Rate

PS: PROLOG

Horror & Thriller Series 1557

SUASANA malam yang sunyi, ditemani bunyi hujan renyai-renyai yang memukul atap rumah, menarik perhatian Mior. Tiupan angin yang agak kuat menimbulkan rasa tidak enak dalam dirinya. Bunyi ketukan dari tingkat atas, seperti diketuk seseorang dari luar, membuatkan dia segera mendongak. Namun, dia menenangkan diri.

"Tak mungkin ada orang di situ," fikirnya. Mungkin hanya dahan pokok yang ditiup angin.

Tok! Tok! Tok!

Sekali lagi, bunyi ketukan itu kedengaran, kali ini lebih kuat. Mior menelan liur, rasa berdebar menguasai dirinya. Perlahan-lahan, dia melangkah menaiki tangga, satu demi satu anak tangga dipijak dengan hati-hati. Degupan jantungnya terasa seperti mahu meletup. Dia menyesal menolak pelawaan Pak Deris untuk bermalam di rumah lelaki tua itu tadi. Kini, dia terperangkap sendirian di rumah agam usang ini. Tiada pilihan, dia perlu berpura-pura berani.

“Tak ada apa-apalah… insyaAllah…” desis Mior perlahan, membaca surah-surah pendek dalam hati untuk menenangkan diri.

Sebaik tiba di tingkat atas, dia terlihat jendela yang terbuka luas. Mior menghela nafas lega.

"Rupanya daun jendela yang terbuka. Patutlah bunyi tadi," ujarnya sambil tersenyum, cuba menenangkan diri.

Namun, ketika dia berjalan ke arah jendela itu, matanya menangkap sesuatu di luar. Dalam hujan renyai-renyai dan kabus yang tebal, dia melihat sosok seorang wanita berjalan perlahan di halaman rumah. Mata Mior membulat. Dia menggosok-gosok matanya berkali-kali, cuba memastikan apa yang dilihatnya. Namun, sosok itu tiba-tiba menghilang, lenyap dalam kabus malam.

Tidak lama kemudian, suara nyanyian yang sayup-sayup kedengaran. Dahi Mior berkerut. Suara itu, walaupun perlahan, jelas datang dari luar. Dia memandang ke arah pohon rambutan tidak jauh dari rumah agam itu. Di situ, dia melihat seorang wanita sedang duduk mengayun buaian yang diikat pada pokok.

"Siapa pula main buaian tengah malam ni?" bisiknya, cuba memerhati dengan lebih jelas.

Namun, wajah wanita itu kabur dalam kesamaran malam. Walaupun begitu, dia merasa seperti pernah melihat wanita itu sebelum ini. Ketika wanita itu tiba-tiba menoleh ke arahnya, hati Mior berdebar. Wajah wanita itu sangat cantik, tetapi entah kenapa, ada sesuatu yang membuatkan bulu tengkuknya meremang. Sebelum dia sempat berbuat apa-apa, sosok itu lenyap dalam kabus.

"Ke mana dia pergi? Tadi jelas dia ada di situ," bisik Mior, kini rasa tidak tenang menguasainya.

Dia segera menutup jendela dan bergegas turun ke tingkat bawah. Malam ini, dia tekad bermalam di rumah Pak Deris. Rumah ini tidak lagi terasa selamat.

Ketika dia melangkah ke pintu utama, suara lembut tiba-tiba memanggilnya.

“Abang, tunggu Seroja…”

Langkah Mior terhenti. Dia berpaling.

“Siapa tu?” soalnya, cuba menahan rasa takut. Dia memerhati sekeliling, namun tiada siapa di situ.

"Mungkin aku terlalu penat," desisnya, cuba meyakinkan diri.

Dia membuka pintu dengan pantas, tetapi terasa berat mahu melangkah keluar.

“Abang, Seroja mahu ikut…” suara itu muncul lagi, kini disertai dengan esakan halus.

Mior kaku. Dia terdengar bunyi langkah perlahan menghampirinya.

“Abang Adika…”

Mior menelan liur. Dia pasti suara itu berada betul-betul di belakangnya. Dalam ketakutan, dia mula membaca ayatul kursi sambil memejamkan mata.

“Seroja rindukan abang…” bisik suara itu, kini sangat dekat di telinganya.

"Astaghfirullahalazim! Jangan ganggu aku! Aku bukan Adika! Siapa pun kau, pergi dari sini!" jerit Mior, cuba mengusir gangguan itu.

Tidak lama kemudian, dia dapat menggerakkan kakinya semula. Tanpa menoleh, dia berlari keluar dari rumah dan terus menuju ke motosikalnya di pekarangan. Enjin motosikal dihidupkan, dan Mior segera meninggalkan rumah agam itu menuju ke rumah Pak Deris yang hanya 500 meter jauhnya.

Setibanya di pekarangan rumah Pak Deris, dia menghela nafas lega. Namun, fikirannya masih dihantui peristiwa tadi. Dia yakin itu bukan sekadar khayalan.

“Mior, tadi kata tak mahu tidur sini?” tegur Pak Deris dari pintu rumah, mengejutkannya.

“Allahu Akbar!”

Mior mengusap dadanya, cuba menenangkan diri.

“Kamu ni kenapa? Macam dikejar hantu saja,” soal Pak Deris pelik.

“Err… tak apa, Pak Deris. Saya ubah fikiran. Lebih baik saya tidur sini. Lebih… selamat.”

Pak Deris mengerutkan dahi.

“Selamat? Maksud kamu?”

“Esok saya cerita, Pak Deris…” jawab Mior pendek, cuba mengelak.

Pak Deris memandangnya lama, seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Namun, dia hanya mengangguk sebelum mengajak Mior masuk ke dalam.

"Baiklah. Mari masuk," ujarnya ringkas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience