Malam di dermaga kecil itu hening, cuma kedengaran bunyi desiran air laut yang memukul perlahan pada lambung kapal kayu yang berlabuh.
Bintang-bintang kecil memercik di langit gelap, dan angin membawa harum garam laut bersama bau damar yang masih segar pada tiang layar.
Di dalam kabin sempit di buritan kapal yang sudah lama tidak belayar, seorang lelaki tua duduk bersila di sisi tempat tidur anak kecilnya.
Sorotan cahaya dari pelita yang tergantung di dinding kabin menari di wajah tuanya yang ditumbuhi janggut keperangan, kasar dan tidak pernah dicukur licin.
“Luken,” katanya perlahan.
“Ya, ayah?” Sahut Luken, budak kecil yang berusia sekitar 8 tahun.
“Malam ni, aku nak cerita tentang satu pulau yang tak pernah tercatat dalam mana-mana peta. Tapi kau kena janji... cerita ni tak boleh kau ulang pada sesiapa pun,” tutur lelaki tua itu dalam nada yang sederhana.
Mata budak lelaki itu, bundar dan bersinar, mengangguk bersungguh.
Lelaki tua itu tersenyum nipis, seraya menekapkan telapak tangan ke dada Luken.
“Dengar baik-baik ya. Cerita ini... dipercayai lebih lama dari usia mana-mana manusia yang masih hidup.”
“Pulau Velmora...” sambungnya, seperti menyebutkan satu nama yang membawa sumpah lama.
“Pulau yang tidak boleh dimiliki, hanya boleh dibayar dengan jiwa.”
“Velmora pernah wujud,” suara lelaki itu hampir saja berbisik.
Dahulu kala, ketika lautan belum dipetakan dan bintang belum diberikan nama, laut terbentang sebagai dunia yang tak bertuan. Di tengah-tengah samudera yang liar, terdapat sebuah pulau.
Ia tidak bernama, hanya dikenali sebagai tanah berbisik, kerana sesiapa yang melabuhkan sauh di pesisir akan mendengar suara aneh yang datangnya bukan dari dunia ini.
“Pulau itu...” lelaki itu berjeda.
“... ia tidak terbentuk dari tanah biasa. Ianya dibina dari bangkai kapal, runtuhan tamadun, dan janji-janji yang dikhianati. Kononnya, ia muncul setiap 79 tahun sekali, hanya kepada mereka yang benar-benar tamak, atau benar-benar sesat.”
“Woah...” Luken sudah teruja.
Dalam bayangan Luken, tanah itu membusung dari dasar laut, diangkat oleh naga air atau roh-roh purba. Di pantainya, emas dan zamrud bersinar seperti kelopak bunga, tapi tak seorang pun manusian boleh menggenggamnya tanpa membayar dengan darah.
Suatu saat dahulu, seorang lanun agung bernama Morren Dread telah menjejakkan kaki ke pulau itu.
Nama Morren langsung tidak pernah disebut dalam cerita pelaut, kerana sejarah ingin melupuskan kisah mereka yang cuba menjajah Velmora.
Morren datang bersama 9 kapal, 300 anak buah, dan hati yang tidak pernah kenal erti takut.
Mereka terjumpa pulau itu lepas belayar melalui ribut selama 9 hari 9 malam, di mana langit seperti terbakar dan kompas berputar tanpa arah.
Di tengah pulau Velmora, mereka menemui sesuatu yang tak dijangka.
Sebuah makam batu yang tidak ditumbuhi lumut dan tidak dimamah masa. Di atasnya, terukir tulisan dalam bahasa kuno: barangsiapa membuka kunci tanah ini, wariskanlah darahmu kepada laut.
Tapi Morren, seperti kebanyakan manusia, mentertawakan amaran itu.
“Apa jadi lepas tu, ayah?” tanya Luken, matanya masih belum berkelip.
Bapanya diam sebentar. Lantas dia bersandar dan hela nafas perlahan, seperti menyusun kembali cerita yang telah lama dikuburkan.
“Morren buka makam itu. Dalam makam itu, bukan mayat. Tapi satu… kompas yang tidak pernah diam.”
“Kompas?” Wajah Luken kerut.
“Ya,” jawab sang bapa.
“Kompas dari logam hitam laut, berat dan dingin walaupun disentuh di bawah matahari. Jarumnya berpusing tanpa pernah berhenti. Jarumnya yang tidak tunduk pada utara, selatan, timur atau barat. Seolah-olah... ia mencari sesuatu yang lebih dalam dari arah...” beritahu lelaki tua itu dengan suaranya yang kedengaran tenang.
Morren memegang kompas itu. Darah masih mengalir dari luka selepas pertempuran di tepi makam. Setitik darah itu jatuh ke atas kaca kompas... dan pada saat itu juga, jarum berhenti.
“Ia tunjuk arah, Luken,” bisik sang bapa ketika ceritanya sampai di situasi berkenaan.
“Jarum itu tunjuk arah ke jantung sebenar Velmora. Pulau itu bukanlah sekadar tanah... ia kunci kepada kuasa, azimat, dan ada sesetengah percaya di situ ada harta karun setinggi 2 gunung yang bergandingan.”
Tapi bersama-sama petunjuk itu, sumpah juga bermula.
Satu persatu anak buahnya mati tenggelam walau di darat, sesetengah gila dan melompat ke laut sendiri, dan yang masih hidup pula... fizikal mereka akan berubah. Mata mereka... gelap. Lidah bercabang seperti ular laut.
Mereka mula bermimpi tentang bisikan dalam air. Tentang Morren sendiri yang menjadi hamba lautan.
Morren cuba lari, kerana dia tidak sanggup untuk meneruskan pencarian Velmora akibat kutukan yang dilalui.
Tapi dia tahu, satu-satunya cara untuk mengelakkan kutukan itu adalah dengan musnahkan kompas tersebut.
Namun kompas itu... tidak boleh dihancurkan. Maka dia pecahkan jarum kompas itu kepada 9 bahagian, setiap 1 diserahkan kepada mereka yang dia percaya dan arahkan mereka supaya melarikan diri ke penjuru dunia.
“Setiap jarum, jikalau bertemu darahnya semula... akan bangkitkan peta Velmora,” ujar bapanya perlahan.
“Dan sumpahan itu turut hidup kembali,” tambahnya dengan berbisik.
“Macam cerita harta karun,” ujar Luken ketika bapanya menoktah kata.
Namun sang bapa menggeleng.
“Bukan harta semata-mata yang mereka bawa. Tapi sumpah darah.”
Kabin itu sunyi. Pelita berkedip, seperti terkesan dengan aura cerita itu. Luken yang mendengar, terdiam.
“Apa jadi dengan Morren?” Soal Luken dengan nada perlahan.
Lelaki tua itu merenung anaknya. Lama. Dia meneguk liurnya agak kasar.
“Morren hilang... Tapi ada yang kata, dia tak mati. Dia bersembunyi... menunggu leluhur darahnya kembali mencari peta itu semula. Dia masih lagi mahu mendapatkan ‘sesuatu’ yang ada di Velmora. Sebab dia tahu... hanya darahnya yang boleh menyatukan ke-9 jarum tu... dan hidupkan Velmora.”
“Tapi, siapa waris Morren?” Raut Luken seperti berfikir.
Bapanya tunduk, dan untuk 1 saat, suara ombak di luar hilang, diganti debar jantung budak kecil itu.
“Entahlah, Luken. Ayah juga tidak tahu...” jawab lelaki tua itu, kemudian mengusap rambut anaknya.
“Tapi kalau satu hari nanti kau dengar suara laut bisik nama kau… kau tahu, darah itu belum pupus,” lambat-lambat sang ayat mengucapkan.
Pelita padam dengan satu tiupan lembut. Di luar, bayu laut bertiup dingin. Luken menarik selimut, mata masih terbuka.
Dan di laci rahsia di bawah lantai kabin kapal kayu itu, tersimpan sebuah kompas hitam, tanpa jarum. Ia kosong dan senyap.
Tapi dalam peti besi kecil di ruang simpanan kapal, terikat dengan benang perak, tersimpan satu daripada 9 jarum lama. Masih tajam. Masih hidup.
Tanpa Luken tahu, satu hari nanti, kompas itu akan melengkapkan dirinya semula… dengan tangan darah terakhir Morren.
Dan malam itu juga, suara laut berbisik, buat pertama kali: Velmora… Velmora menunggu.
Share this novel