Prolog

Romance Series 75

Mall petang Sabtu, seperti biasa. Manusia berpusu-pusu, pasangan muda berpegangan tangan, budak-budak kecil berlari ke sana sini, bunyi muzik latar bercampur dengan suara pengumuman jualan. Ryhana, Dayana, dan Lily sambil beriringan, masing-masing pegang minuman dalam tangan, mulut tak berhenti berbual.

“Weh, weh, weh… kau tengok mamat tu,” bisik Dayana sambil menepuk bahu Lily tiba-tiba, mata meliar ke arah sebuah kafe kecil di penjuru aras itu.

Lily yang tengah skrol telefon terus angkat muka. “Mana? Mana?”

Dayana memuncungkan bibir. “Ha tu… yang duduk sorang tu.”

Lily terus pandang lelaki yang dimaksudkan Dayana. “Astaga… siapa tu? Macam watak drama Korea versi Melayu weh. Dah la pakai kot.”

Ryhana turut sama menjeling. Seorang lelaki, sekitar awal 20-an. Berbaju kemeja putih, kot hitam tergantung kemas di belakang kerusi. Wajah bersih, kulit cerah, rambut hitam tersisir rapi. Muka dia… kosong. Riak langsung tak berubah, mata tajam seolah-olah memerhati sekeliling tapi bukan betul-betul tengok orang. Lebih kepada memerhati dunia dengan cara dia sendiri.

Dia potong chicken chop perlahan, makan sambil baca buku. Tanpa gangguan dan tanpa peduli orang sekeliling. Jenis lelaki yang kalau lalu depan orang, orang akan pandang dua kali sebab ada aura yang buat orang rasa… dia bukan orang biasa.

“Fuh… jenis lelaki cold man siak. Aku suka,” Dayana ketawa kecil.

“Dia nampak macam jenis tak senyum la. Macam sombong...” tambah Lily.

“Main truth or dare!” Lily tiba-tiba bersuara dengan teruja.

“Aik? Kat sini pun nak main?” Ryhana geleng. Ada-ada saja kawan dia ni.

“Main la. Okey aku tanya kau, Ryhana. Truth or dare?”

Ryhana menghembus nafas berat. Ryhana pandang dua-dua kawannya. “Fine. Dare," dengan malas Ryhana pilih juga dare. Taknak lah nampak tak ikhlas main kalau pilih truth kan?

Dayana dan Lily berpandangan sambil senyum jahat.

“Pergi mintak nombor laki tu,” Dayana bisik.

“Apa?!” Ryhana menekup mulutnya. Masih tidak boleh memproses apa yang baru dituturkan Dayana.

“Kau pilih dare kan? Janganlah kecut sangat.”

“Ala, kau cantik la. Pergi je. Takkanlah mintak nombor pun takut?” Dayana saja bermain dengan api.
Ryhana geleng kepala, tapi ego dia tidak mahu mengalah. Dia tarik nafas dalam.

“Okay. Watch me.” Ryhana meninggalkan Dayana dan Lily yang masih tersenyum penuh makna.

Langkah Ryhana berat. Semakin dekat, makin jelas wajah lelaki tu. Dia perasan mata lelaki tu naik sedikit, pandang dia, sebelum kembali ke buku di tangan.

“Excuse me… encik.”

Lelaki tu angkat muka perlahan. Sepasang mata gelap menikam mata Ryhana. Tenang. Kosong. Tapi ada sesuatu di sebalik renungan tu. Bukan marah. Bukan mesra. Lebih kepada… menilai.

“Ya?” suara dia dalam, datar.

Ryhana telan liur. “Saya… saya tengah main truth or dare dengan kawan-kawan. Err… dare saya… saya kena minta nombor telefon encik.”

Lelaki itu merenung Ryhana lama. Sangat lama sampai Ryhana rasa tak selesa. Mata dia macam membaca apa yang Ryhana cuba sembunyikan. Renungan dia buat Ryhana rasa macam dihakimi bukan sebab minta nombor, tapi seolah-olah lelaki tu nak tahu siapa sebenarnya Ryhana. Jenis perempuan yang suka main-main? Atau jenis yang tahu apa yang dia buat?

Ryhana gelabah. Bibirnya senyum kelat. “Kalau encik tak nak bagi pun takpe…”

Lelaki tu angkat kening sikit. Masih diam. Dia meletakkan buku yang dibacanya atas meja. Tubuhnya disandar kebelakang kemudian lelaki itu buka mulut.

“Selalu ke buat macam ni dengan orang yang kau tak kenal?”

Ryhana terdiam. “Err… tak. Ini first time. Sumpah.” Ryhana gelabah. Tidak tahu apa yang dia lakukan sekarang.

Lelaki tu senyum nipis, bukan sebab lucu. Lebih kepada senyuman seakan tahu yang dia berjaya buat perempuan di hadapannya cuak. Tanpa berlengah lagi, lelaki itu mencapai telefon dan menaip nombor atas tisu kertas.

“Ambil,” katanya sambil hulur tisu itu.

Ryhana ambil cepat-cepat. “Err… terima kasih.”

Lelaki tu kembali pegang buku, tanpa pandang Ryhana lagi. Macam tak ada apa-apa berlaku.

Ryhana pusing, terus jalan laju ke arah Dayana dan Lily.

“Wehh sumpah malu giler tadi!” Dia tutup muka. Wajahnya merah padam.

“Tapi… kau berjaya dapat nombor dia lah!” Dayana ketawa.

“Kenapa dia bagi ek?” Lily pelik.

“Entah… maybe dia pelik kot,” Ryhana senyum senget. Matanya kembali mencari susuk lelaki itu. Hilang. Lelaki itu sudah tiada di mejanya.

Mereka sambung jalan sambil sembang dan bergelak ketawa seolah-olah dalam dunia mereka sendiri. Tapi hati Ryhana masih rasa berdebar.

Beberapa minit kemudian, mereka lalu depan butik pengantin. Baju putih gading dalam display kaca buat langkah Ryhana terhenti.

“Weh, Ry? Kenapa?” panggil Dayana.

Ryhana tak menjawab. Matanya melekat pada baju pengantin itu. Potongan gaun yang labuh, kain tulle halus bertingkat dan manik kilau halus yang menghiasi bahagia dada dan lengan. Wajah patung tanpa ekspresi dalam display seolah-olah memandangnya.

Dalam kepala Ryhana, entah macam mana, bayangan dirinya sendiri muncul. Dia pakai baju pengantin itu dipadankan pula dengan tudung putih lembut. Makeup yang ringkas. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyum.

‘Apa hal aku berangan ni…’ Ryhana ketap bibir.

Tapi dia tidak boleh paksa diri alihkan pandangan. Entah kenapa, baju itu buat dia rasa sayu. Macam ada sesuatu yang dia tunggu dalam hidup. Sesuatu yang tak pernah dia tahu dia inginkan.

“Ryhana…” suara Dayana buat dia tersentak dari lamunannya.

“Ha? Oh. Jom,” dia cepat-cepat alih pandang dan melangkah laju. Tapi sebelum sempat jauh, dia jeling sekali lagi ke arah butik. Mata dia masih nampak baju itu, kilauan manik halus bawah lampu butik.

Dia tidak sedar dari aras atas, seseorang sedang perhatikan dia. Lelaki tadi. Berdiri di balik cermin besar. Tangan dalam poket. Matanya redup memerhatikan Ryhana yang semakin menjauh dari butik itu.

Wajah lelaki itu masih tenang, tapi ada sesuatu dalam renungan dia.

Fine?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience