.
.
.
Suasana pagi yang nyaman dinikmati. Tingkap yang terbuka agak luas membenarkan bayu sejuk menerjah masuk ke dalam bilik yang dihuni. Sesekali,matanya tertancap kearah kanak-kanak kecil yang sedang seronok bermain di kawasan taman berdekatan dengan kediamannya.
Senyuman kecil terbentuk di wajah kuning lansat gadis itu. Untung mereka, hanya perlu tahu bermain. Dunia belum cukup kejam untuk menghentam diri anak-anak kecil itu.
Hakikatnya, tiada siapa tahu andai badai yang mereka hadapi itu juga berat. Mereka cuma bermain supaya zaman kanak-kanak itu tidak terbuang dengan air mata.
"Hanan Alisha."
Suara garau yang tiba-tiba menjengah menyentakkan Hanan. Dia berpaling kebelakang untuk melihat gerangan tersebut.
Matanya menikam tajam lelaki tadi. Perasaan marahnya tiba-tiba mengunjung.
"Kau tak reti ketuk pintu dulu ke?" katanya sambil mata kembali merenung ke luar tingkap.
"Akak tu ralit sangat tenung kat luar tu. Gamaknya kalau aku cabut pintu bilik kau tadi pun kau tak perasan. Aku tengok bukannya ada anak teruna pun nak ditenungnya. Kau fikir apa lagi, kak?"
Ridzwan berkata dengan bersahaja sambil kakinya melangkah menuju ke katil milik kakanya, Hanan Alisha.
Usai melabuhkan duduk, pandangannya turut dikalihkan ke arah yang ditenung Hanan. Wajah beberapa orang kanak-kanak sekitar umur lapan hingga dua belas tahun memenuhi kornea matanya.
Melihatkan Hanan yang seperti tidak mahu membalas soalannya tadi, dia mula membuka bicaranya kembali, "kau rasa kalau kau terlalu berfikir... dengan keadaan tak tenangnya... kau rasa semua masalah boleh selesai ke?"
"Kak," panggilnya buat kesekian kali.
"Kalau betullah apa yang kita dapat tahu semalam... Bukan akak seorang yang kena hadap. Ridz pun akan hadap juga. Ridz ada, kak. Akak tak berseorangan."
Mendengarkan kata-kata dari adiknya, matanya terpejam rapat. Cuba menahan dari adanya butir jernih yang akan membasahi pipinya.
Melihatkan itu, Ridzwan dengan pantas berganjak dari tempat duduknya dan meluru ke arah Hanan.
"Kau menangis, hrm?"
Wajah Hanan yang sedang menekur ditenungnya lama. Jelas kelihatan terdapat air yang mempunyai kandungan elektolit dan protein itu mengalir setitik demi setitik dari celahan mata.
Buat seketika, Ridzwan tersenyum hambar sebelum tangannya pantas menyelakkan rambut yang menutupi sebahagian wajah Hanan kebelakang telinga.
"Cengenglah kau ni, kak. Kat luar punyalah ganas kalah gajah. Depan aku..."
Belum sempat dia menghabiskan kata, sebuah bantal telah pun selamat sampai di wajahnya.
"Sakitlah!" Hidungnya digosok. Tak pasal-pasal hidung mancungnya penyet nanti!
"Orang tengah sedih... boleh pula kau nak samakan aku dengan gajah?" marah Hanan sambil kakinya menyepak betis milik Ridzwan. Raungan kecil terbit dari adik tak cukup kasih sayangnya itu.
"Haih. Kau nak sedih apa lagi, kak? Sudah-sudah lah... "
Sejujurnya, Ridzwan kadang-kadang geram dengan perangai kakaknya yang satu itu. Terlalu berlebih-lebihan dalam berfikir. Dia pun tidak faham... kenapa perlu fikirkan perkara yang belum terjadi sampai begitu sekali? Yang akhirnya akan mengeruhkan lagi keadaan yang mungkin lebih baik dari apa yang disangkakan.
Hanan mengalihkan pandangannya tepat menikam kornea mata milik Ridzwan Al-Haq.
"Aku... Aku takut."
Sebuah senyuman diukirkan. Senyuman yang kelihatan amat terpaksa.
"Aku takut. Aku takut aku kehilangan lagi, Ridz. Mama dengan kau tak akan tinggalkan aku pula, kan? Tak akan buat macam mana abah tinggalkan kita?"
Tiada jawapan yang diberikan Ridzwan. Hanya pandangan mata yang saling bertaut menjadi medium komunikasi mereka.
"Kita semua dalam bahaya, Hanan."
•••
Tidak seperti tahun-tahun yang sebelumnya, Bandar Ileri kini kian menyepi. Hanya ada para pekerja yang ingin mencari rezeki sahaja yang akan keluar meneruskan urusan masing-masing. Manakala anak-anak remaja yang biasanya akan melepak dan bersiar-siar kini tidak lagi. Hanya ada beberapa orang sahaja yang masih berani untuk menjejakkan kaki mereka keluar dari rumah.
Ileri merupakan ibu negara Ilerici. Sebuah negara kecil yang pendudukanya tidaklah terlalu padat namun, cukup maju dan mampu untuk berdiri gah.
Tapi itu dahulu. Sejak dua tahun lepas, masalah kestabilan politik telah merosakkan segalanya. Ditambah dengan pelbagai lagi masalah dalaman lain yang seperti tiada penghujung- mengkucar-kacirkan sesebuah negara yang awalnya sangat terkenal di seantero dunia.
Ekonomi yang juga tidak seimbang, menjadikan Ilerici sebuah negara yang tidak stabil. Pelabur-pelabur asing juga telah menarik diri dari terus berkerjasama dengan pihak di negara tersebut.
Masalah perpecahan antara rakyat turut menjadi punca. Jika dahulu, yang susah dibantu, yang senang membantu... kini, masing-masing hanya ingin mengambil berat tentang diri sendiri.
Siapa sangka... segalanya berubah hanya dengan sekelip mata? Bahkan, ada juga yang memilih untuk membawa keluarga mereka keluar dari negara tersebut dan bermastautin di tempat yang lebih selamat dek kerana keamanan yang telah sirna di tanah tumpah darah mereka.
Seperti sebuah kota yang musnah akibat diserang. Bezanya, kemusnahan ini berlaku secara dalam.
Sudahlah masalah politik menjadi punca, ditambah pula dengan satu kes yang tiada penghujungnya.
Lost Killer.
Satu nama itu cukup mengerunkan seluruh sosok manusia. Si pembunuh yang sepertinya menjadi 'halimunan' ketika melakukan perkara terkutuk tersebut.
Ketakutan sentiasa menjadi peneman penduduk Ilerici. Namun, tiada siapa tahu yang si pembunuh hanya akan memakan mangsanya yang juga memakan mangsa lain terlebih dahulu sebelum dia.
Manusia terlalu buta, sehingga topeng yang dipakai mereka langsung seperti tiada.
Tapi tak mengapa, kerana dia suka.
Dia suka melihat manusia berada dalam ketakutan.
Dia gembira melihat manusia sentiasa dalam zon berjaga-jaga.
Di satu sudut sebuah restoran, dia tersenyum sinis mengenangkan perkara tersebut. Huh. Mengapalah mereka perlu takut dengannya? Dia bukannya malaikat maut pun sehingga perlu ditakuti sebegitu rupa.
Latte yang masih bersisa disedut habis. Hari ini dia hanya memakai pakaian kasual berlengan panjang. Seluar berwarna putih menjadi padanan.
Hidung mancung ditambah lagi dengan mata yang agak kebiruan menambahkan ketampanan wajahnya. Diserikan lagi dengan rambut hitam pekat yang cukup kemas.
Jam dipergelangan tangan dikerling sekilas. Dia merancang untuk pulang ke 'kampungnya' hari ini. Tapi waktu ini tidaklah begitu sesuai kerana jalan yang agak sesak ketika waktu kepulangan para pekerja dari sektor awam mahupun swasta. Dia tidak betah mahu hadap Bandar Ilerici yang sesak pada waktu ini.
Selepas saja mereka pulang, dia jamin jalan raya akan menjadi lengang selengang-lengangnya. Kerana tiada siapa lagi berani keluar.
Mungkin orang akan cakap dia merupakan salah seorang yang betul-betul berani mati. Kerana meskipun di jalan yang sunyi, dia tetap melaluinya bersahaja.
Hakikatnya, dia bukan 'berani mati'. Tapi orang yang mereka terlalu takutkan itu adalah dirinya sendiri.
Buat apa nak takut dengan diri sendiri... kan?
Dia bangkit dari duduknya. Kawasan singki dituju dan mulutnya dibasuh sedikit menghilangkan kesan manis kopi yang tersisa.
Dan dia sedar, hanya dengan tiga setengah langkah ketika dia bangkit dari tempat duduknya tadi sehingga ke singki ini... Dirinya terus-terusan diperhatikan beberapa orang gadis yang berada di sini.
Huh. Ada rupa... terus pandang?
Dia tahu dia hensem. Tapi tak perlulah tengok dia macam nak tembus. Jaga pandangan adik-adik sekalian!
Ceh.
Setiap gerak-gerinya diperhatikan mereka. Pergerkannya mengambil wallet dari poket turut diperhatikan mereka.
Apa? Nak tengok dia berduit atau tidak? Macam tu?
Heh. Apa punya manusialah...
Tidak mengendahkan semua itu, dia meneruskan langkahnya menuju Ford Mustang berwarna hitam miliknya. Baru saja dia ingin membuka pintu, tiba-tiba ada satu tangan menghalangnya.
"Kejap!"
Suara yang dikepit itu membingitkan telinga. Sudahlah kepit, sengau pula tu.
"Hi abang hesmes!"
Matanya dinaikkan keatas. Ni mesti nak mengorat. Kejap lagi mesti dia akan ditanya nama dan diminta nombor telefon. Tak ada cara lainkah nak mengorat?
Tak menghiraukan gadis bersuara kepit tersebut, dia terus meluru memasuki keretanya. Malas mahu berlama-lama.
Dia sudah biasa dengan situasi ini. Tapi tiada satupun yang dihiraukan.
Terkadang dia rasa kelakar yang amat. Bagaimana mereka boleh cuba ingin mengorat seorang...
Pembunuh?
Oh. Kerana mereka tidak tahu.
Atau...
Mungkin kalau mereka tahupun, dia tetap akan dikejar? Kerana ada rupa dan harta?
Lawak.
Manusia telalu buta.
•••
?
Share this novel