buka. Kita daftar hari ni, next Monday, Naqil boleh terus masuk. Faham?"

Terus sahaja Hazura menjeling sebal. Baru tadi dia bersimpati dan terharu dengan sikap ambil berat sepupunya, namun kini, rasa itu hilang terus; berubah total menjadi jengkel.

"Ringan je mulut kau panggil aku janda kan? Habis tu kau tu apa? Bujang terlajak?!" Hazura memulangkan perlian dengan riak yang geram.

"Bujang terlajak yang akan laku di pasaran! Tahu kan? Akan!" Hafiz berujar bangga sebelum berebutan mengalihkan tubuhnya lantaran bimbang akan diserang oleh Hazura. Sedap lelaki itu mengekeh, gigih juga Hazura mencuba untuk menyabarkan hatinya.

"Kau ni makin tua, makin je menyakitkan hati, Fiz!"

"Kau pun sama. Makin tua, makin je kuat menggedik! Gedik-gedik macam ni, kalau kau tak dapat nak pikat hati duda tua kau tu semula, tak tahulah aku! Kena mandi bunga tujuh jenis agaknya!"

"Kau tu yang kena mandi bunga, biar Kak Nasha nak terima kau semula!"

"Aku tak payah mandi seminggu pun, dia tetap nak kat aku ni!" ujar Hafiz sebelum melayangkan tawa menangnya dengan perasaan yang bangga.

"Tak mandi seminggu, orang gila je yang nak. Keturunan kambing!" cemuh Hazura.

"Amboi, bukan main lagi kau kambingkan aku! Tinggal tengah jalan ni karang, baru padan muka!"

**********

Hazura dengan Hafiz saling berpandangan buat seketika sebelum serentak mengangguk setuju. Setelah diberi penerangan panjang lebar oleh pengetua taska itu, mereka merasa sangat berpuas hati.

"Kalau puan bersetuju, puan dengan suami puan boleh..."

"Errr, maaf Ustazah. Ni abang saya, bukan...suami." Hazura segera mencelah sebelum tawanya dengan tawa Hafiz bergabung memecah.

"Oh, saya...minta maaf." Ustazah Jumiah spontan menayang wajah serba salah, juga menunduk berkali-kali. "Puan boleh bawa borang ni balik dan hantar kalau dah siap diisi ya?"

"Terima kasih, Ustazah." Hazura menyambut helaian kertas putih bercetak yang dihulurkan oleh Ustazah Jumiah sebentar tadi sebelum disimpan ke dalam beg tangannya.

"Jadi, bila puan nak Naqil Iskandar mula masuk?"

"Errr, Isnin? Kalau ada apa-apa hal, Ustazah boleh terus telefon atau text saya. Lagipun, restoran saya dengan sekolah ni tak jauh pun. Hujung tu je." jelas Hazura berleretan.

"Elok jugalah, lagi cepat dia masuk, lagi cepat dia biasa nanti." Ustazah Jumiah tersenyum senang.

"Dalam kelas Naqil tu nanti, ada berapa orang budak Ustazah? Berapa orang cikgu?" giliran Hafiz yang menyoal.

Dia sememangnya sangat mengambil berat jika ada hal berkaitan dengan Naqil yang hendak dibincangkan. Lalu tidak hairanlah jika Ustazah Jumiah mengira yang Hafiz ini merupakan suami kepada Hazura. Memang wajah anak kecil itu amat berbeza dengan wajah Hafiz. Tetapi, sungguhpun begitu, keakraban mereka dapat dilihat dengan sangat jelas. Buktinya, Naqil sedari tadi enggan melepaskan tubuh bapa saudaranya.

"Naqil nanti akan masuk kelas N 1, ada 12 orang pelajar dan dua orang cikgu. Encik dan Puan jangan bimbang, staf-staf saya semuanya terlatih dan masing-masing ada sijil K.A.P."

"K.A.P? Kap? Apa tu?" Hafiz tertawa sendiri.

"K.A.P adalah singkatan daripada Kursus Asuhan Permata." Ustazah Jumiah ikutan tertawa kecil. Walaupun Hafiz terlihat sangat garang, namun, kadangkala ada juga sisi lucunya.

Hafiz bersama Hazura serentak mengangguk walau sebenarnya mereka kurang mengerti dengan jelas maksud penuh K.A.P. Ah, biarlah. Asalkan sekolah itu selamat dan terbaik buat Naqil.

"Kalau macam tu, Isnin ni kami akan hantar Naqil ke sini."

"Ya, Puan. Terima kasih sebab mempercayai kami."

"Sama-sama. Kami minta diri dulu, Ustazah. Banyak lagi yang kena atur ni." Hazura berpamitan sambil mula bangkit dari duduknya, begitu juga Hafiz.

"Isnin ni, Naqil datang ye? Ada ramai kawan-kawan kat sini." Ustazah Jumiah mencuba untuk mengambil hati anak kecil itu.

Naqil yang sedari tadi terlihat malu-malu kucing hanya menunduk, bahkan tetap menyembunyikan wajahnya dalam pelukan bapa saudaranya.

"Belang dia belum nampak lagi tu, Ustazah. Nanti kalau dah biasa, confirm pening jadinya. Nakal sangat. Panjat sini, panjat sana lepas tu, melawan. Degil." Hazura sempat berbisik perlahan. Bukan berniat mahu mengumpat tentang anak sendiri, dia sekadar mahu meluah dan mengingatkan wanita itu sahaja.

"Selalunya yang nakal tu lah yang bijak, Puan. Alhamdulillah, Allah telah menitipkan seorang anak yang aktif, bijak dan comel seperti Naqil kepada puan. Semua tu, anugerah yang sangat besar buat seorang ibu."

Hazura sempat termalu sendiri. Positif dan tenangnya seorang Ustazah itu. Sungguh, dia cemburu!

Chapter 3 malam nanti ya. Muahhh!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience