2 | Detik Akhir

Drama Series 422

"Dhia...anak mama...". Puan Noraidah mengusap kepala anak sulungnya itu. Tangannya sedikit menggigil. Dirasakan wajah Dhia bercahaya. Pipinya sejuk. Mulut dan hidung Dhia yang berselirat dengan corong topeng pernafasan ditatap menanti jika ada balasan suara.

Jika tidak sekalipun, dia mahu melihat bibir mungil Dhia bergerak. Tangan Dhia penuh dengan tiub ubatan intravena. Puan Noraidah menanti jika ada pergerakkan jari jemari Dhia yang kasihinya. Namun, hanya skrin ECG sahaja yang masih menunjukkan Dhia masih hidup, sedangkan anaknya itu bagai kaku.

Luluh hatinya melihat Dhia sebegitu.

"Dhia, mengucap nak... Ashadu alla ilaha illallah....". Keserakan suara Puan Noraidah jelas kedengaran. Tiadalah ibu di dunia ini yang sanggup mengajarkan syahadah pada anaknya dalam keadaan begini.

Di pembaringan— 

Dhia masih mampu merasakan bisikan halus dicuping telinganya. Itulah suara mama. Mama yang mengandungkannya selama sembilan bulan dan menyusukannya siang dan malam selama 2 tahun. Mama jugalah yang sanggup tinggal di Kuala Lumpur menjaganya semasa dia sakit dan masuk keluar hospital—
Jauh dari ayahnya yang berada di Johor.

Mama tidak pernah sekali pun mengeluh walaupun harus ulang-alik setiap minggu dengan umurnya yang sudah lanjut itu.

Dhia rindu mama. Walaupun mamanya di sisi. Dhia mahukan mama.

"Dhia...". Mama menahan tangis. Tangannya mengoles pipi Dhia. Dirasakan ada air panas yang mengalir dari kelopak mata. Dhia masih menemaninya.

"Maaa...." panggil Dhia lembut. Suaranya tenggelam dalam kedapan corong oksigen dan bunyi-bunyian mesin. Kelihatan wap nafas yan panas memenuhi corong oksigen tersebut.

"Ye Dhia...". Mama tak mampu menahan tangis. Mutiara panas itu berguguran jua. Mulut mama benar-benar di telinga Dhia. Hidung Mama pula hampir mencium topeng oksigen. Tangannya pegun memegang tangan Dhia yang berselirat dengan wayar. Tiub ubat-ubatan intravena, wayar ECG dan entah apa lagi yang mamanya sendiri pun tidak faham. Tapi apa yang mama tahu, Dhia masih hidup.

Dhia anak mama. Yang pertamanya mengajar mama berlatih menjadi seorang ibu.

"Maafkan Dhia ye ma..." Terketar-ketar suara Dhia saat meluahkan isi hatinya walaupun dia tidak lagi dapat melihat wajah mamanya ketika itu. Dirasakan genggaman mama pada tangannya semakin kuat. Dhia tidak pasti adakah mama mendengar apa yang dia katakan tadi.

"Dhia tak ada dosa dengan mama. Semua mama halalkan semuanya untuk Dhia sayang...". Esakkan Mama semakin kuat. Hatinya berkelintar pedih. Papa yang dari tadi hanya berdiri bungkam di hujung katil Dhia cepat-cepat memeluk mama. Papa menelan air liurnya menahan dari mengekspresikan kesedihannya. Bukannya dia tidak mahu menangis—tapi dia perlu kuat untuk isterinya dan adik-adik Dhia yang lain.

Di saat itu Dhia hanya mampu merasakan kehangatan genggaman mama, sehangat cinta mama padanya. Mahu sahaja Dhia memeluk mama sepuas hatinya, paling tidak buat kali yang terakhir. Mulutnya mahu berkata-kata, namun terlalu perit. Mamalah tempat dia bergantung harap.

Dhia tahu dia lah punca mama terpaksa meninggalkan papa, dan adik-adiknya yang lain hampir kebanyakkan masa. Dhia merasakan terlalu banyak masa yang telah dicuri olehnya, namun Dhia tidak punya pilihan kerana menguruskan diri sendiri juga tiada kudrat. Pergi ke dialisis juga berkerusi roda dan membawa mesin oksigen. Di rumah hanya berbaring di atas katil juga dengan sokongan mesin oksigen.

Siapa lagi yang harus Dhia bergantung harap jikalau bukan mamanya?

Dhia ingin memohon maaf kepada semua ahli keluarganya jika mereka terpaksa berbagi kasih sayang mamanya kerana Dhia. Selepas episod ini—
moga segalanya kembali seperti sediakala.

"Kak Dhia minta maaf ye pa, adik...". Tiada suara tersisa. Getaran itu hanya didada.

Mama tetaplah seorang mama. Tak pernah mengalah dan tak pernah mengeluh dalam memberi semangat pada Dhia. Malah tak pernah sekali pun menangis dihadapannya. Ini pertama kali Dhia mendengar esakkannya.

Sejak Dhia jatuh sakit, tepat jam 4 pagi, mama tak pernah sekali pun lupa untuk bangun malam untuk menunaikan solat sunat. Tidak kira dirumah, mahupun ketika menemani Dhia saat di hospital. Mama akan sentiasa bangun bermunajat pada Allah sehingga Subuh. Walaupun Dhia mungkin tidak mendengar bait bait doa mamanya namun Dhia sentiasa tahu dan yakin, tidak sekali pun namanya dan adik beradiknya yang lain tercicir dalam doa mamanya.

"Maa... Dhia dah solat ke tadi?" Ekor matanya mengerling sipi. Dia benar-benar lupa yang dia belum solat Isya' lagi.

"Dah nak.. Tadi kan mama dah spray kan Dhia.. Dhia solat baring..." Dhia mengangguk faham. Jantungnya benar-benar seakan mahu meletup saat ini, membuatkan kewarasannya menjadi kurang.

"Dhia kena kuat ye nak..." Suara mama terketar-ketar. Mama masih setia disisi. Seperti kebiasaannya.

"Selagi mama hidup Dhia...". Kata-kata mama terhenti beberapa saat. Dilihatnya wajah Dhia yang pucat lesi dan bibirnya berwarna kebiruan itu—
Mamanya menarik nafas cukup dalam untuk mengumpul secebis kekuatan.

"Macamana... Mama nak teruskan hidup kalau tak nampak Dhia lagi depan mata mama nak? Mama tak mampu...Dhia...". Rintih hati mama nengesak dengan semakin kuat.

Papa memeluk Mama sambil mengusap bahu isterinya itu, berkongsi kekuatan dan kesedihan. Mama menyeka air mata.

"Dhia, walaupun sampai sekarang doktor bagitahu penyakit ini tiada punca—tapi mama yakin pasti ada hikmah disebalik ujian ini. Mama percaya jika sakit dia terjadi tanpa punca dan sebab, Allah juga boleh izinkan Dhia sembuh tanpa sebab. Dhia kena semangat walau apa pun nak... Sentiasa bersangka baik pada Allah...". Kelopak mata mama bergenang air jernih. 

Dia harus cekal. Dia mengharapkan keajaiban. Apapun yang doktor beritahu padanya tengahari tadi bukan asbab untuk dia berputus asa pada Dhia walaupun sebaliknya yang diberitahu doktor kepadanya. Mama mengusap lembut anak tudung di kepala Dhia.

"Dhia ingat tak mama pernah cerita dalam Surah Al Hijr? Masa malaikat datang pada Nabi Ibrahim bagitahu akhirnya doa baginda diangkat? Diberikan anak walaupun dah tua umur baginda 99 tahun, bininya mandul—Nampak mustahil kan? Kuasa Allah Maha Hebat Dhia...

"Kami menggembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar; oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang berputus asa" –(15:55)

Dhia hanya diam. Mengangguk. Air matanya mengalir.

"Ingat tak lepas tu Nabi Ibrahim balas apa?—

"Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat" –(15:56)"

"Jadi jangan putus asa nak.... Jangan bersangka buruk dengan Allah. Kuatkan semangat... Mama sayang Dhia..." Ujar mamanya dalam esakkan. Luahan mamanya begitu menusuk ke dalam jiwa kecilnya kerana mama tidak pernah sekali pun dalam hidupnya meluahkan apa di dalam hatinya kepada Dhia mahupun adik beradik yang lain.

Mama always show only tough love for them.


Beep...

Beep...

Beep...

Bunyi mesin ECG semakin nyaring dan panjang.

Suasana sedikit kecoh. 

Mama dan papa diminta keluar. Adik dan saudara-mara Dhia diruang menunggu bingkas bangkit. Adiknya terpisat-pisat menggosok mata. Naskah Yassin yang dia pegang tadi hampir terjatuh. Semua diam, bagai mengerti apa yang berlaku.

Dhia senyap. Dia tidak tahu apa yang berlaku. Apa yang dia rasakan adalah hujung kakinya itu terlalu sakit. Kakinya kebas. Kesakitan itu mula menjalar ke bahagian atas secara perlahan-lahan. Tulang-temulangnya seperti patah riuk. Dadanya terasa mahu pecah bagai dihimpit sesuatu yang maha berat. Kerongkongnya terlalu perit untuk menjerit.

"Allah..." Itulah bisikan hatinya yang paling dalam. Kini dia merasakan kesejukan dan kesepian dan....

kosong.

please comment kalau free :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience